Saturday, February 05, 2005

AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
PEMUDA DAN PUTERI UMNO BERTELAGAH

Pada hari Khamis lalu akhbar THE STAR dalam salah sebuah laporannya berkenaan isu serbuan JAWI di Kelab maksiat ZOUK memuatkan tajuk:

UMNO AND PAS SPLIT OVER DISCO RAID

Kononnya PAS melalui Dewan Pemudanya menyokong tindakan JAWI manakala UMNO rata-rata menentang dan mempertikaikannya. Hari ini akhbar NST pula memberi tajuk baru dalam sebuah laporannya iaitu:

UMNO YOUTH AND PUTERI DIVIDED OVER RAID ISSUE

Menurut laporannya Ketua Puteri Umno Malaysia Noraini Ahmad bersimpati dengan mereka yang ditahan oleh JAWI malah menawarkan khidmat bantuan kepada mereka dengan meminta mereka yang berkenaan menghubunginya. Manakala Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Shamsul Najmi Shamsuddin pula menegaskan bahawa mereka yang terlibat jelas telah melakukan kesalahan.


PUTERI NORAINI

Kata Najmi terdapat peraturan dan enakmen dalam negara yang melarang umat Islam meminum arak dan berjudi. Najmi menambah bahawa semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan apa-apa sentimen.

Demikianlah celarunya rumah tangga Umno apabila berdepan dengan isu AMAR MAKRUF NAHI MINGKAR ini.

Di sini sebagaimana yang pernah saya muatkan dalam BLOG ini, isunya adalah pertama para pegawai JAWI lantaran maklumat yang diterima telah menyerbu sebuah pusat hiburan eksklusif di KL. Di sana didapati lebih 100 pengunjung yang beragama Islam dalam keadaan bercampur-aduk sesama bukan mahram, berpakaian tidak sopan dan senonoh serta dalam keadaan meminum arak ataupun telah mabuk.

Isu kedua mereka yang ditahan telah mendakwa kononnya para pegawai JAWI telah bertindak kasar, diluar kuasa dan memalukan mereka di khalayak ramai.

Jadi kita yang rasional seharusnya dapat memiasahkan antara kedua isu ini. Bagi isu yang pertama sekiranya mereka yang berkenaan sabit kesalahannya maka wajarlah dikenakan tindakan. Sebagai orang yang kena tuduh apa jenis pembelaan pun biarlah menurut peraturan, iaitu sewajarnya dibuat di mahkamah dan bukan secara terbuka dalam keadaan belum sempat pun penyiasatan dan pendakwaan selesai.

Manakala dalam isu kedua kalaulah benar para pegawai JAWI telah melampaui bidang kuasa mereka maka biarlah mereka disiasat dan didakwa terlebih dahulu. Siapa pun tidak berhak menjatuhkan hukuman terhadap mereka apalagi berdasarkan kenyataan orang kena tuduh.

Cuba kita perhatikan apa kata Ketua Puteri Umno dalam hal ini:

Young people should not be penalised for having fun.

Golongan muda sepatutnya tidak dipersalahkan kerana mahu bersuka-ria.

Kalau meminum arak dan berpakaian tidak senonoh bagi Ketua Puteri Umno adalah sesuatu yang tidak salah jelaslah beliau tidak menghurmati enakmen yang dibuat oleh kerajaan Umno sendiri yang diguna-pakai oleh JAWI. Bagaimana Pak Lah mahu memartabatkan ISLAM HADHARI ciptaan beliau kalau Ketua Puteri beliau sendiri keliru dan kabur.

Dalam kontek ISLAM HADHARI ciptaan Pak Lah yang memiliki 10 prinsip itu, prinsip pertamanya adalah: KEIMANAN DAN KETAQWAAN KEPADA ILLAHI! Macam mana mahu laksanakannya kalau meminum arak dan berpakaian tidak senonoh yang jelas dimurkai ILLAHI dibela dan dipertahankan oleh Ketua Puteri Umno!



Saya petik ucapan Pak Lah dalam Perhimpunan Umno tahun lalu:

Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas - kepada fundamental. Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas - jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah.

Tetapi berdasarkan perkembangan terbaru ini bukan hanya Ketua Puteri malah para Menteri Pak Lah pun telah ramai yang terpesong nampaknya. Secara peribadi dalam hal ini saya menyokong pendirian Najmi dan berharap semoga lebih ramai lagi pemuda Melayu akan insaf sebagaimana Najmi dan kembali mempertahankan maruah dan nama baik Islam. Nampaknya kenyataan Najmi selaras dengan pendirian Dewan Pemuda PAS.

Belajarlah berkata benar dan jauhkanlah diri dari mempertahankan kesesatan.


No comments: