Saturday, November 12, 2005

Skandal PPRT turut menghantui Umno Terengganu

Sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dr Abdul Aziz Muhamad telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen semalam terhadap dua pertuduhan menipu dan bersubahat melakukan pecah amanah wang dana projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) berjumlah RM11 juta.

Bagi pertuduhan pertama Abdul Aziz, 61, dituduh bersubahat dengan bekas pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana Ketengah sebanyak RM2 juta. Belia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama seorang jutawan Ooi Kee Siang, yang masih bebas, di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan di sini antara 27 April dan 31 Julai 1999.

Di dalam penghakminannya semalam, sebagaimana yang dilaporkan oleh BERNAMA, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Mohd Zaki Abdul Wahab telah membuat satu penemuan yang menarik. Kata beliau:

Jikapun wang ini menjadi pinjaman kepada TPIF (Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd), saya dapati Alwi mahupun Abdul Aziz tidak mempunyai kuasa untuk memberi pinjaman tersebut dan jika wang itu diberikan oleh Alwi kepada TPIF sebagai pinjaman, Alwi juga telah melakukan pecah amanah jenayah dan adalah jelas pecah amanah jenayah ini hanya boleh dilakukan oleh Alwi dengan persubahatan tertuduh dan Ooi Kee Siang

Mohd Zaki menambah:

Semasa membuat pembayaran tersebut, Alwi sedar bahawa sesuatu pelaburan yang hendak dibuat oleh Ketengah hanya boleh dibuat setelah memperoleh kebenaran Menteri Pembangunan Luar Bandar dan persetujuan Menteri Kewangan kerana kedua-dua persetujuan itu adalah prasyarat melabur.

Di dalam kes ini Alwi Said telah bertindak sebagai saksi utama pihak pendakwa. Namun berdasarkan penghakiman ini jelas Alwi turut terbabit dan telah sama-sama melakukan jenayah. Bermakna wang yang dimaksudkan untuk rakyat termiskin juga telah turut diselewengkan oleh Alwi selain dari Dr Aziz dan Ooi yang sehingga hari ini telah ghaib dengan penuh teka-teki.



Siapakah Alwi Said dan apakah istimewanya beliau sehingga berjaya meloloskan diri? Pukat jerut pendakwaraya hanya menjerut seekor ikan jerung namun jerung-jerung lain termasulah yang mempunyai kedudukan politik dengan senang hati berjaya melepaskan diri!

Untuk rekod Alwi Said kini telah pun bersara dari Ketengah. Beliau kini adalah Bendahari Umno Bahagian Dungun dan sejak kemenangan besar Umno di negeri Terengganu Idris Jusoh telah mengahdiahkan orang kepercayaan beliau ini menjawat jawatan Pengarah Eksekutif TDM Berhad, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dimana kerajaan Terengganu merupakan pemilik saham terbesar.

Di Ketengah wang PPRT lesap, bolehkah individu seperti ini diberi kepercayaan untuk mengawal syarikat milik awam pula? Kalau setakat mengawal wang milik Umno tak mengapa lagi, Suruhanjaya Sekuriti perlu beri perhatian terhadap perkembangan terbaru ini.

No comments: