Monday, February 27, 2006

Debat Perdana:
Wakil Umno bagai rusa masuk kampong

Siri Debat Perdana yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 pada malam lepas sungguh menarik. Isu yang dibincangkan masih berligar sekitar Rukunegara dan kali ini fokusnya adalah terhadap prinsipnya yang pertama iaitu:

Kepercayaan Kepada Tuhan

Dari pengamatan saya, tiga dari empat ahli panel yang hadir telah sedikit-sebanyak berjaya mengemukakan input dan hujah yang penuh dengan nilai akademik dan sangat kontemporari.

Mereka adalah Prof Emeritus Dato Khoo Kay Khim dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Prof Dennison Jayasooria Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial MIC dan Dr Syed Azman Syed Nawawi AJK PAS Pusat.

Manakala dukacita saya melihat wakil Umno, YB Najmuddin Elias, ADUN Batu Kurau, Perak yang juga selaku SETPOL MB Perak, seolah merasakan dirinya bukan di dalam program Debat Perdana tetapi Forum Ehwal Islam.

Prof Khoo contohnya, yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam penggubalan Rukunegara ini dahulu, membangkitkan betapa pada perkiraan beliau prinsip-prinsip Rukunegara ini kini sudah tidak difahami lagi oleh rakyat khasnya golongan muda. Mereka mungkin tahu dan hafal prinsip-prinsipnya akan tetapi malang sekali tidak dapat memahaminya.

Menyokong hujah itu Dr Syed Azman memberi contoh betapa keruntuhan moral dikalangan golonga muda hari ini menjadi bukti betapa prinsip-prinsip Rukunegara itu sudah luntur dan tidak diyakini lagi.

Isu label-label negatif terhadap Islam khasnya dari kacamata dunia Barat telah menarik minat moderator, Datuk Johan Jaafar serta Prof Khoo, Prof Dennison dan Dr Syed Azman.

Dr Syed dilihat telah berjaya memberikan huraian bagaimana perkara ini boleh timbul dan betapa Barat cuba memberikan gambaran negatif terhadap apa sahaja yang berbau Islam lantaran agenda jahat mereka yang didokong oleh Yahudi dan golongan Neo Con.

Dalam kerancakkan perdebatan itu, saya melihat wakil Umno sungguh-sungguh tercicir dan out of place. Dengan gaya lantang laksana panelis Ehwal Islam, beliau berhujah tanpa menampakkan yang beliau itu sebenarnya mewakili Umno dan kerajaan.

Malah apabila moderator bertanya pada skala 1 ke 10 dimanakah duduknya toleransi beragama di Malaysia, wakil Umno itu kelihatan mendiamkan diri sambil tersengeh tanpa memberikan respon, membuktikan beliau seolah tidak fokus dan faham akan soalan yang dikemukakan sehinggalah moderator terpaksa bertanyakkan beliau beberapa kali barulah beliau secara selamba berkata: 10!

Dalam hal ini Prof Khoo secara jujur menyatakan beliau tidak bersetuju bahawa keadaan perpaduan dan kerukunan antara bangsa dan agama dalam Negara pada hari ini lebih baik dari di masa yang lampau. Kata beliau:

Saya lahir sebelum Perang Dunia Kedua lagi, bagi saya keadaan dahulu lebih baik dari sekarang. Pada hari ini ahli-ahli politklah yang selau mengingatkan rakyat akan hakikat perbezaan sesame mereka.

Prof Dennison mendedahkan betapa tiadanya mekanisma yang menanggani sebarang permasalah sesama agama apabila tercetus sesuatu konflik. Dan Dr Syed Azman mencadangkan agar diwujudkan suatu mekanisma perundingan sesama agama untuk membincangkan isu-isu seumpama ini dari masa ke semasa.

Apabila timbul persoalan mempolitkkan agama, saya kira jawapan Dr Syed Azman sungguh meyakinkan. Beliau menyatakan bahawa dalam Islam poltik dan agama tidak boleh dipisahkan dan jelas kelihatan wakil Umno mengangguk-angguk membenarkan hakikat ini.

Rata-rata walaupun siri debat kali ini saya lihat agak mendatar dan tidak berapa sensasi, namun kehadiran tiga dari empat ahli panel yang saya maksudkan itu telah berjaya mewarnai majlis disamping sikap moderator yang tampak telah banyak berubah dan lebih adil dan tidak terlalu berat-sebelah seperti dimasa-masa lampau.

Cuma yang mencacatkan keadaan adalah peranan wakil Umno, kerana dengan kehadiran wakil-wakil masyarakat bukan Islam kita berbincang secara tertib dan penuh hikmah, tiba-tiba beliau macam rusa yang sesat masuk ke kampong meredah tanpa menghormati suasana. Kasihan, beliau tidak dapat menyesuaikan dirinya, dan jelas kelihatan diraut wajah ahli-ahli panel yang lain bahawa YB Umno ini pelik dan memang macam rusa masuk kampong, entahlah.

No comments: