Disaat negara menyaksikan buat pertama kalinya lahir beruang
panda di bumi bertuah ini, Umno dan BN yang gagah dan perkasa goyang dan
semakin celaru.
Panda bukannya sebahagian dari mergastua di tanahair kita.
Ia berasal dari Selatan Negara Cina dengan habitat asalnya di kawasan
pergunungan di sana. Sungguh ajaib apabila makhluk yang dari negara asing dan
dengan persekitaran asing buatnya, boleh dengan izin Allah melahirkan anak.
Kelahiran panda ini dari pasangan yang dipinjamkan ke
Malaysia oleh Cina sudah pasti akan menjadi tumpuan dan perhatian dunia selepas
ini. Kecekapan pengurusan pihak Zoo Negara dan para penjaga yang bertanggungjawab
kena sedang diuji kerana bukan mudah bagi seekor bayi panda untuk berjaya hidup
di enviromen yang asing.
Umno dan BN pula parti yang telah lama bertapak. Umno
sekurang-kurangnya telah lahir sejak sebelum negara Merdeka lagi dan sejak
Pilihanraya Umum pertama 1959 sehinggalah kini Umno kekal berkuasa di peringkat
Persekutuan dengan memegang tampuk jawatan tertinggi dalam negara iaitu Perdana
Menteri.
Tapi hari ini juga sebagaimana panda tadi kita melihat Umno
dan BN yang gagah perkasa itu buat pertama kali goyang dan gegar di bumi
bertuah ini. Ia bukannya angkara pihak lawan tetapi hari ini mereka goyang dan
gegar angkara kerja tangan dan percaturan mereka sendiri.
Krisis keyakinan terhadap PM Najib Tun Razak yang juga
Presiden Umno dan pengerusi BN semakin memuncak. Bukan rakyat jelata sahaja
yang kesal, sesal dan mula hilang keperayaan terhadap Najib, rupa-rupanya sesama
pimpinan dan anggota Umno juga hari ini kelihatan bercakaran dan menyerang sesama
mereka.
Tak pernah kita bayang untuk melihat Umno dan BN dalam
keadaan sebegini kacau sehingga TPM yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan baru-baru
ini bahawa terdapat komplot yang turut didalangi pimpinan Umno untuk
menggulingkan kerajaan.
Hari ini dalam akhbar tempatan sebagaimana diraikan
kelahiran panda tadi, turut dimuatkan gambar pihak “backbenchers” atau
penyokong kerajaan di Dewan Rakyat yang masing-masing cemas mahu membersihkan
diri dengan mengisytiharkan sokongan kepada PM dan tidak terlibat dengan
komplot guling berkenaan.
Bagaimana episod komplot ini akan berakhir tidaklah dapat
dibayangkan lagi cumanya “survival” Umno dan BN sebagaimana anak panda tadi yang
baru lahir tadi kini benar-benar terletak d tangan pemimpinnya. Presiden dan
Timbalan Presiden Umno sudah dingin dan bercakaran sesama sendiri, bolehkah
Umno BN terus kekal bernyawa sebagaimana anak panda tadi?
Bayi panda ini sekurang-kurangnya dirawat dan diselia oleh
pakar-pakar dengan bantuan Negeri Cina, tetapi bagi Umno yang merawatnya itulah
juga kepala yang sedang bertelagah.
Mungkin bayi panda tadi punya harapan untuk hidup di bumi
asing buat ibu-bapanya itu, tetapi Umno mungkin nasibnya tidak sebaik bayi panda
tadi. Komplot guling kuasa belum selesai, krisi keyakinan terhadap Najib tidak kelihatan mahu pulih, rakyat semakin panas dan gelisah.
Jadi bagaimana ya Umno?
No comments:
Post a Comment