Wednesday, June 01, 2005

MUKTAMAR PAS KE 51 SATU PEMBAHARUAN

Muktamar PAS ke 51 yang bermula pada hari ini dengan perasmian Muktamar Dewan Pemuda. Mukatamar kali ini dikira banyak berbeza dari muktamar-mukatamar yang lain. Tahun ini adalah tahun pemilihan dan pemilihan kali inilah yang dikira mencetuskan perbezaan dari muktamar-muktamar yang lain.


diambil dari MALAYSIA TODAY

Benar sebelum ini pun ada tahun pertandingan dan sebelum ini pun pernah jawatan tertinggi dicabar (contohnya Muktamar tahun 1956 menyaksikan Dr Burhanuddin Al Helmy menentang Prof Zulkifli Muhammad untuk jawatan Yang Di Pertua Agung PAS) namun pada kali ini dirasakan sangat perbezaannya.

Sebenarnya perbezaan yang dimaksudkan bukanlah perbezaan yang mempunyai konotasi negatif. Tetapi ia adalah lebih kepada lambang kedewasaan parti dan kesungguhan para perwakilan mahu memandu dan mencorakkan pucuk pimpinan tertingginya. Saya percaya semuanya dilakukan bukan untuk berebut jawatan sebagaimana yang disampuk oleh Najib Tun Razak tetapi sebagaimana disebut oleh Hj. Mahfuz Omar (calon Naib Presiden) berlaku pertandingan dalam PAS kerana masing-masing mahu berkejar untuk membuat kebajikan.(Tiada apa yang mahu dikejar dalam PAS kecuali kesusahan dan kesempitan hidup, tak seperti Umno. Namun dikejar juga kerana kebajikan akhirat yang dijanjikan)

Disinilah titik tolak perbezaan antara PAS dan Umno. Pemilihan dalam PAS sunyi sama-sekali dari politik wang, suatu adab yang lazim dan kini lebih merupakan wabak yang kronik laksana HIV AIDS dalam Umno.

Yang ada cumalah kerja-kerja kempen mengenalkan calon-calon masing-masing yang kesemuanya layak belaka, namun keputusan terakhir terletak pada para perwakilan yang insyallah akan memutuskan saf pimpinan yang terbaik antara yang baik-baik. Namun tidak dapat dinafikan ada juga segelintir yang terbawa-bawa sehingga menjalankan kerja memburuk-burukkan calon lawan.

Mahfuz , Mat Sabu & Ustaz Nasha

Kita dapati contohnya Ustaz Nasharuddin difitnah sebagai kononnya ejen CIA, dibayar gaji kononnya RM4,000 sebulan oleh parti. Kemudian Hj. Mahfuz pula dituduh memiliki beratus-ratus permit teksi sedangkan beliau antara pemimpin PAS yang terkehadapan menentang penyelewengan pemberian permit teksi oleh kerajaan BN. Juga tidak kurang kes khalwat Mohammad Sabu (yang telah pun dibuang oleh Mahkamah Syariah KB) dicanang-canangkan kembali.

Bagi saya mereka yang terlibat dengan kerja-kerja jahat seumpama ini tidak layak memanggil dirinya anggota ataupun ahli jemaah Islam bernama PAS!

Apa pun bagi saya rata-rata para perwakilan PAS kali ini sudah matang dan didewasakan melalui proses pendewasaan parti itu sendiri. PAS bermuktamar kali ke 51 bermakna usianya sudah melewati 50 tahun. Para perwakilan PAS kini telah matang dan tidak mudah menerima sesuatu yang tidak mudah diterima akal apalagi yang sumber maklumatnya kabur dan sangat dicurigai.

Saya yakin para perwakilan PAS akan membuat perhitungan dengan meletakkan nasib dan masa depan parti dan perjuangan sebagai priority utama. Pilihanraya Umum ke 11 pada tahun 2004 yang lalu telah banyak memberi pengajaran kepada parti. Setelah dipukul dengan kekalahan yang mengakibatkan hilangnya sebahagian besar kerusi-kerusi DUN dan Parlimen serta kerajaan negeri di Terengganu maka memang layaklah pada pemilihan kali ini para perwakilan PAS menuntut suatu perubahan pucuk pimpinan ke arah kebaikan.

PAS dan Islam sungguh sinonim dipersada politik tanahair lantaran politik Islam yang dibawa nya. Oleh itu masa depan Islam terletak pada PAS dan para perwakilan PAS lah yang bertanggungjawab memikul amanah untuk memastikan PAS kelak mampu meyakinkan rakyat dengan agenda Islam.

Saya secara peribadi telah menyatakan pendirian saya di dalam BLOG ini dengan mengesyorkan USTAZ NASHARUDDIN MAT ISA sebagai Timbalan Presiden sebagaimana Subky Latiff (AJK PAS Pusat) menggunakan Laman Web PAS Pusat untuk mempromosi calon beliau. Kerja-kerja mempromosi seumpama ini penting bagi membuka minda para perwakilan (walaupn saya merasakan penggunaan Laman Web PAS Pusat tidaklah cocok kecuali semua calon diberi coverage) tetapi yang penting jangan sampai keterlaluan sehingga memburuk dan memfitnah calon lain.

Mudah-mudahan para perwakilan memilih Ustaz Nasha, walaubagaimanapun jika keputusan nanti berpihak kepada yang lain, insyallah kita terima dengan hati yang lapang dan terbuka. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha dan yang pentingnya kita tidak terlibat sama-sekali dengan kerja-kerja yang dicela oleh agama.

Wallahualam, selamat bermuktamar, Allahu Akbar!

No comments: