Thursday, April 13, 2006

Dah terhantuk baru batalkan Jambatan Bengkok

Alhamdulillah akhirnya dibatalkan juga projek Jambatan Bengkok yang sepatutnya menggantikan Tambak Johor yang bersejarah itu .

Kata PM Dollah Badawi ianya dibatalkan setelah kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara



Betul ke demikian?

Mungkin suara kita semua, termasuklah dari laman-laman web hanyalah merupakan satu pecahan kecil dari faktor-faktor lain yang lebih besar dan mendesak.

Mungkin kerajaan baru sedar bahawa tanpa kerjasama Singapura, jambatan bengkok itu mustahil dapat dicantumkan. Mungkin juga kerajaan baru sedar tidak mudah ia mendapat persetujuan pihak Singapura kecuali terpaksa menggadaikan beberapa perkara antaranya pasir, ruang udara dan ada maklumat mengatakan termasuklah sebuah pulau di perairan Malaysia yang turut dituntut negara pulau itu.

Kerajaan tidak mampu dilihat mengalah dari sudut politik melainkan ia nanti akan dikritik oleh dan ditolak oleh rakyat jelata.

Soalnya takkanlah setelah berapa lama mengkaji dan membuat penyelidikan (oleh pakar dari pelbagai disiplin) baru hari ini kerajaan sedar bahawa apabila Tambak Johor itu dipotong maka laluan paip air dan laluan kereta api (yang sedia ada) akan turut terjejas?

Takkanlah baru hari ini kerajaan sedar implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit hasil dari penerusan projek ini?

Kalau memang kerajaan tak sedar maka tidak keterlaluanlah kalau kita katakan yang kerajaan Dollah Badawi ini sungguh lemah dan tidak ada kredibiliti serta integriti langsung!

Benarkah ianya dibatalkan setelah kerajaan mengambil kira suara dan pandangan rakyat?


Kalau begitu bagus, akan tetapi hakikatnya banyak lagi rungutan dan luahan hati rakyat yang lebih besar dari Jambatan Bengkok ini tidak langsung dipedulikan kerajaan. Rakyat membantah kenaikkan harga minyak sehingga ada yang ditangkap dan dikenakan tindakan oleh Pasukan FRU, mengapa pandangan mereka ini tidak diambil kira?

Mengapa dalam hal Jambatan Bengkok ini Dollah Badawi tiba-tiba menghargai dan menghormati pandangan dan luahan hati rakyat?

Yang kita tahu apabila kerajaan melancarkan pembinaan projek ini pada 9 Mac lalu sehingga perbelanjaannya dimasukkan dalam RMK9, semua pemimpin-pemimpin Umno dan BN menyokongnya tanpa berbelah bahagi.

Anehnya hari ini akhbar-akhbar tempatan memenuhi ruangan masing-masing dengan pandangan dan komen mereka yang sama tetapi kali ini bersetuju pula agar projek itu dibatalkan! Rapuh dan serabut sungguh pendirian tok-tok wakil Umno.

Memang kita mahu projek ini dibatalkan. Ia tidak sepatutnya pun dimulakan. Walaupun kita mungkin tidak bersetuju namun dalam hal ini jika projek itu mahu dilancarkan perundingan dengan Singapura, suka tak suka perlu dilakukan dan hanya dengan persetujuan kedua belah pihak barulah ianya patut dimulakan.

Ini tidak. Kerajaan Dollah Badawi telah menyondol projek ini walaupun masih diperingkat rundingan. Kontraktor Gerbang Perdana telah pun melancarkan projek mega ini dan kini ianya dibatalkan kononnya kerana mengambil-kira pandangan rakyat.

Apa pun dengan pembatalan ini Gerbang Perdana akan menerima pampasan RM100 juta (mungkin lebih apabila kerja-kerja pembersihan dan lain-lain tamat disempurnakan), maka walaupun kononnya pandangan rakyat Dollah ambil kira, maka suka tak suka rakyatlah juga yang akan dipaksa menanggung RM100 juta itu yang berpunca dari kelemahan kerajaan yang memang lemah itu.

Minyak naik, barang naik dan kini kena tanggung pula RM100 juta , syabas!

No comments: