Friday, August 07, 2015

Kit Siang paling tidak sabar menunggu kelahiran GHB

Selain golongan kecewa dikalangan bekas pimpinan PAS yang bersungguh mahu menubuhkan parti baru bagi menandingi PAS, salah seorang tokoh yang tidak henti-henti ghairah mewar-warkan kemunculan parti baru ini adalah pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang.
Beberapa minggu kebelakangan ini itulah ratib Kit Siang kemana sahaja ia pergi, seakan parti baru GHB itu benar-benar tidak boleh berpisah dengan beliau. Bagaikan isi dan kuku, irama dan lagu itulah GHB dan Kit Siang.

Benar sangatlah telahan Tuan Guru Presiden PAS sebelum Muktamar lalu, bahawa ada dua golongan yang boleh dipilih oleh para perwakilan PAS, satu yang istiqamah dan tetap dengan pendirian parti manakala satu lagi yang cenderung dan ikut kata DAP. Para perwakilan telah memilih yang pertama manakala golongan yang kedua, itulah yang bakal lahir tak berapa minggu lagi, GHB atau apa namanya sekalipun yang sahih memang bikinan tangan DAP sejak mula lagi.

Di sebuah majlis anjuran GHB di Pontian semalam Kit Siang dilaporkan oleh The Star Online sebagai berkata:

“This will be another milestone in the political history of Malaysia, for the formation of a new inclusive and open-minded Islamist political party….”

“Ini nanti akan menjadi satu sejarah buat politik Malaysa, dimana akan lahirnya sebuah parti Islam (baru) yang inklusif dan lebih terbuka mindanya…..”

http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/08/07/New-opposition-coalition-to-emerge-Kit-Siang/

Selama ini itulah yang Kit Siang bimbang terhadap PAS. Parti Islam yang konsisten dan istiqamah dengan dasar dan prinsip Islamnya. Kerana itu Kit Siang rimas dan tidak senang dengan PAS khasnya apabila Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang pegang teraju.

Berbagai usaha telah beliau ambil contohnya sebelum muktamar bagi memastikan PAS tidak lagi diterajui golongan ulamak. Ternyata beliau gagal dan golongan yang ditajanya juga gagal.

Dan hari ini beliau dengan bangga mengumumkan lahirnya parti Islam baru!

Tak keterlaluan kalau saya katakana di sini, Kit Siang dan rakan-rakannya terlibat melahirkan sebuah parti yang pada anggapan mereka sesuai buat selera politik mereka, sesuai buat orang-orang Melayu dan Islam.

Tergamakkah tuan-tuan menyertai satu parti yang kononnya “Islam” yang dilahirkan oleh impian dan harapan serta kemahuan seorang bernama Kit Siang yang sebekum ini sangat tidak selesa dengan perjuangan Islam yang dibawa PAS.

PAS perlu liberal, PAS perlu progresif, PAS perlu meminda dasar dan prinsipnya agar sesuai dengan kehendak masyarakat, demikianlah kemahuan Kit Siang sebelum ini. Apabila gagal merobah PAS dari dalam, beliau sediakan mereka yang sealiran dengan beliau satu wadah yang kononnya Islam juga yang memenuhi segala idaman dan cita-citanya itu.

Malulah kita jika masih tidak sedar apa yang berlaku.

Namun bagi mereka yang terpesona dan termakan dengan ajakkan Kit Siang itu silakanlah, manakala yang lain saya menyeru agar berfikirlah semasak-masaknya. Kekallah bersama PAS yang digeruni Kit Siang ini agar kita bersama menuju kemenangan dengan tidak berkompromi dalam bab prinsip dan dasar.

Dalam melayari bahtera perjuangannya PAS telah berjaya melahirkan DHPP, Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari masyarakat bukan Islam yang faham dan boleh terima perjuangan PAS. Biarlah kita terus berdakwah memperteguhkan kekuatan DHPP ini dari kita berkompromi dengan mereka yang asalnya memang tidak senang dengan Islam.

Pilihlah dengan iman jangan dengan nafsu yang tidak pernah bergalas dengan panduan dan pedoman itu.


No comments: