Kezaliman pihak berkuasa terhadap OKT
Di Malaysia resamnya apabila sahaja seseorang itu ditahan Polis (atau mana-mana pihak yang berkuasa menahan termasuklah Kastam, Imigresen, Jabatan Agama dan lain-lain) maka dia seolah-olah telah dicap sebagai orang bersalah walaupun belum diadili oleh mana-mana mahkamah.
Orang yang ditahan tersebut akan diperlakukanlah bagai penjenayah oleh mereka-mereka yang menahannya. Hilang hak, hilang harga diri, seseorang itu laksana binatang boleh diperlakukan apa-apa sahaja oleh pihak yang menahan.
Sebelum ini kita pernah dengar kes OKT yang mati dalam tahanan, yang mengadu didera dan dipukul samada oleh pihak yang menahan ataupun sesama yang ditahan. Malah pernah berlaku hubungan seksual antara yang menahan dan ditahan walaupun mahkamah kemudiannya memutuskan hubungan tersebut dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak.
Dari akhbar THE SUN
Hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan para Menteri dan orang-orang politik seolah-olah terperanjat apabila mendapat tahu yang seorang yang kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya hari ini menghiasi dada-dada akhbar tempatan.
Aibnya kes ini terhadap kerajaan sehingga PM telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri Azmi Khalid untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut.
Memang kejadian ini sangat memalu dan mengecewakan, kerana ianya bukan sekadar menjejas dan mencalarkan imej pihak polis tetapi juga negara kita secara amnya.
Walaubagaimanapun untuk berlaku adil pak-pak menteri dan ahli-ahli politik berkenaan janganlah pura-pura terkejut kerana ini bukanlah insiden pertama. Sebagaimana saya sebutkan di atas banyak insiden-insiden seumpama ini telah berlaku sebelumnya, malahan pada saya yang paling besar dan bersejarah adalah kes memukul Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan TPM oleh KPN semasa beliau dalam tahanan polis.
Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menyemak semula semua prosedur yang melibatkan layanan terhadap OKT oleh pihak polis dan yang lain-lain termasuklah mereka yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang penderaan terhadap mereka ini 100 kali lebih zalim kalau nak dibandingkan dengan kes terbaru ini sedangkan mereka yang ditahan di bawah ISA itu sebenarnya adalah tahanan politik bukannya penjenayah).
Kikis terus sikap seseorang itu seolah-olah telah bersalah sebelum pun ia dibicarakan. Walaupun seseorang itu seorang yang tertuduh peliharalah maruah dan kehormatannya. Kalau pun soal-siasat itu penting untuk memperolehi bukti dan perakuan bai menyelesaikan satu-satu kes namun janganlah sampai memperlakukan seseorang itu sampai hilang pertimbangan peri kemanusiaan.
Sheikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulamak besar Saudi telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi:
Islam memberikan perhatian yang berat terhadap masalah yang berkaitan mereka yang ditahan serta tempat tahanannya. Penekanan seumpama ini jarang ditemui dimana-mana tempat lain. Para ulamak dalam kitab-kitab mereka banyak menyentuh darihal orang yang kena tahan dan layanan yang sepatutnya diberikan terhadap mereka. Keprihatinan ini wujud kerana Islam sangat memelihara dan mempertahankan maruah dan kehormatan manusia.
Rasulullah saw sendiri sebagaimana terkandung di dalam sirah melayani dengan baik musyrikin Mekah yang ditawan semasa Peperangan Badar. 1400 tahun lebih dahulu umat Islam sudah dididik agar beradab dan menitik beratkan hal-hal kemanusiaan, malangnya kita yang maju dan mewah hari ini sudah hilang pertimbangan kemanusiaan dan kembali menjadi jahiliyah, menjadi manusia bertopengkan haiwan.
No comments:
Post a Comment