Sunday, January 21, 2007

Mr Clean yang sudah tidak suci lagi

Semasa Pak Lah naik sebagai Perdana Menteri bagi mengantikan Tun Dr Mahathir pada tahun 2003 lalu beliau membawa bersamanya imej bersih, cucu ulamak, seorang yang lembut dan berperwatakan mulia.


Lantaran imej baru itu pada pilihanraya umum 2004, ramai yang kagum dan terpengaruh sehinggakan umpamanya penduduk di Terengganu sanggup menerima beliau dan melempar keluar negeri pimpinan PAS yang baru setahun jagung usianya. Malah kerajaan PAS di Kelantan pun hampir rebah angkara aura yang Pak Lah bawa ketika itu.

Tetapi bagaimana Mr Clean yang ditonjolkan sebagai cucu seorang ulamak besar ini hari ini? Hari ini saya berpandangan imej tersebut sudah semakin lusuh, luntur dan pudar dari Pak Lah, malahan hari ini dalam usia jawatan PM nya yang setahun jagung, ramai yang sudah mula bosan dan berani mengkritik beliau secara terang-terangan (ini tidak berlaku pada PM Umno sebelum ini).

Tiba-tiba dalam jangkawaktu yang sebegini singkat Pak Lah sudah menjalani transformasi dari seorang yang baik dan mulia kepada seorang yang sebaliknya. Cuba kita lihat contohnya kenyataan beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno baru-baru ini:

Depa (pembangkang) takut nak bertanding, bacul, suruh budak (calon bebas) itu bertanding, nak bertanding sendiri tak mahu, takut kalah.

Terbayangkah di kepala kita sebelum ini Pak Lah akan mampu mengeluarkan kata-kata seumpama ini. Mungkin sebelum ini tidak tapi hari ini demikianlah Pak Lah yang pernah dikaguni satu ketika dahulu.

Beliau tidak mengulas isu kepincangan dan ketempangan SPR yang dibangkitkan oleh parti-parti pembangkang, sebaliknya beliau mencuri kesempatan menyerang parti-parti pembangkang dengan mendakwa mereka bacul dan penakut.

Siapa pun yang berpengalaman dan mengenali PAS akan tahu bahawa pertama parti tersebut tidak pernah BACUL apabila menghadapi pilihanraya di Malaysia ini. Malah siapa pun dari kalangan Umno yang berjawatan PM sekali pun akan mereka lawan dan cabar dalam pilihanraya umum ini kan pula satu pilihanraya kecil. Dan kedua jika pun ada sekelumit kebenaran akan dakwaan Pak Lah itu, takkanlah PAS mahu menaja seorang calon Bebas bernama Ng Chee Pang. Ramai lagi dari kalangan mereka yang boleh mereka taja, mengapa pula harus menaja seorang berbangsa Cina sedanglan pengundi Cina di Batu Talam sekadar 11% sahaja bilangannya.

Ternyata Mr Clean ini sudah pandai mengeksploitasi jawatan beliau sebagai tokoh paling tinggi di negara. Beliau gunakan peluang itu untuk menghamburkan fitnah dan adu-domba kerana pasti media saluran perdana akan memberikan liputan seluas-luasnya. Maka akan percayalah rakyat Malaysia bahawa parti-parti pembangkang itu khasnya PAS memang bacul dan memang penakut dan menaja calon Bebas di Batu Talam, atau bagaimana?

Salam Maal Hijrah kepada para pengunjung BLOG ini.

No comments: