Muktamar PAS telah hampir dua bulan berlalu. Dari sudut
proses pemilihan pucuk pimpinan, tidak dapat dinafikan bahawa ia merupakan
satu-satunya muktamar yang telah menyaksikan pertandingan paling sengit dalam
sejarah PAS. Kesemua jawatan tertinggi parti kecuali dalam Dewan Ulamak telah
dipertandingkan.
Dan keputusan
mukatamadnya telah pun diketahui umum. PAS hari ini bergerak dengan satu saf
kepimpinan yang baru yang telah diberikan mandat oleh para perwakilan parti
mewakli 1 juta keahlian PAS seluruh negara. Saf baru ini pula akan dipantau
oleh ahli-ahli PAS dan mereka juga nanti akan melalui proses pemilihan baru,
dimana rekod kepimpinan mereka akan dinilai dan dipilih berdasarkan prestasi
masing-masing dalam memikul amanah yang diberikan.
Walaupun hari ini keputusan berkenaan serta impaknya ke atas
PAS dan hubungan PAS dengan PKR dan DAP terus diperkatakan namun yang
pentingnya proses demokratik di dalam PAS khasnya yang melibatkan pucuk
pimpinannya tidak pernah dipertikaikan.
Tiada laporan atau protes dari para perwakilan dibuat
berhubung proses pemilihan ini. Tiada juga yang ke Pendaftar Pertubuhan untuk
membuat bantahan atau ke mahkamah bagi menuntut semakkan semula.
Rata-rata PAS yang berusia lebih 60 tahun ini telah berjaya
membuktikan kepada semua bahawa ia berkeupayaan dan mampu melaksanakan proses
pemilihan yang paling telus dan demokratik berbanding mana-mana parti politik
kawan atau lawan yang lain.
Semua calon-calon telah dibenarkan berkempen. Ada yang
enggan berkempen dan ada yang akitf dan malah ada diantara mereka yang
terang-terangan menggunakan majlis-majlis parti terutama majlis perasmian
mesyuarat agung tahunan parti peringkat kawasan-kawasan untuk secara terbuka
menyatakan sokongan dan penolakkan terhadap satu-satu calon.
Ada diantara mesyuarat agung tahunan kawasan-kawasan yang
sengaja diprogramkan awal berbanding kawasan-kawasan lain dengan matlamat mahu
mempengaruhi kawasan-kawasan yang belum bermesyuarat.
Media alternatif dan media sosial khasnya telah digunakan
semaksima mungkin dalam tempoh berkempen ini.
Ringkasnya peluang seluas-luasnya telah diberikan kepada
semua pihak untuk mempromosi diri dan calon masing-masing.
Masih jumud dan kebelakangkah PAS?
Dan malah yang paling ketara sekali adalah apabila
parti-parti lain turut camputangan mempromosi calon-calon tertentu dan meminta
tolak calon-callon tertentu, sesuatu yang tidak pernah berlaku tetapi dalam
muktamar kali ini ia berlaku dan dapat dilihat semua. Kiranya kerja-kerja ini
dilakukan oleh parti lawan, ia sesuatu yang normal kerana memang kerja mereka
melaga-laga dan mengadu-domba sesama PAS demi kepentingan politik mereka,
malangnya kali ini bukan parti lawan tetapi parti kawan yang turut mengambil
kesempatan.
Saya mengemukakan perkara ini kerana hari ini kita lihat
walaupun rumah telah siap berdiri megah dan gagah namun pahat masih lantang
berbunyi. Sepatutnya sudah dua bulan muktamar berlalu, bagaikan badai berlalu,
kiambang pasti bertaut kembali, malangnya tidak.
Di sinilah sikap tidak profesional terserlah dikalangan
mereka yang sepatutnya profesional dan rasional.
Demokrasi dalam erti kata, proses pemilihan yang paling
telus dan terbuka telah masing-masing tuntut dari parti dan berdasarkan apa
yang disebutkan di atas ternyata telah sama-sama perolehi. Padangnya sama luas
dan sama rata, kebijaksanaan dan kepintaran seni berkempen masing-masing telah
dipacu sekuat-kuatnya, tetapi apabila tewas, kelompok yang berkenaan telah
bangkit membikin onar dan hari ni ghairah rakus mahu membina parti baru,
membinasakan apa sahaja hubungan yang ada dengan PAS,
Dimanakah tercicirnya profesionalisma yang kita dewa-dewaka
itu.
Calon dan pimpinan lain pun pernah tewas. Almarhum Prof
Zulkifli Mohamad, pernah tewas menentang Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy bagi
jawatan Yang Dipertua Agung PAS (kini Presiden) satu ketika dahulu. Tetapi
mereka terbit sebagai kombinasi pimpinan PAS yang kental menjuarai perjuangan
Islam dwaktu mereka.
Begitu juga Almarhum Ustaz Dato Harun Taib, Almarhum Ustaz
Hasan Shukri dan malahan Timbalan Presiden PAS hari in Dato Tuan Ibrahim Tuan
Man dan Ketua Pemuda dan Muslimat Pusat masing-masing pernah tewas dalam
pertandingan parti dipelabagi peringkat. Tidak pula mereka membakar jambatan
dan melompat membikin oraganisasi atau parti baru.
Mereka terus cairkan diri dalam Jemaah dan berkhidmat dalam
ruang dan kapasiti yang ada, dan terus menawarkan diri apabila diberi peluang,
itulah sikap profesional yang sebenar.
Tetapi golongan yang mendakwa diri mereka profesional, baru
pertama kali kecundang bertanding jawatan dalam satu jemaah sanggup dan
tergamak mengoyak dan menyiat apa yang ada demi mengejar agenda peribadi
masing-masing.
Saya yakin PAS tidak terkesan dengan sikap dan perangai
mereka yang kecewa dan berfikiran singkat ini. Kalau ada pun orang PAS yang
berang, ianya kerana golongan kecewa ini telah menyeret bersama mereka
kerusi-kerusi DUN dan Parlimen yang mereka menangi atas tiket PAS.
Jika benar mereka punya akauntabiliti dan pertanggungjawaban
punya nilai moral yang tinggi dan terpelihara, sebagaimana mereka pernah serang
dan belasah Datuk Ibrahim Ali “juara lompat” politik Malaysia, mereka juga
sepatutnya mengosongkan kerusi masing-masing. Biar lega dan nyenyak tidur orang
PAS apabila mereka angkat kaki pergi.
PAS dan ahli-ahlinya yang istiqamah akan terus melayari
bahtera perjuangan Islam ini kerana ianya lebih utama dan penting dari
kepentingan peribadi mana-mana kelompok atau individu.
No comments:
Post a Comment