Thursday, September 02, 2004

Sekadar coretan.......

SEKADAR CORETAN............
Saya dibesarkan dalam keluarga polis. Namun jiwa remaja saya sentiasa meronta mahu melihat keadaan sebenar yang berligar di luar kepompong itu. Saya sering menjengok dan menyaksikan betapa berbezanya penghidupan di luar. Ketika masih di sekolah rendah, saya mengayuh basikal bergayut di luar pagar kampus dahulunya Institut Teknologi Kebangsaan (kini UTM) Jalan Semarak, melihat para mahasiswa berdemonstrasi, berucap berapi-api, isu kemiskinan di Baling dan seumpamanya.

Saya terpegun, kagum dan jiwa mula memberontak mahu tahu lebih banyak sedangkan usia masih mentah untuk memahami. Alhamdulillah ibu dan ayah tidak pernah mengekang kemahuan saya itu. Kemudiannya saya menjejak ke alam dewasa mula berjinak pula dengan ilmu Islam, keluar masuk masjid, ceramah dan kuliah. Antara pendedahan terawal adalah mendengar kuliah Dr. Harun Din, Dr. Hamid Othman (belum UMNO ketika itu), Allahyarham Sheikh Mokhsein (bekas Mufti WP), Ustaz Ahmad Awang, Allahyarham Pak Hamka dan lain-lain.

Kehangatan ini terus membara lalu apabila melangkah ke alam kampus saya terdedah kepada gerakan Islam dan memahami realiti betapa sukarnya merealisasikan Islam tulen sebagaimana yang pernah dibina oleh Rasulullah saw. Bukan hanya sukar malah mana-mana golongan atau kumpulan yang bersungguh silap langkah akan diambil tindakan.

Saya terus melangkah dalam penghidupan yang serba mencabar dan saya terbabit dengan pelbagai badan siasah lantaran gelombang tekanan dan ketidaktentuan yang mengetuk pintu hidup. Saya bermula dengan PAS kemudiannya Semangat 46, kemudian UMNO dan kini kembali kepada PAS. Betapa banyak pengalaman yang telah ditimba, pelbagai ragam kepimpinan, macam-macam karenah dan kekalutan. Kaki ampu, kaki bodek, penipu, politik periuk nasi, pembelot macam-macam telah saya temui.

Yang jelas sepanjang roda penghidupan ini saya sedari bahawa saya mudah menurunkan pandangan dan pendapat di atas kertas. Malah kalau punya masa dan mood berjela-jela boleh dihasilkan. Saya minat berpuisi, dan menulis terutama darihal isu kemanusiaan dan isu semasa. Lataran itulah mana yang mampu saya manfaatkan untuk perjuangan.

Kesimpulannya melalui pengalaman penghidupan yang penuh warna-warni saya merasakan berkebolehan melihat senario kemanusiaan ini dari kacamata yang lebih luas. Lantaran itu melalui Blog inilah saya mencoret pandangan berdasarkan pengalaman yang dikutip dan kesungguhan mahu melihat masyarakat yang tercinta maju dan jaya dengan menjunjung dan memartabatkan Islam sebagai Ad Deen. Namun saya bersedia menerima teguran, maklum-balas dan kritikan. Terima kasih atas sokongan anda semua.

No comments: