Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2073 Edisi Jumaat muka F8
Sengketa di dalam Umno kiranya kini sudah menjadi satu ancaman sehingga ada usaha mahu mengguling kerajaan mengikut pintu belakang. Itu yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan dua Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian di Lembah Kelang baru-baru ini.
Sengketa di dalam Umno kiranya kini sudah menjadi satu ancaman sehingga ada usaha mahu mengguling kerajaan mengikut pintu belakang. Itu yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan dua Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian di Lembah Kelang baru-baru ini.
Asalanya ia bermula dengan pemecatan Timbalan Presiden Umno,
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Shafiee
Apdal, Naib Presiden Umno sebagai Menteri. Mereka dikatakan tidak boleh bekerja
sebagai satu pasukan di dalam kabinet Perdana Menteri.
Pemecatan berkenaan tidak dapat diterima oleh sesetengah
pihak khasnya dikalangan Umno yang menganggap tindakan berkenaan diambil
semata-mata kerana Muhyiddin berani menegur beberapa salah-laku yang dilihatnya
sedang berlaku dalam negara.
Isu pengurusan dan pelaburan 1MDB yang kerugiannya mencecah
RM50 bilion sebagaimana dinyatakan oleh Muhyiddin selain isu penyaluran dana ke
akaun peribadi Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, sebanyak RM2.6 bilion,
isu kejatuhan matawang ringgit, dan kos hidup rakyat yang meningkat, kesemuanya
mengelisah dan meresahkan rakyat, dan ianya menjadi kemarahan besar dalam Umno
hari ini sehingga mencetuskan krisis keyakinan terhadap Presiden Umno yang juga
Perdana Menteri.
Pimpinan dan ahli-ahli Umno panas merasakan bahawa rakyat sedang
menuding jari kearah mereka angkara segala malapetaka yang melanda negara ini
hasil kepimpinan Najib.
Pada hari yang sama Zahid merasmikan dua persidangan Umno di
Lembah Kelang itu, Pemuda Umno bahagian Tampin pula meluluskan resolusi meminta
Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Dua hari
sebelum itu Pemuda Umno bahagian Semporna pula di dalam persidangan mereka
meluluskan resolusi meminta agar Najib bercuti sebagai PM.
Dan dengan pendedahan terbaru Zahid ini bahawa terdapat satu
komplot untuk menggulingkan kerajaan, sekaligus akan meletakkan sengketa atau
krisis dalaman Umno ini sebagai satu ancaman buat negara.
Menurut Zahid seorang tokoh Umno dan juga pemimpin BN sedang
menggerakkan usaha untuk mendapatkan ahli-ahli parlimen BN dan pembangkang
menandatangani akuan bersumpah yang terdiri dari memorandum tujuh muka surat
bagi membuktikan yang mereka punya majoriti dalam Dewan Rakyat dan oleh itu
kerajaan boleh dijatuhkan “melalui pintu belakang”.
Disaat artikel ini ditulis Zahid memaklumkan di Tampin
bahawa indidividu berkenaan khabarnya akan bertemu Perdana Menteri setelah
menyedari kesilapannya, dan setelah tindak-tanduknya didedahkan dan mendapat
liputan media perdana.
Raja Petra Kamaruddin di dalam lamannya Malaysia Today pula
mendedahkan secara terperinci “modus operandi” gerakan ini yang menurutnya
telah mencapat kerjasama seorang pemimpin muda Istana yang walaubagaimanapun telah
ditolak oleh Istana Negara.
Saya tidak pasti kesahihan maklumat Zahid sebagaimana saya
juga tidak pasti akan kebenaran pendedahan Raja Petra itu, apapun sekiranya
Menteri Dalam Negeri yang mendedahkan komplot ini sudah pasti ianya punya asas.
Apa pun isunya sesungguhnya kemarahan dan kegelisahan rakyat
khasnya terhadap PM dan Presiden Umno adalah berasas. Skandal 1MDB, terus
menghantui hidup rakyat, sebagaimana bebanan kos hidup yang menekan, nilai
matawang ringgit yang menjunam, kesemua ini adalah masalah dan realiti sebenar
yang dihadapi dan ditanggung oleh rakyat kebanyakkan.
Lantaran itu krisis keyakinan terhadap Najib khasnya dalam Umno sendiri,
tidak boleh ditolak ketepi atau dipadamkan begitu sahaja.
Politik merampas kuasa ikut pintu belakang ini mengingkatkan
kita kembali pada insiden 2009 di Perak. Merampas kuasa melalui pintu belakang ini
memang tidak digemari tidak kiralah samada ia dilakukan oleh BN, PAS, DAP atau
PKR atau sesiapa sahaja. Dan dalam hal ini saya bersetuju dengan Zahid bahawa
semua pihak seharusnya menunggu dan melakukan perubahan semasa tempoh
Pilihanraya Umum dan bukannya melalui pintu belakang.
Sebagaimana PAS dan rakan-rakannya tidak dapat menerima
peralihan kuasa di Perak pada tahun 2009 yang kita anggap sebagai rampasan
kuasa ikut pintu belakang, maka demikianlah Zahid tidak dapat menerima komplot
yang didedahkannya itu.
Malah itulah semangat yang pernah diutarakan oleh Presiden
PAS sebelum ini jauh sebelum komplot yang didedahkan oleh Zahid ini.
Membawa undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat terhadap
Perdana Menteri, oleh mana-mana pihak pun adalah merupakan satu amalan
demokrasi dan ia tidak boleh dinafikan. Dalam kes BN hari ini mereka mempunyai
134 kerusi, pembangkang PAS, PKR dan DAP punya 87 kerusi dan Bebas 1.
Kiranya undi tidak percaya untuk Perdana Menteri mahu
berjaya di Dewan Rakyat ia perlukan 112 undi sekurang-kurangnya dari 222 ahli
yang mewakili Dewan Rakyat. Bermakna kiranya benar semua wakil pembangkang
seramai 87 orang termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim yang Bebas bersetuju dengan
gerakan ini, ia sudah ada 88 undi terkumpul. Ini bermakna sekurang-kurangnya 24
undi lagi diperlukan dari wakil-wakli BN bagi menggenapkan sekurang-kurangnya
112 undi.
Dan Najib akan dikira telah hilang kepercayaan di Dewan
Rakyat lalu Yang Dipertuan Agong bolehlah dimaklumkan dan barangkali melalui
surat-surat perakuan sumpah sebanyak 112 tadi, jika Tuanku yakin, bolehlah
melantik dikalangan 112 tadi untuk menjadi Perdana Menteri yang baru.
Tetapi sudah pastilah realitinya tidak semudah itu.
PAS sendiri belum tentu mahu bersama jika benar komplot ini.
Presiden PAS sebelum ini pun ada menegaskan bahawa biarkan Najib terus
berkhidmat sehingga ke akhir penggalnya, sebarang perubahan diwaktu ini melalui
pintu belakang tidak akan menguntungkan parti malah hanya akan mencetuskan
suasana yang tidak senang dikalangan rakyat. Kita pernah ada pengalaman di
Perak.
Biarlah perubahan kuasa berlaku melalui proses pilihanraya
ketika mandat diserahkan ke tangan rakyat.
Dan seterusnya berapa keratkah dikalangan 24 undi yang
diharapkan dari BN itu yang akan benar-benar berani tampil kehadapan bersama
komplot ini?
Projek 16 September 2008 yang diusahakan oleh Dato Seri
Anwar Ibrahim masih segar dalam ingatan kita. Wakil-wakil BN yang asalnya telah
berjanji akan menyeberang dewan untuk bersama kita membentuk kerajaan baru di
Putrajaya melalui operasi yang sama, turut kecut perut dan berpatah balik
disaat akhir.
Kerana itu biarlah Zahid dan Umno bertindak terhadap
pembelot dari kalangan mereka yang didakwa itu. Biarlah Umno terus bercakaran.
Bagi kita, krisis keyakinan yang dicetuskan oleh Najib yang
melahirkan pelbagai skandal tadi biarlah terus panas dan kita bertanggungjawab
untuk memastikan ia nanti marak dan menjulang apabila tiba Pilihanraya ke 14
nanti. Kita mahu perubahan kuasa dari yang pincang kepada yang lebih baik dan
menyakinkan serta menjanjikan masa depan yang baik buat rakyat dari dunia
hinggalah ke akhirat. Kerana itu kita akan terus berkerja dan tidak sekali-kali
akan menutut kuasa dengan cara memintas jalan melalui pintu belakang.
No comments:
Post a Comment