Sindrom bisu atau tidak bersuara selalunya berlaku dalam
kerajaan atau pemerintahan diktator, rakyat atau penyokong takut berkata atau
bersuara walau dalam perkara yang benar kerana bimbangkan nyawa dan keselamatan
mereka.
Itulah yang berlaku dizaman Hitler,Mussolini, Castro, Mao,
Lenin, Khmer Rouge dan semasa regim Gadafi, Saddam, Marcos dan sekarang Kim
Jong Un di Korea Utara.
Kerana itu ramai yang terpesona apabila mendapat tahu bahawa
hari ini sindrom bisu yang sama rupanya menyerang parti terbesar dalam negara
iaitu Umno. Ini bukan tuduhan pembangkang tetapi kenyataan yang dikeluarkan
oleh Timbalan Presidennya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam akhbar Sinar Harian hari ini tajuk muka enamnya berbunyi:
“Perlu berani bersuara”
Dalam The Sunday Star pula muka 5:
“Muhyiddin: Umno must speak up”
Kedua-dua akhbar melaporkan kenyataan Timbalan Presiden Umno
itu ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Umno bahagian Pagoh, Johor.
Muhyiddin dilaporkan menyeru ahli-ahli Umno agar lebih
berani bersuara menegakkan kebenaran untuk memulihkan politik dan ekonomi
negara yang suram bagi mengelakkan parti berkenaan dari terkubur.
Mungkin ahli-ahli Umno tidaklah terancam nyawa dan
keselamatan mereka jika bersuara sebagaimana berlaku dalam regim diktator yang
disebutkan di atas, tetapi apa yang berlaku terhadap Muhyiddin adalah bukti
barangkali yang mendorong sindrom bisu itu.
Tak berapa hari selepas menegur cara Presidennya
mengendalikan skandal 1MDB dan menyatakan bahawa jika Umno berterusan begini ia
mungkin kalah dalam PRU akan datang, terus sahaja Muhyiddin telah dipecat dari
jawatan TPM.
Hilang jawatan dalam dunia hari ini mungkin boleh
dinisbahkan sama dengan terancam nyawa dan keselamatan, maklumlah pangkat,
jawatan dan kedudukan adalah segala-galanya hari ini. Itu belum lagi kontrak
dan bantuan.
Kerana itu sindrom bisu menular dalam Umno.
Beranikah orang-orang Umno bangkit dari lena bisu mereka
yang berpanjangan dan menegur segala kepincangan yang sedang berlaku terutama
yang di bawah tangan Presiden mereka. Muhyiddin tampak berani tetapi terus
dicantas, hilang jawatan TPM dan tidak mustahil digugurkan pula dari jawatan
Timbalan Presiden tidak berapa lama lagi.
Mahukah yang lain ikut serta?
Kalau Umno sudah begitu, tiada “platform” dan ruang untuk
bersuara, maka wajarlah orang-orang Melayu dalam Umno bertindak mencari wadah
yang baru yang boleh memberikan kebebasan dan membawa mereka selamat dunia dan
akhirat.
Pergantungan hidup bukanlah kepada manusia, bukan pada
Putrajaya bukan juga pada jawatan, kedudukan apalagi kontrak dan bantuan. Pergantungan
hidup yang hakiki perlulah pada Yang Maha Esa dan Maha Kuasa yakni Allah swt.
Bersatulah kita semua di bawah panji-panji Islam demi
menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara. Berani kerana benar demi Allah
swt.
No comments:
Post a Comment