Sunday, July 24, 2005

APABILA PEMIMPIN MELAYU MUDAH MENGGADAIKAN PRINSIP

Melihat Rais Yatim membuat ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno semalam, serta Pak Lah pula dengan manja memanggil Radzi Sheikh Ahmad sebagai Di sahaja ketika ucapan penggulungannya mengingatkan kita betapa mereka yang satu ketika dahulu pernah berkerat rotan berpatah arang dengan bekas PM Dr Mahathir kini selesa bertaut mesra di keliling pinggang Presiden Umno yang baru.



Rais tanpa diminta oleh sesiapa pun semalam telah cuba menjernihkan imejnya apabila turut mengulas isu popular yang sering dikait dengan beliau iaitu MEMBAKAR JAMBATAN. Kata beliau:

Pokok lada tepi tempayan
Kalau dibakar jadi abu
Apa ada pada jembatan
Kalau dibakar buatlah baru

Isu membakar jambatan ini sinonim dengan Rais kerana ketika berlaku krisis kepimpinan dalam Umno ketika Ku Li mencabar Dr M dahulu, Rais telah menggunakan ungkapan ini untuk menunjukkan betapa beliau telah tiada lagi ikatan dengan Dr M dan Umno lalu melangkah keluar bersama Ku Li dengan menubuhkan Parti Melayu Semangat 46. Ku Li Presidennya manakala Rais Timbalan.

Umno digodam dan digasak dengan teruk oleh Rais ketika berada di luar. Demikianlah juga dengan Radzi. Saya teringat sebelum pilihnaraya 1990 dahulu pernah mengikuti satu taklimat pilihanraya yang diberikan oleh Radzi di rumah Mazlan Dato Harun di Sg. Buloh dimana Radzi berkata lebih kurang:

Ini bukan Umno Baru tetapi Umno Baru .... ah, baruah!

Tetapi semua itu telah berlalu. Rais dan Radzi telah kembali melutut pada Umno. Dr M pun telah berundur dari kepimpinan Umno. Kini Presidennya adalah Pak Lah, juga regu Ku Li semasa dalam Team B lalu tetapi tidak sebagaimana Ku Li, Rais dan Radzi, Pak Lah tiada kekuatan politik untuk keluar bersama-sama. Pak Lah lebih rela menelan pahit duduk di dalam kepompong Umno walau dipecat dari jawatan dan dipinggirkan. Demikianlah taatnya Pak Lah pada Umno.

Kini kuasa tertingg Umno ditangan Pak Lah. Tak hairanlah Pak Lah mengambil Radzi menjadi Setiausaha Agung Umno, memberi kerusi menteri pada Rais, memberi kembali kerusi parlimen kepada Shahril (yang juga bersama team B dulu) dan memberi tempat kepada rakan-rakan lamanya dulu samada dalam team B ataupun 46.

Cuma yang tak dapat Pak Lah beri tempat adalah Ku Li sendiri. Lalu tinggallah Ku Li menyendiri di Gua Musang, disisihkan oleh rakan-rakannya yang pernah seia dan sekata termasuklah yang telah membakar jambatan satu ketika dahulu. Ku Li cuba mencabar Pak Lah tetapi dari segi teknikalnya digagalkan. Khabarnya kini Ku Li sedang meninjau-ninjau alternatif lain, eloklah tu, kalau Umno sendiri pun sudah tidak menghargai beliau.

Berbalik kepada isu membakar jambatan tadi, saya kira apa yang lacking ataupun kekurangan dalam Umno hari ini adalah pemimpin yang berprinsip dan berwibawa. Kerana itulah Umno mudah dihinggapi pelbagai penyakit, penyakit politik wang, penyakit salah guna kuasa dan kedudukan, penyakit cantas-mencatas, penyakit kronisma dan nepotisma.

Pemimpin yang tulin dan tidak menggadaikan prinsip dan maruah untuk kepentingan diri sudah tiada lagi dalam Umno. Tiada lagi pemimpin yang setia dan berpegang teguh pada janji. Tiada lagi pemimpin yang berani sehidup dan semati. Yang ada cumalah sebagaimana diungkapkan oleh Allahyarham SN Dato Usman Awang dalam sajaknya Melayu yang dipetik oleh Pak Lah semalam:

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar

Siapa yang kuat dan gagah maka kesitulah semua akan berebut berteduh di bawah naungan payungnya walaupun yang kuat dan gagah itu mungkin dipihak yang salah. Segala ungkapan segala janji sumpah setia yang dilafazkan cuma berguna ketika ada kepentingan, namun jika kepentingan itu telah tiada, telah hilang, telah tiris dan koyak, maka relailah segala ikatan. Laksana jambatan tadi walaupun telah dibakar boleh pula dibina yang baru, jambatan Umno kata Rais!

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan
Jangan segan menetang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Demikianlah kata-kata keramat Usman Awang yang pada dasarnya sangat ketandusan dalam Umno pada hari ini. Lantaran itulah Umno akan sentiasa sukar untuk mengenal-pasti dan menonjolkan pemimpin yang benar-benar jujur dan berwibawa menepati kehendak sajak Melayu ciptaan Sasterawan Negara itu.

(Sekadar untuk dikongsi: Allahyarham SN Dato Usman Awang kembali ke rahmatullah pada tanggal 29 November 2001 pada usia 72 tahun. Seorang penulis terkenal Faisal Tehrani pernah membuat catatan - Di kamar Dato Usman saya lihat terpampang gambar-gambar beliau dengan pemimpin pembangkang seperti Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, ketika ini juga Dato Usman memberitahu saya yang beliau tidak sabar menanti antologi puisi Dari Derita Bangsa yang memuatkan puisi terakhir beliau berjudul SAUDARA ANWAR IBRAHIM diterbitkan.

Beliau meninggal dunia dalam keadaan menghormati dan mengkagumi DSAI dan saya percaya sajak MELAYU dibaca Pak Lah semalam beliau nukilkan dalam situasi dan suasana sedemikian.Alfatihah)

No comments: