Monday, November 14, 2005

Mari berhujah atas isu moral

Akhbar The STAR hari ini melaporkan yang Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak menggesa agar kerajaan PAS Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan kiranya tewas di pilihanraya kecil DUN Pengakalan Pasir 6 Disember ini. Kata beliau mustahil PAS dapat mentadbir negeri tersebut dengan selesa dengan kelebihan cuma 1 kerusi.

Kata beliau:

There was no provision in the constitution to force the Kelantan State Assembly to be dissolved but added that MORALLY, PAS should give the rakyat fresh mandate to choose a government of their choice.

Tidak ada peruntukkan di dalam perlembagaan yang memaksa pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan, walaubagaimanapun dari segi MORAL, PAS sepatutnya memberikan mandate baru kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang mereka mahu.

Bermakna kalau kerajaan PAS terus juga memerintah dengan majoriti 1 kerusi pada pandangan Najib PAS Kelantan tidak bermoral.

Menarik juga bila pemimpin Umno mula bersyarah dan mendendangkan lagu MORAL. Kerana pada persepsi masyarakat ramai biasanya yang tidak ber MORAL itu adalah Umno sendiri. Sekadar renungan berikut saya titipkan beberapa insiden TIDAK BERMORAL Umno untuk tatapan semua pihak. Mungkin senarainya boleh diperpanjangkan lagi.

Pertama:

Mengapa Rafidah Aziz masih Menteri MITI sehingga hari ini? Setelah , ditelanjangkan oleh bekas PM Tun Dr M, dibelasah dalam Perhimpunan Umno, dikerjakan dalam Dewan Rakyat kerajaan Umno BN masih mengekalkan Rafidah sehingga hari ini. Tidakkah tindakan Pak Lah dan Najib ini tidak ber MORAL?

Kedua:

Lembaga Disiplin Umno telah mendapati beberapa pemimpinnya terlibat dalam politik wang termasuklah seorang menteri, beberapa anggota EXCO termasuklah wakil rakyat. Ada yang digantung keahlian, diberi amaran dan seumpamanya. Kesalahan mereka adalah terlibat dalam politik wang iaitu menyogok orang lain untuk mendapatkan kuasa, ringkasnya mengamalkan rasuah. Umno sepatutnya dari segi MORAL melaporkan semua pesalah ini ke BPR untuk diadili pula menurut undang-undang negara. Mengapa tidak?

Ketiga:

Mereka-mereka di atas walaupun ada yang disuruh meletakkan jawatan Menteri dan seumpamanya, namun tidak melepaskan kerusi-kerusi mereka. Contohnya Isa Samad masih lagi seorang ahli parlimen. Dari segi MORAL sepatutnya Isa yang didapati bersalah bergelumang dengan rasuah politik turut dinasihat mengosongkan kerusinya. Mengapa tidak?

Keempat:

Kaum kerabat pemimpin Umno BN terang-terangan terlibat dalam perniagaan yang ada diantaranya terbabit dengan kontrak ataupun kepentingan kerajaan. Dulu orang menuduh Tun Dr M mengamalkan kronisma dan nepotisma, kini ianya sudah menjadi amalan biasa. Sepatutnya dari segi MORAL ahli keluarga Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan seluruh pimpinan kanan Umno dan BN tidak terlibat dalam amalan seumpama ini. Bolehkah dari segi MORAL umpamanya syarikat yang menantu PM menjadi salah seorang pengarahnya dibenarkan menganjurkan lawatan misi perniagaan ke negara luar yang turut disertai oleh PM dan menteri-menteri kanannya?

Kelima:

Pengerusi Briged Putera Umno secara terang-terangan dalam satu wawancara mendakwa bahawa beliau berkelulusan MBA dari sebuah universiti di AS. Apabila disiasat didapati bahawa beliau tidak pernah malah tidak layak pun memasuki IPT dengan latar belakang akademiknya yang rendah. Beliau didakwa telah membeli ijazah tersebut. Dari segi MORAL bagaimana Umno boleh membenarkan seorang yang sedemikian rupa memimpin pula anak-anak muda remaja di dalam parti tersebut?

Keenam:

Amalan menyogok dan menggula-gulakan para pengundi semasa PRU atau PR Kecil memang merupakan keistimewaan Umno zaman-berzaman! Malah ianya sedang pun berlaku di Pengkalan Pasir. Jelas tindakan ini tidak ber MORAL mengikut apa standard sekalipun. Termasuklah usaha untuk membeli adun-adun PAS dan semasa PRU lalu membeli calon-calon PAS sebegaimana yang ditangkap terang-terang di Johor.

Banyak lagi isu-isu moral yang lebih besar melibatkan Umno dan BN tidak ditangani dengan sewajar-wajarnya, tiba-tiba Najib dan para pemimpin Umno mahukan kerajaan PAS Kelantan bertindak mengikut moral.

Saya yakin sekiranya kempen PR Kecil di Pengkalan Pasir dapat dijamin dijalankan dengan seadil dan setelus-telusnya insyallah PAS akan dapat bertahan di sana, dan kestabilan kerjaaan PAS Kelantan terjamin.

Kalau ditakdirkan kalah sekalipun isu MORAL tidak berbangkit kerana Najib sendiri akui tiada peruntukkan dalam perlembagaan yang boleh memaksa sesebuah dewan dibubarkan dalam siatuasi sedemikian. Yang jelas terbabit dan terpalit dengan isu MORAL adalah Umno, maka selesaikanlah perkara-perkara moral dalam rumah tangga sendiri sebelum mahu menjenguk dan konon-kononnya membersih rumah tangga orang lain.

No comments: