Muktamar PAS ke 61 telah pun beberapa minggu berlalu.
Kehangatannya kelihatan semakin menurun dan bagi saf kepimpinan yang baru,
amanah memimpin dan menjadi hamba untuk parti dan jemaah telah pun mula dipikul
dan dilaksanakan sebaik mungkin.
Pada waktu ini Dewan Harian Pusat sedang turun menjelajah
negeri-negeri, manakala Presiden, Timbalan dan Naib-naib kelihatan mendepani
isu masyarakat, turun bersama mangsa gempabumi contohnya di kaki Gunung
Kinabalu, menziarah program pemulihan mangsa banjir di Kelantan selain mengisi
dan memenuhi acara dan majlis ilmu dan kemasyarakatan yang lain.
Begitu juga pimpinan yang lain dan Dewan-dewan Ulamak,
Pemuda, Muslimat dan DHPP kelihatan bingkas bangun bekerja. Kehadiran Ketua Dewan Ulamak
PAS Pusat umpamanya, menyerahkan memorandum berhubung skandal MARA semalam
menjanjikan kesediaan Dewan Ulamak untuk terjun mendepani denyut nadi dan
keluhan masyarakat.
Kabinet PAS Pusat pun telah hampir sempurna terbentuk dengan
perlantikkan beberapa indidividu khususnya beberapa profesional bagi mengukuh
dan meneguhkan lagi kedudukan parti. Perlantikkan Datuk Takiyuddin Hassan
sebagai Setiausaha Agung dan Dato Mustafa Ali sebagai Ketua Pengarah
Pilihanraya dilihat akan meneguhkan lagi kedudukan Dewan Harian PAS Pusat yang
dianggotai oleh Presiden, Timbalan dan tiga Naib-naibnya.
Begitu juga perlantikkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi AJK
PAS Pusat sebagai Ketua Penerangan, pastinya membuka ruang buat masyarakat umum
untuk lebih mengenali dan memahami misi dan perjuangan PAS. Manakala
perlantikkan Hj Mohamad Noor Mohamad, AJK PAS Pusat, dan bekas Pegawai
Perancang Bandar UDA lulusan UKM sebagai Bendahari diyakini dapat memberi
tumpuan kepada pengurusan kewangan yang lebih cekap dan telus buat parti.
Sesungguhnya ahli-ahli dan pendukung PAS meletakkan harapan
yang begitu tinggi terhadap saf kepimpinan baru ini. Tolak ke tepilah gangguan
dan angkara mereka yang kecewa dalam parti. Kekalutan mereka itu tidak
seharusnya menganggu tumpuan dan fokus parti dalam melaksanakan tugas, amanah
dan tanggungjawabnya.
Kiranya ditakdirkan mereka yang kecewa itu nanti bertindak
keluar parti beramai-ramai dan menubuhkan parti baru, maka sediakanlah sahaja
diri menghadapi mereka sebagaimana kita pernah menghadapi golongan kecewa
sebelum ini yang mengenakan pakaian pelbagai umpama Hamim, Berjasa dan Kumpulan
Islah.
Diperingkat ini PAS perlku mengukuhkan kedudukan dalamannya,
selain mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Tindakan DAP mencetuskan ketidakstabilan dalam PR dengan
tindakan mereka di Pulau Pinang, tuntutan mereka di Selangor dan penglibatan
mereka dengan kumpulan kecewa dalam PAS juga seharusnya jangan sangat menganggu
tumpuan dan fokus kita.
Sebagaimana ditegaskan PAS terus bersama PR, dan PR pada
pandangan PAS masih wujud dan berfungsi. Buktinya di Selangor, ketiga-tiga
parti masih berkerjasama mentadbir negeri dalam keadaan aman, sungguhpun pelbagai
tekanan dikenakan.
PAS masih yakin dengan kerjasama politik PR. Cumanya PAS
terguris dengan tindak-tanduk DAP khususnya yang berkaitan campuratangannya
dalam isu dalaman PAS. Selain itu PAS juga menuntut agar dasar dan prinsip
parti masing-masing tidak cuba dikritik apalagi mahu diubah dan dipinda oleh
parti lain dalam PR.
Apapun nantinya hubungan dengan DAP, PAS telah serahkan ke
Majlis Syura Ulamak, dan keputusannya sama-sama kita tunggu.
Sementara itu suka atau tidak masyarakat umum sesungguhnya sedang
menyaksikan gelagat dan tindak-tanduk kita semua. PAS tidak pernah mengkhianati
PR. Jatuhnya kerajaan PR di Perak contohnya adalah angkara “melompatnya”
beberapa ADUN DAP dan PKR. Malah ketika ROS dikatakan kononnya akan membatalkan
status DAP menjelang PRU lalu, PAS lah yang telah menawarkan logo “bulan” nya
untuk digunakan calon-calon DAP.
PAS sendiri sudah berusia lebih 60 tahun dan rata-rata tidak
ada rakyat Malaysia yang tidak mengenali PAS, perjuangan PAS dan cita-cita PAS.
PAS membentuk kerajaan Kelantan sejak 1990, dan semua rakyat
Malaysia melihat betapa sebuah negeri yang miskin apalagi di pulau kan oleh
kerajaan Persekutuan, boleh dipimpin dengan baik, bersih dan telus di bawah PAS.
Dari Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz ke Ustaz Datuk Mat, kepimpinan ulamak di
Kelantan sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Di Selangor, wakil-wakil PAS samada EXCO, ADUN, ahli-ahli
majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK cekap memainkan peranan masing-masing dalam kerajaan tanpa sedikit pun menimbulkan
keraguan atau syak wasangka masyarakat, malah ramai yang berasa selesa bekerja
dan menerima khidmat mereka yang mewakili PAS melalui PR itu.
Oleh itu masyarakat boleh melihat PAS sesungguhnya tidak
mendatangkan masalah. Kekeruhan dengan DAP pun bukan angkara PAS keras atau
mungkir janji sebagaimana dituduh sesetengah pihak. PAS sekadar mempertahankan
prinsipnya, dan prisnip dan dasar masing-masing sewajarnya tidak disentuh apa
lagi diterjah oleh mana-mana pihak. Adat berkawan, hormat-menghormati rumah dan
keluarga masing-masing.
Saf kepimpinan PAS ini di bawah Dato Seri Tuan Guru Hj Abd
Hadi Awang dan Dato Tuan Ibrahim diyakini dapat terus memenangi hati dan
sokongan rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam. Masyarakat bukan Islam juga
dapat melihat dan mengadili kejujuran dan kesetiaan PAS dan diyakini dapat
kekal memberikan kepercayaan pada PAS.
PAS mahu terus bergerak ke hadapan, sejuta ahli PAS mahu PAS
terus dipimpin ke arah kecermerlangan dan PAS bersedia menuju ke arah itu
dengan saf kepimpinan ini.
Rakyat Malaysia rata-rata sudah muak dan mual dengan kepimpinan
Umno dan BN. Satu demi satu skandal dan penyelewengan tersingkap di hadapan
mata kepala rakyat dan mereka sendiri seakan sudah tidak mampu mengawalnya. Tanpa
kekuatan PR pun kerajaan Persekutuan di bawah mereka dilihat semakin retak dan
menunggu rebah.
Oleh itu PAS dan PR perlu terus mantap dan teguh menghadapi
BN.
Semoga segala kekeruhan ini dapat segera dileraikan dalam
waktu terdekat dan tidak bernanah menjadi lebih parah.
Apa pun PAS saya percaya bersedia berhadapan dengan apa
sahaja kemungkinan. Semoga berkat ibadah dan doa kita di bulan Ramadhan yang
penuh barakah ini akan memberi kekuatan kepada PAS untuk terus meluncur ke
hadapan mengejar cita-cita perjuangannya.