Tuesday, July 21, 2015

Ayuh lawan petualang PAS secara terbuka

 
Jika kita layan karenah Mat Sabu, Husam Musa, Dr Hatta, Khalid Samad, Mujahid Yusof Rawa dan kumpulan GHB mereka, PAS sudah tidak relevan lagi. 

Parti Islam baru yang kononnya lebih progresif lebih terbuka perlu ditubuhkan bagi menggantikan PAS.

Baik, kalau begitu, katakanlah atas keghairahan mereka diluluskan jua pendaftaran GHB sebagai parti politik, dimanakah mereka akan bertanding nanti?

Pilihanraya Umum akan datang, PAS sudah pasti bertanding di kerusi-kerusi yang ia bertanding sebelum ini. Kerusi yang ia ada akan dipertahankannya dan begitu juga kerusi yang ia teewas akan cuba dirampasnya. Lantas bagaimana pula dengan calon-calon GHB?
Mat Sabu, “Ketua” GHB mahu bertanding dimana? Pastinya kawan baik beliau Lim Guan Eng mahu “Abang Mat” nya bertanding di Pulau Pinang. Kalau di Pulau Pinang, kerusi mana? Mungkinkah Parlimen Bagan? Mungkinkah di Bukit Gelugor? Mustahil DAP mahu beri laluan kerusinya pada GHB.

Sudah tentu kerusi yang dipertandingkan oleh PAS lah yang akan Mat Sabu bertanding.

Bermakna Mat Sabu GHB akan lawan calon PAS.

Begitu juga Husam Musa. Takkanlah mahu bertanding di Parlimen Bukit Bintang atau Bandar Tun Razak yang merupakan kerusi PKR. Pastinya Husam akan dicaturkan lawan calon PAS, mungkin di Parlimen Kota Bharu, mungkin Putrajaya lagi.

Bermakna Husam akan lawan calon PAS.

Begitu juga Khalid Samad. Mustahil mahu cari kawasan lain selain Shah Alam. Kerusi parlimen Shah Alam kerusi PAS. Takkan Khalid mahu bertanding Parlimen Gombak lawan Dato Menteri Besar Selangor.

Bermakna Khalid akan lawan calon PAS.

Di sinilah orang-orang PAS, orang-orang Melayu Islam, rakyat jelata perlu lihat, sedar dan faham. GHB ini nanti akan jadi seteru politik PAS. Kehadiran mereka beragendakan mahu melumpuh dan pupuskan PAS sama-sekali.

Adakah kita boleh terima?

Kalau PAS sasaran mereka bermakna Tuan Guru Hj Abd Hadi mahu ditewaskan di Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang. Ustaz Idris Ahmad mahu dikuburkan di Parlimen Bukit Gantang. Malah lebih serius lagi kerajaan Kelantan PAS bawah teraju Ustaz Datuk Ahmad Yakub mahu direbahkan. Kerajaan PAS yang tegak sejak 1990 atas pengorbanan titik peluh, wang ringgit dan airmata para pejuang Islam iaitu lebih 25 tahun itu mahu dimusnahkan dan diganti dengan kerajaan mereka.

Di Selangor Dato Iskandar Abd Samad mahu dikalahkan di DUN Chempaka begitu juga EXCO dan ADUN PAS yang lain agar GHB yang akan nanti menggantikan peranan PAS dalam kerajaan negeri.

Bolehkah kita terima perubahan seumpama ini?

Kumpulan yang kecewa berkumpul, bersatu mahu memusnahkan bahtera besar yang sama-sama ia duduk dan layari satu ketika dahulu semata-mata kerana mereka tidak dipilih sebagai pemimpinnya lagi.

Lawan politik GHB adalah PAS boleh kita redha dan beri restu, duduk berdiam diri melihat PAS dilapah dan dikorbankan?

Jangan sampai cita-cita perjuangan Islam dilupuskan oleh sekumpulan mereka yang “desperado” seumpama ini.

Selamatkan PAS, ayuh kita bangkit dan “katakan tidak pada GHB”, petualang dan pemusnah perjuangan Islam yang dibawa PAS.

No comments: