Friday, October 24, 2008

Ke arah Parlimen kelas pertama

Sebelum ini saya ada membuat posting darihal profesionalisma YB Teng Chang Khim, Speaker DUN Selangor dalam menjalankan tugasnya sebagai Sepeaker Dewan. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, parti pembangkang dan kerajaan lantaran keupayaannya mengendalikan sidang dewan dengan cara yang terhormat. Walaupun dari parti pemerintah di Selangor namun Teng cuba sedaya-upaya untuk berlaku adil walaupun terhadap parti lawan.

Memang bukan mudah menjadi speaker tambahan pula apabila kita mewakili parti pemerintah. Kita mahu membereskan urusan dewan demi memudahkan urusan kerajaan tetapi dalam waktu yang sama memberi peluang kepada pihak pembangkang turut menyumbang dan memberi input.

Kerana itu saya merasakan dewasa ini memandangkan masing-masing parti memiliki kerajaan samada diperingkat negeri-negeri atau di pusat, kematangan kita berurusan di dalam dewan adalah penting. Kita mahukan speaker bertindak adil dan saksama maka dalam waktu yang sama kita juga mesti berlaku adil dan saksama. Kita mahu kerusi speaker di hormati di negeri yang kita perintah, maka begitulah juga sepatutnya kita di negeri atau dewan yang diperintah oleh parti lawan.

Seingat saya perubahan besar sikap speaker dapat dilihat sejurus PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 sehinggalah ke hari ini. Keterbukaan speaker memberi peluang kepada pihak pembangkang melebihi had yang biasa diberikan kepada pembangkang di negeri-negeri lain, membuka mata ramai. Dan kini pasca PRU ke 12 dengan 5 negeri di bawah kuasa PR rakyat mengharapkan transformasi besar dalam peranan kerusi speaker. Setakat ini yang nampak ketara perbezaannya adalah pada negeri Kelantan dan Selangor.

Begitulah juga di Dewan Rakyat, walaupun masih dikuasai BN, tetapi pasca PRU ke 12 kita melihat perubahan besar dilakukan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan-timbalannya dilantik dari kalangan rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak. Kita perlu akui dan mengalu-alukan perubahan ini yang berupa pengiktirafan pada kawan-kawan kita dari sana.

Oleh itu demi memartabatkan institusi dewan, saya merasakan sudah sampai masanya bukan hanya kerusi speaker yang perlu adil dan saksama, malah ahli-ahli dewan juga perlu matang dan berhujah dengan penuh fakta dan isi bukannya emosi dan maki-hamun.
Insiden yang berlaku di Dewan Rakyat semalam sehingga ahli parlimen Bukit Gelugor diusir keluar dewan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Apa pun hujah dan pandangan yang mahu diberikan, ianya perlulah diberikan dengan cara penuh hormat dan kalau perlu bertikam lidah pun maka lakukanyalah dalam suasana yang tidak berunsur maki-hamun dan caci-cerca. Lihatlah betapa ahli-ahli House of Commons di UK boleh mengambil bahagian dalam persidangan dewan mereka, bertelagah, bertikam lidah namun semuanya dilakukan dalam keadaan emosi yang terkawal dan tidak menggadaikan status wakil rakyat yang disandang oleh masing-masing ahli dewan itu.

Mendiang JB Jeyaratnam, pemimpin pembangkang dari Singapura adalah satu contoh baik, dimana sebagai satu-satunya wakil pembangkang di Parlimen Singapura (ketika itu), beliau boleh berperanan, berhujah dengan keras dan pedas namun memelihara etika dan tertib sebagai ahli parlimen. Singapura sejak dari itu menyiarkans ecara langsung siding Parlimen mereka.

Semoga kita segera dapat melahirkan dewan di Parlimen atau negeri-negeri yang bertaraf kelas pertama agar dapat dicontohi oleh negara demokrasi yang lain.

No comments: