Pilihanraya Umum 1999 adalah merupakan satu pilihanraya
“malapetaka” buat Umno yang kalau boleh
mahu sahaja mereka luput dan lupakan dari lipatan sejarah.
Dalam PRU yang ke 10 itu, Umno dan Barisan Nasional di bawah
kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad telah kehilangan banyak sokongan dan undi
dari orang-orang Melayu sehingga tewas sekali lagi di Negeri Kelantan dan buat
pertama kali dalam 40 tahun tewas pula di Negeri Terengganu.
PAS menang di 27 kerusi Parlimen dan berjaya menguasai 98
kerusi DUN iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perlis, Pulau Pinang,
Perak dan Selangor. Empat Menteri Pusat dari Umno telah tewas selain seorang
Menteri Besar iaitu di Terengganu.
Faktor utama kekalahan Umno dan BN itu banyak dikaitkan dengan
isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Pemecatan beliau dan kemudiannya kezaliman yang
dikenakan ke atasnya termasuklah di pukul semasa dalam tahanan telah
membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Umno dan BN khususnya dikalangan
pengundi-pengundi Melayu.
Walaubagaimanapun satu faktor yang besar yang khabarnya
disentuh oleh seorang pemimpin Umno dalam mesyuarat tertingginya selepas PRU
itu adalah faktor kebencian rakyat terhadap PM ketika itu Tun Dr Mahathir.
Menurut sumber, pemimpin berkenaan yang tewas di Kelantan telah mengaitkan
kebencian rakyat terhadap Tun Dr Mahathir sebagai faktor terbesar larinya
sokongan rakyat khasnya orang-orang Melayu terhadap Umno dan BN.
Khabarnya malah kanak-kanak pun seakan malu membawa botol air
mineral berlogokan “dacing” ke sekolah kerana tidak mahu dimarahi atau diejek
oleh kawan-kawan lain.
Ringkasnya rasuah, kronisma dan nepotisma yang dipalitkan
pada PM ketika itu selain penganiayaan dan kezaliman terhadap Anwar Ibrahim
telah membangkitkan kemarahan dan kebenciaan rakyat sehingga kalangan pimpinan
Umno pun ada yang telah mula enggan mempertahankan Tun Dr Mahathir lagi.
Akhirnya samada dirancang ataupun tidak beliau telah
mengangkat kaki keluar dan melepaskan jawatan berkenaan kepada Tun Abdullah
Badawi pada tahun 2003.
Itu kisah 12 tahun yang lalu.
Anehnya hari ini kita dapat mendengar kenyataan dari PM Dato
Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa sejak meletusnya isu skandal 1MDB dan wang
“derma” RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya, sudah ada pimpinan Umno
yang gagal dan malah enggan mempertahankannya.
Krisis keyakinan yang melanda Tun Dr Mahathir 12 tahun lalu
rupanya hari ini hinggap ke atas kepala bahu Najib pula.
Menurut Najib sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar
tempatan, bahawa banyak bahagian-bahagian Umno telah memperolehi manfaat dari
dana yang telah diagih-agihkannya di bawah kepimpinan beliau hasil dari “derma”
berbilion ringgit itu.
Tambahnya lagi banyak bantuan telah disalurkan kepada
bahagian-bahagian Umno untuk memperbaiki pengurusan dan pentadbiran bahagian
mereka masing-masing selain membantu ahli-ahli. Namun walaupun ramai yang telah
merasai bantuannya itu, Najib mendakwa masih ada yang memilih untuk
menyerangnya.
Sepatutnya kata Najib lagi beliau dibela dan dipertahankan
bukannya diserang seperti apa yang berlaku pada hari ini.
Jika begitulah hakikatnya maka tidak mustahil apa yang
melanda dan menganggu Tun Dr Mahathir satu ketika dahulu hari ini akan melanda
dan ditanggung oleh Najib pula.
Berikutan langkah drastiknya memecat Timbalan Perdana
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kanan Datuk Shafie Apdal,
Umno sedang bercakaran secara terbuka. Tindakan Najib itu tidak dapat diterima
kerana ramai yang menganggap ianya semata-mata kerana mahu menutup mulut
Muhyiddin dan Shafie dari mendedahkan perkara sebenar khasnya yang berkaitan
skandal 1MDB itu.
Dari hari ke hari tahap ketegangan dalam Umno semakin memuncak.
Desakkan dan tekanan terhadap Presidennya semakin lantang kedengaran.
Pihak-pihak tertentu dalam Umno sendiri sudah melahirkan hilang keyakinan
terhadap Presiden mereka sendiri.
Apabila Najib sendiri mengakui secara terbuka bahawa beliau
tidak menerima sokongan sepenuhnya dari rakan-rakan pimpinan Umno yang lain
ternyata Najib dan Umno sedang berhadapan dengan krisis yang kronik.
Dan sekiranya Najib gagal dalam tempuh beberapa bulan ini
untuk meredakan kemelut dalaman Umno khususnya yang melibatkan dirinya sendir
tidak mustahil Najib juga akan mencatat prestasi buruk dan mungkin lebih buruk
dari Dr Mahathir kiranya Pilihanraya Umum dipanggil diwaktu terdekat ini.
Mungkinkah dengan kecelaruan yang melibatkan Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara atau PAC, pihak SPRM, pihak polis, akan mencetuskan lagi
hilangnya keyakinan pimpinan Umno apalagi rakyat sendiri terhadap kepimpinan
dan pentadbiran Najib selaku PM.
Jika dahulu akibat hilangnya keyakinan pimpinan Umno dan
rakyat terhadap Dr Mahathir maka para pengundi Melayu telah mengalihkan
sokongan dan undi mereka dari Umno ke PAS sehingga tersungkur mereka di
Kelantan dan Trengganu. Tidak mustahil kali ini dengan tekanan yang lebih padu
bukan hanya Kelantan malah Terengganu dan kemungkinan beberapa negeri lain juga
akan turut beralih tangan?
Najib mungkin kata tidak, tetapi itulah pengalaman Dr
Mahathir dan itulah kebimbangan yang disuarakan oleh Muhyidin sehingga beliau
dipecat dari jawatan TPM nya.
No comments:
Post a Comment