Isu transeksual mula mencabar martabat Islam
Saya mula membaca berkenaan insiden yang melibatkan si transeksual (manusia yang dilahirkan lelaki tetapi mempunyai keinginan wanita, dalam kes ini telah pun menjalani pembedahan tukar jantina) ini semalam dalam laman Malaysiakini dan hari ini ianya turut dilaporkan oleh SUNDAY STAR, dan wakil rakyat DAP Theresa Kok kelihatan memberikan sokongan politik.
Menurut kisahnya si transeksual ini telah ditahan oleh pihak polis di sebuah hotel di Ipoh atas tuduhan melacur. Beliau kemudiannya dibebaskan dan telah membuat laporan polis kerana menuduh pihak polis yang menahannya itu telah mencabul kehormatannya dengan memaksa beliau berbogel di hadapan anggota lelaki ketika ditahan.
Sudah tentulah tindakan pihak polis itu jika benar, adalah keterlaluan dan perlu diambil tindakan. Walaubagaimanapun tujuan saya mengemukakan isu ini bukannya mahu membahaskan isu dari perspektif tersebut. Masalahnya di sini adalah apabila kita perhatikan identiti si transeksual tadi dan lain-lain berhubung dengan diri beliau.
Namanya pada kad pengenalan adalah Abdul Malik Theen Mohamad walaupun beliau menggelar dirinya Mumtaz. Mumtaz yang berumur 24 tahun ini yang telah menjalani pembedahan tukar jantina di Thailand mendakwa telah berkahwin dengan suaminya A. Ravichandran, 28 menurut adat tradisi di India.
Saya bersimpati dengan masalah beliau berhubung pengalamannya ketika dalam tahanan tapi soalnya, berdasarkan nama yang diberikan sah Mumtaz ini adalah seorang Muslim. Si Muslim ini telah menukar jantina dan berkhawin dengan A. Ravichandran yang saya pasti adalah seorang Hindu. Cuba kita lihat wajah Mumtaz ini, saya kira berdasarkan tanda di wajah beliau, Mumtaz juga sudah barangkali mengikut agama suaminya itu.
gambar dari Malaysiakini
Apakah status Mumtaz ini? Pihak berkuasa agama Islam tidak boleh bisu mendiamkan diri dalam hal ini dan sebaliknya bertanggungjawab untuk menyiasat dan mengambil apa-apa langkah dan tindakan perlu.
Ini isu melibatkan seorang Muslim yang telah bukan sahaja menukar jantina malah turut menukar agamanya, murtad, nauzubillah.
Memang tindakan perlu diambil terhadap pihak polis jika benar telah mencabul kehormatannya, namun pihak berkuasa agama Islam juga perlu bertindak dan tidak berdiam diri demi memelihara nama baik agama. Ini bukan kes melibatkan Mumtaz seorang sahaja, saya yakin jika ianya didiamkan dan tidak segera ditangani pasti akan lahir dan muncul berpuluh-puluh Mumtaz lagi, lalu dimanakah nanti letaknya maruah dan kesucian Islam yang selama ini kita pertahankan?
No comments:
Post a Comment