Jangan terpesona degan kuasa "sakti" DAP

Monday, July 27, 2015

DAP telah cuba menguasai Pulau Pinang puluhan tahun. Melalui Projek Tanjungnya, setiap kali PRU DAP akan melancarkan serangan semaksima mungkin bagi menguasai negeri berkenaan kerana Pulau Pinanglah satu-satunya negeri di Malaysia dimana kerusi majoriti bukan Melayunya boleh membentuk kerajaan.

Sebelum Peristiwa 13 Mei 1969 Pulau Pinang dikuasai oleh pembangkang diketuai parti Gerakan sehinggalah Gerakan menyertai BN pada tahun 1974.

Pada PRU 2008 hasil gabungan dan kerjasama PAS dan PKR akhirnya DAP berjaya dan terus menobatkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP yang pertama.

Rupanya kemenangan itu bukannya matlamat utama DAP, setelah menang, ia kini terdorong  melalui kekuatan sokongan pengundi bukan Melayu khasnya pengundi Cina ia boleh menguasai lebih dari Pulau Pinang. Tetapi tidak seperti Pulau Pinang di negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka dan lain-lain, DAP boleh dominan jika parti kawan yang lain mampu memberi sedikit “tongkat” sokongan bautnya.

Contohnya di Perak terdapat 59 kerusi DUN, Mana-mana parti yang memperolehi 30 kerusi sudah boleh membentuk kerajaan di sana. Pada PRU ke 13 lalu DAP bertanding dan menang di semua 18 kerusi yang dipertandingnya. Ia cuma perlukan bantuan 12 kerusi sahaja untuk membentuk kerajaan campuran dengan partinya menguasai majoriti dalam kerajaan berkenaan.

Di Negeri Sembilan pula terdapat 36 kerusi DUN, penguasaan 19 kerusi boleh membentuk kerajaan. Dalam PRU ke 13 lalu DAP bertanding dan menang semua 11 kerusi yang dipertandingnya. Dengan bantuan 8 kerusi sahaja dari parti kawan, kerajaan campuran yang DAP dominan boleh terbentuk.

Sifir-sifir ini berlegar dan merangsang nafsu politik DAP. Malah ianya meluap-luap sehinggalah ke peringkat Pusat.

Oleh kerana ia percaya ia punya kuasa “sakti” menguasai pengundi-pengundi bukan Melayu khasnya pengundi-pengundi Cina, DAP mula menunjukkan taringnya. Kerjasama dalam Pakatan tidak boleh dibiarkan ikut nafsu dan selera parti lain, agenda DAP lah yang wajar didahulukan.

Taring itu bukan mahu ditunjuk kepada BN tetapi ditayangnya kepada kawan-kawan khasnya PKR dan terutama PAS biar mereka gerund an tunduk.

DAP seakan boleh mengatakan bahawa jika mahu terus menang selepas ni melalui kuasa “sakti” DAP itu maka parti-parti PKR dan PAS perlu terus setuju sahaja dengan karenah dan kemahuan DAP.

Antaranya DAP tidak cenderung sama-sekali terhadap sebarang idea dan usaha untuk meletakkan Islam lebih dari fahaman mereka sebagai simbol adat istiadat agama Persekutuan. Cukuplah dengan membenarkan sambutan Hari Raya, Maulidur Rasul. Cukuplah dengan ada masjid dan surau serta sekolah agama.

Lebih dari itu, sebarang usaha untuk memartabatkan pengamalan Islam khasnya dalam kehidupan seharian sehingga menjadi peraturan dan perundangan, ianya tidak boleh diterima sama-sekali.

Malahan bab-bab tertentu dalam amalan yang ada pun kalau boleh mahu disemak-semula. Urusan mahkamah syariah, urusan majlis agama, urusan jabatan agama, mana-mana yang dilihat menggugat kedudukan negara sebagai sebuah negara sekular (yang memisahkan negara dari agama) menurut fahaman mereka, juga perlu dihadkan.

Ringkasnya DAP percaya bahawa Malaysia wajib kekal sebagai sebuah negara sekular.

Fahaman Islam tidak boleh diterapkan menjadi fahaman dan amalan negara.

Kerana itu DAP bantah apabila ada usaha ke arah tu.

Peristiwa melarang jualan arak di kawasan majoriti Melayu di Selangor satu ketika dahulu dibantahnya. Begitu juga usaha untuk memisahkan tempat duduk antara mahram dan bukan mahram dilihatnya sebagai men “Taliban” kan Malaysia.

DAP bantah mengharamkan premis judi di Kelantan serta menghadkan minuman arak hanya dikalangan bukan Islam di sana. Larangan lelaki mengunjungi kedai gunting rambut wanita juga di protesnya di Kelantan.

Dan kemuncaknya DAP menolak sebarang usaha dan inisiatif untuk melaksanakan undang-undang Islam sebagaimana sedang diusahakan PAS buat negeri Kelantan.

DAP berani membuat bantahan-bantahan ini semua kerana pada perkiraannya ia punya kuasa politik untuk protes. Ia memegang kuasa “sakti” tadi.

Kerana itu hari ini walaupun PAS telah berkawan dan membantu DAP sejak sebelum PRU tahun 2008 dahulu, ahli-ahli dan petugas PAS bekerja untuk bantu DAP, tiba-tiba PAS ditendang keluar oleh DAP. Ini semata-mata kerana DAP melihat PAS lebih cenderung mahu melaksanakan Islam dari meraikan cita-cita dan agenda DAP yang kononnya agenda rakyat.

Ringkasnya PAS seakan menjadi batu penghalang kemaraan DAP.

Walaupun PAS berkata ia mahu berkawan dengan syarat jangan langgar dan langkah prinsip perjuangan Islam yang didukungnya, bagi DAP syarat semua itu sudah tidak relevan sebab PAS tidak punya kuasa “sakti” sebagaimana DAP, jika PAS berkeras, DAP akan mencari kawan baru.

Dan benar, setelah gagal memepengaruhi pemilihan pucuk pimpinan PAS yang DAP lalukan secara terang-terangan, hari ini DAP berjaya membentuk sebuah “PAS” yang baru yang ia percaya boleh membantu mencapai cita-cita politiknya untuk menguasai negeri-negeri tadi termasuk Malaysia.

PAS yang lama pada pandangan mereka kolot dan ultra konservatif, sebenarnya keras kepala dan tak mahu ikut cakap mereka.

Lalu bagaikan bulan jatuh ke riba, barangkali dengan kelebihan kuasa “sakti” nya itu, DAP hari ini berjaya melunakkan beberapa bekas pimpinan PAS khususnya mereka yang kecewa dalam pemilihan parti baru-baru ini, untuk mengikut rentak mereka.

Bukankah kuasa politik yang lebih penting dari segala-galanya. Apa guna kekal dalam PAS yang hanya mementingkan agama sehingga tiada ruang untuk tolak ansur dan kompromi. Yang penting kuasa mesti diperolehi, biarpun dengan kaedah matlamat menghalakan cara.

Habis hancur luluh dan terburai semua ilmu dan tarbiyah yang diterima dalam PAS dahulu, rupanya logik akal dan janji-janji DAP lebih enak dan meyakinkan bekas orang-orang kuat PAS ini.

Lalu bersusunlah ahli-ahli parlimen dan ADUN PAS termasuk beberapa kerat yang lain, terpengaruh dan sanggup mengkhianati perjuangan PAS yang mereka dukungi selama ini.
Mereka sanggup menubuhkan parti baru, katanya parti Islam baru dengan matlamat menjadi kawan baru DAP.

Betapa rendah dan hinanya moral serta akhlak sesetengah yang tergamak menggadaikan prinsip demi habuan dunia.

Hakikatnya bukannya PAS tidak tahu agenda DAP itu. PAS selama ini yakin yang ia boleh memahamkan DAP akan dasar dan perjuangan Islam. Itulah yang PAS lakukan selama berkawan dengan DAP. PAS sedar DAP yang sekular sukar untuk terima Islam tetapoi sekurang-kurangnya berharap DAP tidak akan tentangnya.

Akan tetapi kekuatan dan keupayaan PAS itu mula merosot apabila mereka yang dari kalangan PAS sendiri memilih untuk berbeza pandangan dan pendekatan khasnya dalam menjalin persahabatan dengan DAP.

Bagi mereka kuasa “sakti” yang DAP perolehi itulah segala-galanya.

Jika kita bertegas mahukan Islam nanti kuasa “sakti” itu lari dan terlepas dari tangan DAP dan akibatnya kita semua kalah dan hilang kuasa.

Mereka memaksa PAS untuk tunduk, mereka tentang besar-besaran dari dalam dan apabila mereka gagal, mereka terajang PAS jauh-jauh dan merelakan diri tubuh parti yang baru untuk bersaing dengan PAS demi memenuhi tuntutan nafsu DAP.

Itulah keadannya hari ini, satu ujian dan cabaran besar buat PAS.

Tetapi ahli-ahli dan pimpinan PAS yang istiqamah, bersedia menghadapinya, kerana bagi PAS yang “sakti” itu sementara, tidak kekal, yang kekal hanyalah kehendak dan ketentuan Allah swt.

PAS akan meniti jalan kebenaran ini walaupun hilang kawan dan hilang mereka yang pernah bersamanya dahulu.


2 comments:

theskems said...

Dulu tahun 2008 saya dah tanya Tuan apa rancangan gabungan dengan DAP. Tuan marah dan tuduh saya cuba menganggu usaha Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional. Sekarang apa sudah jadi?

Saya dah guna contoh Amerika dan Soviet sama-sama bersatu menyerang Nazi Jerman tapi lepas menang terus keduanya lancar perang dingin sesama sendiri.

Lain kali buat lah rancangan awal-awal. Bukan orang tak bagi amaran awal-awal pun. Rakyat tak nak undi Pakatan Rakyat sebab ni lah. Dah dapat kuasa baru nak pikir nak buat apa macam mana.

jefrizam abdullah said...

kalau kita kira dulu,anwar pun sokong umno,tetapi kita mesti ada perubahan-perubahan dalam politik ijtihad baru yg tidak meninggalkan dasar...jika sudah mula melanggar dasar kita kembali kelandsan,begitulah yg terjadi sekarang...