HASSAN SHUKRI DITAWAR MENYERTAI BN:
AKAN SELESAIKAH PERMASALAHAN UMMAH?
HARIAN METRO hari ini melaporkan ramainya Senator ahli-ahli Dewan Negara mempelawa bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Hassan Shukri untuk menyerati Barisan Nasional.
Pelawaan ini dibuat ketika dewan sedang membahaskan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) Bacaan Kali Yang Kedua. Ketika Ustaz Hassan bangun untuk menyambung perbahasannya beberapa Senator dari BN telah bangun mencelah dengan memujuk agar beliau sertai sahaja BN. Antara mereka termasuklah Senator Datuk Yaakob Mohammad yang juga selaku Setiausaha Kerja BN dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir
Ustaz Hassan yang merupakan tokoh veteran PAS yang banyak pengalaman dan sangat disegani itu dengan bersahaja menjawab:
Umur saya dah tua, 68 tahun dan alami macam-macam, peristiwa 13 Mei (1969). Kalau orang lain terima terus. Alhamdulillah, waktu saya sama-sama dokong kerajaan BN, Pas dan BN, ketika itu saya Setiausaha Agung Pas, 16 tahun, saya tahu sangat apa ada dalam BN, saya ditawarkan macam-macam pada waktu itu, tetapi Tuhan tak buka hati untuk dapat kemudahan.
Syukur, saya tiada satu AP (permit import) pun, cuma hak sebagai ahli Parlimen, seinci tanah pun tak dapat masa BN, secebis permit pun tak ada, saya nak sebut ini, kerana saya bimbang ahli Dewan apabila kita tidak duduk dalam kerajaan jadi papa kedana, tak boleh hidup, saya ada pengalaman, saya boleh hidup dan ronda satu dunia.
Jawapan sinis tapi yang lebih penting jujur dan penuh nasihat itu pasti memukau ahli-ahli dewan yang hadir. Sesungguhnya tindakan ahli-ahli BN khususnya dari Umno itu menawarkan tokoh PAS itu untuk menyertai parti mereka dikira sangat nakal, tidak beretika dan tidak mencerminkan profesionalisma mereka sebagai seorang senator. Lebih-lebih lagi tawaran itu pula dibuat kepada seorang tokoh yang memang dihormati dan disegani oleh pihak kawan dan lawan.
Malah minggu sebelumnya ketika memulakan perbahasan rang undang-undang berkenaan, Ustaz Hassan seolah-olah menjadi pensyarah dan pendakwah, mengambil kesempatan menjelas dan menerangkan tentang Islam bukan hanya kepada wakil-wakil Umno malah termasuklah ahli-ahli dewan yang bukan Islam yang telah mengajukan pelbagai persoalan berkenaan hukum dan Islam yang telah Ustaz Hassan berjaya jawab dengan begitu baik dan meyakinkan, sekaligus membuktikan kewibawaan dan ilmu beliau sememangnya diberikan pengiktirafan.
Sebagaimana terkandung dalam hansard dewan penjelasan turut dipohon oleh Yang Dipertua Dewan dan Timbalannya.
Kesimpulannya sudah tiba masanya rakan-rakan dari Umno dan BN mengiktiraf peranan dan kemampuan PAS dalam memimpin dan memberi sumbangan dalam pembinaan negara. Zaman tawar-menawar dan beli-membeli umpama ayam-itik sudah lama berlalu. Sebagaimana seruan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Harakahdaily hari ini:
Jelaslah bahawa permasalahan ummah sebegini besar tidak mampu ditangani oleh satu pihak sahaja tanpa satu pendekatan yang mengembelingkan seluruh tenaga kepimpinan Melayu. Dalam ucapan dasar saya semasa Muktamar PAS kali ke 51 baru-baru ini di Kota Bharu, Kelantan, PAS telah menawarkan kepada UMNO untuk mengadakan Muzakarah membincangkan agenda ummah termasuk permasalahan orang-orang Melayu sendiri.
PAS ingin menegaskan sekali lagi bahawa pintu untuk muzakarah sentiasa terbuka demi kepentingan agama, bangsa dan negara
Kita menginsafi betapa umat Islam khasnya bangsa Melayu masih berdepan dengan pelbagai masalah yang tidak kunjung selesai. Tibalah masanya kita untuk berdepan dengan masalah ini secara matang dan penuh kedewasaan.
Sekiranya kejujuran dapat dipancarkan oleh kedua-dua pihak, tidak mustahil permasalahan ummah dapat ditangani dengan sebaik mungkin demi manfaat bersama.
No comments:
Post a Comment