Tuesday, November 29, 2005

Calon BN amal rasuah pilihanraya?

Perjalanan kempen pilihanraya termasuklah yang sedang berjalan di Pengkalan Pasir pada saat dan ketika ini adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang sedia ada. Antaranya adalah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.



Kerana itu kempen yang bersih perlulah sentisa mematuhi dan menuruti segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh akta ini dan mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Memang kadangkala untuk membuktikan satu-satu kesalahan itu dilakukan bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan saksi, bukti dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

Dalam akhbar BERITA HARIAN hari ini di bawah tajuk MULA KEMPEN DARI MASJID, dimuatkan laporan berkenaan aktiviti calon BN Hanafi Mamat. Sebagaimana calon-calon lain, Hanafi juga tidak mahu ketinggalan dalam merebut peluang untuk bertemu dengan seramai mungkin para pengundi.

Dan dalam keghairahan akhbar tersebut mahu mempromosi kerja-kerja kempen Hanafi ini dilaporkan:

Kemurahan hati Hanafi jelas dilihat ketika mengunjungi sebuah kedai kopi, apabila beliau membayar harga makanan dan minuman pengunjung kedai berkenaan ketika itu.

Calon yang sedang berkempen, dilaporkan membayar harga makanan dan minuman para pengunjung yang sudah pasti adalah para pengundi di kawasan pilihanraya berkenaan. Bagaimana? Apakah amalan ini dibenarkan oleh undang-undang?

Adakah tindakan Hanafi ini suatu perbuatan rasuah sebagaimana yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya?

Di dalam bahagian III akta tersebut berkenaan Perbuatan-perbuatan Rasuah di bawah tajuk PENJAMUAN seksyen 8 disebut:

Tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendirinya atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberi atau mengadakan atau menyebabkan diberi atau diadakan, atau yang menyertai hal memberi atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberi atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk memperngaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberi atau tidak memberi undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain telah mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau penyegar atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, penyegar atau bekalan itu didapatkan adalah bersalah atas kesalahan menjamu.

Adakah laporan BERITA HARIAN ini mensabitkan calon BN dengan kesalahan di atas? Jika ada asasnya maka pihak pemantau SPR perlulah mengambil tindakan. Memang benar pertandingan di Pengkalan Pasir semakin hari semakin sengit, namun semua pihak perlulah mematuhi dan menghormati peraturan yang sedia ada.

No comments: