Sunday, August 16, 2015

Cerita gajah dan pelanduk

Setiap kali Umno bertelagah besar-besaran sesama sendiri, setiap kali itulah negara akan turut diheret memikul beban dan akibatnya. Gajah sama gajah yang menyondol dan bergasak sesama sendiri, pelanduk yang tidak bersalah, mati dihimpit dan dipijak.

Ketika Dato Seri Dr Mahathir Mohammad (kini Tun) dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden Umno pada Perhimpunan Umno tahun 1987 dahulu, tiang seri Umno ketika itu bagaikan bergoncang. Umno buat pertama kali meyaksikan pertandingan paling sengit dalam sejarahnya. Umno boleh dikatakan terbelah dua ketika itu antara penyonong Dr Mahathir dan penyokong Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh yang mewakili “Team B” dalam Umno ketika itu turut disokong “orang-orang kuat” bertaraf bangsawan dalam Umno antaranya bekas Timbalan Presiden Umno, Dato Musa Hitam (kini Tun), Dato Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun), Dato Rais Yatim, Dato Radzi Sheikh Ahmad, Dato Manan Othman, Rahmah Othman dan malah satu ketika Presiden Umno kini, Dato Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Ketua Pemuda Umno, dikhabarkan turut cenderung pada Ku Li, sehinggalah beliau “u turn” di saat akhir.

Serangan demi serangan dilancarkan terhadap Dr Mahathir, sehingga ada pihak yang beranggapan bahawa nyawa politik Dr Mahathir akan tamat pada Perhimpunan Agung itu.
“Team B” telah bergerak cergas, naik turun seluruh pelusuk Semenanjung (ketika itu Umno tiada di Sabah) bertemu dengan perwakilan dan akar umbi Umno.

Walaubagaimanapun kelebihan Dr Mahathir adalah beliau Perdana Menteri ketika itu, dengan kuasa, Dr Mahathir telah menyekat pengaruh “Team B” dan keputusan akhirnya, Dr Mahathir menang dengan memperolehi 761 undi berbanding Ku Li 718 iaitu dengan kelebihan hanya 43 undi.

Itu kisah pertelagahan sesama sang gajah. Yang mahu ditekankan di sini adalah impak dari pertelagahan itu terhadap negara.

Dr Mahathir memulakan langkah dengan melancarakan Operasi Lalang pada 27 Otober 1987 dengan menahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA seramai rekod 106 tokoh-tokoh politik, aktivis NGO dan lain-lain. Pemimpin DAP, PAS , Umno, MCA dan lain-lain turut diberkas.

Beliau turut membatalkan lesen percatakkan 3 buah akhbar iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Tindakan Dr Mahathir itu telah membangkitkan keresahan rakyat, dan ternyata beliau berjaya menyuntik “culture of fear” atau suasana suram dikalangan rakyat dimana akibat dari tindakan-tidakan berkenaan rakyat tidak berani lagi bersuara dan kebebasan media dikekang,

Dr Mahathir tidak berhenti disitu. Umno pula telah diharamkan oleh Mahkamah pada tahun 1988 apabila segelintir dari “Team B” telah mencabar kesahihan Perhimpunan Umno 1987 itu.

Dari situ Dr Mahathir telah menjalarkan kuasanya sehingga mencengkam institusi kehakiman pula. Amarah Dr Mahathir telah membawa sehingga Ketua Hakim Negara, iaitu orang nombor satu dalam badan kehakiman negara telah dipecat. Pemecatan Tun Salleh Abbas diikuti pula dengan penggantungan lima orang hakim Mahkamah Agung dan kemudiannya dua dari mereka turut dipecat.
 
Campuratangan eksekutif terhadap badan kehakiman ini telah memberi kesan buruk terhadap imej negara diperingkat antarabangsa.
 
Begitulah nasib rakyat dan negara apabila pimpinan Umno bertelagah sesama mereka kira-kira 28 tahun lalu.

Dan hari ini Umno kelihatan bertelagah lagi. Nama-nama besar itu juga yang berpusing-pusing antara punca krisis kali ini. Bermula dengan kelemahan Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sehingga membawa kepada krisi keyakinan rakyat terhadap kerajaan ekoran isu 1MDB, kenaikan kos hidup, nilai matawang yang jatuh dan terbaru penyaluran dana asing ke akaun peribadi Presiden Umno . Kemudian serangan bertubi-tubi dari bekas PM Tun Dr Mahathir.

Akibat pertelagahan ini Timbalan Perdana Menteri dipecat, Shafiee Apdal seorang Naib Presiden Umno juga dipecat dari jawatan menterinya.

Apa lagi?

Ramai yang menjangkakan Najib juga tidak akan berhenti di situ. Kalau Mahathir dulu habis apa sahaja di hadapannya yang menghalang dan menentangnya dicungkil dan diterajang. Hakim-hakim dipecat, orang politik ditangkap, akhbar dan media dikenakan tindakan, lalu Najib bagaimana?

Sebagaimana zaman Mahathir kali ini pelanduk juga yang akan menjadi mangsa. Oleh itu berhati-hatilah.

Umno di Johor, di Negeri Sembilan, di Sabah dan lain-lain negeri terus menyerang Najib dengan usul dipecat dan dirihatkan. Manakala mereka yang tegar dibelakang Umno terus menyerang balas. Dr Mahahtir tenggelam timbul sekejap menyerang sekejap berundur, maklumlah nasib anaknya di Kedah juga terancam.

Kita harapkan kali ini jika gajah dan gajah yang bertelagah biarlah gajah jua yang menjadi mangsa tersungkur dan tergolek kali ini. Pelanduk biar selamat dan negara bebas dari ancaman gajah liar buat selama-lamanya.

No comments: