Sunday, August 23, 2015

Islam dan cita-cita kemerdekaan PAS

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2074 Edisi Isnin muka F15

Tanggal 31 Ogos ini negara sekali lagi akan meraikan ulangtahun kemerdekaannya kali ini yang ke 58. PAS sendiri tidak ketinggalan mengajurkan program dan acara untuk memperingati hari keramat dimana negara tercinta memperolehi kemerdekaannya dari tangan penjajah British.
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia umpamanya menganjurkan program “Selamatkan Malaysia” antara 15 Ogos sehingga 20 September, iaitu program wacana kemerdekaan negara yang akan dianjurkan di satu ratus lokasi seluruh negara yang melibatkan 1,000 orang panelis dengan sasaran menarik sekurang-kurangnya 10,000 orang anak muda.

Sesungguhnya PAS tidak boleh diasingkan dari perjuangan menuntut kemerdekaan negara sungguhpun rekod rasmi sekadar mencatat dan membesarkan sumbangan Umno semata-mata.

PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 iaitu diketika anak-anak tempatan sedang hangat membicara dan memperkatakan darihal tuntutan kemerdekaan. Tuntutan kemerdekaan mula menjadi hangat apabila India diberikan kemerdekaannya oleh British pada tahun 1947.

Ketika Umno khayal dengan laungan dan slogan “Hidup Melayunya” , PAS sudah membawa slogan Merdeka seala tahun 1953. Melalui Mesyuarat Agunya tahun itu PAS telah memasukkan “Merdeka” sebagai cogan kata PAS. Dan pada tahun 1954 pindaan dibuat terhadap Perlembagaan PAS dengan meletakkan matlamat PAS sebagai:

“…..menjalankan ikhtiar dan langkah dengan tujuan menegakkan kemerdekaan negara dan umat Islam” di samping “memperjuangkan cita-cita Islam di dalam masyarakat dan urusan pemerintahan negara”.

Ringkasnya selain Umno, PAS juga aktif terlibat dalam tuntutan dan perjuangan menuntut kemerdekaan negara, kerana Malaya ketika itu memperolehi kemerdekaannya melalui rundingan dan bukannya kekerasan sebagaimana negara-negara lain. Tiada yang mengangkat senjata menuntut kemerdekaan ketika itu selain Parti Kominis Malaya atau PKM yang diharamkan.

Rundingan disini termasuklah tuntutan dan tekanan politik dari parti-parti yang sah dan berdaftar. PAS lah satu-satunya parti selain Umno, MCA dan MIC yang wujud sebelum tanggal Merdeka, jauh sebelum lahirnya parti-parti lain apalagi DAP dan PKR.

Ketika Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid hakim mahkamah rayuan Britain ditubuhkan pada tahun 1956 dahulu, PAS sebagai sebuah parti Islam berdaftar telah mengemukakan tuntutan rayuannya dalam bentuk memorandum.

Suruhanjaya Reid ketika itu ditugaskan oleh kerajaan penjajah British untuk mengemukakan deraf Perlembagaan Persekutuan Malaya yang merdeka.

Tuntutan lantang untuk meletakkan Islam sebagai agama resmi Persekutuan ketika itu antaranya datang dan berasal dari PAS. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dalam hubungan ini pernah dirakamkan sebagai berkata:

“… belumlah dihitungkan telah merdeka dengan sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada seseorang, masyarakat dan negara barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS”.

Demikianlah kesungguhan PAS sejak dari sebelum Merdeka untuk membawa dan menjulang tuntutan memartabatkan Islam di tanah air. Malah sehingga ini kemerdekaan sebenar yang dimaksudkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin itu masih belum dicapai.

Hari ini sungguhpun kekuasaan dan pemerintahan negara terletak ditangan anak-anak bangsa, namun tanggungjawab memastikan yang Islam itu diterap dan dilaksanaklan sebagai Ad Deen, suatu sistem kehidupan yang mengurus dan mentadbira masyarakat dan negara masih belum tercapai.

Setelah 58 tahun Merdeka PAS lah yang berterusan membawa obor perjuangan Islam ini. Hasil sumbangan PAS Kelantan dan Terengganu telah pun meluluskan sistem pentadbiran jenayah Islamnya masing-masing, walaupun penguatkuasaannya masih ditunggu-tunggu.

Diambang perayaan ulangtahun kemerdekaan ini juga, terngiang-ngiang di telinga kita pantuan keramat yang pernah diucapkan oleh Almarhum Dr Burhanuddin dahulu:

“Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka”

Kota Melaka yang didirkan penjajah Portugis dan diperkukuhkan oleh penjajah Belanda itu merupakan simbol kuasa penjajah. Robohnya kuasa ini dari pantun Almarhum itu bermaksud bangkitlah sebuah negara Merdeka dari kalangan anak-anak bangsa. Dan mereka yang Merdeka perlu berpadu, bersatu hati dan tenaga dengan sasaran membela dan mempertahankan keadilan pusaka.

Apakah keadilan pusaka itu? Sudah pastilah ia merujuk kepada hukum dan peraturan yang dimaksudkan oleh Almarhum di atas.

58 tahun kita Merdeka, disaat PAS diuji dengan pengkhianatan ahli-ahlinya, PAS perlu terus fokus dan teguh. Anak-anak bangsa sedang melalui tempuh pancaroba yang sangat menyiksa. Keadaan hidup yang menekan dan masa depan yang kelam menuntut PAS untuk bersungguh menawarkan diri sebagai alternatif kepimpinan.

Kepimpinan negara yang sepatutnya semakin dewasa dengan kematangan usia negara ini malangnya kelihatan terus dilanda penyakit berupa krisis keyakinan yang semakin parah. Umno yang mengepalai bahtera merdeka ini sejak 58 tahun dahulu kini semakin tenat keadaannya.

Pemimpin yang mengepalai bahtera selaku nakhoda kelihatan sudah tidak lagi dihormati anak-anak kapalnya. Dari hari ke hari serangan demi serangan dilancarkan bukannya oleh orang bawahan tetapi bermula dari timbalan nakhoda sendiri.

Lantaran itu Islam sebagai formula penyelesaian terhadap segala kekusutan dan kekalutan yang berlaku dalam masyarakat dan negara perlulah bijak dilontar dan di bawa kehadapan. PAS bertanggungjawab untuk memikul amanah ini.

Biarlah pada tahun ke 58 ini mata dan hati rakyat dibuka untuk mahu menerima Islam sepenuhnya. Inilah cabaran terbesar buat PAS dewasa ini. Kemerdekaan ini telah sama-sama PAS perjuangkan lebih 58 tahun dahulu dan ia rupa-rupanya belum berakhir. 

Dari segi fizikal memang negara telah merdeka dan penjajah telah lama pulang, tetapi dari segi mental dan rohani kemerdekaan ini masih belum sempurna selagi Islam tidak duduk ditempatnya yang tertinggi.

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 58. Semoga All;ah swt melindungi dan menyelamatkan Malaysia.

No comments: