Khir Toyo gagal di kawasan sendiri
Jika saya Ketua Bahagian Umno, sayalah personaliti yang paling hebat dan besar di kawasan saya. Semua jentera kerajaan samada diperingkat Pusat mahupun negeri akan tunduk pada saya. Maklumlah bukan senang nak naik ke kerusi empuk ini.
Dari jawatan ini saya juga akan memegang berbagai jawatan lain, rata-rata ketua bahagian Umno diberi peluang memegang kerusi DUN atau Parlimen (kecuali bertanding dan kalah) atau sekurang-kurangnya dilantik sebagai Senator.
Untung-untung jadi pula ahli EXCO atau Setiausaha Parlimen atau Timbalan Menteri, mungkin juga Menteri penuh. Lebih untung lagi kalau jadi MB, KM atau paling atas TPM atau PM.
Sebagai ketua bahagian sayalah rujukan dalam semua hal di kawasan ini. Segala yang berdetik dan terdetik di kawasan saya pasti akan sampai kepengetahuan saya (kecualilah budak-budak saya memainkan saya) lambat ataupun cepat. Mustahil saya tak dimaklumkan kalau ada yang kahwin atau mati atau berjaya di kawasan saya. Kedai baru buka, restoran baru, pam minyak baru, ladang baru, sekolah baru, masjid, surau, kuil, tokong, gereja semua akan dimaklumkan pada saya. Ketua-ketua cawangan termasuklah ketua pemuda, wanita dan puteri semuanya mata dan telinga saya (itu belum ambil kira dari MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain). Pendek kata saya bagaikan raja di kawasan ini!
Diperingkat daerah dan PBT, tidak ada pegawai yang berani membelakangkan saya kerana kedudukan saya dan betapa kuatnya kabel saya dengan mereka yang di atas. Ahli-ahli majlis biasanya ditunjuk dan mendapat restu saya. Malah pegawai-pegawai masuk dan keluar juga boleh melalui sokongan saya.
Jadi lantaran kedudukan istimewa ini mustahil saya tidak tahu apa yang berlaku di kawasan saya kecualilah saya seorang ketua yang benar-benar lemah atau sentiasa dipermain-mainkan oleh anak-anak buahnya.
Lalu apabila MB Selangor Khir Toyo marah-marah apabila empat buah premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram diserbu pihak polis Bukit Aman baru-baru ini berbagai tanda-tanya bermain di kepala saya.
Khir bukan sekadar Menteri Besar, Pekan Sekinchan itu duduk dalam parlimen Sg Besar, dan di bawah parlimen ini terdapat dua kerusi, satu Sekinchan dan satu lagi Sg Panjang. Sg Panjang ini diwakili oleh Khir malah Khir adalah Ketua Umno bahagian Sg Besar ini!
Kerana itulah barangkali Khir terpaksa menyinga, diterajangnya keluar Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, kerana dikatakan memberikan lesen kepada keempat-empat premis ini sedangkan mereka menjalankan kegiatan haram selama lebih 1 tahun. Khir beri amaran kepada semua para pegawai dan kakitangan PBT berkenaan.
Sekali lagi Khir bermain POLITIK SELAMATKAN DIRI. Sebelum orang lain bertanya apa kerja Ketua Bahagian? Takkanlah perkara ini tak di bawa ke pengetahuan beliau? Kecuali kesemua ejen-ejen beliau, semuanya menerima habuan belaka, kerana itu MB yang juga ADUN dan Ketua Bahagian tak tahu menahu tentang kegiatan ini!
Tapi takkanlah Ketua Bahagian tak turun padang langsung? Tak jenguk-jenguk pekan, tak ambil tahu perkembangan dalam kawasan sendiri?
Khabarnya isu judi haram ini pernah dibangkitkan dalam dewan undangan negeri oleh ADUN Sekinchan dari DAP, takkan semasa membangkitkannya MB tidur dalam dewan? Takkan para pegawai MB di dewan tak maklumkan padanya?
Bagi saya Khir perlu memikul pertanggungjawaban bersama, jangan hanya berani bertindak atas orang lain sahaja. Judi haram berlaku berleluasa di kawasan MB pun MB tak tahu bayangkan di kawasan-kawasan lain!
Kesimpulannya bagi saya Khir lemah dari sudut pengurusan, Khir tidak mampu mengawal anak-anak buahnya. Khir seorang pemimpin yang gagal. Kalau dah gagal maka eloklah beri laluan kepada mereka yang layak dan bertenaga.
No comments:
Post a Comment