Rupa-rupanya kerja-kerja “spin” atau memutarbelit kenyataan
tokoh politik demi kepentingan peribadi sudah semakin menjadi-jadi sejak
kebelakangan ini. Sebelum ini Utusan Malaysia, TV3 dan Malaysian Insider sahaja
yang pakar dan juara dalam bab ini, kini ramai pula anak-anak didiknya.
Posting saya yang terdahulu merujuk kepada kenyataan Mursyidul
Am PAS Dato Dr Harun Din berkenaan skandal penyaluran dana awam ke dalam akaun
peribadi PM, yang didedahkan WSJ. Kenyataan Dr Harun Din malangnya telah di “spin” oleh
Setiausaha Agung DAP lalu diceduk oleh media seakan menampakkan yang Dr Harun
Din “membela” PM dalam kes ini.
Malah PM pun selepas itu mengucapkan terima kasih atas apa
yang dikatakan kenyataan Muryidul Am PAS itu.
Terbaru, satu lagi mangsa “spin” dalam kes yang sama adalah
kenyataan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Bersetuju dengan
pandangan Dr Harun Din, Tuan Guru dilaporkan berkata:
“Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat
Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas
Najib, kena ada saksi juga… saksi yang adil.”
Dimanakah cacatnya?
Ia menjadi cacat apabila di “spin” seperti berikut:
“And so, Hadi's statement raises a crucial question: is Hadi
really interested in ensuring justice is not denied or is he trying to cleverly
insulate Najib at a time when the country is grappling with one of its worst
financial scandals that involves the top man?” (The Malay Mail)
“Jadi kenyataan Hadi (itu) membangkitkan persoalan adakah
Hadi benar-benar berminat dalam memastikan keadilan tidak dinafikan atau adakah
beliau mencuba untuk melindungi Najib ketika seluruh negara sedang berhadapan
dengan krisis kewangan yang paling buruk melibatkan pimpinan tertinggi
(negara)?”
Ulasan tersebut dikeluarkan oleh ahli Parlimen Kelang,
Charles Santiago, yang juga seorang pimpinan kanan DAP.
Saya dapati jaguh-jaguh “spin” termasuklah Malaysiakini
sebenarnya telah menceduk kenyataan asal Tuan Guru di atas dan cuba
memperlekehkan seolah Tuan Guru menyatakan bahawa dalam kes Najib ini
sebagaimana kes liwat Anwar Ibrahim, perlu ada empat orang saksi!
Sedangkan kalau kita teliti kenyataan Tuan Guru itu ia
membawa maksud Islam menitikberatkan kesahihan dakwaan. Dalam kes liwat contohnya
perlukan empat orang saksi dan dalam kes Najib ini juga perlukan saksi (bukan
bermaksud empat orang juga).
Dalam erti kata lain meminjam istilah perundangan Inggeris
(sebab mereka ini memandangkan rendah perundangan Islam) “credible evidence” yang “beyond
reasonable doubt” ataupun bukti kukuh yang melampaui keraguan.
Adakah menuntut keadilan menurut Islam sesungguhnya
melindungi pesalah, sebagaimana cuba diketengahkan "secara jahat" oleh Santiago?
Saya perhatikan kenyataan Tuan Guru dipermain dan diperendah
dalam banyak posting di media sosial, akibat di “spin” oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab ini.
Pada dasarnya saya melihat PAS konsisten dalam kes
pendedahan WSJ ini. Mursyidul Am dan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan yang
seimbang dan selaras dengan Islam.
Dan pada waktu yang sama saya difahamkan Ketua-ketua
Penerangan PAS Negeri-negeri telah diarahkan membuat laporan polis berkenaan
pendedahan itu.
Kesimpulannya sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung PAS
Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan portal MStar:
"Apa yang Dr Haron dan Hadi maksudkan adalah dakwaan
itu bagaikan tidak logik tetapi perkara itu sesuatu yang serius dan tidak
seharusnya dipandang ringan. Ia perlu disiasat secara bebas dan adil,"
Yang anehnya semasa kita menghadapi isu ini dengan sikap dan
pandangan dari pelbagai sudut, kawan-kawan dalam DAP lebih gemar mengacukan
senjata mereka ke arah PAS, kenapa ya?
Sedar tak sedar yang dicederakan bukannya pemimpin PAS
tetapi hukum dan peraturan Islam. Jangan sampai dilihat anti Islam nanti.
No comments:
Post a Comment