Semoga berjayalah tuntutan CUEPACS itu
Saya tumpang gembira dengan lebih 1.1juta rakan-rakan kakitangan awam apabila PM semalam menyatakan bahawa kerajaan terbuka kepada cadangan menyemak semula tangga gaji kakitangan awam. Kali terakhir semakan semula ini dilakukan adalah kira-kira 14 tahun dahulu.
Kini kos hidup semakin mencengkam, segala-galanya mahal dan memerlukan wang. Maka sesuai sangatlah kerajaan menimbangkan permohonan CUPACS ini dengan serius, kerana kita memerlukan kakitangan awam yang cergas dan cerdas, dan ini hnaya dapat diperolehi apabila nasib dan kebajikan emreka terbela.
Pada bulan September lepas apabila CUEPACS membuat tuntutan antara 10 ke 40% ini, PM menolaknya mentah-mentah atas alasan permohonan CUEPACS itu nanti akan mengakibatkan kerajaan terpaksa berbelanja lebih sehingga RM6billion.
Tetapi kini Dollah merubah pendiriannya.
Sesungguhnya Dollah dan rakan-rakan kabinetnya kini mula merasai sentimen membahang dikalangan kakitangan awam dan orang kebanyakkan diperingkat bawah. Hakikatnya dengan kenaikan harga minyak, barangan, perkhidmatan, tol, cukai tanah, cukai pintu sejak akhir-akhir ini rakyat semakin tertekan dan merana. Kerajaan terus berbelanja seolah negara ini tidak bermasalah. Gelung EYE ON MALAYSIA di Tasik Titiwangsa sahaja bernilai RM30juta!
Jika kerajaan terus-menerus menolak permohonan mereka ini berkemungkinan akan berlaku tindak balas yang berkemungkinan pula mampu menghakis kuasa dan menjatuhkan mereka.
Lalu terpaksalah Dollah akur, soalnya berapa banyakkah tuntutan itu yang akan dipenuhi?
Dan dalam pada itu saya percaya jika tuntutan ini dipenuhi, tak kiralah sebahagaian atau sepenuhnya, ketika itu Dollah pasti akan memanggil pilihanraya kerana beliau ketika itu yakin yang rakyat walaupun sengsara dengan kenaikkan kos hidup, namun bila diberikan gula-gula, akhirnya lupalah segala kesengsaraan dan semua akan kembali melutut kepadanya. Benarkah begitu?
No comments:
Post a Comment