Monday, August 10, 2015

Adakah perairan negara kita selamat?



Ini bukan lagi isu politik. Ini isu keselamatan dan pertahanan negara. Ianya wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak dan diberikan keutamaan mengatasi lain-lain hal.

Tiada makna hidup sekiranya kedaulatan negara mudah dicerobohi dan dinodai.

Insiden terbaru rompakkan sebuah kapal tangki MT Joaquim di perairan Port Dickson oleh sekumpulan lanun sangat membimbangkan. Bagaimana sebuah kapal tangki dengan 12 anak kapal yang membawa 3500 tan muatan minyak mentah, boleh dirompak di perairan kita?

Inisden terbaru ini bukannya belaku di lautan luas Sabah atau Sarawak tetapi di selat yang sempit dan sibuk iaitu Selat Melaka!

Antara Januari ke Jun tahun ini sahaja 5 insiden melibatkan lanun-lanun yang merompak kapal-kapal tangki telah berlaku di perairan Malaysia dari Tanjung Sirik, Sarawak hinggalah ke Port Dickson.

Ini tidak termasuk insiden pencerobohan pengganas asing yang menculik anak-anak tempatan dan warga asing yang berlaku di perairan Sabah. Dan yang paling besar serangan dan pencerobahan yang melibatkan 235 orang para pengganas Suluk yang kononnya mahu menuntut Sabah seperti yang berlaku di Kg Tanduo di Lahad Datu 2013 lalu.

Sesungguhnya perairan negara iaitu meliputi 603,210 kilometer persegi adalah sangat luas. Adakah kita memiliki keupayaan untuk mengawal perairan yang luas itu?

Apakah kehadiran Tentera Laut Di Raja, APMM, Polis Marin tidak cukup untuk memantau dan mengawal perairan kita itu? Adakah kita memiliki peralatan dan kemahiran yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja ini?

Kita perlu jujur dan berterus-terang dalam hal ini.

Dari pengalaman-pengalaman di atas kita kelihatan seakan tidak mampu mengawal dan memantau keluar masuk dan keselamatan di perairan kita. Ia barangkali dilakukan tetapi kita seakan tidak memiliki kekuatan yang cukup.

Jika ini benar dan kelihatan seakan benar maka kedaulatan negara kita terancam!

Tiada siapa diantara kita yang mahu negara kita berkekalan begini, iaitu longgar dan tiada kawalan dari ancaman luar. Bagi kita berdasarkan insiden-insiden di atas seolah perairan negara kita ini mudah sahaja dilolosi, bukan hanya oleh penyeludup, bukan hanya oleh pendatang asing yang ingin “mencari makan” di sini, malahan lanun dan pengganas pun boleh bermaharajalela.

Tidak cukup sekadar mengusul diadakan kerjasama dengan negara-negara jiran. Kita sendiri perlu ada kekuatan tersendiri.

Kita tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Rakyat Malaysia sedar bahawa anggota keselamatan dan agensi penguatkuasa kita tekun dan berdedikasi menjalankan tugas dan amanah masing-masing. Masalahnya mungkin kekurangan tenaga, atau peralatan seperti radar, pesawat udara, kapal, bot dan seumpamanya.

Dari kita megah dengan projek-projek mewah yang tidak memberi manfaat umum serta pelaburan dana awam yang hanya membawa kerugian, lebih baik kita berikan keutamaan dan tumpuan kepada pertahanan dan keselamatan negara, kerana ianyalah nanti yang menjamin hidup dan masa depan kita dan anak cucu kita dalam negara bertuah ini.

Masalah ini adalah masalah yang serius. Mohon ia diberikan perhatian oleh semua pihak.

No comments: