Monday, May 30, 2005

APA ADA PADA USIA?

Belajar dari sejarah. Sejarah mengajar kita perkara dan peristiwa yang lalu yang mampu memberikan pengajaran dan panduan untuk kita mengayun langkah berkembara di dunia yang penuh cabaran dan dugaan ini. Berjayalah mereka yang sentiasa menimba ilmu dari khazanah pengalaman silam yang tiada nilai harganya.

PAS kini telah melampaui usia 50 tahun. Lebih lima dekad berlalu, pastilah banyak pengalaman yang dapat ditimba dan dipelajari bagi mereka yang mahu belajar dari pengalaman yang lampau.

Gesaan untuk kembali menyelak sejarah lalu ini berbangkit apabila pada hari ini ada suara yang mula mahu mengenakan syarat usia bagi menentukan kelayakan seseorang itu untuk menjadi pemimpin. Usia muda dikira tidak layak kurang berpengalaman dan berbagai lagi. Benarkah demikian? Apakah sejarah dalam PAS contohnya memang mengenakan syarat sedemikian?

Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmi

Menyertai PAS melalui jemputan AJK Kerja PAS Pusat. Tanggal 25 Disember 1956 dilantik menjadi Yang Dipertua Agung PAS (kini Presiden) pada usia 46 tahun.

Almarhum Dr Zulkifli Muhammad

Dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (kini Timbalan Presiden) pada tahun 1956 pada usia 39 tahun.

Allahyarham Dato Asri Muda

Menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS pada usia 41 tahun dan Presiden pada tahun 1971 ketika usianya 48 tahun

Almarhum Ustaz Fadzil Nor

Menjawat jawatan Timbalan Presiden pada usia 46 tahun

Tuan Guru Hj Abd. Hadi Awang

Timbalan Presiden: 42 tahun

Oleh hal yang demikian usia dalam PAS sebenarnya bukan faktor untuk menjadi pemimpin. Malah pemimpin-pemimpin PAS di atas adalah contoh-contoh benar mereka yang menjawat jawatan tertinggi parti pada usia yang muda namun berjaya membuktikan kemampuan dan kewibawaan masing-masing.

Jadi apa ada pada usia sebenarnya? Yang penting adalah kemampuan, kesediaan dan keihklasan.
USTAZ NASHARUDIN UNTUK TIMBALAN PRESIDEN:
RESPON DARI KAHERAH (PUTERA AL MARHUM USTAZ FADZIL)

Persaingan merebut jawatan timbalan presiden semakin rancak, tiga tokoh pimpinan parti telah mengesahkan perebutan jawatan tersebut. Seperti mana yang saya tahu perebutan jawatan timbalan presiden tidak pernah dipertandingkan sebelum kematian Al-marhum Ayahanda Ustaz Fadzil Noor. Selepas kematian beliau, perebutan jawatan timbalan presiden mula timbul. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak salah, kerana masing-masing ingin berbakti kepada parti dan ia menyuburkan lagi demokrasi di dalam parti.



Masalahnya, siapakah yang paling layak di dalam perebutan jawatan tersebut? Pada pendapat saya, orang yang paling layak ialah Al-Fadil Ustaz Nasharuddin Md Isa. Saya tidak bermaksud untuk menafikan kehebatan pimpinan yang lain, tetapi ketika saat yang genting ini, perlulah para perwakilan membuat pilihan yang tepat untuk kepentingan dan kemajuan parti dan bukan berdasarkan sikap taasub atau kasih kita terhadap sesorang sebaliknya berdasarkan kriteria dan kelayakan sesorang. Hal ini kerana saya merasakan Ustaz Nasha mempunyai ciri-ciri pimpinan yang berkualiti untuk membawa perubahan kepada perjuangan bersama presiden, dengan akhlak, ilmu, penguasaan dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris serta beliau mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh antarabangsa seterusnya menjadikan beliau tokoh yang paling layak untuk menjawat jawatan timbalan presiden.

Beliau juga merupakan bekas ahli akedemik di dua buah universiti di Malaysia dan ini menunjukkan persamaanya dengan Al-Marhum Ustaz Fadzil yang juga merupakan bekas ahli akedemik. Kita telah menyaksikan sewaktu Al-Marhum Ustaz Fadzil melantik beliau sebagai setiausaha agung dalam usia yang muda. Sudah tentu Al-Marhum mempunyai tujuan dan harapan yang tinggi terhadap Ustaz Nasha untuk menjadi pimpinan tertinggi pada suatu hari nanti, sudah masanya kita semua mengangkat Ustaz Nasha sebagai timbalan presiden.

Pada waktu sekarang kita harus memilih berdasarkan realiti, logikal dan suasana semasa, ini tidak bermakna saya menafikan kehebatan dan kasih sayang saya terhadap pimpinan-pemimpin yang lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, cuma waktu dan masa yang memerlukan kita membuat pilihan yang bijak.

Saya ingin mengajak para pejuang Islam serta diri saya untuk membuang sifat taassub kepada seseorang pemimpin. Beralih kepada kebenaran dan realiti, saya teringat kata ulama silam, Syeikhul Islam (Ibnu Taimiah), Adalah kekasih kami tetapi kebenaran lebih kami kasihi.

Sifat beginilah yang kita inginkan,iaitu inginkan kepada kebenaran dan kebaikan. Tetapi kita perlu sedar bahawa apabila kita memilih seseorang ia tidak bermakud kita membenci atau kita menyukai seseorang itu, hadis ada menyebutkan, Letakkan manusia pada tempat yang sesuai baginya, inilah hakikat kehidupan kita meletakkan orang paling layak untuk sesuatu jawatan agar gerak kerja boleh dijalankan dengan baik dan kita semua harus membantu orang tersebut bagi menjayakan cita-cita kita agar mencapai tahap keikhlasan dalam perjuangan.

Saya mengharapkan pada sidang muktamar kelak para perwakilan akan memilih calon yang paling sesuai untuk kedua tertinggi ini. Sekiranya kita tersilap pilih maka kita akan melihat kemunduran parti kita, marilah kita istikharah kepada Allah dan meminta nasihat daripada orang-orang ikhlas siapa yang paling layak.

Saya berpandangan orang yang paling layak adalah Ustaz Nasha. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat saya dan kita semua mempunyai pendapat masing-masing, kerana mengikut kaedah usul pendapat adalah sesuatu yang boleh dikongsi, jadi tidak mengapa jika di sana terdapat pendapat yang berbeda daripada pendapat saya,kerana kita semua bukanlah maksum, dan yang maksum adalah Nabi sallallah alaihisallam.

Mudah-mudahan kita semua diberi hidayah oleh Allah Taala. Amin.

Daripada,

Fauwaz Fadzil Noor,
Qaherah, Mesir.

Friday, May 27, 2005

USTAZ NASHARUDIN UNTUK TIMBALAN PRESIDEN:
RESPON DARI UNITED KINGDOM

Memantap Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan

Tajuk di atas merupakan tema Muktamar ke-48 PAS yang telah diadakan di Putik buat julung-julung kalinya. Muktamar penuh bersejarah dan kenangan itu membangkitkan satu nostalgia yang tidak mudah dilupakan oleh oleh para perwakilan dan pendokong Agama Allah yang cintakan kebenaran, yang menghayati jerih sebuah perjuangan sebagaimana yang dirintis oleh Junjungan Besar SAW dan para sahabat baginda.

Dari pembinaan Putik hinggalah kepada perbahasan-perbahasan penuh kematangan yang diutarakan oleh perwakilan (termasuklah lawak bermakna dengan panggilan Bapak Presiden, panggilan kepada Presiden Indonesia) oleh perwakilan Kedah kepada Almarhum Dato Fadzil Noor. Betapa ia menggambarkan iltizam yang cukup mantap dari tukang pembuat rumah batu hinggalah kepada mood perwakilan yang seakan melihat Parti PAS dan Barisan Alternatif yang diterajuinya boleh maju ke hadapan untuk menjadi pilihan kepada rakyat Malaysia yang muak dan mual dengan gelagat angkuh dan sombong pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia/UMNO pada masa itu.

Semangat kemenangan besar yang dikurniakan Allah dari pilihanraya ke-11 tahun 1999 telah mewarnai kemeriahan dan keceriaan semua peserta dari segenap lapisan.
Bekalan Allah untuk perjuangan Islam dengan kemenangan itu memberi seribu harapan dan pengertian terutamanya kepada mereka yang tidak pernah mengenal penat dan lelah perjuangan. Namun takdir Allah jua, pemergian pemimpin agung PAS di kala kilauan cahaya yang terpancar dari peribadinya, tuturkata dan keilmuan beliau yang seakan bakal memenuhi ruang udara Malaysia itu telah hilang secara tiba-tiba.

Kegelapan sementara yang terasa dengan pemergian Negarawan ulung itu sememangnya satu ujian Allah untuk menggerakkan dan menyedarkan pendokong Jamaah Islam; bukan sekadar untuk melahirkan satu atau dua pemimpin seperti Almarhum, malah puluhan dan ratusan tenaga-tenaga dan peribadi yang akan menjadi galang ganti kepada rentetan perjuangan tanpa henti ini.

Justeru, hanya masa yang memisahkan kita dengan kedatangan seorang lagi tokoh yang merupakan anak didik Almarhum. Beliau tidak lain adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa, permata yang ditemui oleh Almarhum untuk digilap dalam mendepani cabaran dan menyemarakkan kebangkitan Islam di Nusantara.

Sememangnya Almarhum merupakan seorang yang berpandangan jauh dan ahli politik Islam yang penuh daya kepimpinan dan wawasan. Bukan cuma pemimpin yang melihat perjuangan dari kacamata presiden sebuah parti politik, malah usaha-usaha beliau yang berterusan dalam cuba memahamkan segenap masyarakat dengan konsep dan kepimpinan Islam yang tulen telah menjadi perintis kepada Memorandum Negara Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Sayangnya beliau pergi sebelum kerja-kerja penyiapan memorandum disempurnakan, yang pada asasnya untuk menghapuskan kebimbangan rakyat terutamanya bukan/belum Islam terhadap konsep pemerintahan Islam. Final touch beliau yang dinanti-nanti tidak kesampaian.

Sebagai ingatan bersama, antara tujuh konsep yang digariskan adalah:

1. Negara masyarakat awam (madani) dan bertamadun (hadhari).
2 . Negara yang mengamal prinsip kesaksamaan (al-musaawaah).
3 . Negara yang mendukung kedaulatan undang-undang berdasarkan perundangan dan syariah Islam.
4 . Negara yang berteras dan bermatlamat keadilan (al-adaalah).
5 . Negara yang mendukung prinsip kelayakan (as-salihiah).
6 . Negara berkebajikan.
7 . Dan negara yang dinamik dan inovatif.

Sebenarnya ini bukan kali pertama istilah hadhari disebut dalam muktamar PAS. Muktamar PAS ke-33 juga menyaksikan istilah ini telah digunakan oleh kepimpinan kita. Namun, istilah hadhari yang disebut oleh beliau menjadi permainan pemimpin UMNO yang mengatakan Almarhum juga menyokong Islam Hadhari. Hakikatnya ia menunjukkan betapa beliau diterima sebagai pemikir Islam dan Negarawan yang ulung.

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai persepsi masyarakat tentang Islam akibat acuan ini yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan Barian Nasional dalam meneruskan agenda pemerintahan mereka. (melihatkan acuan-acuan sebelum ini mendapat tempat di hati penyokong melayu Islam)

Islam Hadhari, yang maklumat mutaakhir mengatakan menjadi perbincangan antara cikgu dengan murid-murid seawal darjah satu merupakan sesuatu yang cukup membimbangkan! Tentu sekali kerajaan Barisan Nasional seperti desperate untuk memastikan muntahan awal idea Islam Hadhari itu menjadi satu gagasan pemikiran yang bakal melahirkan masyarakat melayu Islam yang progresif mengikut acuan yang bakal didefinasikan mereka. Hakikatnya mengekalkan penguasaan mereka.

Maka sudah tentu cabaran yang dihadapi oleh PAS cukup besar. Ketokohan Tuan Guru Dato Presiden sekarang terutama keilmuannya amatlah disegani. Hinggalah buku terakhir beliau telah cuba diharamkan dan telah pun dirampas oleh pihak berkuasa yang kurang kesedaran dan bertanggungjawab. Gandingan beliau dan Ustaz Nasharudin cukup serasi. (Beliau sendiri diminta bertanding di Besut dalam pilihanraya lepas dengan harapan memudahkan perhubungan antara Presiden dan Setiausaha Agong.)

Saya merasakan gandingan ini akan menjanjikan kebangkitan dan menyegarkan kembali pejuang-pejuang dan pencinta agama Allah yang tidak sanggup lagi dan rimas dalam politik dan demokrasi sempit yang diamalkan di Negara kita sekarang ini. Adalah menjadi harapan saya, perwakilan tahun ini menggunakan mandat yang diberi untuk membawa perubahan, demi meneruskan kelangsungan perjuangan ini dengan membawa PAS ke era kemenangan Islam.

DR ROSLI - MANCHESTER

Thursday, May 26, 2005

RESPON DARI ANAKANDA ALMARHUM USTAZ DATO FADZIL NOR

Assalamualaikum,

Saya terpanggil untuk memberi reaksi terhadap tulisan Sdr Roslan SMS berkenaan Ustaz Nasharuddin.

Well, saya mengenali Ust Nasha sejak saya di UIA. Beliau adalah ustaz saya yang mengajar usul fiqh dan fasih berbahasa Arab dan Inggeris.


ALMARHUM UST FADZIL

So dengan kemahirannya dalam usul fiqh sama seperti almarhum Dato Fadzil yang mahir dan pakar dalam usul fiqh (satu ilmu bagi mengeluarkan hukum ) dan juga mantiq (satu ilmu yang memerlukan kepandaian dalam mematikan hujah) membuatkan kami sebagai anak muridnya amat kagum dengan ilmu nya walaupun beliau masih muda tetapi mampu menguasai ilmu dan tawadduk orangnya. Personaliti yang sungguh rendah diri.

Dan saya amat terkejut apabila almarhum ayahanda saya memberitahu yang Ustaz Nasha dah resign from UKM (selepas dia resign from UIA) rupanya untuk menerima jawatan Setiausaha Agung PAS. Saya tahu almarhum sukakan Ustaz Nasha dan senang dengan kecerdikan beliau. Dan saya rasa dengan ilmu nya beliau amat sesuai bagi jawatan yang tinggi sikit dari Setiausaha Agung.

Bagi saya orang muda seperti Ustaz Nasha yang digemari oleh ayahanda ini adalah percaturan yang baik dalam suasana politik sekarang. Dia adalah bayangan kedua Fadzil Noor. Saya dapat memikirkannya dan merasakannya. Moden, alim, bijak , bersosial dan ramah serta tawaduk, juga besederhana adalah ciri yang baik untuk jawatan Timbalan Presiden.

Dan saya rasa tak salah saya katakan, apa yang dibuat atau diplih oleh Ustaz Fadzil memang pada mulanya dikritik tetapi hasilnya amat mengkagumkan dan beyond pemikiran orang biasa. Mungkin agak keterlaluan kenyataan saya ini tetapi inilah suara hati saya bila Sdr Roslan SMS mengutarakan isu ini.

Sayang jika kemahiran Ustaz Nasha dibiarkan begitu sahaja. Bukan senang nak mencari orang yang boleh jadi ustaz dan boleh jadi politician. Seronok sungguh mengingati kembali keakraban baba dan beliau satu ketika dahulu.

MUNA IZZAH BT DATO FADZIL
26/5/05
MENGAPA JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN PAS KINI KRITIKAL

Muktamad demikianlah laporan Harakahdaily berkenaan penarikan diri Dato’ Dr Harun Din dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS walaupun mendapat pencalonan yang terbanyak dari kawasan-kawasan PAS seluruh Malaysia. Dengan penarikan diri beliau bermakna proses teka-teki semakin bermain di dalam benak pemikiran ahli-ahli PAS terutama para perwakilan ke mukatamar Jun ini, siapakah yang akan bertanding jawatan nombor dua terkanan itu?


Ustaz Nasharuddin

Sesungguhnya ramai yang dalam PAS mengharapkan suatu perubahan besar dalam saf kepimpinannya ekoran kekalahan besar parti itu dalam pilihanraya umum lepas. PAS memerlukan REPACKAGING bagi meyakinkan masyarakat bahawa ianya relevan dan merupakan alternatif penyelesaian yang mampu dan tepat kepada Umno dan Barisan Nasional.

Masyarakat alaf baru ini bukan sekadar melihat kepada FORM ataupun bentuk tetapi turut mahu menilai SUBSTANCE yang diwakili oleh mereka yang mengepalai parti. Islam dan PAS memang sinonim namun masyarakat pengundi kini tidak sekadar tergerak untuk mengundi PAS hanya kerana ia parti Islam pada nama. Masyarakat hari ini mahu turut diyakinkan dengan kemampuan dan kebolehan para nakhoda yang mengemudi bahtera PAS.

Dan pasti masyarakat pengundi tidak bersalah kerana membuat tuntutan sedemikian kerana ianya mencerminkan kedewasaan dan kematangan mereka sebagaimana ahli-ahli dan para perwakilan PAS juga tidak salah dalam menuntut agar saf kepimpinan yang dinamik dan bertaqwa memimpinnya bagi memastikan keyakinan masyarakat dipenuhi.

Apa pun bagi ahli-ahli PAS sudah pasti mereka mahu melihat Islam ini akhirnya berjaya dan prinsip serta matlamat perjuangan parti yang mereka perjuangankan selama ini akan dapat direalisasikan. Ini hanya akan dapat dicapai kiranya PACKAGE yang dibawa oleh PAS itu sesuatu yang memikat hati ramai. Islam itu sememangnya sudah cantik dan menarik namun realitinya ia akan menjadi bertambah berseri apabila teraju kepimpinan turut dilihat cantik dan menawan.

Politik berkait rapat dengan persepsi dan penerimaan masyarakat. Oleh kerana PAS bergerak atas wadah politik maka perkara ini perlu pada pemerhatian serius semua pihak khasnya para perwakilan yang akan mencorak masa depan parti.

Bagi saya dengan perkembangan mutakhir ini saya melihat satu-satu tokoh yang mampu merangsang dan memikat sokongan untuk parti dan menjadi gandingan yang padat dan cocok untuk Tuan Guru Presiden adalah Ustaz Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS kini.

Ustaz Nasharudin walaupun pada usia yang jauh lebih muda dari calon-calon Timbalan yang lain namun beliau telah diuji. Melepaskan jawatan pensyarah di UKM diketika kariernya dibidang itu sedang bersinar. Berjaya menyerlah sebagai Setiausaha Agung di bawah Almarhum Ustaz Fadzil dan kemudiannya Tuan Guru Presiden. Juga memain peranan yang baik semasa sepenggal di dewan rakyat. Beliau memiliki karisama, mudah digauli dan disenangi oleh kawan dan lawan. Dan dari segi kelayakan beliau saya berani istilahkan sebagai tokoh dua dalam satu iaitu kedua-dua profesyional dan ulamak bersekali.

Saya menulis ini dengan hasrat menyatakan pendirian peribadi saya dalam suasana yang ada kini, jika berkempen namanya, insyallah berkempen secara positif dan penuh jujur serta ikhlas. Saya menghormati tokoh-tokoh lain yang saya sendiri dan saya percaya ramai yang lain hormati dan sayang belaka, namun yang penting kini adalah kelangsungan perjuangan Islam dan kejayaannya. Mudah-mudahan para perwakilan akan dapat memilih yang terbaik antara yang baik-baik dengan penuh rasional dan tanggungjawab insyallah.

Wednesday, May 25, 2005

BERCAKAP BOHONG LAMA-LAMA JADI MENTERI

Dalam masa tak sampai 48 jam satu berita yang dipetik dari seorang Timbalan Menteri boleh berubah-ubah dan akhirnya dari perkara yang serius dan besar menjadi kecil dan hilang nilai. Dari isu mengancam keselamatan Negara yang kritis dan sebesar gunung akhirnya bertukar menjadi kecil sekecil semut yang halus. Demikianlah al kisahnya polimik kumpulan militan baru yang dicetuskan oleh Noh Omar Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.


Ikan duri, Noh dan Ikan Senohong

Dalam akhbar-akhbar tempatan Isnin lalu Noh dilaporkan sebagai berkata Negara diancam oleh sekumpulan militan yang sedang dipantau pihak keselamatan. Akta Keselamatan Dalam Negeri yang Suruhanjaya Di Raja berkenaan Polis cadangkan untuk disemak semula itu, kononnya mungkin digunakan untuk mematahkan ancaman kumpulan ini.

Gegak-gempita bunyinya. Tidakkah menghairankan sesuatu yang demikian besar ancamannya kepada Negara, tiba-tiba kerajaan memilih sekadar seorang Timbalan Menteri yang tidak pun duduk dalam kabinet untuk membuat kenyataan.

Dan seperti diduga belum pun sempat berita kontroversi itu menggelegak panas, Noh berpatah arah dan menyatakan beliau kononnya telah disalah petik. Kononnya yang beliau maksudkan bukannya kumpulan militant tetapi kumpulan ajaran sesat.

Dalam waktu yang sama Timbalan PM yang juga Menteri Pertahanan mengeluarkan sindiran bahawa dalam hal perisikan sepatutnya kita tidak banyak bercakap!

Hari ini kredibiliti Noh terus disagat apabila Menteri di JPM Dr Abdullah Mat Zain menyatakan:

Kegiatan kumpulan ajaran sesat dalam negara pada masa ini adalah terkawal dan tidak membimbangkan

Bermakna kumpulan militan pun tidak, ajaran sesat pun tidak, oleh itu mengapa begitu celupar mulut Noh mahu menakut-nakutkan Negara dan rakyat? Tidakkah ini kelak bakal menghantar mesej yang negatif kepada para pelabur dan dunia asing. Dalam waktu kita bersungguh mahu menerangkan kepada dunia bahawa Malaysia ini sebuah destinasi yang selamat, tiba-tiba kita ada seorang Timbalan Menteri yang berlagak lebih dari Pak Pandir.

Barangkali ancaman sebenar adalah meletakkan Noh sebagai seorang Timbalan Menteri. Benarlah apabila orang moden memperkenalkan bidalan baru:

Siakap senohong gelama ikan duri. Bercakap bohong lama-lama jadi menteri!

Tuesday, May 24, 2005

TIMBALAN MENTERI ATAU AKHBAR YANG GELOJOH

Terpampang di dada akhbar THE STAR semalam:

Ancaman baru. Kerajaan kenal pasti kumpulan militant yang beroperasi dalam Negara.

Saya percaya seluruh Negara terkejut dengan berita ini yang berpunca dari Timbalan Menteri Keselamatan dalam Negeri Noh Omar. Menurut THE STAR Noh berkata kumpulan militant ini tidak sebagaimana JI namun ianya juga bukan salah satu dari 24 kumpulan ajaran sesat yang didedahkan oleh JAKIM tempoh hari.

Apakah tujuan Timbalan Menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa?

Apabila Timbalan PM Najib Tun Razak diminta mengulas kenyataan Noh ini Najib berkata:

Di dalam bidang perisikan ini kita tidak boleh cakap banyak sangat.

Siapakah yan banyak cakap itu, jika tidak Timbalan Menteri berkenaan! Dan tiba-tiba dalam TV3 semalam Noh dilaporkan sebagai terkejut dengan laporan akhbar berkenaan. Beliau kononnya menafikan sekeras-kerasnya pula yang kumpulan yang sedang disiasat polis itu berbentuk militant. Kata beliau ia sebenarnya kumpulan ajaran sesat.

Nampak macam kalut sahaja. Mana satu yang gelojoh, gelabah dan berbohong? Timbalan Menteri atau akhbar atau kedua-duanya sekali?

Sebagai seorang Timbalan Menteri yang bertanggungjawab atas portfolio Keselamatan Dalam Negeri saya kira Noh perlu sentiasa berhati-hati tidak mencetuskan suasana tegang, panic dan menyusahkan rakyat. Di zaman-zaman sebelum ini hal-hal kepolisian biasanya dilaporkan sendiri oleh pihak polis untuk pengetahuan awam. Sejak akhir-akhir ini Timbalan Menteri begitu ghairah nampaknya mendahului polis dalam hal ini, akibat jadilah banyak bercakap tapi isinya kosong.

Sayang Negara dunia pertama tetapi menterinya taraf tercorot.
KONGSI KUASA BN MULA DIPERTIKAI

Perkara ini bukan sesuatu yang baru, ia sering menjadi bahan pertikaian khususnya sesama anggota Umno apabila satu-satu kerusi majority Melayu diserahkan kepada parti komponan bukan Melayu atas alasan semangat setiakawan BN serta konsep kongsi kuasa yang mereka amalkan. Umno lah yang sering menjadi mangsa apabila perlu menjelaskan pula kepada penyokong mereka di akar umbi darihal rasionalnya penyerahan satu-satu kerusi itu.

Kini gendang pertikaian itu dipalu semula. Umno bahagian Kelana Jaya umpamanya (Ketuanya Mohamad Mohd Taib) baru-baru ini menyuarakan keluhan mereka tentang hal ini. Kata Timbalan Ketuanya, mengapa Umno sahaja yang menjadi mangsa apabila isu pembahagian kerusi semasa pilihanraya berbangkit.

Kerusi baru parlimen Kelana Jaya adalah unik kerana komposisi kaumnya seperti berikut Melayu 42.13 peratus, Cina 37.5 peratus dan India 19.36 peratus. Pada pilihanraya umum yang lalu Muhammad Taib disebut-sebut sebagai bakal bertanding di kerusi parlimen tersebut, tiba-tiba disaat akhir ianya diserahkan kepada MCA.

Sementara itu di Pulau Pinang, Umno bahagian Bukit Mertajam pula mencadangkan agar kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan antara parti-parti komponan sebagaimana yang pernah diamalkan di Sabah satu ketika dahulu. Di dewan undangan negeri Pulau Pinang terdapat 40 kerusi dimana Umno menang 14, Gerakan 13, MCA 9, MIC 2 dan DAP serta PAS masing-masing 1. Namun sejak zaman berzaman Umno tidak pernah sekalipun berpeluang duduk di kerusi empuk Ketua Menteri itu walaupun ia merupakan rakan kongsi terbesar.

Sesungguhnya banyak lagi kerusi yang Umno telah gadaikan dan tindakan tersebut jelas tidak disenangi oleh kalangan ahli-ahlinya. Apakah dengan perkembangan terbaru ini bermakna Umno sudah tidak yakin lagi dengan formula perkongsian kuasa selama ini?

Demikianlah lambat-laun nasib mana-mana parti yang berjuang atas dasar perkauman. Umno, MCA dan MIC adalah contoh parti yang berjuang atas dasar perkauman dalam Negara kita sejak merdeka. Sungguhpun masing-masing mereka menerima konsep perkongsian kuasa demi kepentingan bersama namun apabila ahli-ahli mereka mula menuntut dan bersuara akhirnya parti pasti perlu akur dengan tuntutan ahli dan akan timbullah bibit-bibit perpecahan sesama komponan. Ketika itu perpaduan Negara akan dilontar keluar tingkap dan yang tinggal untuk diperjuangkan adalah nasib dan kepentingan kaum yang diwakili masing-masing.

Lantaran itulah kita perlu berhijrah segera meninggalkan perjuangan berbentuk kaum dan mencari alternative yang lain yang lebih bermakna dan berkekalan.

Sunday, May 22, 2005

MENGENALI PEMIMPIN MELAYU ISLAM YANG SEJATI

Menelaah MINGGUAN MALAYSIA hari ini saya dapat mengumpulkan persepsi kepimpinan yang berbeza dari tiga pemimpin Melayu yang berbeza melalui tiga liputan berita yang berbeza.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan adalah Pak Lah, Syed Razak MB Kedah dan Tok Guru Nik Aziz.

Pak lah di dalam perutusan sempena Hari Wesak menyatakan:

Dengan berpandukan ajaran agama yang kita anuti, kita dapat memastikan Negara ini terus ditadbir secara beramanah, adil dan saksama.

Syed Razak pula dalam temuramah khasnya menyebut:

Dunia politik ini macam duduk berumah di tepi laut. Kita terdedah kepada angin dan ribut, dan kalau datang tsunami habis kena sapu semua sekali (ketawa).

Manakala Tok Guru Nik Aziz juga dalam wawancara khas yang lain menyebut:

Saya duduk di atas kerusi Menteri Besar serupa saya duduk di atas sejadah. Sama-sama berabdi kepada Allah. Abdi dalam solat, jaga harta benda kerajaan supaya tidak membazir dan tidak rasuah itu juga ibadat kepada Allah begitu juga dalam soal menjaga maruah manusia.

Saya mengajak para pembaca menilai persepsi kepimpinan ketiga-tiga pemimpin ini. Mungkin isu yang mereka ulas berbeza, namun ketiga-tiga dilihat cuba mengenengahkan fahaman masing-masing terhadap isu politik dan kepimpinan.

Saya lihat Pak Lah cuba selitkan mesej agama, tetapi tampak kabur. Syed Razak
lebih mengambarkan frustration terhadap situasi politik di Kedah. Tapi mesej Tok Guru bagi saya sungguh menyentuh kalbu, dalam dan penuh pengajaran.

Orang Melayu Islam perlu kepada pemimpin yang melihat dunia dengan kaca mata Islam yang jelas dan bukan dwi fokal atau berbagai fokal. Keadaan masyarakat hari ini kita akui runcing dan kita dalam teraba-raba mencari penyelesaian. Pemimpin yang mampu menyedar dan menyelamatkan kita adalah pemimpin yang beramal dengan apa yang ia cakapkan.

Itulah bagi saya pemimpin Melayu Islam yang sejati, yang harus dihormati dan diteladani. Rugilah bangsa Melayu bila tidak tahu menilai antara kaca dan permata.

Friday, May 20, 2005

INI DIA MAHFUZ YANG SEBENAR

Internet merupakan meadan sumber maklumat terkini dan yang terpantas namun tidak semestinya yang tepat. Baru-baru ini terdapat satu surat layang yang diedarkan oleh seorang penulis Ahmad Sufi Baharudin dari Pokok Sena yang disiarkan di dalam beberapa laman web. Surat tersebut mendakwa Hj Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat dan bekas ahli parlimen Pokok Sena telah memperolehi 300 permit teksi dari Nazri Aziz ketika beliau Menteri Perusahaan Awam dahulu.


Gambar semasa YB dahulu

Saya turut menerima surat ini melalui email saya namun tidak menyiarkannya oleh kerana meragui kesahihannya dan kebetulan mengenali Hj Mahfuz dan tahu serba-sedikit berkenaan kehidupannya. Sebagai seorang sahabat saya telah forwardkan email ini untuk diulas sendiri oleh Hj. Mahfuz.

Sebentar tadi saya menerima panggilan dari beliau yang baru sahaja pulang dari luar negara. Jelas berita tersebut palsu dan berupa fitnah terhadap beliau.

Menurut Hj. Mahfuz semasa menjadi ahli parlimen dahulu beliaulah antara yang paling vokal menyuarakan isu pemberian permit teksi secara berleluasa ini. Beliau pernah bertikam lidah dengan Nazri dan pernah menyerahkan memorandum bantahan sebanyak dua kali kepada menteri tersebut. Kata Mahfuz tidak masuk akal dengan sikap dan pendirian sedemikian tiba-tiba Nazri boleh menganugerahkan pula kepada beliau 300 permit!

Banyak usaha digunakan oleh pihak musuh untuk menjatuhkan satu-satu pemimpin dan PAS sangat masak dan matang dengan usaha-usaha jahat seumpama ini. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dipenjarakan kerana kononnya menyokong Indonesia semasa peristiwa konfrantasi, Almarhum Prof Zulkifli Muhammad pernah difitnah kononnya meminati Saloma demikianlah rentetan kerja-kerja jahat ini. Muhammad Sabu cuba dijatuhkan dengan skandal khalwat malah Anwar Ibrahim jatuh lantaran fitnah liwat.

Bagi para pejuang Islam fitnah-fitnah seumpama ini adalah lumrah dalam perjuangan. Cuma yang cekal dan gagah sahaja yang mampu berdepan dengannya. Saya memberitahu Mahfuz yang beliau perlu membuat penafian kerana trend pada hari ini, menuntut yang dituduh perlu membela diri jika tidak satu-satu pertuduhan itu akan dianggap benar.

Mudah-mudahan dengan penjelasan beliau ini akan meredakan kegelisahan banyak pihak. Saya yakin para perwakilan PAS ke muktamar PAS pada awal Jun nanti tidak sedikit pun akan terpengaruh dengan fitnah jahat ini. Allah bersama mereka yang benar.
GT JEPUN MEMOMOK PEJUANG HAK WANITA

Persidangan NAM mengenai kemajuan wanita dah pun berlalu dengan Deklarasi Putrajaya yang kononnya mahu memperjuang dan membela hak wanita dunia. Dalam tulisan saya di BLOG ini berkenaan persidangan itu saya menyebut bahawa para pejuang wanita jangan sekadar diperalatkan untuk menyerang Islam, masyarakat dan institusi serta amalannya kerana kononnya mendiskriminasi wanita dalam hal-hal tertentu.



Kita perlu buka mata kita lebih luas lagi dan melihat hal-hal lain dimana wanita jelas didiskriminasi, diperalat dan dijadikan bahan dagangan untuk kepuasan nafsu pihak berkepentingan tanpa kita berasa apa-apa. Mengapa perkara yang sangat berleluasa khususnya di Negara-negara maju termasuklah di Malaysia ini tidak diperjuangkan malah digalakkan pula.

Wanita dikenakan pakaian sehalus dan sekecil mungkin, diperagakan untuk mempromosi barangan tertentu yang kadangkala tiada kaitan langsung dengan wanita itu sendiri. Mengapa dan apa tujuan mereka diperalatkan sedemikian rupa, apa para pembeli petrol atau rokok contohnya hanya akan tergiur untuk membeli barangan tersebut apabila melihat wanita diperagakan sedemikian?

Mengapa Menteri Wanita senyap, pejuang-pejuang wanita khususnya yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan tidak bersuara? Wanita dan Puteri bagaimana?

Menurut UTUSAN MALAYSIA hari ini lebih 50,000 orang dijangka membanjiri Litar F1 Sepang untuk menyaksikan Kejuaraan GT Jepun 2005 pada 26 Jun ini. Utusan memuatkan gambar gadis-gadis Jepun yang membuat promosi kejohanan ini. Nak tonton GT atau nak tonton gadis Jepun yang separuh bogel itu nanti?

Apa pandangan Shahrizat Jalil dalam hal ini? Tak mengapa agaknya?

Demikianlah sikap berpilih-pilih kita.Apabila ada usaha untuk memartabatkan wanita dari perspektif Islam dengan kita mensyaratkan mereka berpakaian sopan dan menutup aurat, mengasingkan mereka dari yang bukan mahram, banyak pihak serang dengan alasan kononnya mendiskriminasi dan menyekat hak wanita.

Sekarang contohnya tiga wanita Jepun yang memperagakan dada dan betis ni macam mana, terkecuali atau OK? Sia-sialah Malaysia membakar duit menganjurkan persidangan itu kalau akhirnya begini murah wanita diperlakukan.

Thursday, May 19, 2005

MAHATHIR DAN YAHUDI TERSEKAT DI PINTU AL QUDS

Ada yang seakan tidak percaya apabila membaca berita darihal keenganan regim Israel membenarkan bekas PM Dr Mahathir mengunjungi Baitul Muqadis. Menurut Menteri Luar Palestin Mahathir dinafikan kebenaran memasuki Jerusalem kononny kerana pendirian tegas beliau dalam isu Palestin dan kritikannya terhadap regim Israel.

Menurut laporan ketika kejadian tersebut Mahathir berkata:

What I have seen vindicates all my views and thoughts about this racist regime

Apa yang telah saya saksikan membenarkan semua pandangan dan pemikiran saya terhadap regim perkauman ini.

Kita di Malaysia sesungguhnya tak payah pun melangkah ke Palestin untuk tahu bahawa sememangnya regim Israel itu zalim dan penindas yang tidak pernah menghormati pandangan ataupun pendirian mana-mana puak pun kecuali yang sealiran dengannya.



Dari Malaysia kita sudah dapat melihat dan membaca tentang pencabulan regim Israel terhadap hak dan kedaulatan rakyat Palestin. Rumah dan penempatan dimusnahkan, para pejuang kebebasan ditangkap dan dibunuh, apa yang tidak pernah dilakukan oleh regim yang lebih zalim dari Fascist dan Nazi itu.

Cuma sebenarnya yang tidak percaya dan tidak berapa simpati adalah Mahathir sendiri. Bukan lagi rahsia bahawa semasa beliau PM beliau telah cuba berbaik-baik dengan regim ini menerusi misi perdagangan, hubungan sosial dan seumpamanya. Kerana cenderung kepada Israel maka Mahathir telah menangkap dan memenjarakan bekas ahli Parlimen Pokok Sena, Hj. Mahfuz Omar kerana kononnya mengetuai demonstrasi menentang kehadiran pasukan kriket Israel yang diundang oleh kerajaan Mahathir ketika itu.

Mahfuz telah didakwa kerana menyertai perhimpunan haram, dibicarakan dan didapati bersalah serta dihukum denda RM1,500.00. Namun kerana bencikan regim Israel dan yakin bahawa tindakan beliau itu demi menyatakan protes secara terang-terangan atas sikap kerajaan Mahathir maka Mahfuz telah memilih untuk masuk ke penjara dan ditahan selama 1 bulan.

Apa telah lupakah Mahathir darihal insiden itu? Tiba-tiba bila ditahan oleh regim Israel di pintu Al Quds barulah beliau kononnya mahu mengakui yang Israel ini sebenarnya zalim dan berbagai lagi. Rupanya bukan orang Melayu sahaja yang mudah lupa, Mahathir pun dah semakin lupa nampaknya!

Wednesday, May 18, 2005

GUANTANAMO SIMBOL KEDURJANAAN AMERIKA

Pagi tadi melalui CNN disiarkan secara langsung sidang akhbar hasil pertemuan Setiausaha Negara Amerika Dr Condoleeza Rice dan Menteri Luar UK Jack Straw. Salah satu soalan yang dibangkitkan oleh wakil media adalah berkenaan berita diakhbar Newsweek berkenaan penghinaan terhadap Al Quran yang sengaja dilakukan oleh tentera Amerika bagi mengugut tahanan di Guantanamo Bay.



Ekoran laporan ini demonstrasi besar-besaran telah tercetus di Pakistan dan Afghanistan (yang telah mengorbankan nyawa) serta beberapa Negara Islam yang lain.

Rice menegaskan bahawa berita itu telah memberikan gambaran yang negatif (Newsweek telah pun menarik balik berita tersebut, namun tidak menafikannya) terhadap Amerika dan sekutu-sekutunya. Malah menurut Rice pentadbiran Amerika menghomrati Islam dan amalan-amalannya dan tidak sekali-kali bersetuju dengan sebarang usaha atau langkah menghina Islam oleh mana-mana pihak pun.

Namun Rice tidak pula menyatakan sampai bila kira-kira 520 orang tahanan berbagai bangsa terutama dari Afghanistan dan Pakistan yang ditahan sejak peristiwa September 11 dan camnputangan Amerika ke atas Afghanistan itu akan dibebaskan. Para tahanan ini tidak diberikan hak sebagaimana tawanan perang lain, malah mereka dilayan seumpama haiwan, dan gambar-gambar keadaan mereka telah pun tersebar luas keseluruh dunia.

Mungkin laporan Newsweek itu tidak benar, mungkin benar tetapi cuba digelapkan oleh pentadbiran Amerika, kerana Newsweek mempunyai rekod sebagai majalah politik yang sentiasa tepat dan sahih. Apa pun yang jelasnya umat Islam sehingga kini masih tertanya-tanya apa nasib saudara se Islam mereka di sana yang sehingga kini masih ditahan tanpa bicara.

Kerana itulah apa sahaja berita yang terbit dari Guantanamo pasti akan mendapat perhatian seluruh umat Islam yang prihatin. Sesungguhnya Guantanamo adalah lambang kedurjanaan Amerika di bawah Bush. Amerika yang selama ini merupakan pejuang hak asasi telah tercemar tangannya melalui penjara Guantanamo.

Mudah-mudahan Allah swt memberikan kekuatan kepada saudara-saudara se Islam kita yang dituduh pengganas itu namun tidak pernah dibuktikan secara terbuka. Ya Allah lindungilah mereka.

Tuesday, May 17, 2005

SEKSYEN 27 AKTA POLIS
MEMBELENGGU DEMOKRASI DI MALAYSIA

Sejak Laporan Suruhanjaya Di Raja berkenaaan Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM didedahkan kepada orang-awam maka banyaklah komen dan pandangan dari pelbagai pihak diterima. Tahniah seharusnya diberikan kepada anggota suruhanjaya berkenaan kerana berjaya menerbitkan dengan bebas laporan setebal lebih 500 mukasurat itu.

Bagi saya salah satu syor yang diberikan oleh suruhanjaya berkenaan yang saya kira wajar diberikan perhatian serius adalah berkenaan meminda Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang sejak zaman berzaman telah membelenggu dan mengekang kebebasan dan demokrasi khususnya terhadap kegiatan parti-parti politik pembangkang. (Parti pemerintah biasanya terlepas dari sebarang peraturan ataupun diberikan keistimewaan).



Seksyen berkenaan adalah berkaitan hak parti-parti politik untuk menganjurkan perhimpunan, persidangan, perarakan dan perjumpaan. Dalam hal ini polis diberikan kuasa yang terlalu luas dan pentafsiran akta adalah berdasarkan kehendak dan kemahuan pihak polis semata-mata, yang biasanya dibuat berdasarkan cita rasa menteri yang bertanggungjawab. Sehinggakan parti-parti politik yang berdaftar sah dalam Negara menurut peraturan undang-undang pun terpaksa melutut kepada pihak polis apabila berhasrat menganjurkan majlis-majlis tertentu.

Apakah sebenarnya hasrat undang-undang ini pada asalnya? Saya pasti ianya bukan untuk menyekat kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan hak mereka. Pada saya perlunya undang-undang ini barangkali adalah semata-mata untuk memastikan kelancaran sesuatu majlis, agar ianya tidak menghalang lalu-lintas atau kehidupan orang awam yang lain. Agar suasana tegang dan huru-hara tidak wujud. Itu sahaja.

Pihak berkenaan perlu ingat bahawa yang mahu dikawal ini bukannya golongan pengganas, kumpulan haram atau seumpamanya. Mereka adalah anggota parti-parti yang sah disisi undang-undang yang masing-masing terima, akur dan junjung kedaulatannya.

Takkanlah kerana mahu menganjurkan suatu majlis dalam premis sendiri atau premis yang disewa maka pelbagai syarat dan peraturan yang tidak masuk akal dikenakan. Menurut rekod pihak polis pernah menyerbu dan menghentikan majlis-majlis yang dianjurkan oleh badan-badan politik walaupun dianjurkan dalam premis sendiri, rumah ahli ataupun premis yang disewa. Pernah seorang ADUN di Kedah yang cuba berunding dengan pihak polis ketika majlis diserbu, digari dan diseret ke trak polis di depan khalayak ramai!

Saya kira di Malaysia tidak pernah pun kita melihat mana-mana majlis yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang khususnya berakhir dalam suasana tegang, huru-hara dan seumpamanya. Malah demonstrasi yang dianjurkan pun biasanya berakhir dengan aman, ada majlis bacaan doa pula dipenghujungnya. Yang kita nampak jadi tegang dan huru-hara biasanya bila pihak polis campurtangan, dalam keadaan demikianlah apabila gas pemedih mata dan water canon ditalakan kea rah majlis yang aman, maka kekecohan tercetus.

Kita perlu bersikap rasional, memberikan kebebasan dan peluang kepada semua pihak untuk berinteraksi dan menyampaikan mesej serta penerangan kepada rakyat darihal sikap dan pendirian mereka terhadap satu-satu isu. Apabila undang-undang yang ada kita guna-pakai untuk menyekat dan menghalang aktiviti demokrasi seumpama ini maka kita sekaligus terlibat dalam membelenggu demokrasi itu sendiri.

Yang penting kita minta parti-parti politik bertanggungjawab terhadap majlis-majlis yang mereka anjurkan. Jika berlaku sesuatu yang melanggar peraturan atau apa sahaja yang seumpamanya maka parti berkenaan yang latarbelakang pimpinan dan ahlinya ada pada pihak cawangan khas PDRM bolehlah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Jangan kita biarkan pihak polis diperalatkan untuk kepentingan politik pihak yang berkuasa. Peraturan yang ada jika tidak dipinda memang pun telah dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan politik mereka yang berkuasa.

Kalau kita berhasrat menjadikan Malaysia setaraf dengan Negara dunia pertama yang lain maka demokrasi yang diamalkan juga perlu setaraf dan setanding dengan yang terdapat di dunia pertama. Jangan Negara sahaja nak jadi dunia pertama tetapi demokrasi ala Mugabe ala Saddam, dari dunia ketiga. Syabas pihak suruhanjaya!

Monday, May 16, 2005

KES MENGHINA AL QURAN DI GUANTANAMO

Majalah Newsweek di dalam liputannya telah memuatkan darihal layanan yang diterima oleh tahanan Islam Guantanamo Bay, Cuba. Menurut laporan tersebut terdapat saksi yang memberi maklumat melihat anggota tentera Amerika yang menyoal-siasat tahanan di sana telah melontarkan Al Quran ke dalam mangkuk tandas lalu dipam bagi menghina tahanan berkenaan.
Lanjutan dari pendedahan Newsweek itu beberapa Negara Islam telah mendesak agar kerajaan Amerika menyiasat kejadian tersebut dan memberikan penjelasan sebenar. Rakyat di Pakistan dan Afghanistan (kebanyakan tahanan di Guantanamo datang dari kedua-dua buah Negara tersebut) telah keluar beramai-ramai menunjuk perasaan membantah tindakan biadap Amerika itu.


DEMO DI PAKISTAN

Dalam kekalutan ini Setiausaha Negara Amerika Rice terpaksa membuat kenyataan bahawa Amerika tidak pernah sekali-kali bertindak menghina kitab suci Al Quran dan akan menyaisat kejadian tersebut jika benar.

Dan hari ini Newsweek telah membuat kenyataan memohon maaf, dan cuba mempertikaikan pula kesahihan laporannya itu sendiri.

Apa pun yang mahu saya utarakan di sini adalah sikap Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia. Dalam akhbar tempatan semalam apabila diajukan soalan berkenaan isu ini (sebelum kenyataan Newsweek hari ini) Pak Lah sekadar berkata beliau kesal dengan kejadian tersebut akan tetapi menegaskan bahawa TIDAK ADA APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN.

Sebagai sebuah Negara yang berdaulat, mewakili NAM dan OIC pula, saya kira banyak yang boleh kita lakukan. Sekurang-kurangnya kita mengirimkan nota bantahan kepada kedutaan Amerika di sini, dan minta supaya kejadian ini disiasat sebenar-benarnya. Kita juga boleh mengarahkan diadakan solat hajat di masjid dan surau-surau di seluruh Negara.

Takkanlah bila Al Quran, kitab suci pegangan kita, hukum tertinggi kita diperlakukan sedemikian rupa kita sekadar berlepas tangan mengatakan kita tidak boleh buat apa-apa!

Semasa zaman pemerintahan Khalifah Al Muktasim dari Bani Abasiyyah, kerajaan Islam ketika itu dikira terlalu lemah. Namun apabila berlku satu kejadian dimana seorang muslimah dihina dan diperlakukan oleh musuh-musuh Islam di sebuah Negara bukan Islam, Muktasim yang memiliki kerajaan yang lemah itu telah mengerahkan bala tentera Islam ke Negara tersebut demi menebus maruah Islam.

Dalam hal ini kita tidaklah mengharapkan Pak Lah melakukan sebagaimana Muktasim, tetapi sekurang-kurangnya keluarkanlah kenyataan yang tegas yang mencerminkan pendirian Malaysia, yang membela maruah dan nama baik Islam. Sampai bila kita nak berterusan bersikap tak boleh buat apa-apa ni?

Friday, May 13, 2005

PAKAIAN RAFIDAH DI TEHRAN
JANGAN SAMPAI MENDISKRIMINASI HUKUM

Saya berkesempatan menonton Buletin Utama TV3 semalam. Antara highlight nya adalah kunjungan rasmi PM dan rombongan ke Republik Islam Iran. Ditunjukkan pertemuan antara PM dan delegasi Malaysia bersama Presiden Khatami dan para menterinya.

Yang saya asyik perhatikan lalu terbit persoalan dalam dada, mengapa Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz perlu tutup kepala (walaupun jambul di depan terdedah) bila bertemu Presiden Iran Khatami di Tehran semalam?


Pak Lah, Rafidah dan rombongan mengunjungi Ayatollah Khamanaei

Rafidah yang saya tahu kalau menghadiri majlis-majlis persidangan, forum dan berbincang dengan para perwakilan Negara asing tidak pernah berpakaian demikian. Mengapa di Tehran beliau berubah?


RAFIDAH YANG KITA KENAL SEHAR-HARI

Adakah kerana menghormati Khatami selaku seorang ulamak dan Ketua Negara Republik Islam Iran? Atau kerana kerajaan Iran mengenakan syarat demikian?

Saya mengesyorkan jika Rafidah berpakian demikian kerana menghormati Khatami dan peraturan yang diguna pakai di Iran mudah-mudahan Rafidah selepas ini akan terus berpakaian demikian (dengan peningkatan dari masa ke semasa) kerana sesungguhnya ada yang lebih besar dari Khatami yang sentiasa melihat kita di mana sahaja kita berada. Dialah yang mencipta peraturan dan hukum sehingga diguna pakai oleh Khatami dan mereka-mereka yang taat dan betaqwa kepada Nya. (Saya bangkitkan perkara ini bukan kerana apa tetapi sebagai seorang Menteri wanita yang terkanan di Malaysia, Rafidah sudah pasti membawa bersamanya imej wanita Islam Melayu. Besar tanggungjawab beliau dalam hal ini.)

Tetapi kalau Rafidah berpakaian demikian semata-mata untuk menyesuaikan diri dengan majlis, maka selama itulah Rafidah dan mereka-mereka yang seumpama beliau sebenarnya telah mendiskriminasi hukum dan peraturan ciptaan Nya. Jangan kita hanya berjuang menentang diskriminasi terhadap wanita. Kita juga harus sedar dan jangan sampai mendiskriminasi Allah swt dan hukum serta peraturan Nya. Semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah kepada mereka-mereka yang dikehendakinya.

Thursday, May 12, 2005

TSUNAMI BESAR BAKAL MELANDA UMNO?

Umno menyambut ulangtahunnya yang ke 59 pada tanggal 11 Mei semalam. Majlis rasmi diadakan di PWTC dengan pelbagai anugerah dan gelaran diberikan oleh Presiden Umno kepada tokoh dan individu tertentu.

Umno sebenarnya telah meredah pelbagai hutan belantara dan mendaki serta menuruni gunung dan lurah sepanjang usianya yang lebih setengah abad itu. Presidennya (Dato Onn Jaafar) pernah keluar meninggalkan parti, Ketua Wanita (Khatijah Sidek) kebangsaannya pernah dipecat, Timbalan-timbalan Presiden letak jawatan (Musa dan Ghaffar), seorang Timbalan Presiden dipecat (Dato Seri Anwar Ibrahim) dan pelbagai lagi yang berlaku diperingkat pertengahan dan rendah.

Malah arah perjuangan Umno pun berubah-ubah dari masa kesemasa sehingga Umno kini sudah boleh dianggotai bukan sekadar orang Melayu Islam, orang asli, suku kaum di Sabah sehinggalah masyarakat Cina Sabah (satu ketika dahulu bekas ahli Akar) pun sudah boleh menganggotai Umno. Akibatnya senikata lagu Umno yang berbunyi:

Kita anak Melayu terpaksa ditukar kepada Kita rumpun Melayu

Kemudian kita lihat sejak dari zaman Dr Mahathir Umno mula diserang satu penyakit satu barah yang yang sangat jijik. Politik wang satu bentuk amalan jijik yang menurut Prof Di Raja Ungku Aziz penerima anugerah Melayu Terbilang sempena Hari Umno adalah satu bentuk rasuah. Ianya terus menyerang Umno sehinggalah ke zaman Pak Lah ini.

Tapi apa yang hendak saya coretkan di sini adalah sejak akhir-akhir dikalangan ahli-ahli Umno sendiri terdapat semacam satu sindrom tidak berapa selesa, tidak berapa sesuai, rimas duduk di dalam Umno. Samada kita sedari ataupun tidak ada sekelompok dalam Umno mungkin kerana pelbagai perkembangan luar kawalan yang sedang berlaku dalam Negara, mula menimbang-nimbang untuk samada berihat, bersara atau keluar terus dari Umno.

Saya lihat khususnya di Kelantan riak-riak ini sedang berlaku. Dari Gua Musang ke Pasir Mas, perlahan-lahan ianya sedang membakar. Kebetulan semalam semasa Umno merayakan ulangtahunnya bekas Timbalan Presidennya Tun Ghaffar Baba membuat kunjungan hormat kepada MB Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Demikian juga kita lihat di Selangor sejak bekas Timbalan MBnya menyertai PKR berlaku riak-riak kecil di negeri itu.

Mungkinkah ini semua akan berakhir dengan satu tsunami politik besar lebih besar dari yang melanda semasa Dato Seri Anwar dipecat dahulu?

Nampak gaya kiranya situasi ini berterusan dan Allah swt menghendakinya pasti akan berlaku suautu perubahan besar dalam senarion politik Negara. Mudah-mudahan kea rah kebaikan kali ini.

Wednesday, May 11, 2005

DISKRIMINASI TERHADAP WANITA
APA SUMBANGAN PERWAKILAN MALAYSIA?

Persidangan NAM mengenai kemajuan wanita telah pun selesai dengan Deklarasi Putrajaya. Deklarasi 50 perkara itu menggariskan bidang khusus yang dibahagikan kepada sembilan isu termasuklah Wanita, Kemiskinan dan Pembangunan Ekonomi; Wanita dalam kuasa dan membuat keputusan; Wanita dan Pendidikan dan lain-lain.

Tetapi rata-rata liputan TV dan akhbar lebih mencerminkan darihal diskriminasi terhadap wanita dalam Negara-negara Islam. Kononnya wanita dalam Negara-negara Islam ramai yang terlepas peluang, diletakkan sebagai warga kelas dua, dinafikan pendidikan dan berbagai lagi.

Namun bagi Malaysia perkara ini jika pun berlaku rasanya tidaklah pada tahap yang membimbangkan. Bagi Malaysia sepatutnya isu ini dilihat pada perspektif berbeza, jika benar kita bersungguh mahu membela dan mempertahankan hak wanita.

Hari ini pada pengamatan saya wanita di Malaysia lebih dieksploitasi sebagai bahan promosi untuk melariskan barang dagangan. Ini yang sepatutnya diutarakan oleh perwakilan Malaysia.

Lihatlah dimana-mana sahaja wanita diperkudakan untuk melariskan barangan atau apa sahaja promosi. Tubuh badan wanita diekploitasi untuk merangsang minat kaum Adam. Tidakkah ini satu isu yang membimbangkan para pejuang hak wanita?

Mengapa perlu ada umpamanya jawatan GRO di Malaysia? Tidakkah kerja GRO itu sekadar melayan tetamu lelaki di kelab-kelab malam, pub, karaoke dan seumpamanya. Tidakkah ini menghina martabat wanita, pasti isteri-isteri di rumah pasti tidak sudi suaminya dilayan demikian rupa oleh wanita lain. GRO ini pula sudah semestinya berpakaian seksi, berbadan seksi dan macam-macam lagi, tidakkah ini memperalatkan wanita? Begitu juga dengan kerja social escort.

Demikian juga para promoter barangan, baik kenderaan, syampu, sabun, alat kosmetik, malah barang-barang mewah. Mengapa lazimnya promoter wanitanya dikenakan pakaian seksi? Menjual barangan atau menjual wanita tadi? Tidakkah ini merendahkan martabat wanita?

Ini tak termasuk lagi podium girls semasa acara-cara sukan termasuklah F1. Mengapa wanita seksi yang perlu diperagakan, mengapa tidak diberikan tugas ini kepada kaum lelaki sahaja?

Kesimpulannya bagi saya sesungguhnya wanita di Malaysia telah lama diperalatkan, dieksploitasi untuk kepentingan golongan kapitalis dan kerajaan, namun semacam ada pengiktirafan bahawa perlakuan seumpama ini tidak mengapa kerana ianya menguntungkan semua pihak.

Sepatutnya kehormatan dan harga diri wanita inilah dijuarai oleh wakil Malaysia dan bukannya memperjuangkan gender equality yang lebih merupakan agenda barat yang banyak tidak terpakai pun dirantau sebelah sini. Jangan kita ghairah meniru-niru orang lain sedangkan masalah dalam Negara lebih rumit, dan perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

Biarlah wakil Afghanistan, Iraq atau apa sahaja Negara terbabit berjuang memperbetulkan keadaan wanita dalam Negara mereka. Kita di Malaysia sepatutnya berjuang mempertahankan maruah wanita dalam Negara kita dari digadai dan diperagakan untuk kepentingan golongan kecil. Dijadikan bahan pemuas nafsu oleh binatang-binatang yang rakus dan tidak berakhlak.

Apa ertinya persidangan NAM jika wanita di Malaysia terus diperalatkan?
NEGARA MAJU ANAK BANGSA MISKIN
: KES AHMAD HAFIZAL DAN PLKN

Rakyat masih tertunggu-tunggu pendakwaan terhadap 18 perasuah profil tinggi yang kononnya mahu didakwa oleh kerajaan pimpinan Pak Lah. Namun kesaat ini tak seorang pun yang diseret ke mahkamah. Tiba-tiba seorang anak remaja 19 tahun dihadapkan di mahkamah majistret di Perlis kerana didakwa gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).


Ahmad Hafizal didenda RM600 atau 14 hari penjara kerana kesalahan tersebut!

Yang sedihnya remaja dari Kampung Titi Serong Kuala Perlis ini telah memilih untuk menjalani hukuman penjara atas alasan tidak mampu membayar denda tersebut.

Ya tidak mampu! Menurut keterangan beliau keluarganya miskin, beliau tinggal dengan ibunya seorang pembantu tadika yang bekerja mencuci pinggan mangkuk (yang ditinggalkan suami) dengan 2 orang adik yang masih bersekolah. Ibunya memperolehi pendapatan RM150 sebulan manakala beliau sendiri mendapat RM30 sehari bekerja mengambil upah mengerjakan sawah padi.

Banyak perkara yang keliru dan bercelaru di sini. Pokoknya mengapa si miskin yang serba kekurangan dan daif ini perlu diseret ke mahkamah atas kesalahan yang sangat remeh dan tidak masuk akal.

Mengapa beliau harus menyertai PLKN kiranya menyertai program tersebut bermakna keluarganya kekurangan RM30 sehari untuk hidup?!

Dimanakah Jabatan Kebajikan, Baitul Mal, kerajaan negeri yang kononnya terkenal dengan Tradisi Membela Rakyat itu? Tegang-tegang urat leher pemimpin kita mengisytiharkan kononnya nak menjadikan Malaysia setaraf dengan Negara dunia pertama, rupa-rupanya anak bangsanya sendiri merempat, kais pagi makan pagi.

Hari ini UMNO merayakan ulangtahunnya ke 59. Umno kononnya ditubuhkan untuk membela agama, bangsa dan Negara tetapi di Perlis yang Umno berkubu sejak merdeka masih ada anak bangsa yang hidup melarat, tidak mendapat pembelaan, dahlah susah dipenjarakan pula.

Saya kira banyak pihak bersalah disini termasuklah majistret yang langsung tidak mengambil kira kesempitan hidup remaja ini, pihak kerajaan yang ghairah mendakwa dan banyak pihak lagi. Dan saya juga hairan mengapa seorang sahaja remaja dihadapkan ke mahkamah semalam. Takkanlah tiada yang melakukan kesalahan yang sama di negeri-negeri lain? Mengapa tidak dilakukan pendakwaan serentak seluruh Negara? Mengapa pendakwaan berpilih-pilih?

Apakah kerana anak ini anak orang miskin, tidak mampu mengambil peguam, tidak berpelajaran maka diperagakan simalang ini semata-mata untuk kerajaan menunjukkan kepada orang ramai bahawa ia serius dalam menangani isu mereka yang tidak menghadiri latihan PLKN?

Monday, May 09, 2005

DAN MEREKA KATA NIK AZIZ
EKSTRIMIS DAN GENDER BIAS

Setiap kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengeluarkan pandangan, pasti akan ada pihak yang memberi reaksi negative terutama mereka-mereka yang kononnya menjuarai pihak itu dan ini. Lantaran kenyataan-kenyataan ikhlasnya sering Nik Aziz dilemparkan pelbagai gelaran dan kata-kata kesat.

Ada yang pernah memanggil beliau, jenis manusia yang tidak membaca, ekstrimis, tokoh yang sering mendiskriminsasi golongan wanita, ultra, ekstrim dan pelbagai lagi yang buruk-buruk.

Pernah apabila beliau mencadangkan agar kerajaan negeri hanya mengambil kerja wanita yang kurang cantik, beliau dikatakan mendiskriminasi wanita cantik sedangkan beliau sebenarnya cuba mengelakkan pemilihan wanita berdasarkan kecantikan semata-mata yang memang lazim merupakan keutamaan dunia pada hari ini.

Pernah apabila beliau mahukan kaunter di pasar-pasaraya diasingkan, demi memelihara kehormatan wanita, beliau dikatakan mahu mengamalkan segregasi dalam masyarakat.

Dan pernah apabila beliau mahu memperkenalkan pakaian menutup aurat untuk jurujual muslim serta yang bersopan untuk yang bukan muslim beliau dituduh cuba mengekang hak kebebasan wanita.

Semalam dalam BERITA MINGGU Nik Aziz memberikan pandangan beliau tentang poligami. Barangkali ramai penentangnya mengharapkan agar Nik Aziz akan mengagung-agungkan amalan ini dan sekaligus menghalakan apa sahaja label yang telah mereka lontarkan terhadap beliau selama ini.

Rupa-rupanya tidak. Sebaliknya Nik Aziz telah menerangkan darihal tuntutan yang perlu sebelum seseorang itu dibenarkan berpoligami dalam Islam. Ianya bukan soal sekadar melayan nafsu tetapi lebih kepada tanggungjawab dan keadilan yang memang sukar ditegakkan. Beliau berkata:

Mengenai kahwin dua, itu isu terlalu peribadi. Kahwin dua atau tiga tiada dalam kepala saya. Yang saya harapkan hanyalah kerja, kalau mengganggu kerja saya, masalah. Kalau kahwin dua, ada giliran, itu dan ini sedangkan saya tiada masa untuk itu. Macam mana nak kahwin dua. Kahwin dua mengundang masalah, lebih-lebih lagi isteri saya begitu memuaskan saya, makan minum dan tidur saya dijaganya dengan baik, buat apa saya fikirkan kepada orang lain.

Pemimpin Pas yang kahwin lebih dia punya pasal selagi caranya halal. Saya tidak kata apa atau tegur, nak kahwin kahwinlah tetapi jaga peraturan yang dibuat oleh Allah, jangan sekadar nak melepaskan nafsu.

Saya yakin ramai wanita Muslim khususnya senang dan boleh menerima dengan baik pandangan Nik Aziz ini. Pentafsiran seumpama ini oleh seorang ulamak terhadap isu poligami yang dihalakan oleh Islam itu sangat dinanti-nantikan. Kalau seorang yang berilmu dan alim umpama beliau pun berhati-hati dalam isu ini bagaimana pula yang jahil kadangkala bersungguh-sungguh mahu mengamalkan poligami?

Nik Aziz turut menyentuh hal kedudukan Muslimat dalam PAS. Para pengkritik selalu melabelkan PAS sebagai parti yang mendiskriminasi wanita, meminggirkan wanita dan pelbagai lagi. Dalam hal ini Nik Aziz berkata:

DALAM Islam yang menjaga dunia ini sama. Wanita bertanggungjawab dalam bidang tertentu, begitu juga lelaki. Dosa pahala bukan kena pada lelaki saja, perempuan pun sama. Ahli syurga bukan lelaki saja, tetapi perempuan juga. Tetapi oleh kerana keadaan semasa, golongan perempuan terpinggir, maka Pas menaikkan semangat dan kerjasama dengan wanita dalam parti. Saya sudah lama melantik senator di kalangan wanita untuk mewakili Kelantan (Senator Siti Zailah Mohd Yusoff dan Senator Wan Ubaidah Omar). Saya tidak lantik lelaki tapi saya lantik perempuan.

Bagaimana PAS dan Nik Aziz sebagai MB di Kelantan dilihat sebagai membelakangkan serta tidak mengiktiraf wanita sedangkan penonjolan wanita di era beliau jauh lebih baik dari dimasa Umno dahulu. Kini PAS ada 2 Senator muslimat, seorang ADUN, ramai ahli-ahli majlis disamping penghulu-penghulu yang telah dilantik dikalangan wanita.

Dan dalam isu pencalonan seorang muslimat sebagai calon Naib Presiden, ianya diusulkan oleh Nik Aziz sendiri sebagai pengiktirafan kepada peranan muslimat di dalam PAS selama ini. Kata beliau biar PAS mendahului Umno dalam memilih seorang wanita dijawatan ketiga tertinggi dalam parti.

Malah dalam PAS sendiri pada hari ini bilangan para perwakilan ke muktamarnya dari kalangan wanita telah mula meningkat sejak sebelum pilihanraya umum 1999. Para perwakilan PAS dengan senang hati memilih tokoh muslimat sebagai ahli jawatankuasa pusat semasa muktamar.

Bagi saya trend ini sangat membimbangkan banyak pihak, tambahan pula kesediaan untuk memberi laluan kepada muslimat serta memartabatkan muslimat dalam hal dan keadaan tertentu datangnya dari seorang tokoh yang selama ini dicap sebagai mebenci dan mendiskriminasi wanita.

Barangkali senak perut pihak-pihak tertentu melihat perkembangan yang dicetuskan dan dipelopori oleh Nik Aziz ini. Apabila Nik Aziz dilihat membela wanita, memartabatkan wanita, maka yang tinggal bagi musuh-musuhnya adalah sekadar mempersoalkan mengapa baru sekarang, mengapa tidak dari dahulu lagi?

Persoalan seumpama ini hanyalah datang dari puak yang telah berputus-asa, tiada modal dan tiada lagi peluru fitnah untuk ditaburkan.

Sunday, May 08, 2005

PAKAI TUDUNG CUMA BILA AKTIF UMNO

Selak sahaja NST hari ini muka 11 maka pembaca pasti akan terpaku melihat wajah seorang wanita yang berambut perang, bagaikan seorang artis nampaknya. Kalau tak diberitahu bahawa wanita ini berusia 53 tahun dan telah mempunyai anak dan cucu mungkin ramai yang tidak percaya.

Wanita jelita tidak bertudung ini adalah Ku Yah ataupun Tengku Puteri Zahariah, janda kepada bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib yang kini menyandang jawatan Naib Presiden dan Ketua Umno bahagian Kelana Jaya.



Lantaran perkahwinan kontroversi Mat Taib dan Ku Yah semasa beliau MB dahululah maka Selangor telah mencipta sejarah mewujudkan jawatan Timbalan MB kerana DYMM Tuanku ketika itu begitu murka dengan sikap dan kelakuan Mat Taib yang telah membelakangi Tuanku dalam hal pernikahan tersebut.

Selain dari tertarik dengan kejelitaan Ku Yah ada satu perenggan dalam temuramah beliau itu yang sangat menarik dan memberi pengajaran yang besar kepada kita.

Apabila ditanya tidakkah beliau dahulu pernah bertudung, Ku Yah berkata:

She decided to wear the tudung when she became active in Umno

Beliau membuat keputusan untuk memakai tudung apabila aktif dalam Umno.

Today she puts it on during certain occasions

Hari ini beliau cuma menggunakannya apabila terdapat majlis-majlis tertentu

Bermakna tuntutan menggunakan tudung itu lantaran tuntutan politik semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Mungkin dengan cara bertudung dalam Umno maka mudah memperolehi sokongan dan jawatan, wallahualam.

Kalau Ku Yah berpandangan demikian bagaimana pula agakanya Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz dan Ketua Puteri Noraini yang langsung tidak bertudung? Demikian juga Azalina dan tak ketinggalan kedua-dua isteri PM dan TPM Malaysia Islam Hadhari.

Barangkali para mufti yang menyokong konsep Islam Hadhari ciptaan Pak Lah baru-baru ini tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Solat Jumaat dibelakang Imam Aminah Wadud pun tak perlu bertudung, ini kan pula kita yang menganut Islam Hadhari, suatu konsep yang diguna pakai dalam sebuah negara Malaysia yang liberal dan global.

Ke manakah kita nak dibawa selepas ini? Kita marah bila kitab injil dibenarkan dicetak dalam Bahasa Melayu tetapi kita tidak berasa apa-apa apabila ajaran al Quran sudah diperlakukan bagaikan kaum Nasrani memperlakukan Injil yang asal, ditebuk dan dipinda-pinda sesuka hati mereka. Mudah-mudahan kita segera sedar dan insaf sebelum terlambat.

Saturday, May 07, 2005

KESIHATAN TIDAK PERNAH MENGHALANG
NIK AZIZ MEMEGANG JAWATAN

Akhbar NST hari ini memuatkan temuramah dengan Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tajuknya:

NIK AZIZ NOT GIVING UP MB, PARTY POSTS

Nik Aziz tidakn akan melepaskan jawatan MB dan parti

Sejak sebelum beliau diserang sakit jantung lagi banyak kalangan terutama dari Umno yang teringin melihat Nik Aziz melepaskan jawatan beliau. Nik Aziz sudah tua, perlu beri laluan pada yang muda dan macam-macam lagilah alasan yang diberikan. Malah pernah dalam siri Debat Perdana RTM soalan yang sama diajukan oleh wakil Umno, lalu wakil PAS ketika itu Dr Siti Mariah mengatakan, mengapa perlu orang yang baik yang tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya meletakkan jawatan.

Keinginan Umno itu sudah pasti berpunca dari ketokohan Nik Aziz yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak malah dalam PAS sekali pun. Sudah pasti dalam politik orang yang sebeginilah merupakan batu penghalang besar bagi Umno untuk bertapak kembali di Kelantan contohnya.

Dalam kenyataannya kepada NST Tok Guru yang berusia 74 tahun itu berkata:

Jika ada pihak yang mengatakan saya sudah tidak mampu, itu masalah mereka. Secara peribadi saya masih mampu pergi ke pejabat sehari-hari, menghadiri mesyuarat dan menjalankan segala tugas-tugas harian.

Saya masih boleh hadir berceramah diwaktu malam dan subuh. Selain dari gangguan gastric, saya sihat.

Memang PAS masih memerlukan sumbangan Nik Aziz sehinggalah barangkali sampainya ketika dimana beliau sudah tidak mampu lagi atau dipanggil oleh Allah swt. Dan memang sepatutnya demikianlah sikap seorang pemimpin Islam dimana-mana juga. Kerana perjuangan Islam bukannya untuk kepentingan peribadi tetapi bagi melangsungkan perjuangan untuk kepentingan ummah.



Kita ambil contoh Assyahid Syeikh Ahmad Yassin, bekas pemimpin Hamas. Walaupun hampir buta dan berkerusi roda beliau masih memegang jawatan sebuah badan gerakan Islam yang diasak musuh dari semua penjuru. Beliau pernah dihumban ke dalam penjara Israel dalam keadaan demikian malah akhirnya syahid dihujani peluru berpandu Israel ketika beliau berada di atas kerusi roda menuju ke masjid!

Malah dalam hal ini Tok Guru mengatakan kepada NST sesiapa sahaja yang lebih mementingkan kesihatannya sepatutnya tidak bertanding kerana kekalahan pasti menganggu kesihatannya. Dalam erti kata lain kepimpinan Islam ini adalah layak bagi mereka yang meletakkan kepentingan ummah di hadapan dan bukannya kepentingan peribadi.

Biarlah rebah dan mati semasa berjuang memegang jawatan dari mengelakkan diri dari memegang jawatan kerana takut ianya akan menganggu kesihatan sedangkan ramai yang mengharapkan kepimpinan kita!
PARA MUFTI TERIMA ISLAM HADHARI
RUPANYA PARA MUFTI PUN MUDAH LUPA

Akhirnya Pak Lah selaku pencetus Islam Hadhari menerima endorsement yang beliau tunggu-tunggu. Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebagaimana dilaporkan dalam akhbar tempatan hari ini memutuskan bahawa pelaksanaan konsep Islam Hadhari di negara ini sama sekali tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan al-Quran.

Menteri di JPM Dr Abdullah Mohd Zain mengatakan:

Para mufti berpendapat perkara ini sangat jelas, justeru Islam Hadhari tidak boleh dianggap agama baru atau pendekatan yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam seperti didakwa oleh parti pembangkang.

Dakwaan pembangkang bahawa Islam Hadhari tidak mencerminkan ajaran Islam sebenarnya tidak berasas dan para mufti hari ini menolak sama sekali pandangan seperti itu.

Memang para mufti malah siapa sahaja berhak menyatakan pendirian masing-masing dalam isu ini. Malah dalam hal para mufti ini memang tidaklah diharapkan yang mereka akan membuat tentangan terbuka apabila yang memberi taklimat adalah PM sendiri!



Mufti Perak turut membuat kenyataan sebagaimana dimuatkan dalam UTUSAN:

Tafsiran sempit terhadap konsep Islam Hadhari merupakan punca utama parti pembangkang menolak pelaksanaannya.

Kita tengok Pas hanya mentafsir konsepnya sahaja tanpa cuba memahami isi, pelaksanaan dan sama sekali tidak cuba menghayati apa itu Islam Hadhari. Hasilnya, mereka memberi kesimpulan yang tidak benar.

Tak mengapalah kalau nak sokong pun. Namun para mufti yang terlibat juga perlu melihat keadaan masyarakat dari luar dewan taklimat yang mereka duduk. Hari ini di bawah negara yang mengamalkan konsep Islam Hadhari lihatlah keadaan dan nasib umat Islam. Lupakah para mufti yang alim itu darihal beberapa peristiwa dan kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini:

Maksiat dan keruntuhan moral semakin menjadi-jadi. Lupakah mereka tentang Konsert Sure Heboh yang Mufti Perak sendiri haramkan itu? Lupakah mereka darihal peristiwa di The Zouk, dimana para pelaku maksiat terselamat dan para penguatkuasa agama duduk dikandang orang salah. Semuanya berlaku di zaman Islam Hadhari.

Inul Goyang Gerudi, Konsert Tsunami dan pelbagai program maksiat lain diberikan keizinan oleh kerajaan yang turut disertai dan diraikan oleh anak-anak Islam yang lalai dan leka di zaman Islam Hadhari.

Apakah sumbangan kerajaan Islam Hadhari terhadap industri maksiat, judi dan arak umpamanya yang kini semakin meraih keutungan dalam negara kita. Dahlah untung, keuntungan itu disalurkan pula sebahagiannya kepada badan-badan kebajikan termasuk rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Para mufti jangan lupa badan-badan NGO dan individu pernah menyerahkan kepada kerajaan Islam Hadhari ini satu memorandum agar sebarang bentuk MORAL POLICING digugurkan dan tidak lagi diguna-pakai. Siapakah jika tidak Nori Abdullah, anak PM Islam Hadhari sendiri yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan ini.

Sekiranya para mufti berpendapat yang segala yang di atas tidak mengapa, dan tidak mencacatkan Islam Hadhari maka saya kira tidaklah bersalah dalam hal ini umat Islam berlepas diri dari mereka. Tak tahulah jika para mufti pernah membaca buku HADHARAH ISLAMIYAH BUKAN ISLAM HADHARI karangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang atau mungkin mereka merasakan Tuan Guru bukan otoriti seperti mereka.

Saya memetik seperenggan dari buku berkenaan:

Iman atau akidah Islamiyah menjadi asas penting kepada Hadharah Islamiyah. Maka Hadharah hendaklah dibina di atas iman dengan mengikut acuannya, dalam merealisasikan pembangunan manusia, yang berperanan penting dalam membentuk masyarakat dan negara. Disamping itu pembangunan dalam segala aspek yang dilakukan hendaklah mengikut panduan dan matlamat yang betul, seperti yang diperintah oleh Allah Pencipta alam.

Kalau sekadar berceramah berapi-api mahukan Islam, akhlak Islam, budaya Islam, pembangunan Islam tetapi perlaksanaannya bau Islam pun tak ada, maka dalam hal ini bukan hanya rakyat nampaknya mufti pun tertipu juga rupanya.

Thursday, May 05, 2005

KENG YAIK BERSELINDUNG DISEBALIK
ASAP PETROL DAN DIESEL

Belum pun selesai kita membuat perhitungan ekoran kebiadapan dan sikap kurang ajar Presiden Gerakan Lim Keng Yaik, tiba-tiba tumpuan negara dialihkan ke isu kenaikan harga petrol dan diesel.Maka isu baru ini pun mengerhanailah Keng Yaik yang seakan ketawa berdekah-dekah setelah berjaya memperkosai maruah dan harga diri agama Islam serta para penganutnya.



Dalam rakyat terlonjak-lonjak kepanasan ekoran terbakarnya poket masing-masing lantaran terpaksa menanggung beban kenaikan harga petrol ini, mereka lupa bahawa maruah Islam yang tiada nilai dan harganya itu telah berjaya dikelar dan dicoreng oleh menteri BN yang biadap ini.

Apa tidak terguriskah perasaan anda selaku seorang muslim apabila rencana akhbar THE SUN hari ini menjulang Keng Yaik sebagai seorang wira, juara yang berani bersuara bagi pihak masyarakat bukan Islam dan kononnya masyarakat Islam sekali? Lebih parah lagi rencana tersebut menganggap kenyataan Keng Yaik yang mempertikaikan kehadiran unsur-unsur Islam dalam sekolah-sekolah kebangsaan sebagai suatu tindakan seorang nasionalis!

Kepada mereka yang terlupa dan benar-benar telah digerhanai oleh kenaikan harga petrol dan diesel, isu Keng Yaik ini sesungguhnya adalah suatu isu yang besar.

Beliau telah mendakwa bahawa kegagalan sekolah-sekolah kebangsaan menarik minat masyarakat bukan Melayu untuk mendaftarkan anak-anak mereka adalah kerana kewujudan unsur-unsur Islam yang keterlaluan di sekolah-sekolah tersebut.

Keng Yaik tersinggung dan tidak senang melihat kehadiran unsur-unsur Islam dalam sekolah-sekolah kebangsaan. Beliau mempertikaikan mengapa guru wanita Islam enggan bersalaman tangan dengan beliau, ini bukan rekaan penulis BLOG ini. Ianya terbit dari mulut celupar menteri itu sendiri:

Sekarang ini saya sendiri pergi melawat SK, ada guru yang tidak mahu salam dengan saya, apa ini?

Dengan menteri pun tidak boleh salam apatah lagi dengan ibu bapa, macam mana orang tidak bimbang.

Masih adakah umat Islam (tidak kira Umno, PAS atau apa sahaja) yang boleh berhujah menerima pandangan si keparat ini? Umat Islam tidak pernah mempertikaikan secara terbuka prejudis mereka terhadap mana-mana agama dalam negara ini. Malah Parti PAS yang dituduh ekstrimis agama itu pun tidak pernah mendisrkriminasi masyarakat bukan Islam minoriti di Kelantan, malah peruntukkan diberikan kepada SRJK dan pembinaan rumah-rumah ibadat dibenarkan.

Tiba-tiba seorang menteri persekutuan, rakan kongsi Umno dalam kerajaan yang sepatutnya lebih faham dan menghormati Islam yang merupakan agama rasmi Negara begitu berani secara terbuka mempertikai dan mempersoalkan amalan agama umat Islam!

Bagaimana boleh hilang langsung sensitiviti dibenak menteri ini? Apa yang mengakibatkan beliau begitu berani berkata demikian sedangkan beliau tahu Umno dan BN menang besar pda pilihanraya umum lalu atas sokongan padu umat Melayu yang beragama Islam?

Berikut saya petik sebahagian dari rencana pengarang akhbar THE SUN hari ini yang dimaksudkan. Kalau saudara yang membaca tidak merasa apa-apa maka eloklah diperiksa semula tahap keimanan masing-masing:

What he spoke out against, and in doing so articulating the feelings of the silent majority, was that elements of the religion have seeped into many aspects of life in national schools. Among the complaints are the numerous supplications or doa read during school assemblies or piped into the classrooms, doa before class and doa after class, Quran reading at school functions or piped into the classrooms, and insistence that only certain types of uniforms be worn on occasions.

All are aware that these are not among the practices recommended by national education policy covering primary schools but are instituted by individual headmasters who are goaded on by overzealous religious teachers. Thus, the general complaint now is that Islam is gradually pervading life at many national schools.

Apa yang beliau perkatakan yang secara tidak langsung membela pandangan dan persaan majoriti yang tidak bersuara, bahawa unsur-unsur agama telah menyerap masuk ke dalam sebahagian besar aspek kehidupan di sekolah kebangsaan. Antara rungutan adalah terlalu kerapnya bacaan doa yang dibaca samada ketika majlis perhimpunan, atau melalui pembesar suara di dalam bilik-bilik darjah, doa sebelum dan selepas kelas, bacaan Al Quran di majlis-majlis rasmi sekolah atau melalui pembesar suara dan mewajibkan pakaian-pakaian tertentu dipakai semasa upacara tertentu.

Semua menyedari bahawa amalan ini bukannya sebahagian dari apa yang disyorkan oleh dasar pendidikan kebangsaan yang meliputi sekolah-sekolah rendah akan tetapi ianya diperkenalkan oleh individu pengetua yang dihasut oleg guru-guru agama yang melampau. Oleh itu rungutan umum kini adalah bahawa ISLAM telah secara beransur-ansur menguasai hidup dikebanyakan sekolah-sekolah kebangsaan.

Kesimpulannya bagi saya Keng Yaik telah melangkah melampaui garis batasan kesabaran umat Islam dalam Negara ini. Beliau bertanggungjawab meminta maaf dan menarik balik kenyataannya dan umat Islam dalam negara ini perlu bangun mendesak beliau berbuat demikian, jika tidak masyarakat bukan Islam akan menganggap bahawa mempertikai dan mempersoalkan amalan dan disiplin Islam dalam negara ini adalah dibenarkan, malah boleh menjadi wira dan dijulang-julang.

Hari ini unsur-unsur agama dipertikaikan esok entah apa lagi.
NYAWA UMAT ISLAM SUDAH TIADA BERHARGA LAGI

Insiden berlaku pada 13 November tahun lalu ketika tentera penjajah Amerika menggempur Bandar Fallujah di Iraq. Pada hari tersebut tentera marin AS mengepung sebuah masjid di bandar tersebut. Setelah pelbagai senjata canggih memuntahkan peluru kea rah masjid tersebut akhirnya pejuang Islam yang bertahan di rumah Allah itu tidak lagi membalas tembakan. Bermakna samada mereka yang di dalam masjid itu telah meninggal dunia ataupun tercedera ataupun berjaya lari keluar.

Ketika menggeledah masjid tersebut tentera marin telah terserempak dengan mayat para pejuang Islam yang bergelimpangan termasuk yang cedera. Dalam suasana itu seorang marin terlihat seorang pejuang Islam terbaring di depannya. Dailog yang dirakamkan ketika itu:


KEJADIAN DI FALLUJAH

Tentera Marin: He is faking he is dead. (Dia berpura-pura mati)

Lalu menghampiri pejuang Islam tersebut. Tentera marin itu mengangkat senjatanya dan mengacukan kea rah kepala pejuang Islam itu lalu melepaskan sedas tembakan.

Tentera Marin: Well he is dead now. (Dia dah mati pun)

Kejadian pembunuhan ngeri dan dan di luar perikemanusiaan itu telah dirakamkan dan oleh hamper seluruh stesyen TV dunia. Badan hak asasi antarabangsa Amnesty International turut mengutuk kejadian tersebut. Kini kira-kira 7 bulan telah berlalu.

Hari ini CNN melaporkan dari Washington:

Navy investigators have determined a U.S. Marine acted in self-defense when he shot an apparently wounded and unarmed Iraqi inside a Falluja mosque in November, a senior Pentagon official said Wednesday.

Para penyiasat tentera laut telah mengesahkan bahawa seorang tentera marin AS telah bertindak mempertahankan diri apabila beliau melepaskan tembakan kea rah seorang warga Iraq yang tidak bersenjata di dalam sebuah masjid di Falluja pada bulan November lalu menurut seorang jurucakap Pentagon.

Sejak bilakah menembak mati seorang yang cedera dan tidak bersenjata pula dikatakan mempertahankan diri?


TENTERA KUFFAR MENGGEMPUR FALUJAH

Keputusan ini merupakan suatu keputusan yang jijik dan tidak masuk akal, diputuskan oleh sebuah Negara yang mendakwa dirinya sebagai Negara dunia pertama, maju dan berperadaban tinggi. Demikianlah umat Islam diperlakukan apabila kita abai dan lari dari perjuangan yang telah ditegakkan oleh Rasulullah saw.

Sampai bila kita akan terus membenarkan diri kita dihina dan diperlakukan bagai binatang, insaflah wahai umat Muhammad, insaflah.
HARGA PETROL DAN DIESEL NAIK
SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL

Setelah naik 5 sen seliter pada bulan September tahun lalu kerajaan semalam mengumumkan sekali lagi kenaikan harga diesel dan petrol kali ini sebanyak 20 sen dan 10 sen seliter setiap satu pula. Iaitu kenaikan kedua dalam tempoh 8 bulan.

Alasan yang diberikan oleh kerajaan bahawa kenaikan ini adalah sebagai langkah untuk membendung peningkatan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk produk petroleum. Sekiranya kenaikaan harga ini tidak dilakukan bermakna kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM8.9 billion bagi tahun 2005 ini.

Namun kita tidak dimaklumkan adakah ini kenaikan yang terakhir bagi tahun ini atau berapakah kali lagikah kenaikan akan dibuat bagi tujuan ini? Yang jelasnya kenaikan ini sudah pasti akan ada kesan limpahannya dimana kos yang ditanggung oleh industri-industri dan perkhidmatan yang terbabit pasti akan turut naik.

Pihak kerajaan tidak boleh menyalahkan umpamanya syarikat pengangkutan jika mereka pula menaikkan kos tambang mereka oleh kerana kenaikkan ini pasti turut menjejaskan mereka secara langsung. Bermakna apa pun keadaannya para penggunalah iaitu rakyat kebanyakkan, kita semua, yang bakal memikul semua bebanan ini. Kerajaan mahu menggugurkan bebanannya menanggung subsidi yang besar, maka dihempapkanlah bebanan itu atas kepala rakyat, tiada cara lain.

Kalau demikianlah sempitnya kedudukan kerajaan, sepatutnya dihempapkan terus RM8.9 billion tanggungan setahun itu terus sahaja ke atas kepala rakyat. Dari naikkan 10 sen mengapa tidak terus dinaikkan ke 90 sen atau RM1 seliter. Sekurang-kurangnya rakyat tahu selepas ini tidak ada alasan lagi untuk kerajaan menaikkan harga diesel dan petrol. Bolehlah rakyat berkira-kira mahu bermotor atau berbasikal sahaja ke pejabat!

Kalau kerajaan sudah tidak larat lagi berkebajikan kepada rakyat, subsidi pun sudah tidak mampu lagi ditanggung, kenaikan gaji yang dituntut CUEPACS tidak boleh diambil kira, tol naik kerana subsidi juga maka eloklah serahkan kembali semua bebanan ini kepada rakyat. Kerajaan BN diberi mandat besar oleh rakyat pada pilihanraya umum lalu dengan harapan nasib dan kebajikan mereka dipelihara. Rupanya kemenangan selesa ini digunakan untuk lebih membebankan rakyat yang kini sudah tidak boleh bersuara lagi.

Jangan dibandingkan harga petrol dan diesel di Malaysia dengan harga di Negara jiran semata-mata untuk menghalalkan kenaikan ini.

Kalau perbandingan dibuat dengan Singapura harus diingat Singapura tidak mengeluarkan petroleum dan pendapatan rakyat di Singapura juga adalah antara yang tertinggi di rantau ini. Kalau dibuat dengan Thailand, harus diingat kos hidup rakyat di Thailand adalah rendah berbanding dengan Malaysia, barang dan makanan murah, tidak seperti di sini.

Janganlah menggunakan alasan yang dangkal dan lemah serta merendah-rendahkan daya pemikiran rakyat. Kini apa pun yang diperkatakan bebanannya telah pun dialihkan kepada rakyat, maka tanggunglah beban ini selama mana anda larat ataupun sehingga kuasa diberikan kembali kepada tangan anda untuk membuat perhitungan pada pilihanraya umum yang akan datang.

Tradisi membela rakyat!

Wednesday, May 04, 2005

EMAIL DARI DR LO'LO DATO GHAZALI

(saya menerima email dari Dr Lo lo berkenaan artikel saya dalam BLOG ini yang ingin saya kongsi bersama di sini, terima kasih Dr. )

Astaghfirullahal Adzim,

Berderau darah saya membaca tulisan sdra Roslan. Saya memang tidak perasan dan menyedari tentang kenyataanKeng Yaik ini mungkin kerana tidak membaca akhbardengan teliti, hanya sekali lalu.Saya bersetuju dengan saudara Roslan bahawa Keng Yaik sudah melampau, keterlaluan dan terlalu biadap dengan rakyat Malaysia beragama Islam. Kalau sekali pun Guru besar, guru-guru dan pelajar2 sekolah kebangsaan yang 90% beragama Islam hendak mengamalkan cara hidup Islam semasa waktu sekolah,dalam bilik darjah, semasa perhimpunan dan sebagainya apa hak dia untuk menafikan.

Saya ingin mengingatkanKeng Yaik dan semua yang seangkatan dengan dia, Islam bukan hanya satu ugama tetapi satu cara hidup. SELURUH KEHIDUPAN SEORANG ISLAM ADALAH UNTUK MENYEMBAH ALLAH,MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH, SETIAP MASA, SETIAP KETIKA, DIMANA-MANA DAN DALAM SETIAP PERBUATAN. Ini Keng Yaik kena faham.Sebenarnya saya tidak hairan Keng Yaik tidak faham2, sebab Mantan PM Msia juga tidak faham.

Saya masih ingat isu ini ditimbulkan oleh Dr Mahathir satu masa dulu, masa dia sedang serang segala2nya yang berciri Islam dalam dunia kehidupan pelajar, dari tudung hingga ke usrah dan Solat Tahajud. Kita umat Islam selama-lamanya bertoleransi dengan penganut2 agama lain. Pernah ada dengar orang Islam bersungut tentang rumah2 merah iaitu rumah kecil yang diletak penganut Buddha hampir dimerata tempat,pernah dengar orang Islam bersungut apabila penganutHindu merayakan Thaipusam sehingga sesak Bt Cave. Kami orang Islam mengelak dari menggunakan jalan2 yang berkenaan malah mengatur-suai kehidupan kami dalam beberapa hari tersebut agar tidak bertembung dengan kemuncak upacara tersebut.

Mana ada upacara Islam diMalaysia yang menghimpunkan sehingga 1 juta penganut. Malah kami berasa sangat kesal kerana sebahagian saudara kami yang bertugas sebagai penguat kuasa terutama anggota polis samada secara terpaksa atau sengaja kerana lalai dan tidak mahu berusaha lebih sedikit telah meninggalkan SOLAT yang merupakan tiang agama Islam semasa bertugas waktu Thaipusam di Bt cave!!

Ini diakui sendiri oleh beberapa orang anggota polis yang pernah bertugas dengan menyatakan memang tiada tempat yang sesuai dan tiada waktu langsung untuk solat. Harus diingatkan bahawa masih adalagi pekerja2 Islam yang tidak dapat menunaikan solat 5 waktu mereka dan solat Jumaat semasa bekerja kerana tidak dibenarkan oleh majikan bukan Islam mereka. Malah ramai juga dikalangan kaum wanita yang bertudung tidak dapat menjawat sesuatu jawatan walaupun layak kerana salah satu syarat pengambilan oleh majikan bukan Islam yang tertentu adalah bekerja tanpa tudung.

Dr Mahathir isytihar Malaysia Negara Islam, Abdullah Badawi pula mempelopori Islam Hadhari tetapi rakyat Malaysia beragama Islam didiskriminasikan kerana pegangan dan amalannya. Cuba kita bayangkan sebuah syarikat Foto yang mempunyai beratus2 cawangan di Malaysia telah memaksakan pekerja2nya memakai pakaian seragam yang berskirt pendek. Saya pernah bertanya seorang pekerja dikedai foto tersebut tentang pakaian seragam mereka,dia mengakui memang terpaksa pakai begitu walaupun dulu dia bertudung kerana sudah puas mencari kerja lain sebelum ini. Kerana gaji permulaan tidak sampaiRM500 seorang anak gadis Islam terpaksa mengorbankan maruahnya dan menanggalkan hijabnya dalam sebuah Negara Islam , Islam Hadhari lagi.

Cuba perhatikan pula di Pasar2 Raya bila mereka mengadakan kempen jualan, pekerja2 mereka dipaksa pakai T shirt kempen yang berlengan pendek, berwarna putih dan jarang. Siapa pula yang menjadi cashier jual beli arak,menyusun dan mengatur tin2 dan botol2 arak kalau bukan sebahagiannya pekerja Islam. Apakata mereka?terpaksa.. nak buat macam mana, kita cuma pekerja bawahan, mana boleh melawan nanti kena buang kerja..sedangkan Islam menetapkan sesiapa sahaja yang terlibat dengan arak dari mula petik buah anggur sehingga mengangkat dan menghidangkan sama hukumnya dengan peminum arak. Cuba tanya pramugari dan pramugara Islam MAS, adakah mereka rela? Beer sir..beer sir..sakit betul telinga, pedih hati kita,melihat anak2 muda kita diperlakukan sedemikian rupa dalam Negara Islam .

Pergi pula menginap dihotel2 dan resort yang adakemudahan kolam renang. Sekali lagi orang Islam didiskriminasikan bila tidak layak menggunakan kolam renang walaupun bayar caj penginapan seperti orang lain juga kerana peraturan yang ada hanya membenarkan mereka yang memakai pakaian renang iaitu seluar kecil(swimming trunk) untuk lelaki dan baju renang yang hanya tutup sikit atas dan tutup sikit bawah bagi perempuan (swimming suit) . Anak-anak perempuan kita yang sudah biasa menutup aurat walaupun belum baligh begitu terkilan kerana dinafikan hak mereka. Cuma syukur Alhamdulillah mereka rela melihat sahaja adik2 kecil bermain air dari menanggalkan hijab yang mereka pakai untuk menutup aurat dan maruah mereka. Malah anak-anak lelaki berusaha mencari swimming trunk yang agak panjang menutupi peha (seperti yang biasa dipakai pelumba basikal) walaupun mahal kerana tidak sanggupberseluar katok.

Umat Islam Malaysia sudah bertoleransi habis dengan penganut agama lain, dengan peraturan yang mendiskriminasikan mereka dan anak2 mereka dalam negara mereka sendiri, Negara Islam Hadhari lagi, saya kira orang2 Islam tidak akan terus berdiam diri jika hak2 mereka terus2an mahu dicerobohi oleh sebahagian kecil bukan Islam meskipun berjawatan Menteri.

Jangan terus mengasak orang Islam, jangan fikir kami terlalu naif dan terlalu apologetik sehingga boleh dicucuk hidung dan dibuat seperti buah catur dalam percaturan politik. Saya tidak tahu dan tidak yakin dengan parti lain,yang saya pasti pemimpin, ahli, penyokong dan pendokong PAS yang cintakan Islam tidak akan berdiam diri. Kami tidak rela dipijak2, kami akan bertindak . Jangan bermain api. Kami berpegang dengan Firman Allah; Lakum dinukum waliya Din, UNTUK KAMU UGAMA KAMU UNTUK KAMI UGAMA KAMI.

Dr Lo lo
HMG

Tuesday, May 03, 2005

KENYATAAN KENG YAIK SATU PEMBOHONGAN
BENARKAH DEMIKIAN?

Masih belum selesai isu Lim Keng Yaik. BERNAMA dan Buletin Utama TV3 malam ini melaporkan yang Pak Lah akan meminta penjelasan dari Presiden Gerakan itu berhubung kenyataan biadapnya yang mahu sekolah kebangsaan dipisahkan dari sebarang unsur agama.


KENG YAK & PAK LAH, SIAPA YANG BENAR?

Keng Yaik mendakwa dalam kenyataannya bahawa isu pemisahan ini pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet. Tapi Pak Lah pula berkata Keng Yaik sekadar menyebut tentang isu ini hanya seklai secara sepintas lalu. Bermakna kabinet tidak membuat pendirian atau memberikan persetujuan. Bermakna juga Keng Yaik secara terang-terangan berbohong dan dengan sengaja dan jahat menggunakan nama kabinet untuk memperkuatkan hujah biadap beliau itu!

Siapa yang betul siapa yang berbohong antara Pak Lah dan Keng Yaik tak tahulah. Yang jelas Keng Yaik telah mengeluarkan kenyataannya selaku anggota kabinet dan Presiden komponan BN dan Pak Lah selaku Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu bertanggungjawab terhadapnya. Jangan berlepas diri dan sembunyi tangan. Bukankah ada pihak yang mengatakan bahawa segala ini berpunca dari Dasar Pendidikan Liberal yang diketengahkan oleh Pak Lah sendiri!

BILA MENTERI BERANI HINA ISLAM
RAMAILAH YANG AKAN KENCING BERLARI

Isu kebiadapan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik yang mahukan sekolah kebangsaan dipisahkan dari sebarang unsur-unsur keagamaan menjadi tajuk utama UTUSAN hari ini. BERITA HARIAN pula sekadar memuatkannya di muka dalam. Dan hari ini isu ini hangat diperkatakan oleh segenap lapisan masyarakat khususnya umat Islam yang akan menerima akibat langsung kiranya cadangan Keng Yaik ini diterima.

Kita sering memberikan ruang dan kebebasan kepada bangsa dan agama lain untuk mempertikai dan mempersoalkan agama kita secara terbuka dan terang-terangan. Kita sahaja yang kelihatan tunduk dan cuba memahami, menghormati dan menerima mereka. Apakah punca kelonggaran dan tidak keseimbangan ini?

Kenyataan kurang ajar dan biadap terhadap Islam ini terpancut keluar dari mulut seorang Menterti pusat. Bukannya dari pemimpin cavunis perkauman atau pengganas kominis atau orang yang tidak berilmu. Menteri ini duduk semeja dengan menteri-menteri lain dalam mesyuarat kebinet mingguan membincang dan memandu Negara dan rakyat. Dalam persidangan dewan rakyat menteri ini duduk sebaris dengan PM dan TPM.

Bagaimana mungkin orang kanan Negara boleh menuturkan perkataan yang secelupar ini tanpa memikirkan yang Islam adalah agama rasmi Negara, majority rakyat di Negara ini adalah penganut Islam dan malah beliau sendiri menang dalam pilihanraya umum lalu sehingga layak jadi menteri hasil dari sokongan orang Umno yang Islam?

Kini apabila seorang bertaraf menteri boleh dengan sombong dan bongkak menghina Islam, kononnya kerana kita mengamalkan kebebasan dan toleransi, maka jangan pula kita hairan, terkejut dan terperanjat (sebagaimana tajuk akhbar Utusan hari ini yang kononnya terperanjat) apabila ada kumpulan dan individu lain yang akan menyokong kenyataan Menteri ini dan turut menghina Islam.

Sebuah laman BLOG http://www.jeffooi.com/ menyiarkan laporan dari Utusan dan BH dan menyebut bahawa kritikan terhadap cadangan Keng Yaik ini sebenarnya menggugat Dasar Pendidikan Liberal Pak Lah!

Dan ruangan komen di BLOG tersebut memuatkan pelbagai lagi kritikan terhadap Islam yang telah dipelopori oleh Keng Yaik itu. Seorang yang bernama KELVIN LIM menulis:

What I think Dr. Lim meant was a clear separation of religion and administration in national schools. It is not the eradication of religious lesson as religious lessons are considered a core of our education system (Agama Islam for the Muslims and moral for the non muslims) but if you look around nowadays, overzealous headmasters and principals are turning their schools into 'religious schools' with jawi plastered all over, prayers said every so often


Saya rasa apa yang Dr Lim maksudkan adalah pengasingan jelas anatara agama dan pentadbiran di sekolah-sekolah kebangsaan. Bukannya pemansuhan pendidikan agama kerana pendidikan agam merupakan teras di dalam system pendidikan kita (iaitu Agama Islam untuk yang Muslim dan moral bagi bukan Muslim) akan tetapi jika anda melihat disekeliling anda kini, guru-guru besar an pengetua yang fanatik telah merobah sekolah-sekolah ini menjadi SEKOLAHA AGAMA dengan tulisan jawi ditempel merata-rata, pelbagai doa diucapkan acapkali

Banyak lagi komen yang menusuk hati dan sensitiviti umat Islam dilontarkan dengan begitu berani, mengapa? Saya tidak salahkan mereka. Ianya berpunca kerana Menteri BN sendiri yang telah membuka jalan. Malah akhbar Utusan milik Umno turut dipukul dengan kritikan, mengapa ISA tidak digunakan terhadapnya kerana kononnya membakar api perkauman dengan menyerang Keng Yaik.

Saya menghormati perpaduan kaum dalam Negara ini, malah mempunyai ramai kawan dan taulan yang bukan Melayu dan bukan Islam. Kita saling menghormati antara satu dengan yang lain. Kita ada batas dan pantang larang yang masing-masing kita fahami dan cuba elakkan dari disentuh. Lantaran itu saya merasakan mereka yang sudah tidak lagi menghormati nilai bersama yang kita pegang sejak merdeka ini tidak layak langsung menjadi warga Malaysia apa lagi memegang jawatan sepenting menteri kabinet pusat.

Dalam hal ini Keng Yaik yang biadap itu perlu letak jawatan!