Monday, February 28, 2005

GENTING UNTUNG MELIMPAH RUAH
SATU LAGI KEBANGAAN ISLAM HADHARI

Genting Berhad, salah sebuah syarikat perjudian yang terbesar di Malaysia baru-baru ini mengumumkan laporan kewangannya bagi suku keempat tahun 2004.

Sebagaimana yang dijangkakan bagi tempoh 3 bulan terakhir 2004 sahaja perolehan Genting adalah sebanyak RM1.194 billion iaitu pertambahan sebanyak RM40 juta berbanding dengan suku yang sama bagi tahun 2003.

Jumlah perolehan Genting bagi tahun 2004 sahaja adalah sebanyak RM4.647 billion iaitu peningkatan sebanyak RM400 juta berbanding tahun 2003. Keuntungan sebelum cukainya bagi tahun 2004 adalah RM1.777 billion iaitu peningkatan sebanyak RM200 juta berbanding dengan keputusan tahun 2003.

Demikianlah hebat dan teguhnya aktiviti judi yang dijalankan 24 jam di puncak Genting yang tidak pernah rugi-rugi. Bila saya kaitkan dengan Islam Hadhari pasti ada yang tersinggung namun hakikatnya inilah yang berada di hadapan kita. Kita mempelopori apa yang dinamakan Islam Hadhari yang salah satu prinsip utamanya adalah keimanan dan ketakwaan kepada Illahi. Kalau demikian halnya bagaimana kita boleh menyepikan diri apabila industri yang diharamkan oleh Allah swt ini kita biarkan bermaharajalela di negara kita sendiri.

Mana maruah dan harga diri kita sebagai umat Islam yang kononnya berkuasa dalam tanah airnya sendiri?

Berikut adalah senarai ahli lembaga pengarah syarikat ini:

Genting Berhad Board of Directors

Tan Sri Lim Kok ThayChairman, President & Chief Executive
Tun Mohammed Hanif bin OmarDeputy Chairman
Tan Sri Mohd Amin bin OsmanExecutive Director
Dr. R. ThillainathanExecutive Director & Chief Operating Officer
Mr Quah Chek TinExecutive Director
Dato' Paduka Nik Hashim bin Nik YusoffIndependent Non-Executive Director
Tan Sri (Dr.) Gunn Chit TuanIndependent Non-Executive Director
Tan Sri Dr. Lin See YanIndependent Non-Executive Director

Jelas dari senarai di atas 3 dari mereka adalah beragama Islam. Ini tidak termasuk kakitangan Islam serta pemegang saham yang beragama Islam.

Dan sekadar untuk makluman berikut disenaraikan antara kerja kebajikan yang mana syarikat perjudian ini turut melibatkan diri:

Among the non-profit organisations which received the Group's contributions were Alzheimer Disease Foundation, Thalassaemia Association Malaysia, Malaysian AIDS Foundation, Malaysian Liver Foundation, Persatuan Kebajikan untuk Kanak-Kanak Istimewa Pahang Barat, Yayasan Sultan Idris Shah, Yayasan Pembangunan Kubang Pasu, PEMADAM Kebangsaan, Yayasan Wanita Cemerlang, National Council of Women's Organisation, Malaysian Crime Prevention Foundation, St. John Ambulance and Malaysian Nature Society.

Bayangkan wang judi yang haram disalurkan pula pada badan kebajikan, mereka yang tidak berdosa diberi ganjaran berupa hasil haram, dan kita membisu tidak berkata apa-apa!

Percayalah industri ini akan terus maju dan berkembang sebagaimana lain-lain syarikat yang setaraf dengannya. Dan kita terus melaung ke sana ke mari yang Malaysia adalah sebuah negara Islam dan kita kononnya mengamalkan konsep Islam Hadhari. Kembalilah pada Islam sebenar!
MUNGKINKAH KERUSI MB SELANGOR
SUDAH TIDAK SELAMAT LAGI BUAT KHIR

Saya perhatikan serangan terhadap Khir Toyo sejak akhir-akhir ini semakin kritikal dan timpa-menimpa. Ia bersungguh-sungguh disensasikan oleh saluran media perdana sehingga dilihat seolah-olah mahu mengenakan tekanan terhadap Khir untuk mengosongkan kerusinya.

Sebentar tadi Buletin utama TV3 turut menyiarkan suasana kepulangan Khir dari Amerika Syarikat (lawatan yang terpaksa disingkatkan). Dilaporkan bahawa Khir terpaksa menyediakan laporan kedua kepada kabinet dalam tempoh terdekat terhadap isu perkosaan Taman Pertanian di Bukit Cerakah, setelah laporan pertama beliau ditolak oleh PM sendiri.

Isu Bukit Cerakah ini telah disensasikan oleh Utusan Malaysia berturut-turut dengan siri laporan khasnya. Dan terbaru ia diikuti dengan pendedahan penerokaan hutan dan penarahan bukit yang berlaku di daerah Selayang pula. Dalam hal ini Pak Lah dilaporkan berkata:

Takkan mereka yang menjadi perancang susun atur tak boleh rancang lebih awal dengan mengambil kira pokok-pokok besar yang tidak perlu ditebang.

Sebelum ini Khir turut dilibatkan dengan isu jawatankuasa pemeriksa kira-kira kewangan negeri (PAC) Selangor yang dikhabarkan merancang melawat sambil melancong ke Mesir dengan mengunjungi persembahan tarian gelek dan seumpamanya. Program ini akhirnya dibatalkan setelah didedahkan kepada rakyat.


MAT TAIB DAH RASA KINI GILIRAN KHIR

Jelas seolah-olah ada tangan hitam yang bertindak menekan Khir dari pelbagai sudut. Mungkin ada kem dalam Umno yang mula mual dan muak dengan tindak-tanduk Khir dan merasakan beliau wajar digantikan dengan kroni ataupun proksi mereka. Apa pun nasib dan masa depan Khir semakin malap.

Mat Taib satu ketika dahulu pernah berada dalam situasi yang sama, didedahkan kepada istana darihal pernikahan beliau dengan Puteri di Raja sehingga mengakibatkan murka pihak istana. Ini dituruti dengan peristiwa beliau ditahan di Australia dengan wang tunai berkilo-kilo beratnya sehingga akhirnya Mat Taib tergolek dan terlentang dari kerusi empok MB nya.

Demikian juga dengan Abu Hassan Omar (yang dikhabarkan telah terlibat dalam kes menjatuhkan Mat Taib). Apabila ada pihak mendedahkan darihal perlakuan sumbang mahramnya yang mengaibkan itu, akhirnya beliau tiada pilihan melainkan lari meninggalkan kerusi MB. Abu Hassan undur dengan berpesan bahawa kerusi MB Selangor ini adalah satu kerusi yang panas!

Kini nampaknya giliran Khir Toyo pula. Entahlah siapa yang terlibat di belakang tirai namun yang jelasnya kes-kes yang dikemukakan terhadap beliau terlalu berat untuk beliau terus dapat bertahan sebagai MB. Diisytiharkannya Selangor Negeri Maju 2005 tetapi MB dan EXCO nya tidak dapat mengawal aktiviti pembangunan dalam negeri sendiri malah pura-pura tidak tahu menahu dan menyalahkan pula kakitangan kerajaan.

Silap gaya silap langkah senasiblah Wak Khir dengan Mat Taib dan Abu Hassan. Puak-puak dalam Umno Selangor pasti melonjak gembira mahu menawarkan diri untuk mengantikan Khir. Noh Omar apa kurang layaknya?! Kasihan Wak Khir.

Sunday, February 27, 2005

DEBAT PERDANA DADAH
DEDAH AKSI GELOJOH NOH OMAR

Setelah tamat musim pertama siri debat perdana anjuran RTM, kini bermula pula musim keduanya dengan debta bertajuk: Dadah Musuh Nombor Satu Negara.

Format debatnya dikekalkan sebagaimana biasa dan Johan Jaafar juga kekal sebagai moderatornya.

Ahli-ahli panel kali ini terdiri daripada Noh Omar Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, YB Teng Chang Khim ADUN DAP Selangor, Dr. Lolo Ghazali AJK PAS Pusat dan Prof Dr Mahmud dari UUM.

DR LOLO BERJAYA

Debat yang pada mulanya berjalan dalam keadaan tenang dan teratur mula menjadi kelam-kabut apabila Noh Omar dilihat bertelagah dengan Teng ketika giliran Teng memberikan hujah. Noh Omar sebagaimana wakil-wakil Umno/BN sebelum ini dilihat cuba menguasai majlis malah dalam dua ketika beliau berhujah tanpa pun moderator mengemukakan soalan ataupun pertanyaan sebagaimana ahli panel yang lain.

Memaklumi peribadi Noh yang memang robust dan ringan mulut itu, tidak hairanlah beliau cuba membolot majlis dengan berhujah seolah-olah beliau seorang Menteri penuh.

Gelagat beliau membuktikan betapa pimpinan Umno/BN memang sukar duduk berbincang dan berhujah secara ilmiah tanpa emosi kerana barangkali trend perdebatan secara umum sebagaimana sering diamalkan dalam negara-negara demokrasi tidak pernah mereka amalkan kecualilah siri debat di RTM ini.

Yang nampak cool dan lebih berhujah secara ilmiah adalah wakil PAS Dr Lolo dan wakil UUM Prof Dr. Mahmud. Tahniah Dr Lolo yang pastinya turut mengharumkan nama Dewan Muslimat.

Dr. Lolo telah membawa hujah Islam dengan memetik ayat Quran yang berhubung dengan larangan Allah terhadap melibatkan diri dalam kerja-kerja yang membinasakan diri serta hadis Rasulullah saw berhubung perlunya kuasa digunakan untuk mencegah kemungkaran bagi mereka yang berkuasa.

Walaupun sering diganggu moderator dan Noh sendiri Dr Lolo jelas tidak emosional malah berjaya mencuri peluang untuk memaparkan kepada masyarakat dimana lantaran prejudis politik kerajaan PAS Kelantan yang walaupun merupakan negeri dalam persekutuan telah tidak dilibatkan secara langsung dalam AADK ataupun Agensi Anti Dadah Kebangsaan. AADK ini dipengerusikan oleh MB diperingkat negeri-negeri tetapi tidak di Kelantan.

Dr Lolo turut menekankan betapa pendidikan agama penting sebagai langkah pencegahan malah point ini turut dipersetujui oleh Prof Dr. Mahmud. Cuma yang mengecewakan apabila Noh dengan sombong mengecilkan petikan dan hujah al Quran yang dibawa oleh Dr Lolo apabila beliau berkata:

Ayat al Quran betul, kita nak tanya apa yang Kelantan buat, apakah Kelantan berikan untuk selesai kes (dadah ini) setakat baca al Quran sahaja bolehkah selesai masalah.

Noh dilihat melenting apabila Dr Lolo mendedahkan bahawa rasuah juga merupakan punca merebaknya penyalah gunaan dadah ini. Beliau memetik insiden betapa mudahnya dadah diperolehi di pusat-pusat Serenti yang bukan merupakan rahsia lagi. Dan ini bukti betapa rasuah turut menyumbang ke arah penyakit dadah ini.

Dalam waktu yang terbatas Dr Lolo menegaskan bahawa yang pentingnya adalah untuk mewujudkan:

A God fearing society

Iaitu masyarakat yang takut pada Allah samada dari kalangan rakyat lebih-lebih lagi dari kalangan pemimpin.

Kesimpulannya saya merasakan wakil PAS telah berjaya membuktikan bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka dan bersedia pada bila-bila masa sahaja menyumbang ke arah kebaikan negara. Sebagai bukti seperti diakui Noh, Hj Husam Musa pernah membentangkan kertas kerja dalam satu majlis anjuran AADK. Cumanya pusatlah yang sebenarnya tidak mengiktiraf kewujudan kerajaan negeri PAS di Kelantan yang telah dipilih rakyat.

Saya fikir lanjutan dari debat ini PAS perlu menyahut cabaran Noh bagi menawarkan pusat-pusat pemulihan khususnya di Kelantan bagi mebuktikan ada penyelesaian secara Islam. Kalau tidak silap bekas wakil rakyat PAS di Kuala Krai Ustaz Ibrahim Mahmud memiliki sebuah pusat pemulihan secara Islam di Kelantan. PAS dan kerajaan negeri perlu pro aktif dan membina sebuah pusat yang pasti akan menerima sokongan banyak pihak.

PAS teruslah menyertai debat-debat dimasa akan datang.

Saturday, February 26, 2005

LAGI HAL BERKENAAN MB SELANGOR:
KINI PASUKAN MPPJ PULA MENAGIH JANJI

Belum pun selesai isu perkosaan terhadap Taman Pertanian di Bukit Cerakah kini MB Selangor Khir Toyo dibabitkan pula dengan satu lagi isu. Kali ini dalam arena sukan sebagaimana yang dilaporkan oleh THE MALAY MAIL hari ini.

Pada tahun 2003 pasukan bolasepak Majlis Perbandaran Petaling Jaya telah mengejutkan arena bolasepak negara apabila muncul sebagai kelab pertama yang berjaya menjulang Piala Malaysia. Pencapaian ini begitu membanggakan semua pihak khususnya di negeri Selangor.

Lalu Khir Toyo selaku MB terus membikin janji bahawa setiap pemain pasukan bertuah itu akan dianugerahkan dengan wang tunai sebanyak RM15,000 tiap-tiap seorang yang akan disumbangkan oleh kerajaan negeri. Maka melonjak gembiralah para pemain yang dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh itu.

Kini hampir 2 tahun telah berlalu. Malangnya janji hanya tinggal janji, selain dari 2 orang pemain impot asing, anggota pasukan yang lainnya tidak ada seorang pun yang menerima ganjaran yang dijanjikan itu.

DALAM TERTEKAN BOLEH SENYUM LAGI

Takkanlah sampai begitu Wak Khir. Apa nanti akan beri alasan kecewa juga kah? Janji kena tepati. Kata orang lembu dipegang pada tali manusia dipegang pada janji jangan sampai jadi lebih teruk dari lembu pula kita.

Sementara itu menurut MALAY MAIL juga Khir dikhabarkan kini berada di Switzerland kerana membawa rombongan perdagangan. Terkejut juga dengar berita tu. Selangor dilanda pelbagai isu termasuklah kebakaran teruk hutan di Kuala Selangor serta kontroversi Taman Pertanian Bukit Cerakah yang belum selesai, tiba-tiba MB nya selamba berada di luar negara! Tak lama rasanya nasib Wak Khir ni!
APA LAGI SURUHANJAYA ANTARA AGAMA
KALAU PAK LAH DAN NAJIB PUN TENTANG

Akhbar hari ini memetik TPM Najib Tun Razak sebagai berkata di Pekan bahawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama Malaysia merupakan satu syor yang tidak sensitif dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Dalam erti kata lain Suruhanjaya ini tidak berhak untuk HIJACK permasalahan berhubung kait dengan Islam untuk dijadikan isu dalam apa sahaja perbincangannya. Dan sebentar tadi di Tanjong Malim Pak Lah turut menyuarakan perkara yang sama, dalam kenyataannya kepada media sebagaimana yang disiarkan oleh Berita Radio RTM beliau berkata:

Cadangan penubuhan suruhanjaya ini perlulah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Bermakna kalau badan-badan Islam pun menentang penubuhannya sudah pastilah ianya menjadi tidak relevant lagi dan harus dihentikan.

BERNAMA memetik Pak Lah sebagai berkata:

Controversies related to the proposed commission must be taken into consideration. The commission will become meaningless if it is opposed.

Dan semalam persidangan kebangsaan ke arah penubuhan suruhanjaya ini telah pun selesai bermesyuarat. Yang hairannya macam mana Rais Yatim selaku Menteri Kabinet boleh hadir merasmikan persidangan ini sedangkan bukan hanya NGO Islam malah PM, TPM dan anggota menteri lain menentang penubuhannya? Tidakkah ini mencerminkan bagai tidak sekatanya jemaah kabinet dalam hal ini?

Saya telah mengutarakan dalam BLOG ini bahawa mereka yang bersungguh mahu mengusahakan penubuhan suruhanjaya ini sebenarnya akan meletakkan Islam dalam keadaan berbahaya. Dan kiranya mereka ini dibiarkan dengan agenda mereka (dan kita pula diamkan) maka kita selaku umat Islam seolah-olah bersetuju menggadaikan maruah dan kedudukan agama kita untuk kepentingan orang lain.

Terbukti beberapa isu sensitif telah disentuh secara terbuka dalam persidangan tersebut contohnya (sebagaimana yang dilaporkan oleh UTUSAN MALAYSIA hari ini):

(Seorang peserta beragama Islam berkata) Malah sewaktu perbincangan mengenainya ada peserta berhujah dengan mengatakan APA YANG ISTIMEWA PADA ISLAM HINGGA PERLU DIMASUKKAN PERUNTUKKAN-PERUNTUKKAN TERSEBUT (yakni Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan).

(Seorang lagi peserta Islam dari IPTA Berkata) Persidangan tersebut menyaksikan terdapat dua trend utama pemikiran iaitu golongan yang mahukan kebebasan beragama yang tidak mempunyai batasan. Mereka ini kalau boleh mahu kebebasan itu adalah melampaui daripada peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.

Demikianlah apabila kita secara bebal membenarkan isu Islam dibahas secara bebas dan terbuka oleh semua pihak khususnya yang bukan Islam. Pasti perkara-perkara sensitif akan diheret sedangkan perkara seumpama ini tidak pernah kita benarkan untuk dibicarakan secara terbuka oleh mana-mana pihak sejak zaman berzaman.

Dengan perkembangan ini saya kira mereka dikalangan penganut Islam yang bersekongkol dalam persidangan ini (termasuklah Sisters in Islam) perlu faham betapa besarnya mudarat yang telah mereka ambil. Hentikanlah kerja sia-sia ini.

Ingat saudara-saudara BAR Council yang merupakan salah satu badan penggerak persidangan ini pernah membenarkan terbitnya satu artikel dalam majalahnya yang mempertikaikan hak melaungkan azan melalui pembesar suara. Saya pasti kalau tertubuhnya suruhanjaya ini maka isu seumpama ini akan turut dibahas dan dibincangkan. Atas nama kebebasan dan hak asasi akhirnya Islam dipaksan tunduk dan akur dengan kemahuan puak minoriti. Jangan sampai bertindak menjolok sarang tebuan!
SURUHANJAYA ANTARA AGAMA:
BUKAN NGO MALAH MENTERI PUN TENTANG

Rais Yatim telah pun merasmikan persidangan yang bermesyuarat untuk memutuskan penubuhan suruhanjaya ini yang dikenali sebagai Interfaith Commission ataupun IFC. Dan didalam ucapannya beliau meminta agar semua pihak membuka minda masing-masing dan tidak bersikap prejudis terhadap cadangan penubuhan suruhanjaya ini.


RAIS SEMASA MERASMIKAN PERSIDANGAN

Beberapa NGO Islam diberitakan enggan menghadiri persidangan ini atas alasan ianya merupakan usaha untuk mencampuri urusan agama Islam (sebagaimana dilaporkan BERNAMA):

various organisations representing Muslims voicing their concern over the formation of the IFC, which they see as an attempt to interfere in Islamic affairs.

Untuk rekod bukan sekadar NGO Islam seperti ABIM, JIM, Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Persatuan Ulamak yang menentang penubuhan IFC ini malah tentangan turut diterima dari anggota kabinet sendiri!

Menteri di JPM Dr Abdullah Md Zain (yang memegang portfolio JAKIM) sendiri membantah cadangan penubuhan IFC ini. Beliau mendakwa penubuhan IFC ini bercanggah dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam, BERNAMA melaporkan Abdullah sebagai berkata:

I dont agree with the setting up of the IFC...Malaysia is an Islamic state, will matters concerning Islam also come under the purview of the IFC?. No way, how can it be, I object to it. If they want to have only their religions (excluding Islam), its up to them but if they want Islam to come under the IFC of course it is not possible as it is contradictory.

Bagaimana Rais boleh merasmikan sesuatu yang Menteri menjaga portfolio agama Islam tidak setuju dengannya? Percanggahan ini sungguh membimbangkan terutama apabila ia membabitkan isu Islam dalam negara.

Sekiranya cadangan penubuhan IFC ini semata-mata mahu memupuk baik sangka dan harmoni sesama agama saya kira perkara ini telah pun wujud sekian lama dalam negara. Malah kita tidak pernah mendengar rusuhan, perbalahan ataupun pergaduhan yang berkait atas isu agama di Malaysia. Toleransi beragama diiktiraf oleh semua pihak. Malah di Kelantan sendiri Tuan Guru MB Kelantan pernah hadir dan memberi ucapan di Wat Siam di Tumpat dan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin berbagai agama di sana.

Rumah-rumah ibadat agama lain tumbuh dan berfungsi tanpa halangan dari Johor ke Perlis sehinggalah ke negeri majoriti Islam termasuklah Kelantan dan Terengganu.

Lalu dimana terdesaknya kita sehingga terpanggil untuk membentuk majlis seumpama ini. Lantaran itulah timbul isu bahawa penubuhan IFC ini semata-mata untuk melentur dan melunakkan Islam itu sendiri sehingga memungkinkan beberapa aspek berhubung dengan Islam di modify supaya tidak dilihat menganggu hak asasi agama lain!

Perkara-perkara yang umat Islam anggap sebagai sensitif mahu diburaikan supaya ditafsirkan mengikut pandangan semua pihak antaranya:

Kalau orang mahu murtad dari Islam, maka itu hak mereka contohnya. Isu hak pemeliharaan anak-anak Islam setelah suami-isteri bercerai dan salah seorang kembali ke agama asalnya, ini mahu dikanunkan demi menjamin hak asasi. Hak asasi pesalah jenayah syariah yang sejak zaman berzaman tidak pernah dipertikaikan mahu disemak-semula.

Ini semua hak mutlak umat Islam yang tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk yang menganggap diri mereka moderat dan liberal seperti Sisters in Islam dan seumpamanya.

Inilah yang pihak Islam tidak mahu ditolak-ansurkan. Bukan soal tidak mahu duduk semeja yang sebelum ini telah pun dipraktikkan tanpa sebarang kekalutan. Menteri dan pemimpin kerajaan khususnya dari Umno perlu bijak dalam hal ini dan jangan sekali-kali terlibat dalam kerja-kerja melacurkan Islam atas nama perpaduan dan mahu dilihat moderat.


ANTARA YANG MENYUARAKAN TENTANGAN

Ini bukan isu Umno atau PAS ini isu nasib dan masadepan Islam dalam bumi yang tercinta. Sebagaimana Dr Abdullah, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz turut membantah cadangan penubuhan IFC ini dan dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata:

For Muslims, only Islam is the right religion and we can have dialogues with anyone if there is a need.

Kesimpulannya orang Melayu/Islam memang menghormati kaum dan agama lain dalam negara dan kita telah pun hidup bersama sejak pendatang Cina dan India mula bermastautin di tanahair barangkali seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah diberikan kerakyatan selepas Merdeka sehinggalah hari ini. Tiada konflik agama di sini lalu tiada sebab mengapa perlu kita membicarakan sesuatu yang tidak relevant seumpama IFC ini.

Kekalkan apa sahaja yang ada, jangan kita cuba bermain dengan api.

Friday, February 25, 2005

ISLAM DI MALAYSIA:
KE MANA NAK DIBAWA

Sekiranya kita meniliti pentadbiran Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini nampak seolah-olah satu suasana yang sangat rapuh, memberikan gambaran yang Islam ini sudah semakin dipinggirkan, diuli dan dicanai sehingga tiada lagi bermaya di mata orang kebanyakan walaupun kerajaan bersungguh menonjolkan konsep Islam Hadharinya.

Isu serbuan JAWI di Zouk memberikan gambaran yang penguatkuasa Islam ini ganas dan tidak bertamaddun ala Taliban, manakala peraturan pencegahan maksiat dilihat terlalu ekstrim dan mengekang hak asasi.

Sebelum itu sebarang langkah untuk mempertahankan maruah dan akidah umat Islam dilihat sebagai suatu tekanan yang menyusahkan, yang kolot dan seumpamanya. Mufti Perak mengharamkan konsert Sureheboh atas hujah berlandaskan syarak, maka mufti menjadi mangsa serangan pelbagai pihak.

Sementara itu keruntuhan akhlak dan moral dikalangan remaja Islam berterusan berlaku dalam angka yang seolah-olah tidak mampu dikawal lagi.

Dalam keadaan demikian macam mana kita mahu kembalai kepada Islam, hatta Islam apa konsep sekalipun?

Hari in akhbar tempatan melaporkan darihal perasmian Persidangan Kebangsaan Ke Arah Penubuhan ICM (Inter Religious Council of Malaysia). Suruhanjaya yang akan menggabungkan semua agama-agama yang ada di Malaysia yang menurut perasminya Rais Yatim adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia:

Beliau menjelaskan, Malaysia perlu melangkah ke hadapan untuk mewujudkan persefahaman di kalangan pelbagai agama termasuk menubuhkan sebuah badan bagi tujuan itu dan ia adalah selaras dengan konsep Islam Hadhari.

Tujuan penggabungan ini adalah bagi membolehkan semua wakil agama membincangkan persoalan antara agama, dan mencari penyelesaian bersama dalam sebarang konflik, sebagaimana kata Rais:

Penganut agama lain mempunyai hak untuk mencurah pandangan, kalau ini pun tidak boleh diterima maka terserahlah.

Walaubagaimanapun pelbagai NGO Islam yang terkemuka enggan menyertai persidangan ini termasuklah ABIM, Persatuan Ulamak, JIM malah termasuk IKIM. Mengapa?

Kembali kepada isu asal yang cuba dikemukakan di atas, kita kini dalam keadaan mencari-cari penyelesaian ke atas pelbagai konflik dan permasalahan yang timpa-menimpa ke atas umat Islam di Malaysia. Kita berbeza pandangan dalam pelbagai isu, termasuklah isu amar makruf nahi mungkar, isu perlaksanaan hukum Islam dan banyak lagi.

Dalam kemelut yang tidak berkesudahan ini, tiba-tiba kita mahu membelah dan membuka dada Islam yang kita sendiri masih lemah mempertahankannya. Cukuplah sudah banyaka yang telah kitra gadaikan atas nama perpaduan walaupun kadangkala merugikan umat Islam.

Mengapa tidak kita utamakan Inter Islamic Council ataupun Majlis Perpaduan Islam. Kita bariskan semua NGO, parti dan gerakan Islam tanpa prejudis. Kita bermuzakarah hal ehwal berkaitan Islam dan akidah umatnya. Kita perkasakan diri kita terlebih dahulu sebelum kita melihat perkara yang lain.

Yang jelas ICM ini ditaja oleh satu badan Barat iaitu: Yayasan Konrad Adenauer. Apa halnya kita perlu pada satu badan asing dalam isu antara agama yang melibatkan cuma rakyat Malaysia? Dan kita lihat mereka yang hadir mewakili Islam adalah terdiri dari badan yang pegangan Islamnya sendiri masih dipertikaikan antaranya Sisters in Islam.

Kita membuka Islam kepada mudharat dan bahaya yang sangat besar. Katakanlah isu yang mahu dibincangkan adalah kebebasan agama. Di Malaysia kebebasan beragama dijamin oleh Perlembagaan negara. Akan tetapi penganut Islam tidak dibenarkan menukar agama asalnya. Katakanlah isu ini dipertikaikan. Mengapa rakyat Malaysia apa sahaja agama tidak boleh memilih agama anutan mereka? Lalu apa nak kita perkatakan, kalau wakil Islam sekadar Sisters in Islam, kita sudah boleh agak keputusannya.

Kesimpulannya kita tidak memerlukan satu badan yang akhirnya sekadar meminta untuk menyemak semula peraturan dan hukum berkenaan Islam sahaja. Kita memang perlu duduk dan berunding dari masa ke semasa dalam negara yang bermasyarakat majmuk dan pelbagai agama ini, namun garis panduannya mesti jelas. Dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan penganut Islam sebagai penduduk majoriti perlu diiktiraf dan dihormati terlebih dahulu.

Biarkan badan-badan Islam duduk dan bersetuju terlebih dahulu darihal keperluan majlis seumpama ini dan isu-isu yang berkaitan. Mengapa perlu kita bersungguh-sungguh mahu bergegas menubuhkan badan ini? Fikirkanlah sebelum kita terlambat dan Islam nanti entah ke mana-mana dibawanya!

Wednesday, February 23, 2005

KONSERT FORCE OF NATURE:
KELIRU DAN TERPINGGA KITA DIBUATNYA


Kalau nak difikirkan semasak-masaknya kita pun akan turut jadi keliru dan terpingga-pingga.

Betulkan jika saya silap. Tidakkah lantaran kejadian malaptaka Tsunami pada 26 Disember tahun lalu maka Pak Lah telah mengarahkan agar segala bentuk sambutan meraikan ketibaan tahun baru 2005 dibatalkan. Bukankah tindakan ini diambil kerana menghormati mangsa kejadian serta menginsafi kesengasaraan yang menimpa mereka yang terlibat?

Maka batallah segala bentuk acara hiburan dan tari-menari sebagaimana biasa. Kerajaan mengarahkan agar ianya digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat. Maka sunyi sepilah KL dan Bandar-bandar utama yang lain melainkan beberapa kelompok yang memang degil dan meneruskan perayaan. Tanggal 1 Januari 2005 dada-dada akhbar diserikan dengan wajah para menteri lelaki dan perempuan duduk berdoa di masjid-masjid.

Kini dah hampir 2 bulan bencana tersebut berlalu. Akibat sikap prihatinnya kerajaan maka dilantik bekas diplomat Tan Sri Razali Ismail sebagai Duta Khas Perdana Menteri dalam urusan bantuan mangsa Tsunami. Ramai yang terpegun dengan perlantikkan ini kerana ia seolah-olah mencerminkan betapa seriusnya penglibatan Malaysia dalam isu kemanusiaan antarabangsa.



Semalam tiba-tiba kita dikejutkan apabila Razali mengumumkan bahawa beliau merancang untuk mengutip RM10 juta untuk mengisi tabung misi beliau. Macam mana nak dapat RM10 juta ini? Kata Razali melalui penganjuran Konsert Force of Nature pada 18 Mac kelak di Stadium Putra Bukit Jalil. Dengan bangganya Razali mengumumkan bahawa artis-artis antarabangsa akan dijemput untuk menjayakan konsert ini antara lain Backstreet Boys, Black Eyed Peas, Boyzs II Men disamping artis-artis tempatan.



Tak serabut ke kalau nak difikirkan? Dan takkanlah Duta Khas PM ini tidak ada idea lain selain menganjur konsert untuk memperolehi dana? Kalau sekadar menganjur konsert lebih kurang sama taraf manager funfair sahaja, buanglah status diplomat.

Ini kita tak masuk bab sesuai atau tidaknya konsert dalam suasana kita mendakap konsep Islam Hadhari diperingkat Negara. Sesungguhnya keutamaan kita makin bercelaru apabila dasar kita tidak jelas dan berubah-rubah. Sekejap kita mahu pada Islam sekejap Islam terpaksa kita kesampingkan. Apalah kesudahannya kita kelak, wallahualam. roslan_s@yahoo.com
KHIR BERSELINDUNG SEBALIK PEGAWAI KERAJAAN

Isu perkosaan terhadap tanah sekitar Taman Pertanian Bukit Cerakah dibangkitkan sehingga keperingkat Majlis Tertinggi Umno. Presiden Umno memberi kata dua kepada MB Selangor dan ketua-ketua negeri lain agar tidak lagi mengizinkan perkara seumpama ini berlaku lagi. Namun penyelesaiannya, entahlah.

Dalam kolum CITIZEN NADES di akhbar THE SUN hari ini penulis kolum berkenaan mencatatkan:

The state EXCO for housing, management and squatters was quoted by BERNAMA as saying that the MB realized 3 months ago that unplanned development was going on around the park and has asked for a special task force to be set up.

Unplanned development? I beg your pardon. Surely developers cannot proceed with development work without a development order issued by the local council, in this case, the Shah Alam City Council?

But before that who authorized the re-zoning of the land from agriculture or recreation to residential? Only the state EXCO has such powers, and they must have authorized such change? Is the state government trying to correct its own misdeeds because of public pressure?

EXCO perumahan, pentadbiran dan setinggan sebagaimana dipetik oleh BERNAMA berkata bahawa MB telah menyedari sejak 3 bulan lalu yang pembangunan tidak dirancang sedang dijalankan disekitar taman berkenaan dan satu badan bertindak telah dibentuk.

Pembangunan tidak terancang? Maaf cakap. Sudah pasti sebarang bentuk pembangunan tidak dapat dijalankan tanpa arahan pembangunan yang diluluskan oleh PBT, dalam hal ini, Majlis Bandaraya Shah Alam.

Akan tetapi sebelum itu, siapakah yang telah mengarahkan tindakan menzon semula syarat tanah yang dimaksudkan dari pertanian ataupun rekreasi ke perumahan? Kuasa sedemikian hanya terletak ditangan EXCO kerajaan negeri, dan pasti merekalah yang telah meluluskannya? Adakah kerajaan negeri sedang cuba memperbetulkan kelemahannya lantaran desakan pihak awam?


JANGAN SEDAP SEORANG SAJA WAK

Yang terkini kita dapati seolah-olah semua jari menuding ke arah MBSA. MBSA lah yang bersalah dalam hal ini, mereka tidak cekap, tidak telus dan berbagai lagi. Kakitangan awam yang tidak boleh bersuara lantang sebagaimana ahli politiklah akhirnya dijadikan mangsa dalam isu ini. Orang politik dari MB dan barisan EXCO nya semua melepaskan diri. Tidak ada langsung prinsip akauntabiliti, yang ada cumalah prinsip menyelamatkan periuk nasi masing-masing! Kasihan kakitangan kerajaan.

Tuesday, February 22, 2005

ZAM TERUS MENGHODOHKAN WAJAH ISLAM

Apa lagi komen yang boleh kita berikan apabila membaca kenyataan berikut (sebagaimana tersiar dalam akhbar THE STAR hari ini) :

Orang Islam tidak seharusnya dihalang dari memasuki tempat-tempat tertentu yang dikira tidak Islamik sekiranya (kehadiran mereka) dapat membantu memperbaiki diri mereka.

Muslims should not be prevented from entering certain places considered unIslamic if that would help them improve themselves.



Kenyataan kurang bijak ini dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin di Alor Star. Dan beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Terengganu yang mendesak agar 100 orang yang ditahan oleh JAWI di pusat maksiat ZOUK di KL itu didakwa di mahkamah.

Nampak sungguh kekalutan dan kekeliruan yang dicetuskan oleh kalangan pimpinan Umno yang sepatutnya menjuarai Islam Hadhari sebagaimana yang dicetuskan oleh Presiden mereka. Dalam hal ini desakan Ketua Pemuda Terengganu itu sebenarnya telah terlambat kerana Kabinet sendiri telah mengarahkan agar saman JAWI terhadap 100 yang dituduh itu dibatalkan. Kabinet dianggotai rata-rata oleh pimpinan terkanan Umno peringkat kebangsaan!

Bagi Zainuddin pula apa sebenarnya yang cuba beliau utarakan? Tidakkah beliau sedari bahawa kenyataannya itu mempertikaikan prinsip dan aqidah Islam sehingga boleh membuka ruang dan peluang untuk Islam itu dipersenda dan diperlekehkan terutama oleh masyarakat bukan Islam. Malah pegangan aqidah beliau sendiri kini boleh dipertikaikan dengan kenyataan demikian. Apakah atas alasan mahu maju maka kita perlu gadaikan prinsip dan aqidah? Saya tidak tahulah tentang orang lain tetapi bagi saya tempat yang tidak Islamik tu tak banyak, antara lain tempat maksiat, pelacuran, minum arak dan seumpamanya. Dan saya tidak nampak tempat-tempat ini boleh mendatangkan manfaat bagi umat Islam.

Saya kira kenyataan beliau ini sungguh merbahaya dan mencerminkan betapa liar dan kelirunya pandangan pimpinan Umno terutama dalam isu berhubung dengan Islam. Janganlah kerana menjuarai Islam moderat ala barat maka kita perlu menjual dan menggadaikan maruah Islam dengan begitu mudah.

Gerakan memberi pelbagai tafsiran terhadap Islam ini akan berlarutan kerana Umno lah yang bertanggungjawab membuka gelanggangnya. Siapakah lagi yang akan bangun mempertahankan maruah dan kebenaran Islam? Pada siapakah lagi nasib dan masa depan Islam mahu diharapkan? Jawapannya terletak ditangan umat Islam sendiri, fikirkanlah sebelum terlambat!

Monday, February 21, 2005

UMNO KELANTAN TERUS BERNAFSU MAHU MERAMPAS KELANTAN


Sejak tewas tipis pada pilihanraya umum lalu UMNO Kelantan semakin ghairah dan menganggap seolah-olah kerajaan negeri pada bila-bila masa akan menjadi milik mereka. Kalau ketika kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999 pun mereka dah menyalahgunakan kuasa untuk memeras kerajaan negeri tambahan pula kini dengan kedudukan yang ada.

Mereka lupa bahawa kerajaan PAS pun sedang memantapkan kedudukan mereka bagi memastikan upset pada pilihanraya umum 2004 lalu tidak akan berulang lagi. Segala usaha digunakan untuk memperbaiki kedudukan mereka. Sehinggakan barisan EXCO kerajaan negeri yang diketuai oleh Tuan Guru MB pada hari ini dianggap oleh penganalisa politik sebagai team yang terbaik dalam sejarah politik negeri Kelantan.

Lantaran itulah UMNO bawah kepimpinan Annuar Musa yang masih belum bersih namanya dari terpalit dengan skandal penyelewengan wang PPRT itu, semakin hari menjadi semakin rimas. Sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar THE STAR hari ini Annuar mahu memperkenalkan beberapa langkah bagi mengatasi usaha gigih PAS untuk memperteguhkan kedudukan mereka di negeri tersebut. Antaranya Annuar akan menempatkan EXCO bayangannya (macam lagu rindu bayangan saja bunyinya) menganggotai agensi-agensi Persekutuan di Kelantan bagi kononnya membantu mempercepatkan pembangunan.

Annuar sebagaimana yang dilaporkan THE STAR menyatakan kebimbangannya terhadap strategi baru PAS memperuntukkan sejumlah RM250,000 kepada setiap ADUN nya bagi tujuan melaksanakan projek-projek kecil di kawasan masing-masing.

Kata beliau:

Kelantan Barisan would respond to this by applying for additional funds from the Federal Government for its assemblymen and MPs in the state.

BN Kelantan akan bertindak-balas dengan memohon peruntukkan tambahan dari kerajaan persekutuan untuk disalurkan kepada ADUN dan ahli-ahli parlimennya.

Demikianlah agenda irihati, hasad-dengki dan pecah-belah Annuar Musa. Sedangkan semasa mula-mula menjadi Ketua Pembangkang dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dahulu beliau menyatakan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri PAS untuk membangunkan Kelantan. Rupanya cakap tak serupa bikin.

Dari kita berebut-rebut mencuri sokongan rakyat dengan menaburkan wang dalam pelbagai bentuk apa salahnya kita duduk semeja berunding dan bekerja untuk kebaikan bersama. Saya percaya kerajaan negeri telah berkali-kali mempelawa hal ini namun dipandang dingin oleh Umno. Umno seolah-olah merasakan yang sebarang kerjasama akan hanya menipiskan lagi harapan mereka untuk menang pada pilihanraya yang akan datang, itupun kalau prestasi mereka pada PRU 2004 dapat dikekalkan.

Annuar dan rakan-rakannya perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat Kelantan kepada PAS. Mereka juga sepatutnya tidak menggunakan kedudukan mereka bagi melaga-lagakan antara agensi Persekutuan dengan kerajaan negeri yang sesungguhnya hanya akan merugikan rakyat pada jangkapanjang. Agensi Persekutuan sepatutnya menyokong segala usaha kerajaan negeri, bukankah Kelantan secara sah adalah merupakan sebahagian dari anggota Persekutuan Malaysia?!

Berilah kerajaan negeri yang dipilih rakyat peluang untuk bergerak dan menjalankan tugas mereka. Jadilah pembangkang yang membina jangan menjadi petualang yang sekadar menangguk di air keroh. roslan_s@yahoo.com
KOTA BHARU BANDARAYA ISLAM
MEDIA CUBA TENGGELAMKAN

Semalam Tuan Guru Menteri Besar Kelantan telah melancarkan Kota Bharu Bandar Raya Islam di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu. Pelancaran resminya dijangka dilakukan oleh DYMM Sultan Kelantan pada bulan Julai nanti.



Dalam ucapannya Tuan Guru menggariskan ciri-ciri Bandar Raya Islam yang ingin dibangunkan disamping menggesa warga Kota Bharu agar memlihara kebersihan Bandar mereka. Beliau menyentuh mengenai masih adanya tabiat pengotor dikalangan warga Kota Bharu, dimana beliau berkata:

Malah, ada di antara mereka sanggup membuang sampah di bawah rumah sendiri. Masyarakat Kelantan memang masih lagi pengotor tetapi kita anggap generasi itu sudah hampir pupus.

Dan seperti biasa media perdana yang sememangnya diasuh untuk memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran kerajaan PAS di Kelantan telah HIGHLIGHT semata-mata isu pengotor yang dibangkitkan oleh Tuan Guru itu.

Buletin Utama TV3 malam tadi umpamanya tanpa menyentuh langsung berita pelancaran Kota Bharu Banda Raya Islam terus sahaja melaporkan bahawa Tuan Guru mengakui orang Kelantan berperangai pengotor. Demikian juga berita radio RTM pagi ini semata-mata melaporkan darihal isu pengotor ini tanpa langsung melaporkan darihal peristiwa bersejarah pelancaran tersebut.



Dalam majlis bersejarah tersebut Tuan Guru berkata:

Kita mahu mereka pegang betul-betul ajaran agama. Dan apa yang dilakukan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sekarang adalah sebagai bapa bagi mencetuskan suasana tersebut.

Mudah-mudahan Kota Bharu akan benar-benar menjadi Bandar Raya Islam contoh sebagaimana yang diimpikan dan akan benar-benar menepati jolokkan Serambi Mekah yang diberikan kepada negeri tersebut walaupun tidak disenangi oleh musuh-musuhnya.

Sunday, February 20, 2005

TANAH 1200 HEKTAR DIBANGUNKAN BAWAH BATANG HIDUNG
:KHIR TOYO KONONNYA KECEWA

Semalam akhbar UTUSAN MALAYSIA mendedahkan betapa Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, Selangor, satu-satunya taman pertanian dan hutan agro yang terbesar di dunia sedang menghadapi ancaman kemusnahan ekologi yang dahsyat. Dilaporkan bahawa taman seluas 800 hektar itu yang terletak berhampiran Bandaraya Shah Alam kini bagaikan satu pulau yang dihimpit oleh pembangunan disekelilingnya.



Hutan disekeliling sempadannya telah hampir habis ditebang dan diratakan. Adalah difahamkan tapak seluas 1200 hektar itu telah diagih-agihkan kepada 35 pemaju perumahan untuk dibangunkan.

Dan apabila para wartawan bertanyakan kepada MB Selangor Khir Toyo beliau sekadar mengatakan (sebagaimana yang dilaporkan MINGGUAN MALAYSIA hari ini):

Saya tidak puas hati dengan laporan oleh MBSA mengenai projek yang menggunakan teknik potong dan rata itu. Cara pemaju-pemaju itu membangunkan kawasan itu tidak begitu teratur. Saya kecewa.

Kesan dari pembangunan secara gila-gila ini (meminjam kata-kata EXCO Selangor Mokhtar Dahlan) Taman Pertanian negara itu kini terancam teruk dengan banjir, sungai dan takungan airnya tercemar, hidupan liar (terutama tapir, monyet dan kijang terancam) pupus serta tumbuhan dan pokok-pokok di dalamnya menjadi lesu dan tidak bermaya.

Bagaimana MB dan ahli EXCOnya boleh lari dan memberi alasan pelbagai sedangkan aktiviti ini berlaku betul-betul di bawah batang hidung mereka? Malah dari puncak kediaman resmi MB di Shah Alam kesan penodaan ke atas taman pertanian ini boleh jelas kelihatan!


Sebenarnya isu ini telah mula-mula dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang terutama dari PAS di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada penggal yang lalu lagi. Malah ADUN Kajang dan ADUN Gombak Setia Dr Shafie dan Ustaz Ismail Kamus pernah melawat tapak ini diperingkat awal pembangunannya. Ketika itu MB memberi jawapan di dewan bahawa projek pembangunan tersebut terkawal dan tidak akan menjejaskan Taman Pertanian tersebut.



Kini lihatlah apa yang telah terjadi. Pak Lah semasa di Paris baru-baru ini dalam satu persidangan BIODIVERSITY telah mengatakan bahawa umat manusia seharusnya memelihara dan menjaga alam sekitar dan sepsis kehidupannya termasuklah sungai dan bukit bukau. Tetapi di Selangor, negara kita sendiri perkara ini nampak macam isu ini dipersetankan oleh pihak berkuasa negeri.

Khir Toyo memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang sering mahu melari dan membersihkan diri apabila berlaku sesuatu isu di Selangor. Sering orang lain yang akan memikul najis yang beliau lakukan. Kini dengan tercetusnya isu ini bagaimana pula agaknya langkah beliau

Di dalam Program Selangor 2005 nya Khir Toyo meletakkan misi:

Meneruskan pemulihan dan mencergaskan pertumbuhan sosial ekonomi melalui perkhidmatan mesra rakyat, tepat, cepat dan betul serta pemantauan yang cekap dan berkesan akan projek-projek pembangunan negeri dan projek persekutuan di negeri.

Apa dah jadi dengan visi ini Wak Khir?

Saturday, February 19, 2005

KONTROVERSI KES SAMAN JAWI
SURAT DARI LAMAN WEB PEMUDA UMNO

Ramai telah mengetahui darihah tekanan yang dikenakan terhadap pihak JAWI dalam kes serbuan ke pusat maksiat Zouk di Jalan Ampang, KL baru-baru ini. Sebagaimana yang didedahkan dalam BLOG ini atas tekanan kabinet akhirnya JAWI diarahkan membatalkan saman terhadap 100 pemuda-pemudi Islam yang sepatutnya didakwa di Mahkamah Syariah pada bulan April depan atas pelbagai kesalahan jenayah syariah.

Rata-rata masyarakat Islam dari pelbagai fahaman politik merasa terkejut dan terkilan dengan tindakan ini. JAWI yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama septutnya diberikan kebebasan sepenuhnya ndalam menjalankan tugas mereka. Siapa pula yang memberi kuasa kepada kabinet untuk membatalkan sesuatu saman, apakah kabinet telah mengambil-alih tugas pendakwaan dan tugas hakim mahkamah syariah?

Bagi mereka yang sensitif dan prihatin darihal masadepan Islam dalam negara ini, tindakan ini melihatkan seolah-olah Islam sudah tiada lagi pembelanya. Islam sudah boleh dipermain dan dipersenda tanpa mengambil peduli maslahah penganutnya. Gambar Jeslina yang berpakain tidak senonoh itu sudah pun tersebar luas dalam internet dan ada yang mula mengatakan bahawa pakaian jenis ini kini telah diterima sebagai pakaian sopan oleh JAWI lantaran tindakan pembatalan saman ini.

Dalam laman web pemuda Umno saya terbaca sepotong email yang dikirm oleh pembaca yang bertajuk:


Kalau Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai

Penulis tersebut yang sudah pasti condong kepada Umno menulis:

Sesungguhnya secara berperibadi saya berpendapat tindakan JAWI membatalkan saman terhadap remaja berkenaan bakal meninggalkan impak negatif terhadap kesungguhan sebenar pihak berkuasa agama di dalam melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.

Tindakan pembatalan tersebut bolehlah disifatkan seperti kalah perang. Umumnya pasti tertanya-tanya sebab dan pendirian sebenar JAWI membatalkan saman tersebut.
Apakah pembatalan tersebut kerana kesilapan serbuan JAWI atau JAWI menerima tekanan-tekanan tertentu tidak diketahui. Tapi saya percaya ramai yang akan berpandangan JAWI tidak berpendirian tegas dan terlalu lemah menerima tekanan.


Apa yang jelas tindakan JAWI membuat pembatalan itu telah disambut dengan peluk cium secara terang-terangan oleh mereka yang mengambil surat pembatalan tersebut.
Ini merupakan kemenangan besar mereka hasil dari ketegasan remaja berkenaan terutama seorang artis yang boleh dikatakan secara bertubi-tubi menggunakan apa jua saluran menyerang dan mempertikaikan tindakan JAWI itu.


Dalam insiden ini sudah tentu JAWI juga terpaksa menyemak semula dan menarik balik saman-saman yang lepas dan mungkin tidak akan mempunyai kekuatan untuk menguatkuasakan undang-undang selepas ini.

Pembatalan ini juga sudah pasti sedikit sebanyak memberi ruang kepada parti pembangkang terutama Pas yang sememangnya cukup bijak untuk mengeksploitasi isu lebih-lebih lagi dalam keadaan tidak senang duduk mereka melihat pelaksanaan konsep Islam Hadhari.


Saya percaya mereka yang telah dibatalkan saman oleh JAWI, pada hari ini sedang raya besar setelah sambutan Tahun Baru Cina.

Buat JAWI saya ingin meminta izin untuk mengingatkan merekajika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Alang Mat Jawi, Bukit Bintang

Jelas tindakan kabinet mengarahkan JAWI membatalkan samannya ini tidak disenangi oleh banyak pihak termasuk dikalangan ahli-ahli Umno. Namun apakan daya ianya merupakan kehendak pemimpin mereka. Najib, Azalina, Shahrizat merupakan antara anggota kabinet yang vokal dalam menentang tindakan JAWI ini. Dan mereka inilah yang merupakan barisan pelapis yang bakal menerajui Umno apabila Pak Lah tiada nanti. Dalam kes inipun mereka berani menyebelahi yang mungkar secara terang-terangan bayangkanlah apa akan terjadi kepada nasib dan masa depan Islam di bawah tangan mereka kelak!
KELANTAN HARUS DIMAJUKAN:
TERIMA KASIH MAT TAIB

BERNAMA hari ini melaporkan Ketua Penerangan Umno Malaysia Muhammad Mohd Taib mendesak agar negeri Kelantan terus dibangunkan walaupun ianya diperintah oleh kerajaan PAS. Beliau menegaskan bahawa adalah merupakan tanggungjawab kerajaan yang berkuasa untuk menyalurkan pembangunan dan kemewahan kepada rakyat negeri tersebut tanpa diskriminasi ideologi ataupun agama.



Malah tambah beliau kiranya ini berlaku bermakna Umno menghukum rakyat Kelantan kerana tidak mengundi mereka:

The former Umno vice-president said if party members did not pay attention to the approach aimed at helping the people, it will mean we are punishing the Kelantanese for not supporting Umno in the March 21 general election last year.

Saya mengucapkan syabas kepada Mat Taib kerana bersikap terbuka dalam hal ini. Kita kan mengamalkan demokrasi. Oleh itu adalah menjadi hak rakyat samada untuk mengundi kita
ataupun tidak. Yang pentingnya apabila rakyat telah memberi mandat dan membuat keputusan ianya perlulah dihormati oleh semua pihak.

Janganlah kerana pilihan mereka itu tidak selari dengan kehendak kita maka mereka dihukum. Tambahan pula kita kan sebangsa dan seagama.

Mat Taib sewajarnya juga menasihatkan Annuar Musa dan pengikutnya agar berkerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan. Kerajaan PAS mewarisi kerajaan negeri dari Umno dengan hutang yang ditinggalkan sebanyak RM718,000 juta. Angka ini berjaya dikurangkan sebanyak RM134,900 juta sepanjang 13 tahun pemerintahan PAS walaupun dalam keadaan pelbagai tekanan dan kekangan.

Kasihanilah rakyat Kelantan yang tidak berdosa itu. Kini mereka memiliki kerajaan negeri yang telus dan bersih sebagaimana citarasa mereka. Izinkanlah kerajaan negeri ini mentadbir tanpa sebarang sekatan. Hormatilah hak mereka, jangan lagi diwujudkan kerajaan dalam kerajaan sebagaimana yang ada hari ini.

Nanti pilihanraya umum sekali lagi Umno cubalah untuk merampas kuasa melalui lunas demokrasi akan tetapi sehingga itu hormatilah keputusan rakyat.

Thursday, February 17, 2005

SENARAI 40 TERKAYA DI MALAYSIA:
APA KHABAR ORANG MELAYU?

Sebelum penubuhan Malaysia pada tahun 1963 negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ataupun Federated Malays States. Sebelum itu ianya dikenali sebagai Tanah Melayu. Bermakna Malaysia yang kita duduki pada hari ini merupakan tanah air asal orang-orang Melayu sehinggalah apabila merdeka orang-orang bukan Melayu berupa pendatang dari negara Cina dan India diterima sebagai warganegara Malaya atas kehendak anak-anak bangsa ketika itu.

Saya tidaklah bermaksud mahu mengapi-apikan semangat perkauman ataupun seumpamanya namun ini adalah fakta sejarah.

Kini hampir 47 tahun negara merdeka, bukan hanya orang Melayu malah mereka yang berbangsa Cina dan India sudah menganggap negara ini sebagai tanah air mereka. Dan hakikat ini diterima oleh semua.

Persoalannya setelah 47 tahun negara merdeka, apakah kedudukan ekonomi orang Melayu yang merupakan penduduk asal bumi Malaysia ini lebih baik dari mereka yang terkemudian atau bagaimana? Sepatutnya sebagai penduduk asal yang telah mengerjakan aktiviti ekonomi, memiliki hartanah dan seumpamanya jauh sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain, orang Melayu pastilah lebih maju dan kaya dari mereka yang terkemudian. Tambahan pula teraju negara sejak dari sebelum merdeka dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi sehinggalah hari ini terus dipegang oleh orang Melayu.

Walaupun demikianlah halnya, malangnya orang Melayu sebenarnya semakin terkebelakang dan tercicir di atas bumi tumpah darahnya sendiri. Bagaikan itik di air mati kehausan, orang Melayu yang asalnya Tuan kini semakin kecil dan rendah.

Majalah Malaysian Business hari ini mengeluarkan senarai 40 individu yang terkaya di Malaysia. Senarai Top 5 dibolot oleh bukan Melayu iaitu:


1. Tan Sri Robert Kuok - kekayaan RM16.96 billion

2. Tan Sri Ananda Krishnan - kekayaan RM12.23 billion

3. Tan Quek Leng Chan - kekayaan RM 8.97 billion


Sebagai perbandingan jumlah kekayaan ketiga-tiga mereka ini iaitu RM39.06 billion jauh melebihi anggaran perbelanjaan pembangunan untuk seluruh Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam Bajet 2005 iaitu RM28.3 billion!

Senarai seterusnya:

4. Tan Sri Lim Goh Tong - kekayaan RM 6.87 billion
5. Tan Sri Teng Hong Piow - kekayaan RM 6.11 billion

Jika dijumlah kekayaan mereka berlima ini iaitu RM52.04 billion ianya lebih setengah daripada anggaran pendapatan negara bagi tahun 2005 iaitu RM99.03 billion!

Bukannya tak ada langsung orang Melayu yang termasuk dalam senarai Top 40 ini, adalah Tan Sri Syed Mokhtar di nombor 7 dengan kekayaan RM2.69 billion, tetapi tidakkah ini menunjukkan bahawa kekayaan negara hakikatnya dibolot oleh masyarakat bukan Melayu.

Dari industri pemakanan, pertanian, perjudian, pengangkutan, bank, hartanah semuanya di bawah kuasa mereka.

Tetapi bukankah kita diajar bahawa orang Melayu ini adalah Tuan. Konsep ketuanan Melayu selalu dipropogandakan oleh pihak tertentu samada kepada anak-anak Melayu khususnya di IPTA dan IPTS dan juga dalam konvensyen dan persidangan Melayu. Persoalannya kalau kita Tuan tetapi harta dan kekayaan berada ditangan orang lain, masih bolehkah kita berlagak Tuan?

Orang bukan Melayu seharusnya dipuji kerana mampu menjana ekonomi mereka dalam keadaan mereka asalnya sekadar pendatang di tanah bertuah ini. Tetapi apa nak dikatakan terhadap bangsa Melayu? Kita berjuang mati-matian untuk kemerdekaan negara, kita tentang dan lawan mereka yang tidak sealiran dengan kita. Bila Merdeka kita pegang segala pusat kekuasaan, kita yang lulus tanah, kita yang lulus projek, kita yang beri lesen, kita yang beri bantuan tetapi bila hitung kekayaan malangnya yang kaya orang lain!

Bukalah minda bukalah mata seluas-luasnya. Mungkinkah ini berlaku lantaran kita tidak telus, ada unsur salah guna kuasa, ada unsur rasuah, ada unsur penyelewngan sepanjang usia negara. Kerana kita mahu senang maka kita terima yang tidak sepatutnya kita terima, kita ali babakan projek dan hak kita kerana kita mahu cepat kaya, kita pajak tanah ladang dan kebun kita kerana nak meraih laba yang cepat, kita lentur-lenturkan peraturan dan undang-undang kerana mahu mengumpul harta walaupun akibatnya merugikan bangsa.

Kesimpulannya orang Melayu yang melaung Hidup Melayu satu ketika dahulu kini sekadar menjadi pemandu kepada taukeh yang kaya, menjadi jaga kepada rumah dan pejabat nyonya yang lumayan. Sedih tapi itulah realitinya maka tinggalah kita dengan nostalgia Keretapi Tanah Melayu, tanah rizab Melayu (yang semakin pupus) dan institusi Raja -raja Melayu, itupun entah sampai bila.

Wednesday, February 16, 2005

KABINET ISLAM HADHARI BEBASKAN RATU MAKSIAT

Allah swt berfirman dalam surah Ali Imran: 110

Kamu (wahai ummat Muhammad) adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi (faedah) ummat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)

Dengan imej Islam Hadhari yang Pak Lah jaja sehingga ke Pakistan hari ini ramai yang menjangkakan isu serbuan JAWI ke pusat maksiat Zouk di Jalan Ampang KL akan berakhir dengan keputusan mahkamah. Mereka yang ditahan pada malam puaka tersebut dijangka didakwa di mahkamah pada bulan April ini.

Akan tetapi rupa-rupanya kesungguhan pihak-pihak tertentu untuk mencalar dan terus mengaibkan imej Islam dalam negara yang tak seberapa adanya itu akhirnya berjaya jua. Sebagaimana yang dilaporkan oleh THE MALAY MAIL hari ini pihak JAWI telah menarik balik saman ke atas semua yang ditahan pada malam 20 Januari itu.

Mereka yang dituduh telah dipanggil ke pejabat JAWI semalam dan pegawai yang bertugas telah bertindak membatalkan kesemua saman mereka. Ini bermakna mereka tidak lagi akan didakwa di bawah enakmen jenayah syariah sebagaimana yang dijangka sepatutnya dan segala pertuduhan terhadap mereka digugurkan.

Apa dah jadi? Adakah pembatalan ini kerana pihak pendakwa tidak memperolehi bukti yang cukup ataupun ianya dibatalkan atas tekanan dan arahan pihak tertentu?

Kebetulan dalam sisipan akhbar THE STAR hari ini Marina Mahathir anak bekas PM telah menggunakan ruangan mingguannya untuk menyerang hebat JAWI dan kerja-kerja nahi mungkar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama. Marina meminta para pembacanya menentang habis-habisan segala bentuk nahi mungkar yang beliau anggap sebagai satu penderaan yang keterlaluan katanya:

We ought to fight against something that is so obviously abusive especially when the grounds for the raid are suspicious in the first place

Kita sepatutnya menentang sebarang usaha yang jelas berbentuk penyalahgunaan kuasa lebih-lebih lagi serbuan yang dimaksudkan dilakukan di atas syak wasangka semata-mata.

(dalam hal ini Marina lupa semasa bapa beliau Menteri Dalam Negeri dulu berpuluh ditahan di bawah ISA semata-mata kerana disyaki menggugat kestabilan negara - kenapa tak ajak orang tentang bapanya sendiri)

Marina terus menusuk dengan mata penanya apabila menganggap mana-mana pihak yang menyokong langkah JAWI itu sebagai berfahaman ala Taliban. Dan beliau turut mendesak agar pihak kerajaan menghentikan sama sekali kerja-kerja nahi mungkar ataupun penguatkuasaan kesalahan agama ini demi mempertahankan imej Islam moderat yang kononnya cuba dipaparkan oleh negara ini.

Rupa-rupanya memang pihak atasan berhasrat mempertahankan mereka yang mungkar ini dan sekaligus menerima fahaman Marina dalam hal ini. Ianya terbukti apabila MALAY MAIL melaporkan:

The officer told us that the Cabinet instructed them to do so and that it has to be settled by Tuesday before the Cabinet meeting on Wednesday (today)

Pegawai tersebut memberitahu kami bahawa pihak Kabinet telah mengarahkan mereka membatalkan saman tersebut pada hari Selasa iaitu sebelum mesyuarat Kabinet pada hari Rabu (hari ini).

Pak Lah kini berada di Pakistan dan kebetulan kabinet dipengerusikan oleh Najib Tun Razak, anak emas Dr Mahathir yang memang tidak senang hati dengan tindakan JAWI tersebut. Demikianlah berakhirnya episod seribu satu malam di negara Islam Hadhari Malaysia.

Jelas dengan perkembangan ini Pak Lah tidak memiliki sebarang kekuatan untuk menyuntik program Islam Hadharinya yang dah memang pun longgar itu. Beliau cuma tegak dengan satu dua penyokong manakala yang selebihnya dikeliling-kelalang beliau adalah mereka yang tidak gemar dengan corak Islam yang ingin beliau jaja itu.

Dalam sajak Pak Lah yang terkenal AKU CARI DAMAI DI HATI beliau ada menyebut:

Aku cari mana dia Al Ghazali

untuk itu di sini saya petik tulisan Imam Al Ghazali di dalam kitabnya BIDAYATUL HIDAYAH:

Dan ketahuilah apabila engkau cuai maka akibatnya akan kembali kepadamu dan apabila engkau rajin maka mafaatnya juga akan kemabli padamu. Allah Maha Kaya daripadamu dan Kaya daripada amalanmu tetapi setiap orang akan tertakluk (pada hari kiamat nanti) dengan amalan yang dikerjakannya di dunia. Maka jangan sekali-kali engkau berkata: Allah itu Tuhan yang Maha Mulia lagi Pengampun. Ia mengampuni dosa-dosa hamba yang berbuat maksiat, kerana ucapan seperti itu adalah ucapan yang benar tetapi mempunyai tujuan yang salah. Orang yang memperkatakannya digelar AHMAQ (bodoh).

Semoga kita yang lain akan insaf dengan malapetaka yang kita hadapi ini. Islam semakin dipermain dan dipersendakan oleh mereka yang dari kalangan kita juga. Janganlah kita terpedaya lagi. Insaflah dan kembali ke jalan yang benar. Allah swt berfirman dalam surah al Maidah ayat 49:

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah enkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan mu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.

Berbahagialah Jeslina, Najib, Azalina, Noraini, Sisters in Islam dan ramai lagi yang telah bersekongkol dalam menggelapkan kebenaran dan merendah serta mengaibkan Islam dimata ramai ini. Apakah kita juga turut berbahagia?

Tuesday, February 15, 2005

KOD ETIKA BARU UNTUK PENGUATKUASA AGAMA
PENJENAYAH AGAMA BAGAIMANA?

Para pegawai penguatkuasa agama tidak lama lagi akan dikehendaki mematuhi kod etika baru ketika menjalankan tugas penguatkuasaan mereka. Menurut Menteri di JPM Dr Abdullah Md Zin pihak JAKIM dan Pejabat Peguam Negara sedang merangka kod tersebut dengan input yang diperolehi dari beberapa NGO (termasuk Sisters in Islam menurut THE MALAY MAIL). Kod itu kelak akan turut diperkenalkan kepada semua negeri-negeri untuk diterima pakai.

Menurut Abdullah kod tersebut diperkenalkan untuk memastikan yang srbuan pihak penguatkuasa agama dimasa-masa akan datang dijalankan secara profesional dan terbuka.

Tindakan memperkenalkan kod etika ini berbangkit ekoran persitiwa serbuan pihak JAWI ke atas kelab maksiat Zouk di Jalan Amapng KL pada 20 Januari lalu.

Tetapi kenapa pihak kerajaan bertindak seolah-olah memperakui bahawa segala dakwaan mereka yang ditahan pada malam tersebut (termasuk Jeslina dan kawan-kawannya) terhadap para pegawai JAWI adalah benar belaka. Kita bersetuju agar suatu garis panduan diperkenalkan untuk memantapkan lagi kaedah penguatkuasaan agar kelihatan adil dan profesional. Namun kita juga mahu melihat yang setiap kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (walaupun bukan syariah sebenarnya) itu dibawa ke pengadilan tanpa mana-mana pihak mempertikaikan peruntukkannya apalagi membela mereka yang bersalah.

Jangan kerana pesalah mengadu, NGO seperti Sisters in Islam membela, Menteri dan Puteri Umno menekan maka JAKIM kelam kabut nak perkenalkan etika dan seumpamanya.

Soal benar atau tidak para pegawai JAWI bertindak sebagaimana yang kononnya didakwa oleh mereka yang ditahan dalam serbuan itu perlulah dihadapkan ke mahkamah terbuka. Kita tidak pernah pulak melihat GRO dan para pelacur yang ditahan Polis mengadu mereka dikasari dan seumpamanya lalu kemudian pihak Polis memperkenalkan etika baru untuk menjalankan kerjanya. Begitu juga Mat-mat Rempit yang berkeliaran di KL ditahan dan disepak oleh Polis tak pula kita dengan tentang pihak yang mahu perkenalkan etika baru terhadap anggota Polis. Begitu juga jangan lupa ketika reformasi jalanan hangat satu ketika dahulu kita tak dengar pun mereka yang dibelasah oleh FRU sehingga pecah muka dan kepala dibela dan dipertahankan sehingga menuntut kod etika baru untuk anggota FRU.

Kenapa bila kes yang membabitkan kelab maksiat elit ini yang dikunjungi oleh anak-anak orang kaya yang berada dan ternama termasuklah artis-artis glamour tiba-tiba hiruk-pikuk kita mahu perkenalkan etikalah dan berbagai lagi?

Saya tegaskan sekali lagi kalau anggota JAWI pada malam tersebut bersalah kerana salah guna kuasa ataupun melanggar etika kerja yang ada maka seret mereka ke pengadilan. Dan dalam waktu yang sama kalau yang ditahan itu memang melanggar undang-undang, jangan dibela atau dipertahankan, salah tetap salah maka dakwa dan biarkan mahkamah memutuskan.

Hairan masih berpilih-pilih bulu kita walaupun dan kes kemungkaran seumpama ini. roslan_s@yahoo.com

Sunday, February 13, 2005

UTUSAN MEMPERSENDAKAN LANGKAH MPKB
MENGHADKAN BUNYI PEMBESAR SUARA

Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB minggu lalu mengumumkan bahawa pemilik kedai, pasar raya dan peniaga pasar malam dilarang menggunakan pembesar suara dengan kadar bunyinya melampaui 72 decibel ataupun melampaui empat kaki dari sumber bunyi.

Menurut Yang Dipertua MPKB, Abdul Aziz Abdul Rahman larangan ini dikuatkuasakan ekoran rungutan yang diterima dari orang ramai. Tindakan mengawal pencemaran bunyi ini meletakkan MPKB sebagai PBT yang pertama di Malaysia memperkenalkan larangan seumpama ini setelah menerima nasihat dari pihak RTM.

Sesungguhnya gangguan seumpama ini memang berlaku dimana-mana termasuklah di Bandaraya Kuala Lumpur. Kalau kita umpamanya berpeluang mengunjungi kawasan Chow Kit khususnya di bazaar berhampiran Pasar Chow Kit kita akan dapati betapa gangguan seumpama ini benar-benar dapat dirasakan.

Akan tetapi langkah MPKB yang bertindak proaktif ini dipandang serong malah dipersendakan pula oleh pihak MINGGUAN MALAYSIA. Dalam ruangan Cubit Manja hari ini di bawah tajuk RADIO TAK BOLEH KUAT DI KB penulis ruangan menulis:

Siti tahu memang payah nak bagi orang ketawa. Lebih-lebih lagi ketawa sampai berguling-guling kerana kelakar sangat. Tapi kalau ambil idea MPKB tentu orang akan ketawa. Kala tak percaya cubalah. Mesti gelak punya.

Penulis berkenaan bukan hanya telah mempersendakan langkah MPKB malah dengan jahat telah memutarbelitkan pula fakta dan memberikan gambaran seolah-olah larangan ini kena ke atas setiap individu di Kota Bharu. Beliau menulis:

Nak jerkah orang pun kena perlahan juga. Bisik-bisik gitu. Kalau cakap kuat kena denda RM500. Kalau gelak kuat pun sama juga. MPKB larang orang cakap kuat.

Nak pasang radio macam Manis FM pun kena hati-hati. Nanti tak fasal-fasal kena sama dek MPKB.

Jelaslah laporan beliau adalah bohong dan mempunyai niat jahat untuk memburuk-burukkan MPKB. Sejak bila pula larangan ini terkena ke atas individu yang berbual ataupun bercakap? Kalau pasang radio di rumah atau dalam kereta, memang tak ada kena mengena dengan larangan ini, bukankah sasarannya sebagaimana yang dijelaskan oleh pihak MPKB adalah terhadap PEMILIK KEDAI, PASARAYA dan PENIAGA PASAR MALAM.

Longgar sungguh etika kewartawanan mereka di UTUSAN sehingga sanggup membohong dan memfitnah demi untuk melariskan akhbar mereka!

Saya mengucapkan syabas kepada MPKB kerana prihatin dengan rungutan rakyat dan bertindak dengan memperkenalkan peraturan yang munasabah. Rupa-rupanya niat baik MPKB ini walaupun dibodohkan oleh UTUSAN telah mendapat pujian dari mereka yang di luar Kelantan. Seorang warga Pulau Pinang K RAMAMURTHY telah menulis kepada akhbra THE STAR:

The Kota Bharu council is RIGHT in banning business premise from playing music or making public announcements through loudspeakers.

It has become a trend almost everywhere to promote sales by playing unwanted and unnecessary high volume of music and making loud announcements.

I hope the Penang Municipal Council would follow the example of the Kota Bharu council in apprehending these noise polluters.

Langkah pihak Majlis di Kota Bharu adalah TEPAT iaitu dalam melarang premis perniagaan dari memainkan muzik ataupun membuat pengumuman (yang terlalu kuat) melalui pembesar suara masing-masing.

Kini sudah menjadi trend di merata tempat dimana dalam usaha mempromosikan jualan masing-masing pengusaha memainkan muzik yang tidak dikehendaki dengan terlalu kuat serta membuat pengumuman dan seumpamanya.

Saya berharap agar pihak Majlis di Pulau Pinang akan mencontohi MPKB dalam menangani isu pencemaran bunyi ini.

Hairan orang bukan Islam pun boleh faham dan menyokong , tapi orang di UTUSAN nampak benda yang baik ini macam bahan senda gurau!
UTUSAN TERUS MEMPERTAHANKAN JESLINA

Dalam Pancaindera, sisipan kepada akhbar Mingguan Malaysia hari ini, dipaparkan kisah peminat yang marah terhadap Jeslina, artis yang terlibat dalam serbuan JAWI di kelab maksiat Zouk baru-baru ini.


SAYA BERDOSA DENGAN TUHAN BUKAN DENGAN JAWI

Menurut kolumnis berkenaan hampir 100 peratus dari email yang diterima mengutuk dan marah-marah kepada Jeslina kerana membuat kenyataan yang beliau istilahkan sebagai berani.

Antara lain kolumnis berkenaan menulis:

Banyak yang tak puas hati dengan cara Jeslina bercakap. Kata mereka Jeslina tidak sepatutnya menyalahkan pihak penguatkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka. Banyak juga yang kecewa apabila Jeslina mendakwa keluarga dia kata okey pakai baju tak ada lengan dan seksi itu.

Memang layaklah para pembaca berkenaan marah. Kalau artis mahu ditonjolkan sebagai contoh kepada para muda-mudi jelaslah Jeslina merupakan contoh yang terburuk setakat ini. Mana ada umat Islam yang berilmu boleh menerima kenyataan beliau bahawa pakaiannya ketika ditangkap itu OK kerana keluarganya tidak kisah pun.

Dalam Islam OK atau tidak OK kenalah rujuk kepada Al Quran dan As Sunnah yang merupakan pedoman dan ikutan mereka yang beriman. Kalau Islam dah kata haram, tak kiralah siapa pun di dunia ini, keluarga yang disayangi, suami atau isteri maupun Perdana Menteri atau kerajaan mana sekalipun tidak berhak untuk reverse atau memesongkannya.

Kalau Jeslina dan keluarganya tidak berilmu maka wajiblah pihak yang bertanggungjawab, masyarakat sekeliling ataupun pihak berkuasa mendidik dan membimbing mereka supaya faham. Membenarkan orang yang jahil menyatakan sesuatu secara terbuka bermakna bersubahat dalam kerja-kerja mungkar.

Sewajarnya pihak UTUSAN setelah menerima feedback sedemikian rupa turut akur dan insaf. Rupa-rupanya tidak. Mereka pula semakin ghairah mempertahankan Jeslina yang jahil itu. Dalam artikelnya ini kolumnis turur memuatkan gambar penuh Jeslina yang berpakaian skirt seolah-olah terus menyokong tindakan Jeslina. Malah tak cukup setakat itu, beliau membuat kesimpulan:

Itulah masalah kita. Bila artis cakap tak jujur kita kata artis itu hipokrit. Tapi bila artis terlebih jujur pun kita marah. Habis macam mana lagi?

Nampak gaya bukan hanya Jeslina yang perlu dibimbing kolumnis berkenaan juga turut perlu dibimbing sama.

Saturday, February 12, 2005

UMAT ISLAM SINGAPURA MENENTANG KASINO
ISLAM HADHARI MACAM MANA?

Akhbar THE STAR hari in melaporkan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) secara terbuka menyatakan pendiriannya menentang pembinaan sebuah kasino ataupun pusat perjudian di Singapura.

Presiden MUIS Alami Musa menyatakan bahawa pendirian ini adalah berdasarkan pertimbangan agama dan aspek sosial. Beliau dipetik sebagai berkata di Masjid Darul Ghufran di Tampines sempena perayaan Maal Hijrah:

We cannot accept a casino on religious grounds and in Islam we totally reject the idea of gambling as it can bring harm to society.

Kami tidak dapat menerima sebuah kasino atas alasan agama, malah Islam menolak sama sekali perjudian ini kerana mudaratnya kepada masyarakat.

Islam teaches its followers to make a living through honest work and not through chance or luck. Islam forbids its followers to work in support of or invest in the casino project.

Islam mengajar pengikutnya agar mencari pendapatan dengan cara yang jujur dan tidak melalui menduga nasib. Islam MEGHARAMKAN pengikutnya samada bekerja atau melabur dalam projrek kasino.

Masyallah banyak sungguh yang dapat kita pelajari dari saudara serumpun dan seagama dengan kita dari seberang tambak ini. Sesungguhnya kenyataan ini begitu jujur dan berani sekali, datangnya dari masyarakat Islam yang merupakan penduduk minoriti di negara sekular Singapura.

Kalau perjudian itu haram tak kanlah haramnya itu di Singapura sahaja! Kalau Islam mengharamkan pengikutnya bekerja atau melabur dalam aktiviti judi takkan terkena di Singapura sahaja, Malaysia yang mengamalkan Konsep Islam Hadhari ini bagaimana?

Tidakkah HARAM namanya juga anak-anak Melayu Islam yang bekerja apa lagi mereka yang melabur dan menjadi pemegang saham serta pengarah syarikat-syarikat judi di Malaysia. Pernah tak pihak bertanggungjawab dibidang agama mengambil kira berapa ramai umat Islam di Malaysia yang bekerja, memegang saham, menjadi pengarah syarikat-syarikat perjudian khasnya kasino di Genting Higlands, Pan Malaysian Pool, Magnum, Sports Toto dan lain-lain.

Adakah mereka ini tidak berdosa dan adakah kerajaan tidak bertanggungjawab memastikan mereka ini tidak lagi bekerja, memegang saham atau menjadi pengarah syarikat-syarikat maksiat berkenaan. Apa kata Pengerusi Majlis Fatwa, apa kata Menteri di JPM Dr Abdullah Md Zain, apa kata Hamid Othman (penasihat agama PM), apa kata Dr Mashitah, apa kata Uthman al Muhhamadi dan lebih penting lagi apa kata Pak Lah selaku penganjur Islam Hadhari dalam hal ini?

Malulah kita pada umat Islam Singapura yang walaupun kecil bilangannya namun tidak pernah kecil hatinya, berani dan bertegas dalam bab halal dan haram ini. Syabas diucapkan pada mereka dan mudah-mudahan Allah swt sentiasa bersama mereka.

Sementara itu syarikat-syarikat judi di Malaysia terus menerus mengaut keuntungan.

roslan_s@yahoo.com
JAIS GANGGU MAJLIS PENERANGAN TSUNAMI

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Pejabat Agama Daerah Kuala Selangor telah bertindak menyerbu sebuah surau di Sawah Sempadan di Tanjong Karang bagi menggagalkan usaha mengadakan majlis penerangan berkenaan Peristiwa Tsunami di sana. Majlis ceramah penerangan yang sepatutnya diberikan oleh Dr. Lolo Datuk Ghazali itu akhirnya terpaksa dipindahkan ke rumah Puan Suriani Sarpani di Parit Serong akibat keenganan pihak JAIS membenarkan surau tersebut digunakan.

Dr. Lolo merupakan salah seorang antara Ketua Romobongan Misi Bantuan PAS yang terawal tiba di Bandar Aceh sejurus berlakunya peristiwa Tsunami pada 26 Disember lalu.



Adalah difahamkan bahawa tindakan pihak JAIS ini adalah ekoran arahan dari Pegawai Penyelaras Masjid Kuala Selangor, Mohd Khir Ramli yang juga merupakan seorang pimpinan pemuda Umno di kawasan berkenaan.

Majlis yang terpaksa dipindahkan ke rumah di Parit Serong itu kemudiannya berjaya juga diadakan dengan kehadiran lebih 400 orang muslimat disekitar kawasan berkenaan.



Sungguh mendukacitakan apabila melihat pihak JAIS sanggup diperalatkan untuk bertindak ke atas majlis seumpama ini. Tak kanlah program seumpama ini mahu disamakan dengan majlis maksiat dan mungkar yang JAIS pun selama ini senyap dan tidak bertindak. roslan_s@yahoo.com

(terima kasih Sdr. Faizal DPPKTK)

Friday, February 11, 2005

JAUHI BUDAYA KOBOI
UTHMAN PATUT NASIHATKAN PAK LAH DAN ANAK BUAHNYA

Tokoh Maal Hijrah Uthman Muhamady menyarankan agar umat Islam menjauhi budaya koboi iaitu suka berkelahi dalam menghadapi perbezaan pendapat dikalangan mereka bagi memastikan peradaban tinggi Islam dapat dibina semula. Tetapi apabila kerajaan Indonesia menyatakan hasrat untuk menyaman para majikan Malaysia yang didakwa menyalah guna penangguhan program pengampunan untuk tidak membayar gaji para pekerja asing tanpa izin (PATI) dari republik itu pimpinan negara kita naik kalut dan berang macam KOBOI.

Najib dilaporkan dalam UTUSAN hari ini kononnya terkejut dengan sikap Indonesia itu manakala Pak Lah kelmarin membayangkan Indonesia akan berdepan dengan pelbagai masalah lantaran tindakannya tersebut.

Kita mendakwa mempertahankan hak asasi dan kebebasan serta meletakkan kedaulatan undang-undang sebagai salah satu prinsip negara kita, tiba-tiba apabila negara jiran mahu menggunakan proses undang-undang kita untuk menuntut hak rakyat mereka kita naik rimas dan melompat. Tidakkah kita terbayang bagaimana persepsi dunia luar ekoran sikap kita ini?

Soal PATI yang dikatakan datang secara haram itu, biarlah mahkamah yang menetukan locus standi ataupun kedudukan mereka dari segi undang-undang, tetapi sebagai kerajaan yang bermaruah kita sepatutnya bersikap terbuka dan tidak dilihat seolah-olah mahu mempertahankan pihak majikan yang jelas merupakan pemeras dalam hal ini. Menurut laporan sebuah syarikat di Damansara telah enggan membayar gaju kepada hampir 90 orang pekerja PATI yang melibatkan jumlah RM252,000.

Yang menghairankan apabila kes saman ini mula-mula dibangkitkan oleh Menteri Buruh Indonesia Fahmi Idris pada hari Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Azmi Khalid dilaporkan oleh NST sebagai menyokong tindakan ini. Azmi dipetik sebagai berkata:


AZMI YANG MALANG

By taking employers to court we want them to think twice before hiring illegals as they know that civil action will be taken against them. They do not pay because they think they can get away with it.

Azmi added that THE MALAYSIAN GOVERNMENT SUPPORTED THE MOVE TO TAKE ERRANT EMPLOYERS TO COURT.

Dengan mengambil tindakan ini para majikan akan berfikir dua kali sebelum mengambil pekerja PATI kerana mereka akan berhadapan dengan tindakan sivil. Mereka enggan membayargai kerana menyangkakan mereka boleh lepas.

Azmi menambaha bahawa KERAJAAN MALAYSIA MENYOKONG LANGKAH MEMBAWA MAJIKAN YANG INGKAR KE MAHKAMAH.

Patutlah agaknya laman web Tranungkite di http://www.tranungkite.cjb.net/menjangkakan bahawa Azmi adalah salah seorang dari 3 menteri yang dijangka digugurkan Pak Lah dalam satu rombakan kabinet sedikit masa lagi.

Berbalik kepada isu ini saya rasa langkah kerajaan Indonesia ini mencerminkan prihatin mereka terhadap nasib dan kebajikan warga mereka. Malah ianya membuktikan kesediaan mereka untuk membela warga mereka dimana sahaja.

Mengapa kerajaan Malaysia tidak begitu? Kita tahu warga Malaysia yang bekerja di Singapura kecuali mereka dari Sabah dan Sarawak sehingga kini tidak dapat mengeluarkan caruman mereka dari CPF (Consolidated Provident Fund iaitu satu bentuk simpanan paksaan seumpama KWSP) sejak zaman berzaman. Singapura merompak hasil titik-peluh anak Malaysia yang bekerja secara sah tetapi kerajaan Malaysia tidak pula berura-ura mahu membela dan mengambil tindakan yang bermakna.

Jadilah kerajaan yang bertanggungjawab. Jangan jadi kerajaan yang membela pemeras dan penindas seperti majikan yang menipu dan kerajaan Singapura yang selamba itu! roslan_s@yahoo.com

Thursday, February 10, 2005

UMNO RIMAS MAHU NIK AZIZ LETAK JAWATAN

Hari ini lantaran cuti dua tahun baru, dipasaran tiada akhbar tempatan kecuali Utusan Malaysia dan Kosmo. Bermakna Utusan membolot liputan berita pada hari ini.

Terdapat dua berita di UM yang menarik perhatian saya. Kebetulan kedua-duanya dikeluarkan oleh pimpinan Umno yang berasal dari Negeri Sembilan. Antara tajuknya:


TUAN GURU NIK ABD AZIZ

NIK AZIZ TIDAK AKAN LEPASKAN JAWATAN MB: ISA

PAS PERLU IKHLAS TENTUKAN NIK AZIZ MASIH MAMPU MEMERINTAH

Isa Samad Naib Presiden Umno dan MB NS Mohamad Hasan semacam tidak senang melihat Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat terus menerajui negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS. Komen mereka ini adalah lanjutan gesaan yang dibuat oleh ahli Parlimen Pasir Puteh Che Min (Umno) yang menyeru Nik Aziz meletakkan jawatannya sebagai MB kononnya demi kepentingan rakyat memandangkan keadaan kesihatannya yang sering terganggu.


ISA DAN MOHAMAD YANG RIMAS

Solanya adakah Tuan Guru kini telah tidak berupaya memerintah?

Tuan Guru mengulas isu ini dalam Harakahdaily:

Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan selagi diberi kesihatan yang baik, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai pemimpin kerana menyedari tanggungjawab itu bakal diberi ganjaran pahala.

Menteri Besar berkata, beliau tetap akan meneruskan tugas hariannya apabila diberi kesihatan tubuh badan kerana memikirkan ganjaran pahala bakal diterima di akhirat kelak.

Kalau segar saya terus balik kerja.. ia bergantung kepada keadaan. Kita tahu pekerjaan ini boleh mendapatkan pahala. Dan pahala kena ingat ia seperti duit di atas dunia. Namun, di akhirat kelak duit tidak laku dan apa yang laku adalah pahala. Jadi macam mana saya hendak kurangkan pahala saya.

Bagi Umno kedudukan dan kuasa merupakan peluang untuk mengaut kekayaan dan kemewahan bagi diri sendiri, kaum keluarga dan para kroni mereka. Tetapi bagi Tuan Guru kedudukan dan kuasa beliau gunakan untuk memungut pahala, berbeza samasekali keutamaan antara keduanya.

Kerana itulah berkemungkinan Umno mahukan Tuan Guru meletakkan jawatan, kalau sejak 1990 jadi MB sekarang dah hampir 14 tahun, kalau setahun pungut busuk-busuk RM1juta maka 14 tahun dah RM14juta. Cukuplah beri peluang pula pada orang lain, kalaulah formula Umno diguna. Tapi formula Tuan Guru adalah peluang memungut kekayaan akhirat yang mana insyallah selagi ada kudrat dan tenaga akan terus dipikulnya kerana bukankah kita umat Muhammad, orang Islam, diajar untuk memungut kekayaan akhirat?

Bagi PAS sendiri saya percaya selagi Tuan Guru berkemampuan menjalankan tugas, tidak ada sebab bagi PAS mahu melihat beliau melepaskan jawatannya. PAS Kelantan sesungguhnya sudah bersedia dengan pimpinan pelapis yang dididik oleh Tuan Guru sendiri. Bila Allah tentukan masanya mereka ini akan melangkah kehadapan, namun buat masa ini Tuan Gurulah yang paling layak untuk terus memegang teraju.

Bak kata Dr Siti Mariah semasa Debat Perdana di TV1 dulu, mengapa perlu seorang yang bersih yang tidak meyalahgunakan kuasanya itu mahu didesak letak jawatan? Isa itu sendiri yang patut disiasat kerana ada laporan yang mengatakan beliau menang jawatan Naib Presiden Umno melalui politik wang demikian juga MB NS itu. Che Min sendiri tidak bebas dari terlibat dengan politik wang menyogok dan membeli sokongan untuk menang di Pasir Puteh. Yang sepatutnya melepaskan jawatan adalah mereka bertiga ni bukannya Tuan Guru!



Wednesday, February 09, 2005

PAK LAH AKUI RAKYAT MASIH TAK FAHAM
KONSEP ISLAM HADHARI

Semalam di Putrajaya Perdana Menteri telah memberikan taklimat berkenaan konsep Islam Hadhari kepada para pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab hal ehwal agama termasuklah dari JAKIM, YADIM dan JASA. UTUSAN MALAYSIA melaporkan:

Perdana Menteri mengakui kurangnya penerangan dan penjelasan yang diberikan oleh agensi terbabit berhubung konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan menyebabkan timbul salah faham dan kekeliruan mengenainya termasuk dikalangan umat Islam sendiri.

Sesungguhnya rakyat memang keliru dan tidak faham konsep ciptaan Pak Lah ini. Apakah kita mahu berpegang teguh kepada agama dan melaksanakan tuntutannya sepenuhnya atau kita sekadar mahu mengambil beberapa aspek agama yang dikira menguntungkan dan boleh diterima masyarakat dan mengemukakan yang berkenaan sahaja? Dari segi perlaksanaan rakyat melihat sejak Pak Lah memperkenalkan konsep ini tidak nampak apa-apa perubahan mendadak kecuali Pak Lah sendiri yang menyentuhnya ke sana kemari.

Yang sering didengar adalah penekanan kepada aspek pembangunan fizikal dan kemajuan jasmani yang dari segi perbandingannya lebih hebat dizaman Mahathir. Di Putrajaya Pak Lah berkata:

Kalau kita hendak menjadikan orang Islam maju dan berjaya saya pasti tidak ada orang yang merasa cemburu dan menentangnya kerana apabila semua maju dan berjaya ia akan membawa kebaikan kepada negara.

Bagaimana Islam berperanan dalam melahirkan kemajuan ini? Bagaimanakah pegangan kita yang teguh kepada Al Quran dan Hadis berkait dengan kemajuan ini? Adakah matlamat akhir kemajuan semata-mata dalam erti kata lain jika ada aspek serta prinsip Islam yang dirasa tidak sesuai maka kita akan berpegang kepada matlamat akhir dan mengenepikan Islam?

Lantaran pelbagai persoalan yang tidak terjawab inilah maka bukan hanya rakyat biasa malah para pegawai agama pun naik pening. Kita lihat apa kata Pirdaus Ismail bekas calon Umno di Permatang Pauh yang kini EXCO Pemuda Umno Malaysia sebagaimana dilaporkan oleh Utusan:

Konsep Islam Hadhari yang berlatarbelakangkan Al Quran dan Hadis merupakan satu kaedah untuk memajukan orang Melayu sebagai umat yang mempunyai ciri-ciri unggul. Maka hayatilah kekuatan agama sebagai sumber untuk kegemilangan orang Melayu.

Rakyat tak nampak significant ISLAM dalam konsep ini kerana realitinya tidak nampak aspek berpegang teguh kepada Al Quran dan Hadis ini diberi keutamaan dan dilaksana. Yang nampaknya seolah-olah kedua-dua sumber perundangan Islam ini sekadar duduk di kerusi penumpang dan dipandu ke sana-sini oleh kerajaan. Bila rasa perlu tolak ke depan bila tidak maka didiamkan di belakang.

Aspek moral dan rohani langsung tidak nampak penekanannya malah dari kenyataan para pimpinan seolah-olah melihatkan aspek ini tidak berapa penting, cuma sekadar masalah peribadi dan bukan agenda negara untuk diutamakan.

Industri arak dan judi contohnya bebas dan tiada kawalan, keruntuhan moral anak-anak muda seolah-olah menjadi penyakit masyarakat yang sudah tidak mampu dirawat lagi dan dalam waktu yang sama atas nama kebebasan dan keterbukaan segala bentuk budaya hedonisma dan seumpamanya terus digalakkan. Pemimpin negara terus berkokok berkenaan konsep Islam Hadhari ini.

Sebagai kesimpulan perbincangan ini saya ingin memetik sebahagian tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ruangan sekapur sirih yang terkandung di dalam buku terbaru karya Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang HADHARAH ISLAMIYAH BUKAN ISLAM HADHARI:



Apabila ada pihak yang menyebut Islam Hadhari secara langsung mereka menanggap di sana ada Islam yang tidak Hadhari. Sedangkan Islam dari awal sampai akhir adalah bersifat Hadhari (bertamaddun). Bahkan sejak manusia mula menerima Islam lagi itulah detik permulaan manusia dianggap berhadhari (bertamaddun) bukannya bermula dari revolusi indsutri seperti yang diwar-warkan oleh Eropah.

PAS telah menegakkan kerajaan di Kelantan dengan Hadharah Islamiyyah dengan mengenepikan hadharah Melayu yang tidak bercorak Islam. Diantara usaha yang telah dilaksanakan di Kelantan ialah mebersihkan akaun kerajaan daripada sistem riba kepada sistem kewangan Islam, menghapuskan nightclub, budaya tari-menari, tempat-tempat judi, pelacuran dan sebagainya.

Selain itu pihak kerajaan juga telah mewajibkan amalan menutup aurat hatta wajah-wajah wanita yang dipamirkan di papan-papan iklan di tepi-tepi jalan pun diwajibkan menggunakan wajah yang menutup aurat, mewajibkan sekurang-kurangnya 3 bilik dalam projek perumahan (untuk diasingkan ibu-bapa, anak perempuan dan anak lelaki) dan lain-lain untuk menjamin kehormatan wanita serta membersihkan zuriat daripada zina, sumbang mahram, rogol dan sebagainya.

Kesemua ini dilaksanakan demi menghayati 3 asas pentadbiran Islam yang disedut daripada Al Quran dan As Sunnah iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. Hasilnya sampai ke hari ini tiada pihak yang berjaya menimbulkan persoalan berlakunya rasuah, politikwang, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya dikalangan pimpinan kerajaan negeri.

Sebenarnya Hadharah Islamiyyah mengajar kita agar tetap berpegang teguh kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW sampai ke akhir zaman kerana syariat Islam itulah yang menjadi sumber Hadharah yang melayakkan manusia diterima menjadi penghuni syruga di akhirat kelak.

Saya merasakan penjelasan Tok Guru ini sungguh padat dan meyakinkan. Inilah bentuk penerangan yang Pak Lah selama ini gagal kemukakan. Kerana itu rakyat semacam terhoyong-hayang, gagal dan sesat dalam mendapatkan penjelasan sebenar. Kerana itu juga Islam Hadhari sekadar menjadi ungkapan mainan, laksana rencah yang perlu ada bagi menjamin sokongan rakyat khususnya umat Islam. Hakikatnya ia kosong dan lebih merupakan retorik politik untuk menyedapkan halwa telinga mana-mana pihak yang perlu dan mahu.


PENYOKONG TERBARU ISLAM HADHARI

Lantaran itu juga jika kita perhatikan antara yang terbaru menyokong dan memuji Islam Hadhari tajaan kerajaan Umno BN pimpinan Pak Lah ini adalah Abuyya Ashaari Muhammad yang satu ketika dahulu (Oktober 1994) pernah dicap sebagai sesat akidahnya dan menyesatkan pula umat Islam oleh kerajaan Umno BN yang sama. Pelik tapi benar!