Friday, July 31, 2015

Jangan cetuskan huru-hara

Dengan pemecatan Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seorang lagi pemimpin kanan Umno, Shafiee Apdal dari jawatan Menteri baru-baru ini sedikit sebanyak telah menganggu kestabilan politik negara. Begitu juga dengan pemecatan Peguam Negara atas alasan kesihatan.

Bagi orang politik lazimnya apabila ada satu pihak apalagi yang memegang kuasa kelihatan goyang, maka disitulah mereka akan muncul mencuri kesempatan, menangguk di air keruh untuk melancarkan serangan dengan harapan yang goyang memegang kuasa tadi akan rebah, dan pihaknya jika berpeluang akan “merampas kuasa” dan mengaut laba.

Keghairahan nafsu politik seringkali menidakkan kepentingan umum. Apatah lagi jika menganut dan mengamalkan ajaran “matlamat menghalalkan cara”

Memang bagi mana-mana “haiwan politik” membaca bahawa Najib dan Muhyuddin, dua gergasi besar dalam parti memerintah sedang dalam krisis, Umno berpecah, skandal 1MDB tiada nampak penyelesaiannya, matawang negara jatuh, kos hidup rakyat melambung tinggi, inilah peluang dan ketika “melancarkan serangan”.

Sesungguhnya mengambil posisi menyerang dalam skop berpolitik yang sihat, tidaklah salah. Inilah masa untuk kita mendedahkan kelemahan dan kegagalan BN dan Umno. Tetapi ia tidak wajar dilanjutkan dengan menggegar kestabilan negara bagaikan melancar satu revolusi, negara kita negara demokratik dan rakyat diberi mandat hanya ketika tempuh pilihanraya sekurang-kurangnya 5 tahun sekali. Jangan anutan demokrasi kita rencatkan dengan amalan agitasi yang boleh memporak-perandakan negara dan tidak membawa keuntungan jangka panjang.

PAS telah melalui pengalaman pahit bilamana kerajaan menggunakan darurat sebagai penyelesaian kepada kemelut politik. Ia pernah berlaku sekali ekoran Peristiwa Hitam 13 Mei 1969 dan sekali lagi yang khusus terkena atas PAS iaitu di Kelantan pada tahun  1977.

Kerana itu dalam meredah kemelut yang kita hadapi ini Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang bijak apabila mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

“Apa yang paling penting adalah kepercayaan rakyat kepada kita (PAS) yang kita mahu supaya rakyat membuat satu perubahan politik yang sihat. Peringatan saya, saya tidak mahu negara ini huru-hara. Jangan korbankan rakyat walau apa pun yang berlaku. Ini pesanan saya.”

Dalam suasana yang kelam ini rakyat perlukan keyakinan dalam bentuk kenyataan seumpama ini.

Kita tidak redha dengan nestapa yang menimpa rakyat. Kita PAS mahukan perubahan dan jika perlu peralihan kuasa yang sihat agar rakyat dan negara dapat diselamatkan dari bencana yang sedang melanda.

Namun kita bukan Thailand, apa lagi negara lain sehingga berlanjutan huru-hara yang membangkitkan kemusanahan harta-benda dan nyawa, akibatnya yang rugi adalah rakyat.
PAS tidak mahu gerakan politik dan suara rakyat dipadamkan melalui tindakan tindak-balas agresif “singa” yang sedang cedera. Jika itu berlaku tiada lagi suara politik sebaliknya nasib rakyat dan negara ditentukan oleh golongan kecil tertentu seperti di Thailand hari ini.

Semoga rakyat Malaysia mengambil kira pesanan Tuan Guru itu.


No comments: