Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2075 Edisi Jumaat muka F8
Kalau di Amerika Syarikat mantan
Presiden mereka diberikan penghormatan yang tinggi oleh rakyat dan negara.
Mereka diiktiraf sebagai negarawan dan waktu persaraan mereka sering dipenuhi
dengan kerja-kerja yang bermanfaat buat negara setimpal dengan kedudukan mereka
sebagai bekas ketua negara.
Mengikt tradisinya mantan
Presiden sering digunakan oleh Presiden yang berkuasa untuk mewakilinya dalam
tugas-tugas khas diplomatik melibatkan negara lain seringkali sebagai wakil
terutama dalam upacara-upacara rasmi luar negara termasuklah istiadat pengkebumian
ketua negara, ulangtahun hari kebangsaan negara lain dan seumpamanya.
Mereka juga kadangkala terlibat
diperingkat antarabangsa sebagai pemerhati pilihanraya, wakil damai dan yang
setaraf dengannya.
Ringkasnya mantan Presiden
biasanya bebas politik dan sejurus bersara mereka sering memelihara waktu persaraannya
itu dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti, isu-isu apalagi
masalah politik yang melibatkan negara mereka.
Di Malaysia kita punya lima orang
bekas Perdana Menteri. Empat bersara manakala seorang iaitu Allahyarham Tun Abd
Razak, meninggal semasa dalam perkhidmatan.
Almarhum Tunku Abd Rahman umpamanya
sepanjang persaraannya telah benar-benar meletakkan dirinya untuk dihormati
sebagai seorang negarawan. Mana sahaja ketua-ketua negara asing yang berkunjung
ke tanahair biasanya akan mengambil kesempatan menziarahinya selaku Bapa
Kemerdekaan Negara. Beliau demikian sehinggalah ke penghujung usianya apabila
Umno diharamkan pada tahun 1988 dan Tunku mengambil sikap politik dengan
menyebelahi Tengku Razaleigh Hamzah.
Begitu juga Allahyarham Tun
Hussien Onn, kekal sebagai negarawan sepanjang 11 tahun persaraannya
sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1990.
Tun Abdullah Ahmad Badawi yang
bersara sebagai PM Malaysia yang ke lima pada tahun 2009, pun begitu juga
sehinggalah ke hari ini. Kehidupan persaraannya dipenuhi dengan aktiviti sosial
dan kemasyarakatan walaupun menantunya terlibat secara langsung sebagai Ketua
Pemuda Umno.
Ini berbeza sama-sekali dengan
Tun Dr Mahathir Mohammad yang bersara sebagai PM pada tahun 2003 jauh sebelum
Tun Abdullah. Tidak sebagaimana mantan PM yang lain-lain, Dr Mahathir
kebelakangan ini semakin vocal, aktif berpolitik dan seolah ke hadapan dalam
mengkritik dan campurtangan dalam urusan politik dan pentadbiran negara.
Ada yang mengatakan semakin
lanjut usianya semakin kuat dan ligat beliau menyerang kerajaan.
Isunya jika pandangan-pandangan
beliau itu jujur dan membina sudah pasti ia dihormati dan wajar diberikan
perhatian. Cumanya Dr Mahathir ini seorang personaliti yang punya banyak
sejarah yang silam yang tidak pernah disenangi banyak pihak. Jangankan PAS
sahaja, PKR, DAP, NGO malahan mereka yang dalam Umno dan BN juga banyak
menyimpan parut kerana terluka dizaman 22 tahun Dr Mahathir sebagai PM dahulu.
Dan hari ini ramai melihat Dr
Mahathir memiliki kepentingan peribadi apabila beliau beria-ia menonjolkan diri
untuk membelasah kepimpinan negara. Bukannya kita kasih atau mempertahankan
kemungkaran pimpinan negara, malah kita juga terlibat dengan desakkan dan
tuntutan merobohkan kemungkaran dan membina yang makruf atas runtuhan
kemungkaran itu akan tetapi bagi Dr Mahathir ketara sangat agendanya.
Pertalian darah yang pekat
bersama MB Kedah, Mukhriz berkemungkinan menjadi punca besar kesungguhan Dr
Mahathir “berperang sabil” bersama PM dan kabinet.
Terbaru Dr Mahathir mengeluarkan
kenyataan menyeru agar pihak pembangkang mencari formula agar Dato Seri Najib
Tun Razak dapat diturunkan dari jawatan Perdana Menteri. Walaubagaimanapun
syaratnya menurut beliau Barisan Nasional kekal memegang teraju negara.
Demikianlah licik, cerdik dan
pintarnya Dr Mahathir. Seakan beliau putih bersih bagaikan malikat sepanjang 22
tahun sebagai PM dahulu.
Dalam hal ini Timbalan Presiden
PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dengan tegas berkata bahawa cadangan Dr Mahathir
itu “separuh masak” dan tidak sekali-kali akan membawa kepada penyelesaian
masalah yang dihadapi negara. Rakyat mahu diberi perhatian dan diselamatkan.
Isu rasuah, GST, kenaikan kos
hidup, mata wang ringgit yang merudum jatuh, skandal 1MDB dan isu penyaluran
dana asing sebanyak RM2.6 bilion ke akaun PM adalah antara isu-isu hidup yang sedang
menyengat dan menghantui kehidupan rakyat dan ia bukan hanya berpunca dari PM
seorang, ia berpunca dari kepincangan dan ketempangan parti yang memerintah
iaitu Umno dan BN zaman berzaman.
Menurunkan Najib semata-mata,
bukanklah penyelesaian malah membuka peluang bagi masalah baru pula diangkut
masuk sedang yang lama belum tentu selesai kerana Umno dan BN masih berkuasa.
Sebagaimana kenyataan Dato Tuan
Ibrahim, budaya dan sistem pentadbiran negara yang korap dan pincang ini
diwarisi oleh Najib bukannya dari orang lain tetapi dari Dr Mahathir jua.
Bermakna kita turunkan Raja Ketam
tetapi menaikkan ketam juga sebagai Raja, akhirnya sampai bila-bila kita tidak
akan mampu berjalan lurus.
Krisis keyakinan terhadap PM hari
ini tidak akan selesai jika sekadar menukar beliau dengan yang lain namun dari
parti memerintah yang sama. Ianya hanya boleh berkesan jika parti yang
memerintah digantikan dengan yang lebih komited dan bersih.
Bagi PAS itulah yang telah
dilakukannya di Kelantan. Setelah rakyat tertekan dan resah dengan pentadbiran
Umno di sana sekian lama, maka pada tahun 1990 perubahan total dilakukan rakyat
Kelantan dan Pas kekal selama 25 tahun menawarkan rakyat dengan kepimpinan yang istiqamah dan
bersih.
Berbalik kepada gesaan Dr
Mahathir yang separuh masak itu bagi saya rakyat perlu fikirkan penyelesaian
yang lebih praktikal dan bermakna.
Dato Tuan Ibrahim menyimpulkan
bahawa dalam hal ini PAS mengemukakan dasar Islam sebagai asas perubahan kerana
ia bersifat lebih menyeluruh dan sesuai dengan suasana dan keadaan.
Lama sudah rakyat terperangkap di
bawah parti memerintah yang ada, bukan Najib seorang malah termasuklah Dr
Mahathir dan yang lain-lain. Krisis dan masalah terus-menerus melanda tanpa
petanda akan reda. Oleh itu tibalah masanya kita berfikir secara waras dan
matang.
Dr Mahathir bolehlah mengeluarkan
pandangan dan cadangan tetapi dalam hal kepincangan negara ini, beliau terlupa
bahawa sumbangannya bukan sedikit. Menerima nasihat beliau dalam hal ini hanya
akan terus menyiksa kita.
Jangalah kita jadi orang Melayu
yang mudah lupa sebagaimana yang sering dimadahkan oleh Dr Mahahtir satu ketika
dahulu.