HANIF OMAR KAGUM DENGAN PAS
Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, kini memiliki ruangan mingguannya dalam akhbar THE SUNDAY STAR. Ruangannya diberi nama Point of View.
Pada ruangannya minggu ini beliau mengulas kejadian pengeboman di Kotaraya London dengan tajuk:
Way to win war against terror
Apa yang menarik perhatian dalam tulisan Hanif itu adalah sikap terkejutnya apabila mendapat tahu bahawa PAS sebagaimana kumpulan dan pimpinan Islam seluruh dunia turut mengutuk serangan keganasan di Kotaraya London itu yang telah mengorbankan lebih 50 nyawa yang tidak bersalah.
Mengapa beliau terkejut? Menurut Hanif:
As a Muslim who spent over 30 years fighting terror, I felt particularly gratified by PASs unequivocal condemnation of terror because some PAS members had previously preached intolerance.
Sebagai seorang Islam yang pernah terlibat lebih 30 tahun dalam menentang keganasan, saya berasa begitu terharu dengan sikap bersungguh PAS menentang keganasan kerana sebahagian ahli PAS pernah menyeru kearah demikian.
Dan Haniff terus mendakwa:
Some were involved prominently in Memali and Sauk. PASs position certainly augurs well for our country.
Terdapat (dikalangan ahli PAS) yang terlibat secara terang-terangan dalam peristiwa Memali dan di Sauk (Al Maunah). Sikap PAS kini menjanjikan sesuatu yang baik buat Negara.
Saya kesal dengan kenyataan Hanif yang cuba membabitkan PAS kononnya sebelum ini pernah terlibat dengan keganasan. Hanif sebenarnya terkejut kerana beliau pada hakikatnya telah jauh ketinggalan dari arus politik perdana khususnya yang melibatkan PAS.
(Semasa kejadian September 11 dahulu Presiden PAS ketika itu Almarhum Ustaz Fadzil Nor antara pemimpin Islam terawal yang mengutuk keganasan itu.)
Hanif tidak boleh membabitkan tindakan satu dua orang ahli dengan PAS secara keseluruhan. Sekiranya tindak-tanduk ahli itu tidak mencerminkan pendirian parti maka tidaklah adil mengaitkan tingkah-laku seseorang itu dengan partinya.
Kes Memali tidak melibatkan rakyat yang mengganas seperti di Kotraraya London, di Memali Polislah yang mencetuskan ketegangan sehingga akhirnya berlaku berbalas-balas tembak sehingga mengorbankan penduduk kampung dan anggota Polis sendiri.
Manakala di Sauk tidak pernah pun kita mendengar mana-mana pihak mengaitkannya dengan PAS kecualilah Hanif sendiri pada hari ini.
Kalau hujah semborono ini boleh diguna pakai, maka Umno juga parti pengganas. Hanif sendiri lebih arif kerana ketika kejadian berdarah 13 Mei 1969 Hanif adalah Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara dan beliau melihat sendiri betapa ramai pemimpin dan ahli-ahli Umno terlibat dalam peristiwa malang tersebut. Namun tak pula Hanif berani mengatakan yang Umno juga pernah terlibat dengan keganasan.
Tak perlulah Hanif mengaitkan perasaan terkejutnya itu dengan hakikat bahawa dia seorang Islam. Jika demikian Hanif sepatutnya perlu lebih sedar bahawa masyarakat Islam di Malaysia sendiri turut terperanjat dan kesal melihatkan beliau sebagai seorang tokoh kepolisian yang cemerlang tiba-tiba bersetuju melibatkan diri dalam indsutri perjudian setelah bersara. Judi itu haram disisi Islam, namun Hanif sebagai seorang Islam sanggup menerima perolehan dari hasil haram yang pasti menjadi darah daging beliau dan kaum keluarganya.
Terima kasihlah kerana kagum dengan sikap PAS pada hari ini, Hanif perlulah lebih mendekatkan dirinya dengan PAS supaya kenal lebih rapat lagi dengan parti Islam ini kerana rasa saya sejak meninggalkan Bukit Aman dan menceburkan diri pula dalam industri yang diharamkan oleh Allah swt itu, Hanif telah jauh hanyut dengan kemewahan dan mungkin telah tidak tajam lagi bacaan politiknya.
No comments:
Post a Comment