Wednesday, November 16, 2005


Mengekalkan Kepimpinan Ulamak:
Antara realiti dan kekeliruan Umno

Salah satu slogan yang PAS Kelantan gunakan untuk menghadapi pilihanraya kecil N12 Pengkalan Pasir yang sedang rancak kini adalah Mengekalkan Kepimpinan Ulamak.

Penggunaan slogan bagi parti-parti politik adalah sesuatu yang lumrah terutama semasa menghadapi pilihanraya seumpama ini. Umno sendiri dijangka akan menjulang dan menjaja slogan Islam Hadharinya serta Cemerlang, Gemilang dan Terbilang yang pernah membawa kejayaan kepadanya pada pilihanraya umum 2004 yang lalu.

Mengapa PAS menggunakan slogan ini?

Mengapa tidak, kerana Kelantanlah satu-satunya kerjaan negeri dalam Persekutuan Malaysia yang dipimpin oleh regu ulamak, iaitu Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat selaku MB dan Ustaz Hj Ahmad Hj Yaakob selaku Timbalan MB. Memenangkan calon PAS di N12 sudah tentulah bermakna mengekalkan kepimpinan ulamak di negeri Serambi Mekah itu.

Tambahan pula PAS Kelantan juga menggunakan slogan ini kerana PAS itu sendiri adalah dipimpin oleh Ulamak. Selain Presiden dan Timbalannya yang merupakan ulamak belaka, parti itu sendiri mendaulatkan Majlis Syuranya yang terdiri dari para ulamak semuanya sebagai badan rujukan yang tertinggi dalam parti malah berkebetulan ketua majlis syura ini yang bergelar Mursyidul Am PAS adalah MB Kelantan sendiri.

Oleh itu salahkah PAS Kelantan menggunakan slogan tersebut?

Tiba-tiba Ketua Penerangan Umno Kelantan Md Alwi Che Ahmad sesedap mulut mendakwa bahawa slogan PAS itu mengelirukan para pengundi di Pengakalan Pasir. Beliau tanpa usul-periksa berhujah bahawa ianya mengelirukan kerana pada muktamar PAS yang lalu para perwakilan PAS telah mengenepikan calon-calon ulamak dan sebaliknya menaikkan golongan teknokrat dan profesional. Contohnya Nasharuddin Mat Isa telah dinaikkan dengan menjatuhkan Ustaz Hassan Shukri seorang tokoh ulamak veteran.

Malu rasanya seorang Ketua Penerangan negeri sebuah parti Melayu yang kononnya terbesar di dunia, boleh tanpa segan-silu mengutarakan sesuatu yang salah faktanya dan menerima pula publisiti besar-besaran oleh akhbar saluran perdana. (Akhbar The STAR memberi tajuk besar dimuka 16 Clarify slogan Umno tells PAS dengan gambar warna Ketua Penerangan Kelantan yang salah fakta itu)

Untuk makluman Alwi dan mereka yang buta maklumat seperti beliau, Nasharuddin Mat Isa adalah seorang ulamak lulusan Universiti Jordan dengan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan UIA dengan Ijazah Sarjana Undang-undang.

Ketua penerangan yang buta maklumat umpama Alwi inilah yang sebenarnya mengeliru dan menserabutkan fikiran dan pemahaman rakyat Kelantan terutama di Pengkalan Pasir.

PAS sememangnya layak dan padan menggunakan slogan ini kerana itulah realitinya dalam parti tersebut dan itulah realitinya di Kelantan.

Biarlah Ketua Penerangan Kelantan itu terjun dengan labu-labunya, bagi rakyat para pengundi di Pengkalan Pasir, samada PAS ataupun Umno, BA ataupun BN, berparti atau tidak berparti, keluarlah berama-ramai mempertahankan kepimpinan ulamak di negeri anda. Seluruh dunia Islam dewasa ini tahu dan mengiktiraf kepimpinan Tok Guru MB anda dan kerajaan Islamnya, jangan menghampakan mereka dan kami semua.

No comments: