Thursday, April 30, 2009

Jangan gadaikan maruah agama kita

Keputusan kabinet berhubung status agama anak-anak yang ibu-bapanya terlibat dalam krisis perceraian dan pertukaran agama, memang dijangka akan mencetuskan kontroversi yang akhirnya merugikan umat Islam. Rugi di sini bukannya dari sudut politik ataupun kewangan, tetapi dari sudut mempertahankan kesucian agama dan hokum-hakam yang berkaitannya.

Tindakan kabinet yang sangat tidak rasional itu dipercayai bersadurkan kepentingan politik tanpa mengambil kira sensitiviti, pegangan dan amalan umat Islam. Dalam akhbar The Star hari ini, tajuk berita muka 8 nya berbuni:

DAP rapped for failing to rebut Mahfuz

Dalang-dalang pencetus ketegangan kaum dan agama dari kalangan pimpinan MCA mempertikaikan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Hj Mahfuz Omar yang mengkritik keputusan kabinet yang beliau anggap tidak bijak itu. Sebelum ini Mahfuz dilaporkan antara lain sebagai berkata:

Ia (keputusan kabinet) tidak demokratik kerana merampas hak ibu bapa ke atas anak-anak mereka. Merampas hak rakyat adalah perbuatan paling tercela dan tidak demokratik. Bila orang-orang Islam marah, Umno dan BN berharap orang-orang bukan Islam merasa bahawa mereka terpaksa berada di bawah kerajaan Umno dan BN juga demi kepentingan kepercayaan mereka.

Dan sehubungan dengan itu Ketua Ulamak PAS Pusat Ustaz Dato’ Mohamed Daud Iraqi dilaporkan sebagai berkata:

Keputusan yang dibuat kabinet di bawah perdana menteri baru jelas bagi menjaga kepentingan survival politik Umno untuk mempengaruhi orang bukan Islam di negara ini. Keputusan dibuat kerajaan BN tanpa merujuk kepada jabatan-jabatan berkaitan hal ehwal agama Islam. Ini jelas menunjukkan betapa lemahnya institusi agama berada di bawah pentadbiran kerajaan BN sekarang.

PAS sebagai sebuah Parti Islam pasti akan menentang keputusan kabinet ini kerana ia bertentangan dengan syarak dan membelakangkan kewibawaan institusi agama dalam negara. MCA tidak perlu menyindiri dan menempelak mana-mana pihak kerana perkara ini wajib ditentang oleh semua umat Islam tak kira PAS, Umno, para Mufti dan alim ulamak atau sesiapa pun.

Keputusan yang bersandarkan kepentingan dan survival politik sehingga membelakangkan maruah agama ini sungguh berbahaya dan perlu diperbetulkan oleh semua kita tanpa mengira fahaman politik atau apa-apa kepentingan lain.

Bukan hanya Mahfuz dan Ustaz Daud Iraqi yang seharusnya berkata begini malah Tok-tok Mufti,para pensyarah dan ahli-ahli akademik, Tok-tok Imam, pemimpin-pemimpin masyarakat, wakil-wakil rakyat, Ketua-ketua kampong seluruh umat Islam dari kampong dan ceruk desa sehinggalah ke istana dan menara pencakar langit semuanya perlu bersatu kerana isu ini membabitkan kepentingan agama kita.

MCA marah DAP kerana kenyataan Mahfuz. MCA sengaja mahu main politik kerana merekalah antara yang melonjak-lonjak keriangan dengan keputusan kabinet ini. MCA tidak perlu membabitkan DAP dalam hal ini, kerana isu ini kerana PAS akan konsisten apabila sesuatu isu itu melibatkan Islam dan akidah umatnya. Pimpinan DAP pun kebelakangan ini sudah ringan bibir mereka memetik dan menggunakan ayat-ayat al Quran bagi menzahirkan kefahaman dan toleransi mereka terhadap Islam. Masalahnya MCA yang sudah sebantal dengan Umno sejak lebih 50 tahun sampai kini tak faham-faham tentang Islam dan terus mahu mencetuskan ketegangan semata-mata kerana kepentingan politik.

Kepada seluruh umat Islam, insaf dan sedarlah kita melalui perkembangan ini. Ingatlah firman allah yang bermaksud:

Kemudian Kami jadikan al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana,dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

(Fatir: 32)

Wednesday, April 29, 2009

Ulamak adalah cahaya yang menyinari kehidupan



Ramai yang memberi ulasan, pandangan dan reaksi terhadap posting dalam blog adinda saya Nik Abduh. Nik Abduh tidak bercakap pada pemberita atau akhbar arus perdana, tetapi postingnya itu diambil bulat-bulat kerana nilai beritanya cukup berharga.

Saya mungkin tersilap, tetapi saya merasakan ia tidak bersifat memecah-belahkan jemaaah, tidak juga mencucuk dan menjatuhkan sesiapa, tetapi saya melihat ia sebagai pendedahan ikhlas semata-mata mahu menguraikan yang kusut, dan memulihkan yang berserabut. Dalam hal ini, setiap anggota dan ahli jemaah dalam PAS terlalu kasih dan cinta pada parti dan perjuangan ini. Ia terlebih dahulu sebuah gerakan Islam bukan semata-mata parti politik, setiap ahli dididik adab dan disiplin berjemaah sebagaimana adab dan disiplin diwarisi sejak dari zaman Rasulullah saw.

Kerana itu fitnah dan adu-domba lazimnya tidak menjejaskan PAS, ia mungkin sumbing atau mengelupas di sini-sana akibatnya tetapi insyallah ia berupaya kekal utuh kerana ia dibina dengan sifat taqwa dan diperkemaskan dengan ikatan aqidah.

Memang akan ada perbezaan pandangan, memang akan ada yang tidak senang hati, tetapi kerana rujukan tertinggi kita kekal rujukan yang sama diajarkan pada kita oleh pemimpin ulung kita Nabi Muhammad saw, iaitu Quran dan Hadis, tegang mana pun perbezaan pandangan, perit mana pun ketidakpuasan hati, jemaah ini tidak terjajas. Saya masih ingat ucapan penggulungan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam muktamar yang lalu:

Pokok PAS tidak akan tercabut kerana tunjangnya Islam (walaupun mungkin bergoyang).

Nik Abduh tidak mahu ayahandanya disalah anggap, dorongan itu bangkit saya percaya bukan semata-mata kerana Tok Guru Nik Abd Aziz itu ayahandanya (siapa yang tidak akan pertahankan bapa sendiri, dan siapa pula mahu menyalah tafsir bapa sendiri……..) tetapi saya yakin lebih besar lagi kerana Tok Guru adalah Mursyidul Am kepada sebuah gerakan Islam yang didukung oleh hampir sejuta umat dirantau ini.

Biar apa yang Tok Guru maksudkan itu jelas, biar apa lontarannya itu difahami, jangan ada sesiapa pula menokok-nambah atau mengurang-ngurang atau apa lagi merobahnya sama-sekali. Atas dasar itu Nik Abduh bersilat, dan dari apayang saya terima, ternyata pencak silatnya itu disenangi oleh banyak pihak.

Kini dengan postingnya yang kedua, beliau mengukuhkan lagi pendirian dan pandangannya apabila beliau menyebut:

Semalam saya dihubungi ayahanda dari Kota suci Makkah.

Tok Guru Mursyidul Am yang kita kasihi kini berada di Tanah suci menunaikan umrah. Nik Abduh menulis lagi:

Ayahanda menegur dan meminta saya tulis lagi agar kekeliruan dipadamkan. Jangan tinggalkan kekeruhan bertapak lama. Saya kata ya, saya akan tulis dan segera tulis sebagaimana ayahanda mahu.

Pastinya tulisan kedua ini lebih ringan bebanannya. Saya dapat lampu hijau daripada ayahanda. Sebelumnya, saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah. Anda akan lihat bagaimana ketenangan mengalir dalam tulisan saya. Saya lebih yakin.

Bagi saya apa yang beliau tambah lagi dalam posting terbarunya,dengan lenggok dan bahasa penulisan yang hanya ada padanya, memang penting tetapi yang paling penting adalah kenyataan di atas. Bahawa tulisannya diberi “lampu hijau”. Jangan langgar “lampu merah”, kalau hijau baru jalan. Saya teringat satu jenaka yang pernah disebut oleh Tok Guru ayahanda Nik Abduh. Kenderaan PAS ini kemana-mana ia pergi ia tetap berjuang PAS. Lampu hijau ia jalan, lampu merah, walaupun berhenti, injinnya tetap berbunyi, pas-pas-pas……..

Hari-hari kini akhbar melaporkan dari lidah pimpinan PAS pelbagai peringkat bahawa tidak ada krisi dan konflik antara kedua-dau Tok Guru Mursyidul Am dan Presiden. Memang tidak ada, yang ada sebagaimana didedahkan oleh Nik Abduh adalah mereka yang sengaja mencetuskan “huru-hara” bikinan ini.

Biarlah kedua-dua mereka kekal menguruskan jemaah ini kerana ia perlu dan dahagakan kepimpinan mereka. PAS telah melangkah jauh dengan payung kepimpinan ulamak ini dan ia perlu berjalan terus. Jangan kita laga-lagakan atau cetuskan konflik antara dua insan yang istimewa dalam PAS ini. YB Sdr Salahuddin Ayub dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini menyebut:

Jika anda semua saksikan apa yang telah dilakukan oleh PAS dengan diketuai oleh Datuk Seri Hadi Awang, kami telah menukar pendekatan. Kini selain mengkritik kami juga telah mampu berucap serta memberi pandangan dan gagasan ke arah penambahbaikan negara itu sendiri.


Tok Guru Presiden pernah berpasan:

Rahsia kekuatan kita (PAS) adalah kerana setiap kita (dalam jemaah ini) bersifat dengan sifat Islam.

Kita berbeza pandangan, kita masuk bertanding semuanya mestilah kekal dengan sifat ini insyallah. Hatta kita menulis dan memberikan pandangan, biarlah tidak luntur sifat ini, tala dan halakan peluru yang membunuh pada musuh bukan sama-sama para sahabat dan kawan-kawan. Sesiapa sahaja yang kendur atau luntur sifat ini perlu diperbaiki, perlu ditegur kerana arus Islam ini perlu terus bergerak, jangan dihalang-halang.

Semoga tulisan Nik Abduh itu kit baca dan kita jadikan iktibar. Suka saya mengakhiri posting ini dengan petikan dari tulisan adinda Nik Abduh yang terbaru:

Ulama adalah cahaya yang menyinari kehidupan. Ketika PAS kesakitan, Allah mencetuskan idea kepimpinan ulama. Ia memberkati kebangkitan PAS. Allah bekalkan kita dengan para ulama yang menerajui dan menyatukan kekuatan.

Jika anda ingin berubah, berubahlah dalam kesatuan yang telah dibina para ulama. Jika anda ingin pembaharuan, bergeraklah bersama mereka.

Jangan tukarkan makanan dari langit dengan bawang putih dan bawang merah semata - mata anda sudah jemu dengan makanan syurga. Jangan tiru Bani Israel!

Keputusan kabinet mengatasi syarak…………

Isu pertikaian rumahtangga sehingga membabitkan nasib dan masa depan akidah anak-anak yang terlibat terus bergelora. Tidak dapat dinafikan ribut dalam rumah tangga ini berpunca dari ketidakserasian dan konflik peribadi antara pasangan suami isteri, sehingga bercerai dan si suami atau isteri pula kemudian memeluk Islam.

Apabila ini berlaku, isunya kemanakah halanya akidah anak-anak tadi, Islam atau tidak?

Terbaru dalam kes rumahtangga M. Indra Gandhi, 34 dan K. Pathmanatahn, 40. Mereka mempunyai 3 orang anak. Si suami telah memeluk Islam dan atas fahaman dan kepercayaannya telah membawa ketiga-tiga orang anaknya turut memeuluk Islam. Isteri tidak dapat menerimanya lantas membuat aduan bahawa pengislaman anak-anaknya itu dibuat tanpa persetujuan dan pengetahuannya sebagai ibu.

Mereka berdua naik-turun mahkamah untuk meneguhkan hujah masing-masing dengan harapan memperolehibukan hanya hak penjagaan ke atas anak-anak itu tetapi menentukan samada anak-anak itu hindu atau Muslim. Mahlamah Sivil dan Syariah menjadi rujukan.

Malangnya kabinet dibawah pimpinan PM yang baru telah campur tangan walaupun kedua-dua mahkamah sivil dan syariah masih mendengar permohonan-permohonan ini.
Kabinet memutuskan bahawa mana-mana pasangan yang salah-satunya menukar agama, maka anak-anak mereka hendaklah kekal dengan agama asalnya. Ini bermakna jika sepasang suami isteri yang bukan Islam, jika contohnya suminya memeluk Islam, maka anak-anak mereka hendaklah kekal beragama asal iaitu tidak Islam.

(Keputusan ini ternyata mencetuskan lebih banyak kontroversi dan langsung tidak membantu. Sebagaimana saya siarkans ebelumini ia dipertikaikan oleh cendikiawan dan para ulamak kita)

Kini akibat dari keputusan kabinet itu, dalam pertikaian Indra Gandhi lawan Pathmanathan, Mahmkamah Tinggi mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara ke atas ketiga-tiga mereka pada Indra Gandhi dan atas semangat keputusan kabinet itu Indra boleh menganggap anak-anaknya yang telah di Islam kan sebagai “Hindu” dan membesarkan mereka mengikut adapt dan kepercayaannya.

Sisuami menurut laporan sudah pastilah tidak dapat menerima perkembangan ini dan kini menghilangkan diri dengan anak bongsu mereka.

Semua ini berlaku sedangkan Mahkamah Syariah telah pun mengeluarkan perintah jagaan sementara untuk Pathmanathan bagi menjaga anak bonsunya itu.

Ringkasnya kemanakah ini mebawa kita semua?

Tidak dapat tidak isu berkenaan Islam dan akidah terpaksa ditangani walaupun konflik ini berpunca dari masalah rumahtangga. Ada pihak yang mempelopori perjuangan liberalisma dan taksub pada hak sama rata, berhujah bahawa adalah lumrah bagi hak penjagaan anak-anak ini diserahkan kepada ibunya. Dan bajawa agama anak-anak di abwah umur biarlah begitu, sebagaimana keputusan kabinet sehingga anak-anak itu dewasa. Dewasa menurut perkiaraan siapa, 18 tahun atau akil baligh?

Kebiasaannya masyarakat akan bersimpati kepada si ibu, oleh itu sebarang tindakan si bapa akan dilhat sebagai mahu memaksa anak-anak dan tidak adil serta berbagai lagi. Ambil contoh kes Sharmala lawan Dr Jeyanganesh (yang telah memeluk Islam) yang kebetulan beritanya dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini. Siapa yang dilihat memaksa dan tidak adil?

Dalam kes mereka Mahkamah Sivil memberikan hak penjagaan kepada si isteri tetapi Mahkamah Syariah kepada si suami. Menurut laporan Sharmala kini menguasai anak-anak mereka dan berada di abwah penjagaannya. Tetapi mahkamah sivil mengenakan syarat bahawa Sharmala tidak boleh menukar agama anak-anak mereka atau mempengaruhi mereka dan tidak menghidangkan babi kepada mereka.

Si suami walaupun keberatan telah menyerahkan anak-anak mereka kepada Sharmala kerana mematuhi perintah mahkamah tetapi menurut beliau haknya menziarahi anak-anaknya itu setiap duaminggu tidak dipatuhi Sharmala dan sejak 5 tahun lalu beliau tidak pernah berjumpa dengan anak-anaknya itu!

Benar negara kita negara berbilang kaum dan agama. Suka ataupun tidak konflik seumpama ini pasti berlaku dalam masyarakat kita, Soalnya bagaimanakah kita menangani dan menyelesaikannya. Ingat peraturan dan prosedur Islam mestilah berlandaskan syarak dan keputusan kabinet tidak boleh mengatasi syarak! Kini bukan hanya keputusan kabinet mengatasi syarak, malah ia tidak menghormati undang-undang keluarga Islam yang ada serta perintah dan keputusan mahkamah syariah tempatan.

Beginikah nasib undang-undang Islam, pentadbiran, kehakimannya di bawah PM baru kita?

Sunday, April 26, 2009

Saya memperolehi artikel berkenaan yang diterbitkan oleh saf ulamak muda dari PMRAM ketika mengunjungi blog adinda Nasrudin Tantawi di http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Ianya bagi sata suatu pandangan yang padat dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.

DRAF CADANGAN PENYELESAIAN
ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH
DAN KELUARGA


1. PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]
b- Hak penjagaan anak.
c- Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 - Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.
Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.
Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].
Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

rعَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 - Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 - Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).

Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 - Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 - Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).

Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 - Hak Pemberian Nafkah[11]

a - Nafkah kepada anak
Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.

b - Nafkah kepada isteri
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh :Fellow MANHAL PMRAM 2009
Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain

[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

Semak semula keputusan kabinet ini

Saya tidak tahu bagimana anda, tetapi sebagai seorang Muslim saya sangat terganggu dengan keputusan kabinet baru-baru ini yang menyatakan bahawa mana-mana pasangan yang salah-satunya menukar agama, maka anak-anak mereka hendaklah kekal dengan agama asalnya. Lebih terganggu kerana kes melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah yang telah mengislamkan ketiga-tiga orang anaknya itu, kini berada dalam tangan pihak polis, dimana perintah dikeluarkan agar beliau menyerahkan kembali anaknya untuk dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibunya.

Menurut berita terkini dalam The Star Online, si ibu ditemani oleh peguamnya A.Sivanesan dan Augustine Anthony, AJK pusat Parti Sosialis Malaysia Dr D.Jeyakumar, Setiausaha Eksekutif Majlis Perundingan Penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisma, Goh Keat Peng dan ahli parlimen Ipoh Barat M.Kulasegaran berada di Ibupejabat Polis Daerah Ipoh, menunggu pihak polis “merampas” kembali anak tadi dari bekas suaminya.

Sudah menjadi lumrah bahawa keputusan kabinet ini melega dan menggembirakan penganut-penganut bukan Islam. Akhbar-akhbar tempatan ,emyiarkan berbabagi kenyataan pemimpin-pemimpin MCA, MIC dan badan-badan agama bukan Islam yang meuji keputusan kabinet itu.

Malangnya tidak ramai pemimpin Islam yang keluar memberikan pandangan termasuklah mereka yang “ganas” di parlimen membahaskan isu-isu negara, namun menikus dalam kes ini!

Persatuan Peguam Syariah Malaysia, ABIM dan beberapa NGO lain mengeluarkan kenyataan mendesak agar pihak kerajaan menyemak semula keputusan kabinet ini kerana ia dikeluarkan tanpa mengambil-pandangan pihak lain serta membelakangkan pula keputusan mahkamah yang berkaitan (re: Subashini lwn Saravana) dan peruntukkan undang-undang (perlembagaan Persekutuan) yang sedia ada.

Menurut Mufti Perak, Datuk Seri Harussani:

Menurut Islam, apabila salah seorang ibu atau bapa masuk Islam, maka mana-mana anaknya secara otomatik menjadi Muslim melainkan si anak tadi melebihi umur 15 tahun, ketika itu ia boleh putuskan sendiri.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Sdr Zulkifli Nordin dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com/ menulis:

Saya tidak pasti samada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang kedudukan Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri.

Dalam kes Subashini Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa seseorang ibu atau bapa yang telah memeluk Islam boleh mengislamkan anak-anaknya tanpa merujuk kepada (bekas) pasangannya.

Sebelum api yang terbakar marak membakar hangus kita semua,wajarlah pihak kabinet menangguhkan keputusannya ini dan membuats emakan dan rujukan pada semuayang perlu.

Saturday, April 25, 2009

Umno Selangor terpaksa dipimpin anak Pahang

Umno Selangor makin parah. Silap hari puaka yang menyerang Umno Kelantan juga akan berjangkit pada Umno Selangor. Selepas hilang negeri ini kepada Pakatan Rakyat, Umno kelihatan tidak mampu bangkit-bangkit lagi. Dollah Badawi dulu cuba mengusung bagi membangkitkan tubuh Umno Selangor yang layu itu. Dilantiknya Mat Taib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan ganti Khir Toyo yang dirampas takhta MB darinya itu.

Mat Taib dilantik juga Ketua Penerangan, dilantik Senator dan diberi jawatan Menteri. Tapi Umno Selangor tak maju-maju ke hadapan, sebaliknya makin menggelongsor ke belakang. Sementara itu geng Mat Taib bercakaran dengan geng Khir Toyo, itu belum masuk geng Noh Omar, Zain dan lain-lain.

Mat Taib yang telah ditolak rakyat itu seakan di “recycle’ untuk mengetuai Umno dan BN Selangor, tapi hampa.

Dalam pada itu orang Umno di Selangor semakin resah. Ada yang mula meneroka dan merintis jalan keluar, antaranya Kapten Zahar Hashim, Ketua bahagian PJS, keluar beramai-ramai menyertai PAS. Ini diikuti dengan rakan-rakan lain samada secara bersendirian atau berkumpulan dan ada sehingga satu cawangan. Masing-masing mahu keluar dari suasana lemas dan gelisah dalam Umno. Masing-masing cenderung bersama PAS, kerana ternyata Parti Islam ini sahajalah yang mampu melangsungkan agenda perjuangan ummah.

Mat Taib, Khir Toyo, Noh dan lain-lain terus berusaha melebarkan jaringan kelompok masing-masing. Yang diperjuangkan kini hanya kepentingan kelompok mereka. Sedang mereka lupa mereka kini bukan lagi parti kerajaan di Selangor. Perjuangan agama, bangsa dan negara entah kemana. Kerana itulah Mat Taib dan Khir ditolak dalam pemilihan Umno baru-baru ini.

Dan kini untuk mengesahkan memang Umno Selangor bercelaru dan bermasalah, Najib selaku Presiden Umno dilantik pula menggantikan Mat Taib sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri! Tiada lagi anak Selangor yang mampu dan berupaya memimpin parti “separuh mati” ini, lalu diambil anak Pahang, yang jawatan ditangannya sahaja sudah padat untuk memungkinkan beliau tentu tidak dapat beri tumpuan pada negeri bermasalah buat Umno ini.

Kerana itu PR khasnya PAS perlu segera bergerak. Dekati kawan-kawan kita dalam Umno. Pelawa mereka berhijrah beramai-ramai. Ayuh kita pastikan kerusi-kerusi DUN Umno yang ada ini nanti berpindah ke tangan PAS, mengapa? Sebab Umno sudah tidak berupaya lagi, penyakitnya tidak kebah-kebah kini puaka pula menghantui. Nasib dan masa depan umat Islam dan bangsa Melayu di Selangor termasuklah bangsa-bangsa lain akan hanya terbela ditangan emreka yang ikhlas, jujur dan komited seperti PAS.

Tahniah Umno kerana melantik Najib, tahniah Mat Taib, tahniah Khir. Yang lain ayuh kita berhijrah ke PAS, insyallah semua selamat.

Friday, April 24, 2009

Berkasih sayanglah kita sesama jemaah

Saya mengutus SMS kepada adinda Nik Abduh apabila dimaklumkan tentang posting terbaru dalam blognya “Masanya memilih jalan yang lurus” di http://nikabduh.wordpress.com/

di bawah tajuk “Kerja-kerja bodoh dalam PAS”
dengan menyebut:

“Terkedu, terharu, Alhmadulilah”

Sekali lagi saya terpaksa mencatatkan dan mengakui tulus ikhlas betapa saya melihat adinda saya ini yang diasuh di bawah tangan ulamak besar kita sejak dari bayi, memang mempunyai masa depan yang cerah dalam barisan kepimpinan tertinggi PAS di masa mendatang sebagaimana ayahandanya. Dakwahnya dalam bentuk tulisan cukup kemas, tersusun dan penuh hikmah, sesiapa pun pasti terpesona membacanya. Dakwah seumpama ini sangat berkurangna di dunia blog yang penuh dengan fitnah, kata nista dan celaan.


Malah saya mahu berkongsi di sini bahawa Tuan Guru Presiden sendiri begitu minat dan senang hati membaca tulisan-tulisan ulamak muda ini sehinggakan saya pernah diminta memuat turun posting-posting beliau untuk dibaca Tuan Guru.

Posting terbaru beliau itu “berat” dan saya pasti begitulah hatinya apabila mahu menyusun kata dan ayat bagi menghidupkan mesejnya, apa pun yang penting beliau telah terjun untuk membetulkan keadaan dan persepsi, meredakan yang gundah-gulana dan merawat yang pilu dan sedih. Saya tidak nampak beliau mahu menaik atau menjatuhkan sesiapa tetapi yang saya kesan adalah kesungguhan beliau untuk memikul tanggungjawab agar parti dan jemaah ini jangan berpecah dan dipecahkan.

PAS adalah gerakan Islam, maka dalam keadaan apa sekalipun ia perlu kembali kepada Islam, jangan ia jadi macam parti sekular, liberal, pragmatis, sosialis atau kominis. Kerana itu jika semua kita berpegang kepada prinsip Islam, maka tidak mudahlah kita terpengaruh atau terpesona dengan mana-mana pihak lain sehingga kita meminggirkan jemaah.

PAS mendakap konsep “Kepimpinan Ulamak” lebih 20 tahun lalu bagi memastikan ia tidak tersasar dari orbit Islam yang ia tawaf. Seriusnya PAS dalam hal ini sehingga suatu transformasi besar telah dilakukan pada parti, lantas melahirkan Majlis Syura Ulamak dan terbaru pimpinan urusan ulamak di peringkat kawasan-kawasan. Mengapa, kerana kita mahukan parti ini terus berada atas saf yang betul (kebutulan blog adinda Nik Abduh bertemakan: Masanya memilih jalan yang lurus).

Kerana tranformasi inilah PAS melonjak kembali ke atas setelah jatuh merudum ke bawah dari sudut prestasi di zaman akhir Asri. Para ulamak dan sukarelawan parti telah berkerja bertungkus-lumus menjayakan konsep ini, agar PAS terus relevan dengan Islamnya, dan kini ternyata ia dihormati dan disegani, tidak syak lagi kerana kuatnya pegangannya pada Islam itu. Siapa lagi jika tidak Almarhum Ustaz Fadzil dan kedua-dua Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Abd Hadi, serta barisan ulamak dan para professional yang ikhlas serta mahasiswa dan anak-anak muda yang bersemangat yang telah bekerja siang malam membina kembali PAS, dan hari ini PAS berada pada tahap pencapaiannya yang sangat cemerlang.

Adinda Nik Abduh dan saya percaya semua kita mahukan PAS terus kekal begini. Gandingan Mursyidul Am (dengan Majlis Syura) dan Tuan Guru Presiden begitu mantap dan jelas hala tujunya. Memang ini musim pemilihan bagi PAS, lakukanlah yang terbaik buat Islam, tetapi awas semua perhitungan dan pertimbangan perlulah berlandaskan Islam, jangan ada fitnah dan adu-domba, jangan jual-jual nama, peliharalah adab dan tertib sebagaimana yang diajar oleh agama.

Kisah “unity government” dimainkan kembali oleh adinda Nik Abduh disaat kononnya tiada orang mahu menyebutnya lagi. Seakan kotor dan jijik lontaran idea Tuan Guru kita. Apa yang kita tahu mengenainya? Apa yang diberitahu pada kita? Tok Guru dan Tok Guru bertelagah? Adinda Nik Abduh telah menjelaskan, lantas bagaimana anda sekarang? Dan peringkat yang paling panas dalam posting beliau adalah apabila beliau menyebut:

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!
Saya begitu tersentuh apabila pembantu-pembantu ayahandanya turut digodamnya. Tersentuh kerana saya juga pembantu, sebagaimana sahabat saya Dr Ahmad Samsuri, pembantu, masing-masing SU Akhbar dan Politik kepada Tuan Guru Presiden, mungkinkah kami juga jika tidak berhati-hati akan jadi jahat juga?

Insyallah setakat yang saya tahu dan begitu juga pembantu-pembantu Presiden yang lain, kami sekadar petugas, bukan penasihat. Saya pernah ditanya oleh seorang pemimpin parti, mengapa saya tidak nasihatkan Presiden (dalam satu isu yang pemimpin tadi tidak puas hati), saya sebutkan, saya ini bukan penasihatnya, tetapi pekerjanya!

Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am kedua-duanya memiliki khazanah dan penguasaan ilmu yang besar, ditambah dengan amalan dan disiplin hidup mereka sebagaimana disebut adinda Nik Abduh:

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adal
ah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.
Siapalah kami yang kecil-kecil ini untuk menjadi penasihatnya apalagi menggunakan jawatan kami untuk mempengaruhinya. Demi Allah saya sendiri sepanjang memegang jawatan ini tidak pernah sekalipun berbuat demikian, segala yang saya terima adalah pengarahan dari Tuan Guru, jika diminta pandangan kami berbincang, jika diminta maklumat saya bekalkan, begitulah kami yang bertugas di bawah Presiden PAS yang kami kasihi, hormati dan kagumi dan rela berkorban untuknya selagi mana beliau berada di jalan yang benar, insyallah.
Lalu kalau benarlah sebagaimana yang didakwa adinda Nik Abduh itu, maka kita anggota jemaah perlu melakukan sesuatu, jangan biarkan gerakan Islam kita ini kacau angkara sesiapa pun yang tidak selari dengan apa yang telah kita bina selama ini.
Bagi saya biarlah kita berpolitik secara Islam almaklum kita pun anggota jemaah Islam. Semua kita mahu menyumbang untuk kemenangan Islam, dan kemenangan ini tidak dapat diperolehi selain campurtangan dan izin Allah swt jua. Kerana itu berkasih sayanglah kita sesama kita. Berkasih sayang semasa kita susah dan kalah dahulu dan terus berkasih sayang semasa kita senang dan menang ini.
Elakkan dari syak wasangka dan tuduh-menuduh. Si anu dan si anu ada agenda dibelakang tabir, si anu dan si anu mahu meroskakkan Islam dan PAS, si anu itu subversif dalam parti, subhanallah, hentikanlah ini semua. Biar para perwakilan memilih kita berdasarkan “merit” kita. Iaitu keupayaan kita, sumbangan kita pada jemaah,komitmen kita. Zahirkan yang ini, tak perlulah menyerang dan memburukkan apa lagi memfitnah orang lain.
Semoga yang terbaik antara kita dipilih dan kita memilih bukan angkara hawa nafsu tetapi berdasarkan fakta tanpa melucutkan pakaian taqwa kita.

Terima kasih SSZ

Saya menerima komen berikut dar pengunjung blog ini yang mengenalkan dirinya sebagai “SSZ”. Terlalu cantik susunan bahasanya, terlalu benar mesejnya, maka saya berasa terpanggil untuk mengangkat komennya itu dan diletakkan di posting ini.






TGHH pernah menjadi MB, tapi tidak sedikit pun terlebihnya beliau dari segi material dan tidak terkurang sedikit pun dari segi kewibawaan. rutin harian bertambah tanpa kurangnya rutin kuliah. kerendahan hati Tok Guru tiada juga berubah, malah semakin mesra dan ramah. dah byk pemimpin yg saya bersemuka, tetapi Tok guru lah seorang pemimpin yg pada saya paling rendah hati tetapi berjiwa besar.seorang pemimpin yg tinggi ilmu tapi bangun dari bersila, dgn pantas menyambut tetamu walau belum sempat lagi untuk melangkah masuk ke rumahnya yg persis rumah2 nelayan. dgn pemberian tak seberapa, ucapan terima kasih beliau dari awal bicara sehingga akhir tak habis2... ikhlas mengatakan cinta saya pada tok guru. jika tok guru diturunkan dari pimpinan sekalipun, pada saya beliau masih seorang pemimpin yg bertaqwa dan hebat sampai bila2...

PAS ini terbuka byk pelapis yg ada, tetapi rasanya kepimpinan dari tok guru masih diperlukan, kerana pelapis2 yg ada belum cukup mantap dan tok guru masih gagah. seorang ulama yg tidak terbatas hanya setakat ilmu agama dan politik, tetapi IT pun Tok Guru pandai...pandangan2 Tok Guru yg luas dan dari pelbagai sudut, lantang dlm menyuarakan apa yg difikirnya, tanpa mempedulikan kesan dari sudut politik, tapi tetap dinyatakan demi menegakkan kebenaran dan suasana aman serta membawa faedah kpd rakyat. pada saya belum nampak ada yg dpt mengatasi tok guru setakat ini. bkn lah kita taksub pada tok guru, tapi jika dinilai dari pelbagai sudut, dari pandangan kita ahli biasa dan rakyat biasa ini...

mmg ada yg berpotensi besar dan kecil, tapi belum mencapai sehingga rasanya perlu sehingga tok guru diganti.kita dlm PAS bukan pejuang politik, kita adalah pejuang islam. bermakna tidak kira walau ketika air tenang mahupun badai bergelora, itu yg kita pegang dan kita naikkan serta julang setinggi2 nya... siapa yg setakat ini mampu berdiri teguh dihadapan bahtera memandu arah. ianya mesti org yg amat jelas pandangannya dan amat jauh serta tajam... tidak takut terlanggar batu karang atau sesat.

biarlah bagaimana islam itu ditentang, kita teguh meredahnya... ada ketika ramai yg terjatuh kelaut tapi ada juga yg dpt naik semula... tapi nakhoda yg sedang memandu arah dgn hebat itu tidak perlu rasanya disuruh berehat sebagainya, beliau baru memegang teropong dan peta... jgn hanya kerna beliau tidak mahu mengambil jln pintas yg berbahaya, yg mendatangkan risiko apa yg dibawa dan dijaga itu bersepah hilang entah kemana... dek kerana jln pintas yg lebih merupakan perangkap yg hanya menyebabkan ramai yg akan kecundang sementara perlayaran juga kemungkinan besar tidak sampai pun... kita suruh nakhoda kita turun dan duduk istirehat di dalam kamar... tak patut...berbagai rintangan yg dtg, ribut taufan berselang pula dgn kedinginan yg menusuk tulang ketika laut juga sunyi sepi... bila siang panas pula tanpa sebarang lindung, sesekali burung liar juga sempat merampas beberapa makanan yg menjadi bekal... beliau tetap teguh memandu arah...



sudah bersediakah bg yg bakal menggantikan beliau utk memikul tugas2 berat dan paling penting utk pelayaran ini?apa yg dilalui para jurumudi dan anak2 kapal, kedudukan yg beliau duduki itu lebih teruk dugaannya yg akan dilalui. bersediakah?masih byk lagi bahagian2 lain dlm kapal yg perlu diamati, dipelajari dan dikuasai demi memimpin pelayaran seluruh keadaan kapal wajiblah berada dalam fikiran sentiasa... utk itu pengalaman yg mendalam bagi setiap bahagian itu amat penting. hargailah dan gunalah sebaik2 peluang yg ada sementara kita dipimpin oleh manusia hebat tetapi rendah diri ini utk melakukan persediaan secukupnya. demi masa depan yg insyaAllah akan menjadi semakin utuh.



wassalam...

Sehubungan dengan itu saya masih teringat satu ceramah yang disampaikan oleh Tuan Guru Hj abd Hadi Awang. Dalam ceramah itu beliau mengatakan (lebih kurang yang saya ingat) bahawa kiranya Raja mangkat, penggantinya adalah waris keturunannya, begitu juga pemimpin biasa, meninggal orang yang di bawahnya akan menggantikannya, tetapi kalau yang meninggal itu “Tok Guru” belum tentu kita mudah mendapatkan penggantinya.

Untuk makluman beliau berceramah ketika itu di Kelantan, semasa Kelantan menghadapi krisis perlembagaan yang melibatkan kerajaan negeri dan istana. Beliau bukan menyebut tentang dirinya tetap tentang seorang lagi Tok Guru iaitu Tok Guru Nik Abd Aziz.

Demikianlah taraf seorang Tok Guru dalam masyarakat yang celik, fakir-fikirkanlah.

Thursday, April 23, 2009

Boleh terimakah keputusan kabinet ini?

Kabinet memutuskan bahawa mana-mana pasangan yang salah-satunya menukar agama, maka anak-anak mereka hendaklah kekal dengan agama asalnya. Ini bermakna jika sepasang suami isteri yang bukan Islam, jika contohnya suminya memeluk Islam, maka anak-anak mereka hendaklah kekal beragama asal iaitu tidak Islam.

Apakah kesan keputusan kabinet ini?

Walaupun laporan yang diterima tidak menyebut, tetapi saya yakin keputusan itu memaksudkan anak-anak tadi bebas memilih agama pilihannya apabila mencapai umur dewasa. Soalnya apakah anak-anak yang nanti dewasa itu beanar-benar bebas atau setelah sekian lama dibesarkan sebagai bukan Islam akhirnya akan terpengaruh untuk terus kekal tidak Islam.

Adakah adil keputusan ini? Saya tidak pasti. Tentunya ia sesuatu yang sensitif dan perlu dihadapi dalam masyarakat majmuk seperti kita.Tetapi kelihatan keputusan ini seakan tidak memuaskan dan bakal mencetuskan 1,001 kontroversi lagi.

Apakah tidak boleh difikirkan suatu mekanisma yang lebih meyakinkan?

Kes ini sebenarnya diputuskan setelah mengambil kira kes Indra Ghandi, 35 seorang wanita Hindu yang mengadu suaminya, K. Pathmanathan, sekarang dikenali Mohd Ridzuan Abdullah telah memeuluk Islam dan menukar agama anak-anak mereka dari hindu ke Islam tanpa relanya. Mereka dilaporkan mempunyai tiga orang anak dengan anak yang kecil berada di bawah pemeliharaan Ridzuan.

Saya harap lebih ramai bijak pandai dan alim-ulamak dilibatkan untuk memberikan pandangan dalam hal ini. Apa pun biar ia nampak benar-benar adil dan tidak sampai Islam dilihat tergadai dan digadai.

Tuesday, April 21, 2009

Keluhan anggota polis wanita kita

Pada 17 April lalu akhbar Utusan Malaysia menyiarkan keluhan seorang yang mengenalkan dirinya sebagai “Warga PDRM – Seremban” di dalam ruangan “forum” nya . Anggota polis wanita itu menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap mereka yang ditugaskan meronda bersama anggota lelaki di dalamkereta peronda.

Beliau menulis antara lain:

Bayangkanlah mereka bertugas dari malam hingga ke pagi, macam-macam boleh terjadi apabila wanita dan lelaki berdua-duaan dalam kereta, tidak kiralah mereka suami-isteri ataupun masih bujang.






Bila seorang lelaki dan perempuan berdua-duaan, ada syaitan di tengah-tengah. Harap PDRM ambil kira perkara ini.

Tugas mereka adalah murni, untuk membanteras jenayah, tapi seolah- olah memberi mereka ruang untuk melakukan perkara-perkara negatif umpamanya (maksiat).

Sepatutnya anggota polis wanita ditempatkan ke bahagian-bahagian lain, tapi bukan di dalam kereta peronda polis.

Saya rasa perkara ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan khasnya PDRM. Malah menurut penulis itu, PDRM di Johor tidak mengambil anggota wanita untuk pertugasan perondaan seumpama ini, jika ini benar mengapa tidak dilakukan seumpama itu untuk seluruh negara?

Hari ini perkara ini terus diulas, kini oleh seorang yang mengenalkan dirinya sebagai “Suami tak rela – Seremban”. Kali ini penulis memberikan pandangan bahawa anggota wanita dikecualikan sama-sekali dari sebarang bentuk tugas meronda samada rondaa bit mahupun kereta peronda.

Bayangkan isteri anda bertugas dengan lelaki lain, di dalam kereta peronda atau berjalan berpasangan tak tentu masa, mengikut penulis isteri beliau bertugas dari 1 pagi ke 7 pagi atau 7 malam ke 1 pagi!

Sesungguhnya kemampuan dan ketangkasan anggota polis wanita kita tidak dipertikaikan, namun menghormati adat, budaya dan agama kita, sudah seharusnya kita bersikap rasional dan tidak membuka ruang dan peluang untuk tercetusnya perlakuan maksiat atau sumbang. Ambil kiralah pandangan orang lain. kalau kita sendiri tidak membela maruah mereka, siapa lagi.

Sunday, April 19, 2009

Tuan Guru Presiden PAS sedia dicabar

Selepas selesai menyampaikan kuliah di sebuah masjid di Kota Bharu semalam, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ditanya oleh pemberita adakah beliau sedia mempertahankan jawatannya sebagai Presiden PAS jika dicabar dalam Muktamar PAS Pusat kali ke 55 awal Jun ini.

Kata Tuan Guru beliau bersedia untuk menghadapi cabaran dan menyerahkan kepada ahli-ahli PAS (para perwakilan) untuk memastikan siapakah selayaknya menjadi Presiden PAS. Kata beliau lagi, beliau tidak akan membuang pakaian (jawatan) kerana ia merupakan amanah yang diberikan kepadanya.

Ada orang yang tidak berapa selesa dengan kenyataan Tuan Guru ini atas pelbagai sebab dan ramai pula yang memberikan pelbagai tafsiran. Apa pun bagi saya selaku Presiden PAS dan sebagai pejuang parti yang istiqomah dan telah mengharungi berbagai mehnah dan tribulasi dalam perjuangan sehingga memegang jawatan nombor satu dalam parti sejak tahun 2002 dan kini parti berada dalam keadaan yang sangat selesa sejak ia ditubukan lebih 50 tahun lalu, Tuan Guru berhak memberikan pandangannya.

Beliaulah sejak sekembalinya dari Timur Tengah pada tahun 1977 antara yang menyumbang ke arah menghidupkan kembali PAS yang ketika itu terkapai-kapai antara Islam dan perjuangan kebangsaan. Ramai yang tawaquf dalam perjuangan, ramai juga yang terus sahaja meninggalkannya. Tetapi Tuan Guru dan beberapa kerat pimpinan yang lain telah menyuntik semula roh Islam ke dalam perjuangan PAS. Slogan “kepimpinan ulamak” digema dan dihidupkan selepas diwaktu itu dan ia terus memukau perhatian ramai khasnya anak-anakmuda untuk kembali memberikan sokongan pada PAS.

Malah ramai diantara yang berada dalam parti hari ini adalah antara yang kagum dan yakin dengan perjuangan ini hasil dari dakwah dan kesedaran yang beliau dan rakan-rakannya berikan ketika itu

Tuan Guru antara pimpinan PAS ketika itu yang rajin menjelajah seluruh pelusuk negara. Beliau bukan sekadar berceramah politik memenuhi undangan akar-umbi tetapi memimpin kuliah-kuliah pengajian di pusat-pusat tarbiyah dan masjid serta surau untuk menghidupkan kembali kecintaan umat kepada Islam melalui ilmunya.

Selepas daripada itu Tuan Guru tidak menoleh ke belakang lagi, demi jemaah dan perjuangan beliua telah melangkah dengan yakin dan berani. Beliau ditembak dengan gas pemedih mata, di bawa ke balai, ditahan dari berceramah, diserang dan diperlakukan ketika ramai diantara kita tidak merasai pun cabaran dan gangguan seumpama itu.

Beliau menang kerusi DUN di Terengganu pada tahun 1982 dan selepas itu gelaran ahli yang berhormat terus lekat padanya sehingga hari ini, termasuklah dengan kerusi Parlimen kemudiannya dan pada tempuh 1999-2004 sebagai MB terengganu dan kini kekal dengan kerusi DUN dan Parlimen.

Walaupun mungkin ada yang cuba menafikan tetapi hakikatnya bukankah ketika beliau Presiden maka kita menerima pencapaian besar sebagaimana yang ada pada hari ini, termasuk menang di parlimen Kuala Terenggani dan Bukit Gantag.

Diperingkat antarabangsa sumbangan dan peranan beliau untuk gerakan Islam antarabangsa sangat besar dan diiktiraf ramai. Terbaru beliau membentang kertas dalam seminar tahunan antara mazhab di Tehran dengan menerima penghormatan luar biasa dari para ulamak dunia yang hadir selain negara tuan rumah.

Saya menyatakan ini semua bukan untuk berkempen buat beliau, Tuan Guru bagi saya tidak perlu dikempen-kempen dan saya yakin seluruh ahli PAS tahu akan amalan, peribadi, akhlak dan komitmen Tuan Guru dalam perjuangan. Tujuan saya adalah untuk cuba menjelaskan mengapa sehingga Tuan Guru mengeluarkan kenyataan seperti di atas.

Bagi saya beliau mengeluarkannya untuk menjelaskan bahwa jawatan Presiden di dalam PAS bukan jawatan eksklusif siapa-siapa termasuklah dirinya . Ia jawatan yang boleh dipertandingkan sekiranya ada pencalonan. Tiada kuota atau tiada kerusi “reserve” dalam PAS. Malah kalau kita teliti sejarah PAS, Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi pernah bertembung dengan Almarhum Prof Zulkifli Muhamad bagi jawatan Presiden PAS (ketiak itu Yang Dipertua Agung).

Bagi Tuan Guru yang menghayati perjuangan, jika ada calon yang difikirkan layak, maka beliau bersedia menghadapinya untuk jawatan tertinggi PAS ini. Tetapi saya yakin rata-rata ahli-ahli PAS seluruh negara selesa dengan apa yang kita ada, tahu dan faham sejarah perjuangan serta matlamat perjuangan kita.

Cumanya diharapkan sebagai gerakan Islam kita kekalkan adab dan disiplin perjuangan kita. Kita boleh berkempen mana-mana calon yang kita fikir layak tetapi jangan kita menghina, merendah-rendah atau mengaibkan calon lain apalagi menabur fitnah dan seumpamanya. Kalah menang adat perjuangan kerana itu Tuan Guru menyebut beliau akan terus bersama PAS samada menang atau kalah.

Soalnya jika kita ambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim, perlukah alang rumah PAS ini ditukar dalam suasana kita pada hari ini, wallahualam.

Final bola antara negeri Pakatan Rakyat

Dalam sibuk orang politik bertelagah dan bertarung sama sendiri sesuatu yang istimewa tercetus di dunia sukan. Lebih tepat lagi sukan bolasepak. Piala FA edisi ke 20 pada hari Sabtu nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menyaksikan perlawanan akhir antara Kelantan dan Selangor.

Kedua-dua negeri ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Sudah pastilah pertembungan sukan ini bakal menyaksikan limpahan rakyat dari kedua-dua negeri “rakan” ini hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Mungkinkah Tan Sri Khalid dan Tok Guru Nik Aziz kedua-duanya akan berada di podium VIP?

Apa pun yang penting kedua-dua belah pihak samada pemain lebih-lebih lagi penyokong perlu mempamirkan semangat kesukanan yang tinggi dan tidak berperang sesama sendiri di padang mahu pun gelanggang. Kita tidak mahu insiden buruk seperti di Stadium Sultan Muhammad Kota Bharu berulang kembali.

Kita mesti dilihat baik bukan hanya sebagai pemimpin tetapi juga sebagai rakyat yang dipimpin. May the best team wins.

Saturday, April 18, 2009

Kurangkan kehadiran polis dalam PRK

Saya sangat terperanjat apabila membaca laporan muka depan akhabr The Star hari ini.Untuk lima pilihan raya kecil terakhir yang dikendalikan iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai dan Bukit Selambau, kerajaan telah berbelanja RM33.4 juta!




sumber: The Star


RM2.4 juta bagi SPR dan RM31 juta dibelanjakan oleh pihak Polis.

Bagi SPR tu kita boleh terimalah, alasan diberikan bagi membayar kakitangan petugas, kos mencetak kertas undi dan yang berkaitan dengannya, pengangkutan termasuk helikopter di Batang Ai dan penginapan petugas. Tetapi mengapa mesti pihak polis berbelanja begitu banyak malah lebih banyak dari belanja SPR sendiri selaku pengurus pilihan raya?

Menurut akhbar tersebut perbelanjaan pihak polis melibatkan kos pusat sementara dan khemah (kebanyakkan yang berhawa dingin), logistik, pengangkutan, penginapan (dah ada khemah, ada pulalagi penginapan), sewa, bekalan letrik dan elaun “outstation”.

Pecahan belanja pihak polis adalah seperti berikut:

Permatang Pauh RM2.5 juta
Kuala Terengganu RM11.5 juta
Bukit Gantang RM7 juta
Bukit Selambau RM5 juta
Batang Ai RM5 juta

Teruk sangat ke ancaman keselamatan sehingga pihak polis perlu berbelanja demikian banyak bagi satu-satu pilihan raya kecil? Bagi saya ini menggambarkan seolah rakyat para pengundi kita ganas dan mengancam dalam satu-satu pilihan raya kecil sedangkan hakikatnya tiada pun yang terbunuh atau tercedera dalam pilihanraya-pilihanraya kecil di Malaysia (kecuali di Lubuk Merbau, Kedah apabila petugas PAS dibelasah dan dipukul oleh orang-orang Umno).

Saya merasakan lagi kehadiran kekuatan pihak polis yang “melampau” besarnya itu memberikan imej buruk buat negara malah mungkin juga ia faktor penyumbang kepada kekalahan BN dalam pilihanraya-pilihan raya kecil yang dimaksudkan. Rakyat melihat Umno-BN sengajamahu menakut-nakutkan mereka, sedangkan rekod pilihanraya kecil di Malaysia lazimnya aman dan terkawal.

Kesimpulannya dalam keghairahan pihak SPR dan lain-lain pihak mahu mengurangkan kehadiran rakyat jelata mengiringi calon semasa proses penamaan calon, saya merasakan lebih wajar kehadiran pihak polis dalam satu-satu pilihan raya kecil pun wajar dikurangkan demi menjimatkan belanja. Jangan sampai Malaysia dilihat sebagai “Police State”, kerana kehadiran dan belanja keselamatan yang melampau besarnya ini, sedangkan ancamannya sangat minimal.

Kalau Pakatan Rakyat menang lagi di DUN Penanti?

Nampaknya sekali lagi kita akan “bertempur” dalam pilihan raya kecil. Kali ini sekali lagi di kawasan parlimen Peramatang Pauh iaitu bagi kerusi DUN Penanti yang diwakili bekas TKM Pulau Pinang Mohammad Fairus dari PKR.

Memanglah pilihan raya kecil memerlukan tumpuan tenaga dan wang ringgit untuk menggerakkan jentera pilihan raya. Ia meletihkan tetapi sebahagian dari adat perjuangan khasnya dalam ruang-lingkup amalan demokrasi.

PKR tidak minta pilihan raya kecil ini, tetapi ia terpaksa diadakan apabila atas sebab-sebab tertentu ADUN nya meletakkan jawatan sebagaimana di Bukit Selambau. Memang kalau boleh kita mahu elakkan pilihan raya kecil di kawasan sendiri, tetapi apakan daya ini suatu perkembangan yang tidak diundang.

Lantas apabila PM dan Presiden Umno marah-marah, menuduh penggosongan kerusi ini sebagai “mainan politik”, kita boleh faham. Maklumlah Umno telah kalah berturut-turut dari Permatang Pauh ke Kuala Terengganu sehinggalah ke Bukit Gantang. Ia tidak mampu untuk menghadapi kekalahan lagi, tambah Penanti duduk dalam kawasan tegar Anwar Ibrahim!

Agaknya bagi mengelakkan dari Umno terus menanggung malu, imej PM baru terjejas, rasa-rasanya tidak keterlaluan kalau Umno tidak meletakkan calonnya. Biarlah MCA, MIC atau Gerakan atau mungkin PPP yang bertanding atau lebih hebat lagi beri sahaja laluan percuma kepada calon Pakatan Rakyat dari PKR. Tak perlu masing-masing menghabiskan belanja, apa macam?

Tetapi kalau Najib masuk juga bertanding dan kemudian kalah juga lagi, ternyata Umno perlukan ketua baru. Mana boleh berketuakan seorang Presiden yang tidak mampu membawa kejayaan pada Umno. Besar betul makna kemenangan PRK kali ini.

Friday, April 17, 2009

KL jadi ibukota jenayah?

Hebuh orang berkata berkaitan kes perletakkan jawatan bekas TKM Pulau Pinang Mohammad Fairus sebagai ADUN Penanti, kes Elizabeth Wong kembali bertugas sebagai EXCO Selangor, kes keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tidak sah penggantungan Zambry sebagai MB Perak dan anggota EXCOnya, seakan kita terlepas pandang satu berita lain yang pada saya juga besar dan perlukan perhatian kita semua.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) KL, mengumumkan bahawa kes jenayah ragut meningkat 100 peratus di Kuala Lumpur dalam tempuh 4 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama 2008 lalu. 4 bulan pertama 2008 mencatatkan 606 kes melonjak ke 1,206 kes bagi temph yang sama tahun ini!

Selain itu samun berkumpulan tanpa senajata turut meningkat 80.5% iaitu dari 1,249 kes ke 2,254 kes.

Saya tidak tahu apakah trend ini merata sehingga turut melibatkan negeri-negeri lain atau adakah ia sekadar melonjak di Kuala Lumpur sahaja. Apa pun ianya sesuatu yang sangat membimbangkan sekaligus memberikan imej buruk kepada ibunegara kita. Dan sudah pastilah ia diakibatkan oleh pelbagai punca termasuklah tekanan hidup, keruntuhan moral dan adab, rasuah yang berleluasa dan termasuklah merosotnya kesedaran agama.

Kita boleh menuding jari ke pelbagai pihak, tetapi setiap tudingan ini, 3 jari lain akan menuding kea rah kita sendiri. Oleh itu tibalah masanya untuk kita masing-masing memain peranan. Bagaimana mahumerawatdan mengatasinya, sama-samalah kita fikirkan. Pihak polis mahu melaksanakan “kepolisian agresif’, sama-samalah kita tunggu keberkesanannya, namun jangan serah bulat-bulat pada polis.

Pemimpin dan ketua-ketua masyarakat semuanya perlu main peranan. Institusi agama dan pendidikan juga mesti main peranan. Hidupkan program dan aktiviti masjid dan surau-surau dan jika mampu perluaskan capaiannya sehingga melewati sempadan pagar masjid dan surau tadi. Guru dan ibu-bapa juga perlu main peranan masing-masing.

Jika trend ini berterusan, negara kita menjadi tidak selamat bukan hanya kepada para pelancong tetapi juga buat kita anak-anak tempatan. Selain “kepolisian agresif” pihak polis itu barangkali kekuatan anggita yang terlibat juga perlu ditambah. Gunakanlah mungkin FRU yang lebih banyak digerakkan untuk operasi-operasi politik, kepada mengawalkeselamatan, lebih bermanfaat saya kira dari melepaskan tembakan gas kepada orang yang keluar mengundi (yang dah tentu bukan penjenayah).

Mungkin menteri baru yang ditugaskan menjada KDN perlu melihat dan datang dengan idea yang berkesan. Mudah-mudahan ianya dapat dikurangkan segera.

Wednesday, April 15, 2009

Rais mula tunjuk kuku

Baru beberapa hari memanaskan kerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Rais telah menunjukkan kukunya. Tajam dan mampu mencederakan barangkali juga memusnahkan.

Kata beliau stesyen radio swasta dan kerajaan jangan putar-belitkan kenyataan mana-mana pemimpin sehingga menjejaskan keharmonian kaum di Negara ini. Kata beliau lagi mana-mana stsyen radio yang melanggar garis panduan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada saluran radio Ai FM yang membuka talian untuk para pendengarnya mengulas kenyataan TPM Muhyiddin Yassin yang dikatakan mendakwa bahawa masyarakat Cina di Negara ini tidak menghargai sumbangan BN kepada mereka dengan mengundi pembangkang.

Saya setuju mana-mana saluran media termasuklah blog, jika kandungannya menjejaskan keharmonian agama dan kaum di Negara ini, memang patut diambil tindakan berdasarkan undang-undang Negara yang ada dengan diberikan hak membela diri di mahkamah yang terbuka. Namun demikian Rais perlu tidak hanya sensitif pada kenyataan yang dikeluarkan oleh bos atau partinya sahaja yang dikatakan diputarbelitkan. Rais perlu bertindak adil dengan memastikan tidak ada kenyataan mana-mana pihak samada dari parti beliau atau bukan yang diputarbelitkan sehingga menjejaskan kestabilan tadi.

Kenyataan pimpinan PAS umpamanya sering diputarbelitkan oleh media terutama yang dimiliki parti Rais termasuklah media saluran perdana. Lain yang disebut lain yang terbit, kami dipaparkan sebagai hodoh dan sentiasa jahat, walaupun hakikatnya masyarakat menerima dan selesa dengan kami.

Baguslah bingkas bekerja Rais ini, tetapi biarlah bekerja dengan adil dan saksama. Jangan nampak yang terkena batang hidung sendiri, yang ditanggung orang lain dibiarkan malah diperalatkan semaksima mungkin.

Tuesday, April 14, 2009

Terima kasih atas keprihatinan anda

Ada dua rakan blogger yang sedang berpesta atas nasib yang menimpa saya sehingga ramai yang memohon agar saya memberikan respon atau ulasan. Saya tidak bercadang berbuat demikian kerana saya menulis bukan untuk mengadu-domba apalagi menabur fitnah dan nista, kalau mereka begitu biarkan tetapi saya tidak.

Alhamdulillah, bagi saya, apa yang menimpa saya itu adalah ujian dari Allah swt, dan dari nasihat sahabat-sahabat saya telah dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

Menang kalah adat pertandingan, apalagi pertandingan dalam jemaah. Jangan sampai menang jadi arang kalah jadi abu.

Ramai yang pernah menempuh kekecewaan dalam perjuangan, dari Khalid al Walid yang dilucutkan jawatan, Almarhum Dr Zulkifli Muhammad yang pernah tewas bertanding jawatan nombor satu parti dan ramai lagi termasuk yang berjawatan tertinggi hari ini. Bukankah bertanding dalam jemaah itu “Fastabiqul Khairot” iaitu berlumba-lumba mencapai kebaikan. Jangan kita menganggap rakan dalam jamaah bagai musuh mengatasi musuh kita yang sebenar.

Perjuangan ini perlu terus digalas dan dijunjung kerana laluannya masih luas terdampar di hadapan. Yang kalah yang menang semuanya kena berjuang. Saya insyallah akan terus berjuang. Saya tidak bimbang pada cemuhan mereka yang mencemuh itu sebab saya lebih bimbang dan takutkan cemuhan Allah swt.

Mulialah mereka yang menang atas kebaikan diri peribadi dan akhlak serta kemampuan untuk berjuang, kerana nanti ia mampu membawa kebaikan kepada jemaaah, jika sebaliknya arang dan abulah akan jadi hiasan jemaaah. Individu tidak penting yang penting adalah nasib dan masa depan ummah dan Islam.

Bekerjalah untuk Allah seikhlas dan sebaik mungkin. Biarlah Allah yang mengukur kita bukaannya orang lain apa lagi diri kita sendiri.

Hidup ini bagaikan roda, yang penting adalah istiqomah dalam perjuangan jangan fitnah dan pukul kawan-kawan, sentiasa berdiri atas kebenaran dan keadilan, bersama-samalah mengejar redha Allah dan menjauhkan murka Nya.

Sunday, April 12, 2009

Tentera wataniah di setiap kawasan parlimen?

Menteri Pertahanan yang baru, Zahid Hamidi dilaporkan berkata di Bagan Datoh bahawa kementeriannya akan menubuhkan satu batalion tentera wataniah disetiap 222 kawasan parlimen di seluruh Negara bagi memantapkan sistem pertahanan Negara. Aadalah dijangkakan melalui “exercise’ ini tentera sukarelawanini akan mempunyai 600,000 kekuatan di seluruh Negara dalam tempoh 5 tahun.

Apakah yang boleh anda baca dari perkembangan ini?

Soal pertahanan Negara adalah sesuatu yang serius yang tidak boleh dipandang enteng. Walaubagaimanapun dari sudut kekuatan ketenteraan semasa diperingkat dunia, kekuatan keanggotaan kini bukan lagi keutamaan tetapi lebih ke atas pemilikan persenjataan yang canggih yang dalam situasi tertentu boleh mengambil-alih peranan “foot soldiers”.

Tetapi Menteri Pertahanan baru tanpa menyebutkan jangkaan perbelanjaannya lebih cenderung untuk menambahkan bilangan tentera sukarela atau wataniah ini. Diharapkan tiada agenda tersembunyi dalam usaha ini, kerana ternyata ia suatu yang tidak praktikal dan tidak bertepatan dengan perkembangan semasa. Tetapi kiranya ia punya agenda tersembunyi, malanglah buat Negara.

Lebih baik jangkaan perbelanjaan itu digunakan untuk memperkasakan lagi kelengkapan dan peralatan ketenteraan kita lebih-lebih lagi apabila Negara jiran memiliki kelengkapan dan peralatan yang jauh lebih canggih dari kita.

Jangan kerana agenda politik, akhirnya pertahanan Negara tergadai.

Friday, April 10, 2009

Kabinet Najib: satu ulasan

Asalnya bidalan itu berbunyi “Siakap senohong gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama jadi pencuri” tetapi entah siapa yang nakal yang telah merobahnya menjadi “Siakap senohong gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama jadi menteri!”.

Apa pun semalam telah sama-sama kita saksikan pembentukkan kabinet baru PM Malaysia yang ke enam, Najib Tun Razak. Banyaklah komen dan ulasan diberikan terhadap kabinet baru ini dizaman Umno dan BN paling tenat sejak kemerdekaan Negara. Maklumlah hilang 2/3 majoriti pada PRU ke 12 dan kini kalah tiga berturut-turut dalam pilihan raya kecil parlimen.

Najib gagahkan diri beliau untuk mengemukakan senarai kabinet bagi meniti mungkin detik-detik terakhir dominasi politik Umno dan BN diperingkat Pusat.

Yang menarik adalah gugurnya 6 orang menteri Umno dari senarai kabinet. Tolak Amirsham yang memang tiada akar umbi dan latarbelakang politik yang ampuh, kelima-lima yang digugurkan itu hebat-hebat belaka. Mat Taib yang tewas bertanding Timbalan Presiden gugur walaupun beliau juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor. Begitu juga Zulhasan Rafique yang dikira mempunyai masa depan politik yang cerah, tiba-tiba dikambus oleh Najib. Termasuklah juga Ir Mohd Zin di Selangor, yang sebelum ini kononnya ada prospek untuk menghidupkan kembali Umno Selangor.

Azalina dan Syed Jaafar ternyata bukan kelompok Najib. Azalina akan pupus karier politiknya walaupun bermula dengan gagah sebagai Ketua Puteri.

Dan yang paling banyak diperkatkan adalah darihal sekatan ke atas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin (KJ) dari menyertai kabinet. Timbalannya Razali Ibrahim dapat Timbalan Menteri, lawannya Muhriz Mahathir yang tewas dapat Timbalan Menteri tetapi KJ langsung tidak diberi pertimbangan.

Mungkin kabinet ini yang terbaik yang boleh Najib hasilkan dalam keadaan yang sangat genting buat Umno, tetapi saya mengira dengan pengguguran beberapa nama dan dengan pengecualian KJ, laluan dalam Umno menjadi semakin berkelodak dan berkeladak. Mungkinkah nanti MB-MB pun ada yang akan ditimpa nasib yang sama seperti 6 orang tadi? Takkanlah Ali Rustam contohnya mahu terus dikekalkan di Melaka setelah tercemar dengan politik wang?

Seorang penyokong tegar MCAdari Johor yang saya temui baru-baru ini menyatakan bahawa beliau memberi najib sekitar 2-3 tahun, jika tiada apa yang dapat dicapainya dalam suasana sukar buat Umno ini, berkemungkinan besar tamatlah riwayat BN. 2-3 tahun? Mungkinkah lebih awal?

Syabas Najib kerana berusaha, marilah kita sama-samaikuti perkembangan selanjutnya.

Wednesday, April 08, 2009

Umno tidak bangkit-bangkit sejak Mac 2008

Lanskap politik Malaysia sedang melalui proses tranformasi yang deras, ditarah dan digembur tambah-tambah dengan keputusan PRK semalam yang sudah pastinya sangat mengejutkan bagi Umno dan BN. Sudahlah mereka dikejutkan dengan Kuala Terengganu dan Permatang Pauh sebelumnya, kini mereka dikejutkan lagi.

Walaupun pucuk pimpinan Umno dan negara telah diubah. Pak Lah yang dikatakan lemah dan punca kemerosotan prestasi Umno-BN telah pun dipaksa bersara oleh partinya namun segala yang dilakukan seolah tidak berjaya membangkitkan tubuh Umno yang kaku di atas katil ICU itu.

Ditambah pula dengan suntikan dan ubat-ubatan tambahan, Mahathir diberi laluan mudah kembali ke pangkuan Umno, tahanan ISA termasuk dua dari Hindraf dibebaskan, penggantungan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik, malang tubuh Umno tetap kaku tiada reaksi.

Kini PM baru sedang sibuk membega kabinet baru. Kabinet beliau dan Muhyuddin mesti dilihat bertenaga agar dapatlah berkuis-kuis barang sekali dua tubuh Umno yang kaku, sekurang-kurangnya dapat memberi respon ia terhadap usaha pemulihan yang sedang letih mereka kerjakan.

Saya mendapat maklumat Najib akan pegang Kewangan dan Pertahanan, Muhyuddin KDN, Zahid Hamidi ganti portfolio Mat Taib, Shafie Apdal menteri luar, Mukhriz belia dan sukan, dan ramai yang memegang legasi Pak lah akan gugur. Harapannya semoga kabinet baru ini akan mengegarkan rakyat dan tubuh Umno yang kaku sebelum ia terus putus nafas, nazak dan keras selama-lamanya.

Berupayakah Najib? Laluan untuk menjadi PM dan Presiden Umno telah beliau rintis dan redah menggunakan pelbagai taktik dan kaedah, kini beliau dipuncak namun Umno pula semakin tenat.

Tidak pernah dalam sejarah Umno, parti itu tewas dalam tiga pilihan raya kecil parlimen berturut-turut. Ini bukan sesuatu yang kecil. Peramatang Pauh dan Bukit Gantang mungkin boleh dilabel sebagai kerusi pembangkang, tetapi bagaimana dengan Kuala Terengganu. Malah ketiga-tiga kerusi ini sebenarnya pernah menjadi kerusi dan kubu Umno pun.

Sesuatu yang serius sedang melanda Umno dan malangnya Umno sudah kehabisan ubat dan usaha untuk memulihkan partinya. Inilah saat dan ketika bagi rakan-rakan dipelbagai peringkat yang masih bernaung di bawah Umno agar berfikir masak-masak. Umno mungkin pernah berjasa pada rakyat dan Negara diusia awaknya tetrapi kini ia semakin ditolak rakyat.

Akhbar saluran perdana hari ini cuba memainkan bahawa PAS memenangi undi masyarakat bukan Melayu di Bukit Gantang. Tetapi adakah dengan undi bukan Melayu semata-mata PAS boleh menang? Jumlah peratusan pengundi bukan Melayu di Bukit Gantang adalah 36.2%, bolehkah PAS menang dengan berharap pada blok undi ini semata-mata? Bagaimana pula dengan Kuala Terengganu yang mempunyai lebih 87% pengundi Melayu?

Berilah apa alasan sekalipun yang nyata Umno sudah tidak bangkit-bangkit lagi sejak Mac 2008 dan ahli-ahlinya kini perlu membuat persediaan. Marilah kita bersama mendepani perjuangan seterusnya dalam bahtera yang baru demi masa depan agama, bangsa dan Negara. Ucaplah selamat tinggal pada Umno dan ayuh bersama PAS atau rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat, kita bina Malaysia yang baru bersama insyallah.

Tuesday, April 07, 2009

Che Det bantu memenangkan PAS dan PKR

Mahathir bukan lagi keramat. Mahathir beban dan biawak hidup buat Umno. Bukankah Mahathir yang mendera rakyat, menzalimi rakyat, menyusahkan rakyat. Beraja di mata bersultan di hati – beliaulah yang mengerat sayap Raja-raja Melayu, beliaulah memusnahkan kedaulatan Bahasa Melayu, beliau mempersendakan Islam semasa PM, bermaharajalela menggunakan ISA, tiba-tiba beliau dijaja dan diusung dari Bukit Selambau ke Bukit Gantang seolah-olah beliau penyelamat Umno dan BN

Rupanya Pak Lah betul dalam menolak Mahathir. Kesilapan pertama Najib sebaga PM dan Presiden Umno adalah kerana mendakap kembali Mahathir yang usang itu.

Mujur beliau tak ke Batang Ai jika tidak BN mungkin kalah juga di sana.

Terima kasih Che Det, kerana anda kami menang.

Suara rakyat suara keramat

Keputusan rasmi belum keluar (jam 8.35 pm dan azan isyak sedang berkumandang) tetapi kali ini saya berani menjangkakan……….

Rakyat telah bersuara dengan jelas dan lantang. Bubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, kembalikan mandat kepada mereka untuk membuat keputusan siapa yang sepatutnya memerintah mereka di Perak!

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang ini adalah satu pungutan suara, ya, siapa yang berani menidakkan. Rakyat mahukan Pakatan Rakyat. Rakyat tolak “politik pintu belakang” Umno-BN dan pihak-pihak tertentu. Rakyat membela penganiayaan yang dilakukan terhadap MB mereka Nizar Jamaluddin.

Kepada PM dan Presiden baru Umno, akurlah pada kehendak rakyat.Kepada semua pihak di Perak, negara kita negara demokrasi bukannya kuku besi, kalau suara rakyat tidak dihormati suara siapakah lagi mahu kita dengar.

Marilah kita ambil iktibar dari keputusan ini. Syabas kepada pengundi di Bukit Gantang, juga syabas dan tahniah pada pengundi di Bukit Selambau,

Kepada seluruh pimpinan, petugas dan ahli PAS dan Pakatan Rakyat, ini adalah kemenangan anda. Dari Permatang Pauh ke Kuala Terengganu dan kini Bukit Gantang (dan Bukit Selambau), Umno terbukti sudah ditolak rakyat.

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Media Malaysia jadi kelas dunia?

Sekarang jam 10.30 pagi, menurut laporan lebih 20% pengundi telah keluar mengundi di parlimen Bukit Gantang.Cuaca setakat ini baik di sana namun dijangka hujan disebelah petang. Insyallah kita berdoa agar keputusan memihakkepada kita.

Sementara menunggu perkembangan dari sana saya terbaca laporan ucapan PM baru, Najib Tun Razak semasa merasmikan Malam Anugerah Wartawan Institut Akhbar Malaysia Petronas 2008 di Kuala Lumpur semalam. Ucapannya nampak positif dan memberi harapan maklumlah orang baru, usaha untuk memulih dan membina imej baru ini memang nyata sedang giat dilakukan oleh mereka yang dikeliling-kelalangnya.

Dalam ucapannya beliau berkata:

Jadi, hari ini, saya menyeru semua pihak, semua pemimpin politik dan semua orang yang mahu terbabit dalam satu perbualan nasional baru mengenai masa depan negara kita termasuk media untuk berbuat demikian dalam cara menghormati pandangan orang lain, bahawa nilai-nilai perbincangan dan hujah-hujah dan yang mengiktiraf bahawa lawan tidak semestinya musuh, bahawa perbezaan pendapat tidak datang daripada motif dendam, tetapi daripada perhatian mendalam dan kekal untuk masa depan Malaysia


Najib turut menyarankan agar media di Malaysia melakukan pemberitaan kelas dunia iaitu sentiasa adil dan bertanggungjawab dalam membuat sesuatu laporan.

Sekali imbas saya berani menyatakan bahawa ucapan PM baru ini memang sangat dinanti-nantikan setelah berpuluh tahun kita digerhanai oleh media yang pincang dan berat sebelah. Sejak mogok Utusan Melayu 21 Julai 1961, iaitu detik pengambil-alihan sepenuhnya akhbar Melayu terbesar dalam Negara yang kini popular dalam versi rumi iaitu Utusan Malaysia, oleh Umno dan kemudiannya akhbar bahasa Inggeris yang lain dan juga oleh MCA dan MIC terhadap akhbar bahasa mereka, media kita sangat diragui dan tidak lagi adil.

Utusan Melayu pernah adil dan bertanggungjawab tetapi ketika berperanan sedemikian, Umno gementar, Umno lah yang berttanggungjawab membunuh dasar adil dan bertanggungjawab Utusan itu. Bekas Ketua Pengarang Utusan, Sdr Said Zahari di dalam bukunya “Meniti lautan gelora” menulis pernah sebelum “Mogok Utusan” beliau dipanggil oleh PM, Tuanku Abd Rahman ketika itu, beliau menulis:

“Tunku tidak berselindung-selindung lagi mengatakan bahawa Utusan Melayu berlaku tidak adil terhadap kerajaan dan Umno. Utusan Melayu kata Tunku lagi kerap membesarkan berita-berita dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh parti-parti pembangkang daripada yang diterbitkan oleh Umno dan kerajaan Perikatan.”

Said menambah bahawa hujah Tunku itu tidak benar kerana Utusan sebenarnya berusaha mengekalakan “balanced reporting” dan malah melebihi pun parti pemerintah. Beliau menulis:

“Aku kemudian mengemukakan senarai perangkaan yang telah disediakan oleh Salim Kajai, Ketua Penyunting Berita, sebagai bukti betapa Utusan Melayu pada hakikatnya memberi ruang sehingga 60% kepada berita kerajaan, Umno dan parti-parti sekutunya. Perangkaan tersebut yang disertakan dengan contoh-contoh beritanya sekali tidak dapat disangkal oleh Tunku dan menteri-menteri lain.”

Najib mungkin mahu menebus semua itu dan apa yang berlaku hari ini, tetapi Said turut mencatakan betapa Allahyarham ayahanda Najib, Dato Razak (ketika itu belum Tun) yang ketika itu adalah TPM juga bagaikan Tunku iaitu tidak senang dengan kebebasan Utusan. Satu tajuk dalam bukunya menulis berkenaan “ Dato Razak memarahi Utusan Melayu”.

Apa pun eloklah kalau Najib mahu media tempatan kita melonjak menjadi media kelas dunia kerana sekarang ini media kita terutama yang dari saluran perdana langsung tidak berkelas malah tidak keterlaluan kalau saya katakana sudah sampai ke tahap kelas dunia ketiga ala Zimbabwe.

Lihat sahaja laporan terhadap pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan dua DUN lain yang sama berpilihan raya kecil. Rata-rata negative dan memburukkan lawan sedangkan kita mengamalkan demokrasi dan seharusnya memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan melalui laporan yangs eimbang dan adil.

Dua saluran berita TV contohnya BERNAMA dan ASTRO AWANI, semasa mula-mula dilancarkan, seolah memberi harapan kepada rakyat bahawa media kelas dunia sedang muncul melalui kemunculan keduanya. Tetapi ternyata meleset. Mereka menjadi saluran kempen tambahan kepada BN yang sedia ada Utusan, TV3, RTM dan lain-lain dalam gengaman mereka. Contohnya siaran ASTRO AWANI semalam, iaitu kira-kira 2-3 jam sebelum kempen berakhir tepat tengah malam, memaparkan temuramah dengan seorang ADUN (Wanita Umno) Perak. Secara terang-terangan apabila ditanya YB berkenaan apa yangs edang beliau lakukan disaat-saat akhir sebelum tempoh kempen tamat, YB itu menyatakan beliaus edang sibuk mengagih-agihkan basikal percuma kepada rakyat.

Tidakkah itu rasuah?! Pengagihan rasuah (basikal) di tengah malam!

Baguslah apa yang diucapkan oleh Najib itu, tetapi sejauh mana kemampuan kerajaan beliau untuk merealisasikannya sukarlah untuk dipercayai buat masa ini. Bagaimana media mahu jadi media kelas dunia sedangkan parti pemerintah yang ada selesa dengan mentaliti Zimbabwe (Mugabe), Cuba dan Korea Utara.

Monday, April 06, 2009

Mahathir ajak bekas Umno ikut beliau

Tun Mahathir keluar Umno, bukan sesuatu yang baru, Tun Mahathir kembali ke Umno pun bukan baru. Keluar masuk Umno dalam rekod beliau sudah menghampiri rekod keluar masuk parti ahli parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali.

Hari ini sebagaimana dilapor oleh Mstar, Mahathir dilaporkan menyeru semua yang telah keluar Umno agar kembali menyertai Umno sebagaimana yang beliau lakukan. Dilaporkan juga orang kanan beliau, Sanusi Junid telah pun bertindak atas seruan itu dan menyerahkan borang menyertai kembali Umno di Langkawi.

Soalnya adakah semua yang keluar Umno itu keluar kerana Mahathir? Atau adakah semua yang keluar Umno itu atas alasan yang serupa dengan Mahahtir?






Kenapa Mahathir keluar? Beliau keluar kerana tidak boleh menerima kepimpinan Dollah Badawi. Beliau menentang segala dasar dan program Dollah, bagi beliau Dollah seakan tidak layak menjadi PM walaupun beliaulah yang bertanggungjawab menaikkan Dollah dulu.

Mengapa Mahathir masuk kembali? Bagi saya Mahathir sudah tidak percayakan Umno, politik wang yang beliau dedahkan sebelum ini sebagai barah yang menyerang Umno terus bertapak dan memamah tubuh Umno yang semakin layu dan kecut itu. Tetapi Mahathir masuk juga Umno, sebab apa, sebab mahu menyelamatkan anaknya Mukhriz. Mungkin ada yang tidak dapat menerima hujah saya ini tetapi bukankah sejurus Mukhriz diisytiharkan kalah barulah Mahathir terhegeh-hegeh mahu menghadiri perhimpunan Umno. Asalnya beliau memulaukan majlis perasmiannya. Tetapi setelah jelas Mukhriz kalah, maka tiada cara lain untuk beliau curi peluang dan memastikan anaknya it terus mendapat tempat selain membuat kejutan dengan menyertai Umno dengan menghadiri majlis penutupan perhimpunan (walaupun sebenarnya ramai yang tidak terkejut).

Najib beroleh “political mileage” yang banyak dengan kehadiran Mahathir itu dan sudah pasti terhutang budi pada “kuda tua” itu (MStar melaporkan Mahathir menggunakan istilah “kuda tua” terhadap dirinya sendiri). Saya difahamkan kerana itu Mukhriz akan mendapat pembelaan Najib, tak mustahil Mukhriz dilantik ke MT Umno dan tidak mustahil juga dijadikan seorang Timbalan Menteri.

Lantas kalau Mahathir masuk Umno kerana masa depan politik anaknya, yang lain apa hal nak ikut jejak si “kuda tua” itu?!!

Ramai yang tinggalkan Umno kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan Umno untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan Negara. Mereka tinggalkan Umno kerana Umno berkeladak dengan politk wang dan rasuah. Umno tidak berubah, saya terbaca sebuah kain rentang di Bukit Gantang berbunyi: Umno dulu, kini dan selamanya serupa sahaja……..rasuah!

Kerana itu biarlah Mahathir dengan labu-labunya. Ucapkan selamat jalan pada Umno yang bakal reput bersama “kuda tua”nya itu.

Surat terbuka buat pengundi Bukit Gantang

Bukan mudah mahu membuat keputusan apa lagi jika ia merupakan sesuatu yang akan melibatkan pertanggungjawaban dari dunia sehingga ke akhirat. Memilih pemimpin di dalam Islam adalah sesuatu yang serius, ia tidak boleh disandarkan kepada hawa nafsu dan gerak hati semata-mata, malah ia mestilah berpandukan adab dan peraturan yang telah ditetapkan Islam iaitu antara syarat mutlaknya termasuklah adil dan berkemampuan.

Saudara-saudara kita di kawasan parlimen Bukit Gantang akan diberikan amanah untuk memilih pemimpin mereka esok Selasa 7 April, 2009.

PAS mengemukakan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon, manakala BN dan Bebas turut mengemukakan calon masing-masing. Adalah menjadi harapan pimpinan dan ahli serta para pendukung PAS dan Pakatan Rakyat agar para pengundi yang berdaftar di Bukit Gantang esok akan mengundi calon PAS.

Pada bulan Mac tahun lalu rakyat diseluruh Negara termasuklah di Perak telah bersuara. Dalam kes Perak rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat iaitu ganbungan PAS, PKR dan DAP untuk memerintah mengambil-alih parti pemerintah sebelumnya iaitu BN yang telah mentadbir negeri berkenaan sejak Merdeka.

Keputusan itu adalah keputusan rakyat, ia diambil melalui undi rakyat dan kerana menghormati kemahuan rakyat yang menuntut dan mahukan kerajaan yang lebih baik telus, bersih dan beramanah maka Pakatan Rakyat telah mengangkat Nizar Jamaluddin dengan perkenan Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar Perak yang baru menggantikan MB dari Umno.

Sejurus itu bermulalah pentadbiran baru di Perak. Rakyat kagum dengan kerajaan negeri yang baru yang dibarisi EXCO dan ADUN-ADUN yang cukup bertenaga ikhlas mahu berjuang untuk kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri. Dengan Nizar sebagai MB rakyat yakin bahawa sesuatu yang meyakinkan dan memberi harapan akan berjaya ditegak dan dilaksanakan di Perak demi manfaat mereka semua.

Namun demikian tiba-tiba harapan itu disentap dari tangan rakyat. Politik pintu belakang yang diamalkan Barisan Nasional dan dengan berpaling tadahnya beberapa ADUN, kerajaan yang rakyat dukung itu tiba-tiba rebah dan digantikan dengan kerajaan BN yang baru sahaja rakyat sendiri robohkan sebelumnya.

Krisis perlembagaan dan keresahan rakyat membara akibat kerja kotor politik pintu belakang yang dimalakan BN itu. Kini dengan takdir Allah swt, ruang untuk rakyat kembali bersuara dibuka di Bukit Gantang. Melalui pilihan raya kecil ini rakyat diberi peluang untuk memberikan mesej kepada BN bahawa kerja kotor merekatidak dapat diterima rakyat.

Kerana itu undi tuan/puan yang bakal turun mengundi esok adalah penting. Jika kita mengundi PAS bermakna kita mendaftarkan bantahan kita terhadap kerja yang tidak bermoral yang mengakibatkan kerajaan negeri yang dinaikkan oleh rakyat itu jatuh begitu sahaja. Kita akan mewakilkan Nizar untuk ke Parlimen bagi membawa mesej perjuangan rakyat Perak keperingkat yang lebih tinggi. Yang paling penting kita menegaskan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia khasnya para pengundi di Bukit Gantang samada Melayu, Cina atapun India adalah pengundi-pengudni yang berakal dan bermaruah.

Mereka tidak akan berpeluk tubuh apabila kezaliman dan politik kotor berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan bangkit menerusi lunas demokrasi untuk menebus maruah rakyat jelata bahawa kerajaan naik dan turun mestilah melalui proses pilihan rakyat dan bukannya melalui konspirasi kotor yang tidak bertamaddun dan beradab itu.

Oleh itu kepada seluruh pengundi di Bukit Gantang ketahuilah bahawa kami semua, yang cintakan kedamaian, keadilan , ketelusan dan kebenaran sesungguhnya berada bersama anda bagi memastikan yang benar dan yang hak diangkat manakala yang batil dan yang bohong ditolak demi masa depan agama, bangsa dan Negara.

Dengan restu Allah swt, ayuh kita keluar beramai-ramai dan mengundi calon PAS esok di Bukit Gantang. (Begitu juga di Bukit Selambau dan Batang Ai). Hidup rakyat, hidup kebenaran dan keadilan!