Tuesday, August 11, 2015

Berpindah keluarlah golongan kecewa

Golongan kecewa dalam PAS, yang tewas dalam pemilihan Muktamar PAS ke 61 baru-baru ini sedang ghairah mengaturkan perpindahan anggota mereka dari PAS ke bahtera baru mereka yang ditaja terang—terangan oleh DAP iaitu Gerakan Harapan Baru atau GHB. 

Samada GHB ini nanti satu parti dengan nama yang sama atau satu parti dengan nama lain tidaklah diketahui. Yang pasti mereka sedang menyusun agar gerombolan mereka itu nanti dengan nama wadah baru akan bertindak sebagai alternatif kepada PAS, sekurang-kurangnya dalam menjalinkan hubungan dengan DAP dan berkemungkinan juga PKR.

Biar PAS dipinggirkan, biar ahli-ahli PAS keluar beramai-ramai. Ringkasnya biar PAS karam dan berkubur. Biar nanti mereka yang terbit sebagai parti “Islam” baru yang progresif, liberal, terbuka, menggantikan PAS yang sudah tidak relevan. Itulah cita-cita mereka.

Hari ini gerakan sedang diatur untuk perisytiharan berperingkat-peringkat keluarnya pengikut-pengikut mereka dari PAS untuk bersama mereka, pemuka-pemuka kecewa yang memimpin GHB itu.

Hari ini sudah dilaporkan contohnya, bekas pemimpin Pemuda PAS Melaka, Jauhar Mohd Dawi, mengisytiharkan keluar PAS untuk bersama GBH. Dan sebentar tadi dilaporkan pula 13 AJK Pemuda Kawasan Shah Alam diketuai Naib Ketuanya Abbas Salimmi Adzmi turut keluar PAS.

Mereka telah susun majlis-majlis pengisytiharan ini supaya tercetusnya gelombang yang kononnya boleh membuktikan kepada taukeh-taukeh mereka dalam DAP bahawa mereka punya sokongan kuat dalam PAS. PAS akan hancur apabila mereka “hijack” semua kekuatan ahlinya.

Taukeh-taukeh DAP yang sebelum ini telah tertipu apabila golongan ini gagal menguasai PAS melalui muktamarnya yang lalu, kini sedang memerhati dengan penuh tekun. Jangan tertipu lagi kali ini. 

Bagi mereka parti “Islam” baru ini penting. Masyarakat Cina yang mereka dakwa mereka kuasai lebih 80 peratus itu mahu melihat satu parti “Islam” yang sederhana.

Sederhana dalam erti kata, boleh mencairkan diri mengikut kehendak dan kemahuan DAP yang kononnya menguasai secara mutlak kunci kuasa politik masyarakat Cina di Malaysia itu.

PAS degil. PAS tidak boleh bertolak ansur dengan DAP. PAS bertegas mahu perlaksanaan hukum dan peraturan Islam tanpa kompromi. DAP tidak boleh terima sikap seumpama ini kerana bagi DAP, konon-kononnya, kemenangan sebahagian besar calon PAS pun adalah atas bantuan undi pengundi Cina yang ia kuasai. Oleh itu dalam perkara-perkara berhubung Islam, sungguhpun PAS parti Islam, ia mesti ikut kehendak dan kemahuan DAP, jika tidak undi Cina yang DAP kuasai itu akan lari.  

Kerana itu apabila DAP beritahu PAS untuk gugurkan tuntutan Hudud, tapi PAS bertegas, maka DAP putuskan hubungan dengan PAS.

Apabila tidak boleh menguasai PAS dari dalamlah maka Parti “Islam” baru ini telah “dilahirkan” oleh Lim Kit Siang dengan bantuan mereka yang kecewa dalam PAS. GHB yang akan menjadi parti Islam baru itu nanti mestilah sentiasa mengikuti agenda dan rencana politik Kit Siang, mentor dan penasihat agungnya.

Kelantan yang “Membangun Bersama Islam” pun mahu Kit Siang kuasai dan nanti menjadi Kelantan yang “Membangun Bersama Islam (ikut tafsiran Kit Siang)”.

Jadi esok lusa, ramai lagi dijangka akan mengikuti jejak mereka yang telah disusun oleh pimpinan kecewa PAS itu. Dari negeri ke negeri, mereka bekerja keras agar tampak PAS benar-benar goyang dan Kit Siang boleh nyenyak tidur.

Di Selangor sahaja sebahagian besar pimpinan kawasan, pemuda dan muslimat khasnya dari Kelana Jaya, Shah Alam dan Kota Raja akan terbit mengalu-alukan parti jelmaan Kit Siang ini. Cumanya yang jelas pimpinan peringkat kawasan yang sedih dengan kekecewaan pemimpin-pemimpin mereka yang tewas sahaja yang diyakini akan bernafsu keluar. Ahli-ahli lain yang telah menjalani proses tarbiyah dalam parti bertahun-tahun lamanya, yang kesedaran dan semangat Islamnya kental dan kuat, tidak akan berganjak, sekali-kali meninggalkan perjuangan Islam yang mereka kasihi.

Keluarlah tiga empat kerat, tetapi selebihnya akan tinggal dan akan segera mengisi saf yang kosong dan mereka ini dijangka akan isitiqamah meneruskan perjuangan ini.

Dari Selangor ke negeri-negeri lain, memang ia telah direncanakan. Banyak atau sedikit sahaja yang keluar sama-samalah kita saksikan. Tapi telah ada bukti contohnya di Puchong dimana yang didakwa keluar itu buaknnya ahli PAS tetapi sebaliknya PKR. Begitulah tunggang-langgang yang dijangkakan berlaku. Apa pun bagi PAS, proses penyaringan ini akan merupakan satu “exercise” yang sangat bermakna buat PAS.

Selepas ini PAS bersih, tiada lagi Jemaah dalam Jemaah, tiada lagi mereka yang tidak “clear” agenda dan keutamaannya. Yang keluar berpeluk cium dengan DAP dan Kit Siang nanti adalah mereka yang selama ini merasakan bahtera besar perjuangan PAS ini terlalu perlahan, tidak ikut kehendak dan selera mereka. Mereka inilah yang bakal gugur, dan dialu-alukan.

Kepada yang terbit keluar, janganlah kecewakan Kit Siang sebab sudah pasti beliau telah banyak menghabiskan masa dan tenaga merancang parti “Islam” baru ini.

Jangan risau tentang kami kerana kami mahu mati dalam PAS. PAS akan bersedia mempertahankan kedudukannya. Kerusi-kerusi PAS yang kamu “curi” akan kami tuntut sudah pasti dalam pilihanraya umum akan datang. Selamat jalan, semoga anda semua tidak akan kecewa lagi.





No comments: