Sunday, August 09, 2015

Apa pula orang Melayu mahu?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2070 Edisi Isnin muka F15


Sejurus PRU ke 13 lalu Utusan Malaysia melalui Editor Kanannya Zulkeflee Bakar telah menerbitkan satu artikel bertajuk: “Apa lagi orang Cina mahu?”

Artikel ini telah mengundang kemarahan ramai apabila ianya dilihat tengit berbau rasis kerana cuba menyalahkan kecenderungan pengundi Cina ketika itu yang dilihat tidak faham membalas budi baik yang telah ditaburkan oleh kerajaan BN terhadap mereka.

Apa pun episod itu telah pun kendur dan dilupakan begitu sahaja sementara PRU ke 13 pun sudah lebih dua tahun berlalu.

Hari ini dengan keperitan kemelut politik yang melanda negara. Dengan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia secara mendadak, keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos kehidupan rakyat yang melambung tinggi dan skandal kewangan yang berulang-ulang, persoalan baru yang mahu dan sepatutnya perlu diajukan bukan lagi  berbunyi “Apa lagi orang Cina mahu?” tetapi sepatutnya “Apa lagi orang Melayu mahu?”.

Jika artikel di Utusan Malaysia dahulu itu lebih bersifat provakatif dan membakar semangat rasis yang tidak menentu, persooalan “Apa lagi orang Melayu mahu?” ini sesungguhnya lebih bersifat persoalan hidup,  dan tertumpu sebagai cabaran buat orang Melayu khasnya berkenaan nasib dan masa depan mereka.

Dalam suasana politik yang yang kalut dan kehidupan yang mencabar dewasa ini, orang Melayu yang merupakan kaum terbesar dalam negara sewajarnyalah berulang-ulang menanyakan diri dengan soalan “Apa lagi orang Melayu mahu?”.

Meminjam bait-bait mutiara Allahyarham Usman Awang dalam puisinya “Melayu”:
“Melayu itu orang yang bijaksana, nakalnya bersulam jenaka, budi bahasanya tidak terkira, kurang ajarnya tetap santun, jika menipu pun masih bersopan, bila mengampu bijak beralas tangan”

Orang Melayu hari ini mendominasi politik dan kuasa dalam negara. Pemimpin nombor satudan dua  dalam pentadbiran negara adalah orang Melayu di dalam kabinet yang didominasi juga oleh orang-orang Melayu.

Jika maksud artikel Utusan Malaysia di atas tertumpu pada membakar semangat dan amarah orang-orang Melayu terhadap trend pengundian orang-orang Cina, persoalan “Apa lagi orang Melayu mahu?” hari ini  menjurus kepada orang Melayu itu sendiri.

Teraju kepimpinan yang ada yang mendominasi politik dan kuasa dalam negara hari ini adalah diangkat oleh orang-orang Melayu melalui undi dan pilihan mereka.

Hari ini jika kita mempertikaikan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, skandal 1MDB yang melibatkan wang negara, skandal Tabung Haji, skandal MARA, perlaksanaan GST, kenaikan harga minyak dan kenaikan kos hidup rakyat serta berbagai lagi, kita khasnya orang-orang Melayu perlu insaf bahawa sebahagian besar dari kitalah yang telah meletakkan nama-nama yang terpalit dengan pertikaian kita itu ke tunggak kuasa hari ini.

“Apa lagi orang Melayu mahu?” sedangkan orang Melayu jugalah yang telah menaikkan mereka ini duduk memimpin negara dan rakyat.

Skandal-skandal yang menghantui kita hari ini, kesempitan hidup yang menekan kita masing-masing semuanya berlaku bukan kerana orang atau bangsa lain tetapi angkara orang Melayu yang telah sebahagian besar kita sendiri berikan amanah dalam PRU yang lalu.

Kita lihat sesama mereka pun hari ini sudah berantakkan. Bekas Perdana Menteri menyerang Perdana Menteri secara terbuka. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan dipecat. Pulau memulau pemimpin berlaku, semuanya di hadapan mata kepala kita masing-masing, “Apa lagi orang Melayu mahu?”

Kita yang punya kuasa politik dominan, kita juga yang menggunakan kuasa itu untuk menaikkan mereka yang seumpama ini, lalu hari ini kita sendiri yang tertekan dan terbeban akibat darinya.

Jika orang Melayu boleh sedar dan insaf akan hakikat ini, jawapan kepada persoalan “Apa lagi orang Melayu mahu?” itu mudah terongkai dan terjawab. Malah Allahyarham Usman Awang dalam sajak yang sama menulis:

“Jangan takut melanggar pantang, jika pantang menghalang kemajuan; Jangan segan menentang larangan, jika yakin kepada kebenaran; Jangan malu mengucapkan keyakinan, jika percaya kepada keadilan”

Sesungguhnya orang Melayu perlu kembali kepada penyelesaian Islam iaitu sebaik-baik penyelesaian yang telah tidak ia gunakan secara sepenuhnya sebelum ini. Kita ghairah dengan dominasi dan kelebihan kita tetapi kita kesampingkan perjuangan Islam yang sebenar-benarnya meletakkan kita lebih mulia dari yang lain jika diperjuang dan dilaksanakan.

Almarhum Prof Zulkiflee Muhamad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (Timbalan Presiden kini) pernah menyatakan lebih 50 tahun dahulu:

“Di dalam perjuangan menyelamatkan Islam dan mencapai keredhaan Tuhan hendaklah benar-benar kita menjadi satu golongan manusia yang berbentuk, berjiwa dan berakal Islam, berfikir secara Islam di dalam tiap-tiap gerak dan diam kita dengan demikian akan lahirlah gambaran yang indah dan masyarakat akan menyambut (kita) dengan baik.”

Oleh itu masanya telah tiba bagi orang-orang Melayu untuk menegaskan tanpa takut melanggar pantang bahawa mereka tidak perlukan lagi pemimpin Melayu yang seumpam hari ini. Yang telah menodai amanah yang diberikan, yang telah menconteng dan mencetuskan aib pada wajah bangsa sendiri.

Orang Melayu adalah bangsa yang sentiasa membela dan menutut kebenaran dan keadilan, tidak pernah ia dikenali dalam sejarah sebagai tamaddun yang korap dan pincang.

Hari ini kita telah dikejutkan dari tidur yang lena dan sudah mula sedar akan kesilapan kita selama ini.

Lantas langkah perjuangan kita perlulah diperbetulkan. Tiada lagi membuta dan terpedaya memilih pemimpin yang mengkhianati amanah bangsa dan agama.

Persoalan apa lagi orang Melayu mahu akan terjawab apabila orang Melayu sendiri semuanya bersatu hati dan tekad bangkit membuat perubahan politik yang bijak dan berani. Orang-orang Melayu dalam Umno, dalam NGO, mereka yang tidak berparti, semuanya perlulah bersama yakin dan seiring mengambil Islam sebagai penyelesaian.

Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam menekuni kemelut politik Malaysia hari ini ada menegaskan:

“PAS mahu tunaikan amanah ini dengan betul mengikut perintah Islam. Terpulang kepada rakyat nak pilih siapa. Kalau rakyat rasa amanah sudah hilang dengan pemerintahan yang ada, pilih PAS.”

Apa lagi orang Melayu mahu, jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan Melayu yang berkuasa hari ini, maka ubahlah kepada yang lain bila tiba masanya nanti. Islam menjanjikan rahmat dan kebaikan buat kita semua, bukan hanya orang-orang Melayu malah seluruh warga Malaysia dan seluruh dunia.

No comments: