Tuesday, July 21, 2015

Bukan PAS tetapi Mat Sabu yang tidak relevan

“Mat Sabu may face action” (Mat Sabu akan menghadapi tindakan) demikian dilaporkan oleh akhbar NST hari ini, ianya respon Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, apabila diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahad lepas di majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri anjuran DAP di Kepala Batas.

Dalam majlis berkenaan Mat Sabu dilaporkan berkata bahawa PAS sudah tidak lagi relevan dalam lanskap politik hari ini dan ia perlu diubah. Dan Gerakan Harapan Baru atau GHB, menurutnya akan didaftarakan sebagai sebuah parti politik untuk membawa perubahan demikian. Sebuah parti Islam yang lebih relevan dan sesuai.

Pastinya ahli-ahli PAS akan tersentuh apabila mendengar dakwaan Mat Sabu itu bahawa parti Islam yang telah berjuang sejak lebih 60 tahun  itu tiba-tiba hari ini menjadi tidak relevan pada pandangannya.

PAS diakui sebagai satu-satunya parti Islam dalam negara yang konsisten berjuang untuk menegakkan sistem dan cara hidup Islam dalam kehidupan masyarakat dan negara. Ia dianggotai oleh mereka yang mahu menjiwai perjuangan Islam yang sebenar dan telah berdekad-dekad berjaya menambat hati masyarakat Islam khasnya termasuklah minat dan simpati yang bukan Islam.

Tiba-tiba setelah gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presidennya lebih sebulan lalu, hari ini Mat Sabu menganggap parti yang telah memberinya peluang menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal itu sebagai tidak relevan.

Menurut Datuk Takiyuddin dalam NST, PAS sedikit pun tidak terganggu dengan kenyataan Mat Sabu itu. Malah kata beliau golongan ini (peneraju GHB) satu ketika dahulu merupakan pimpinan kanan dalam parti. Hanya setelah kehilangan jawatan apabila kecundang dalam pemilihan parti mereka tiba-tiba bertindak menentang parti sendiri. Kaya Datuk Takiyuddin lagi ahli-ahli PAS sesungguhnya bijak membezakan (antara yang hak dan batil).

Walaupun kenyataan Mat Sabu ini telah dihebohkan secara meluas oleh media alternatif khasnya yang pro GBH yang memang mahu melihat PAS musnah sejak dahulu lagi, saya bersetuju dengan Datuk Takiyuddin bahawa PAS sedikit pun tidak terganggu.

Mat Sabu hanya merendahkan kredibilitinya sendiri dengan kenyataan seperti itu. Elemen orang kecewa, jelas terpapar dan dapat dibaca oleh sesiapa pun. Apa pun jenis pertandingan pasti akan ada yang menang dan tewas. Mat Sabu telah berada dalam PAS hampir separuh abad, naik dari jawatan kecil sehinggalah ke jawatan nombor dua tertinggi dalam PAS.

Pernah ditahan ISA pernah menjadi ahli Parlimen PAS selama tiga penggal, bermakna hdiupnya adalah PAS.

Tiba-tiba apabila tewas dalam pemilihan, terus PAS dicap tidak relevan, perlu diubah, perlu dilahirkan sebuah “PAS” yang baru, langsung mengenepikan sama-sekali kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli PAS dan PAS sendiri terhadap beliau selama ini.

Inikah nilai seorang pemimpin yang punya kewibawaan dan kaliber? Inikah contoh seorang pemimpin yang memperjuangkan Islam?

Saya tidak boleh bayangkan nasib parti Islam yang mahu ditubuhkannya itu, apabila personaliti seperti beliau yang diangkat menjadi pemimpinnya.

Rakan-rakan beliau dalam PAS (ada yang masih hidup dan ada yang telah pulang ke Rahmatullah) ramai yang bertanding jawatan dalam parti tetapi tewas, ramai yang punya jawatan kemudian ditewaskan. Mereka kekal dalam PAS. Istiqamah kerana sedar bahawa diri mereka tidak penting yang penting adalah nasib dan masadepan Islam yang mahu diperjuangkan PAS.

Tetapi tidak seperti mereka itu, Mat Sabu terpukul dengan kekalahan ini, begitu juga kawan-kawan beliau yang ghairah mahu menghidupkan GBH itu. Bagi mereka satu kekalahan bermakna bukan mereka yang kurang atau silap tetapi ahli dan parti. Lantas jalan keluar adalah musnahkan parti dan tubuh yang baru, biar mereka kekal sebagai pemimpinnya.

PAS biar terkubur. PAS biar dibenci oleh PKR dan DAP. PAS biar ditendang bagai sampah kerana PAS menolak mereka yang kononnya “ikhlas” dan “profesional”.

Kalau begitulah Mat Sabu, kalau begitulah GBH maka tepatlah kenyataan Setiuasaha Agung PAS bahawa mereka semua akan diambil tindakan. PAS tidak perlu mereka yang hanya pentingkan diri sendiri, mengatasi kepentingan parti dan prinsip perjuangan yang didukung.




No comments: