Thursday, August 06, 2015

Sama tetapi adakah ia serupa?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2069 Edisi Jumaat muka F8


 Sama  tetapi adakah ianya serupa? 

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan nombor dua tertinggi dalam  pentadbiran negara, iaitu Timbalan Perdana Menteri tempoh hari mengingatkan kita kepada peristiwa yang sama yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir 17 tahun lalu pada tahun 1998.

Pada tahun 1998 Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohammad telah memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri kononnya atas alasan salah-laku seksual dan salah guna kuasa, suatu konspirasi kotor yang sehingga hari ini terus menghantui wajah Tun Dr Mahathir.

Malah hari ini pun apabila memperkatakan tentang pemecatan Muhyiddin, Tun Dr Mahathir bertegas bahawa beliau pecat Anwar dulu bukan kerana Anwar tidak menyokongnya tetapi kononnya kerana kes jenayah.

Sesudah pencen dan bersara, Tun boleh berkata apa sahaja, tetapi rakyat Malaysia khasnya para penyokong Anwar “tidak” mudah dan tidak boleh lupa.

Baru-baru ini giliran Muhyiddin pula. Beliau telah memilih menegur pengurusan dan pengendalian 1MDB yang telah mencatatkan kerugian berbillion ringgit sehingga mencetuskan keresahan rakyat jelata. Beliau bangkit secara terbuka dalam beberapa majlis menegakkan pendiriannya sehingga menyebut bahawa kontroversi yang meilbatkan 1MDB itu sesungguhnya diluar pengetahuan beliau sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri.

Kontroversi ini ujarnya perlu ditangani oleh kerajaan dan Umno segera jika tidak Umno dan BN akan kecundang dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Ternyata pendedahan beraninya itu telah mengundang minat dan sokongan banyak pihak, khasnya dari kalangan mereka yang mahu menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Bayangkan apabila orang nombor dua mengkritik apa yang dilakukan oleh “bos”nya sendiri dan mengisytiharkan pula beliau tidak tahu-menahu darihal penjalanannya, sudah pastilah tindakan beliau itu mengundang amarah Najib.

Lalu tanpa banyak kata bicara, sebagaimana Tun Dr Mahathir dulu, tanpa sebarang notis Najib telah memecat dan menyingkirkan Muhyiddin dari jawatan TPM nya. Seluruh negara malah dunia terpaku dengan tindakan drastik Najib itu.

Samalah nasib Muhyiddin dan Anwar, sama-sama dipecat tanpa ihsan oleh “bos” masing-masing,

Tetapi serupakah isunya?

Kalau dilihat secara umum, ianya hampir serupa sahaja.

Anwar dahulu memilih menegur “bos” nya Tun Dr Mahathir yang dikatakannya memimpin negara sebagai PM dengan penuh kepincangan. Anwar mendedahkan amalan rasuah, nepotisma dan kronisma yang berleluasa dalam pentabdiran PM sehingga menjejaskan ekonomi negara.

Anwar terbukti lebih vokal dan berani dari Muhyiddin malah bersedia dari awal menghadapi apa sahaja risiko yang bakal mendatang. Yang selebihnya kini sejarah.

Namun tidak seperti Anwar dahulu,Muhyiddin masih Timbalan Presiden Umno, sekurang-kurangnya sehingga artikel ini ditulis beliau masih dijawatan itu. Dan beliau tidak berlengah malah terus sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa beliau masih taat dan terus berdiri di belakang Presidennya. Ramai yang melihat kenyataan terbaru Muhyuddin  itu bagaikan “damage control” iaitu mahu menyelamatakan diri dan kedudukannya. Bisa pemecatan Najjib itu telah meresap dalam tubuhnya, dan ternyata beliau tidak mahu ianya terus meracuni tubuhnya lalu usaha diambil untuk merawat keadaan.

Walaupun ada pemimpin Umno yang menyatakan sokongan pada beliau dan beberapa Pergerakan Pemuda Umno di Johor pula bangkit mahu membela beliau, Muhyiddin sebaliknya memilih untuk menelan penawar dan menyatakan beliau teguh berdiri di belakang Presiden parti walaupun dipecat. Barangkali Muhyuddin tidak mahu nasibnya seumpama Musa Hitam atau Anwar.

Atau mungkinkah langkah ini hanya taktik Muhyiddin? Mungkinkah beliau mahu membeli masa untuk mengukur kekuatannya dan jika yakin kuat maka beliau akan melancarkan serangan berikutnya?

Di sinilah perlu diakui betapa berbeda dan berlainan sama-sekali karektor kepimpinan Anwar jika mahu dibandingkan dengan Muhyiddin. Hanya yang keras dan bersemangat kental seperti Anwar sahaja mampu mencetuskan kebangkitan rakyat.

Walaubagaimanapun ada pemerhati politik yang mengatakan bahawa Najib tidak akan berhenti dengan pemecatan itu sahaja. Malah beliau berikutnya dijangka turut akan memecat Muhyidddin dari jawatan Timbalan Presiden Umno sebagaimana yang pernah Tun Dr Mahathir lakukan ke atas Anwar. Tiada maknanya memikul seorang Timbalan dalam parti yang akan memukul dan menyerangnya dari dalam. Najib tidak memerlukan biawak hidup dalam menjalankan tugasnya selaku Presiden Umno.

Sama-samalah kita ikuti perkembangannya nanti.

Kerana itu jika pemeccatan Anwar dulu telah mencetuskan kebangkitan rakyat dan slogan “Reformasi”, pemecatan Muhyuddin hari ini dilihat sekadar ribut dalam cawan.

Sungguhpun demikian ada pihak-pihak yang mahu memaksa Najib turun. Tanpa melakukan perhitungan dan pembacaan politik yang mendalam, mereka menyangkakan inilah masa yang terbaik menendang keluar Najib sedangkan di luar sana tiada senario seumpama 1998 dahulu.

Benar kontroversi 1 MDB dan banyak lagi kepincangan Najib terus membakar merah menyala, tetapi pendekatan kita menghadapinya perlulah tertib dan teratur apatah lagi jika kita menghargai kestabilan negara dan keharmonian rakyatnya.

Kita tidak mahu berlaku huru-hara, itulah pesanan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Pesanan yang sesetangah pihak mengatakan bukti PAS lunak dan cenderung pada Umno, sedangkan mereka tidak sedar PAS jauh lebih matang dan dewasa dalam menghadapi berbagai kemelut dan situasi politik dalam negara.

Dalam situasi rumit seperti ini kita jangan mengundang ketegangan. PAS sudah punya banyak pengalaman apabila peluang yang terbuka dirosakkan dengan umpamanya pengisytiharan Darurat, yang bakal melumpuhkan institusi demokrasi negara. Darurat 1969 dan di Kelantan pada tahun 1977 sangat perit buat PAS. Kita perlu terima hakiakt bahawa Malaysia bukan Thailand, bukan juga negara-negara dunia ketiga lain.

PAS sudah punya kekuatan dan telah berjaya membina keyakinan rakyat. Kita tidak tahu sampai kemanakah kemelut dalaman Umno ini, adakah ianya akan berkahir dengan pengunduran orang nombor satu, atau orang nombor satu menjadi lebih kukuh cengkamannya atau jalan pintas umpama darurat dipilih untuk mengekang suara rakyat.

Oleh itu kita perlu bijak membuat perhitungan dan tidak dipengaruhi oleh nafsu liar yang membinasakan segala-galanya.

PAS tidak tolak cadangan untuk membawa undi tidak percaya terhadap PM di Parlimen kerana ianya sebahagian amalan demokrasi. Tetapi dalam situasi hari ini banyak aspek perlu dilihat dan dikaji.

Dengan pendirian terbaru Muhyiddin dan “mood” dalam Umno sendiri kebelakangan ini, jika pembangkang membawa usul ini ke Parlimen, besar kemungkinan tiada undi protes dari wakil Umno mahupun komponan BN yang akan diperolehi. Ianya sekadar satu proses protes pembangkang dan tidak lebih dari itu.

Buat Tuan Guru Presiden PAS perubahan politik biarlah berlaku secara sihat dalam ertikata melalui amalan demokrasi. PAS perlu menggunakan situasi yang ada untuk lebih meyakinkan rakyat bahawa alternatif yang ada bagi menggantikan Umno adalah PAS.

Hanya penyelesaian Islam mampu dan berupaya membawa negara keluar dari kemelut hitam yang sedang melanda kita semua. Orang-orang Melayu Islam masih ada dahan untuk bergayut bagi menyelamatkan nasib dan masa depan negara dari terkorban dan terlontar ke kancah tidak menentu angkara kemelut ini. Dahan ini jugalah yang akan menjamin keselamatan dan kebajikan orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu. Dan dahan itu adalah PAS.

Rakyat jangan sekali-kali dikorbankan itulah seruan Presiden PAS. Rakyat perlu bangkit melalui amalan demokrasi bukan untuk dikorbankan tetapi mengorbankan politik tempang dan rakus yang sudah tidak relevan lagi dan kembali ke Islam yang menjanjikan rahmat buat semua.

No comments: