Wednesday, November 30, 2005

Isyarat Ku Li kepada rakyat Kelantan

Saya tidak perasan sehinggalah dimaklumkan oleh seorang rakan, dan akhirnya apabila memerikasa maklumat ini, ianya disahkan benar.


Ku Li tersenyum tapi Tok Nuar masam

Tahu atau perasankah anda semua semasa perhimpunan sempena proses Penamaan Calon pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tempoh hari seorang tokoh Umno Kelantan yang begitu banyak jasanya kepada negeri dan negara serta Umno sendiri tidak kelihatan dikalangan puluhan para pimpinan Umno yang hadir.

Tokoh yang dimaksudkan adalah Ketua Umno bahagian Gua Musang, bekas Menteri Kewangan, YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

Ku Li tidak hadir mengiringi calon BN pada hari penamaan calon berkenaan, dan ketidak hadiran beliau sudah pasti menimbulkan pelbagai tanda-tanya.

Apakah Ku Li tidak diundang atau Ku Li tidak selesa berada di sisi Annuar Musa (yang pernah menabalkan Sultan baru untuk menggantikan yang sedia ada, iaitu dari darah keturunan kerabat Ku Lu sendiri) atau Ku Li cuba memberikan isyarat kepada Umno, kepada para pengundi atau mengapa?

Kalau kita perhatikan beberapa komen dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ku Li sejak akhir-akhir ini barangkali kita boleh membaca niat dan pendirian beliau itu.

Memang Ku Li ini seorang pejuang bangsa yang tidak mudah ditundukkan oleh mana-mana pihak. Ku Li pernah menentang Tun Dr M bagi jawatan Presiden Umno apabila beliau sejak awal-awal lagi mengesan kecurangan dan ketidak-telusan kepimpinan Tun Dr M. Beliau pernah keluar Umno dan menubuhkan Parti Semangat 46 untuk cuba membetulkan keadaan politik negara yang beliau kira kusut dan berserabut itu.

Pada pemilihan Umno baru-baru ini beliau cuba pula untuk mencabar Pak Lah, kerana mahu menguji sistem demokrasi dalam Umno yang rupanya memang tidak wujud. Pencalonan beliau hanya dibuat oleh bahagian beliau sendiri sedangkan bahagian-bahagian lain yang pada awalnya memberikan kesediaan akhirnya menjadi bacul menukar pendirian.

Ku Li tidak hadir pada hari penamaan calon itu kerana saya kira Ku Li ada agenda.

Sebelum ini Ku Li dilaporkan berkata bahawa calon bebas Datuk Paduka Ibrahim Ali pasti tidak akan bertanding menentang dan mencabar Umno kiranya isu pemecatan beliau dahulu ditangani dengan sebaik-baiknya. Beliau mengakui menentang keputusan MT Umno ketika itu, namun suara beliau ditenggelamkan oleh majoriti yang ghairah dan berkeras mahu memecat Ibrahim. Kini Umno menerima padah, kerana kehadiran Ibrahim pasti akan menggugat peluang Umno di Pengkalan Pasir nanti.

Semasa Ketua Umno Kelantan, Annuar Musa menggila-gila mendesak Dewan Undangan Negeri Kelantan dibubarkan beberapa hari lalu, Ku Li berbeza pandangan. Ku Li lebih cenderung menghormati proses demokrasi yang mengiktiraf pembentukan satu-satu kerajaan ini melalui majoriti yang ditetapkan oleh sistem demokrasi walaupun kelebihannya satu kerusi.

Dan ketika ditanya oleh para pemberita berkenaan harapan calon Umno di Kelantan, beliau berkata syaratnya Umno mestilah membuktikan ianya benar-benar bersatu. Mungkinkah ini mendandakan perpaduan Umno Kelantan pada hari ini masih retak. Saya pernah mencatatkan di dalam BLOG ini betapa seorang pengulas politik pernah melaporkan bahawa Naib Ketua Umno Pasir Mas kelihatan tidak begitu riang pada hari pengisytiharan calon Umno bagi DUN Pengkalan Pasir. Beliau yang disenarai pendekkan telah digugurkan pada saat-saat akhir.

Dalam Umno Kelantan rupanya dendam-mendendam antara masing-masing WARLORDS rupanya tetap berterusan.

Dan dalam akhbar The STAR semalam Ku Li turut secara tak langsung memberikan pengiktirafan terhadap kesungguhan dan komitmen jentera PAS berbanding dengan Umno apabila beliau dilaporkan berkata sekiranya cuaca hujan pada hari mengundi Umno akan menghadapi masalah, kerana apa? Kerana menurut beliau pihak PAS yang berpegang teguh pada ideologi perjuangan mereka tidak mudah dipatahkan semangatnya apa lagi oleh turunnya hujan, akan tetapi peyokong Umno dibimbangkan tidak akan keluar kecuali disediakan kereta untuk mengangkut mereka.

Ku Li saya kira cuba memberikan isyarat, mudah-mudahan rakyat Kelantan dapat membaca isyarat itu. Yang pastinya Annuar Musa telah dapat mengesannya, sehinggakan ada pengulas yang melaporkan bahawa Annuar kelihatan berwajah masam dan tidak ceria sepanjang hari penamaan calon tempoh hari (sila lihat gambar sebagai bukti), mungkinkah Annuar marahkan Ku Li? Wallahualam.

No comments: