Wednesday, April 01, 2009

Kg. Baru diasak pembangunan

Saya berada di Kg Baru, Kuala Lumpur selepas zohor semalam. Saya melihat berlaku kesesakan luar biasa. Bas-bas bersusun sepanjang Jalan Raja Abdullah dan jalan-jalan berdekatan. Rupanya anak-anak muda dari sekolah dan kolej serta universiti ini dihimpunkan untuk meramaikan majlis Pelancaran Puncak Baru iaitu projek pembangunan semula Tapak Pasar Minggu Kampung Baru. Saya perhatikan sepanjang jalan menuju ke tapak berkenaan bendera Umno dikibarkan. Maklumlah Umno takut agaknya sebab Kg Baru sekarang ini diwakili oleh PAS iaitu dalam kawasan parlimen Titiwangsa. Nampak sangat Umno mempolitikkan majlis rasmi.

Kg Baru adalah satu-satunya kampong tradisional Melayu yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur (adalah juga Kg. Datuk Keramat,Kg Pandan dan lain-lain tetapi sejarah dan keunikan Kg Bharu mengatasi kampong-kampung lain). Rapatnya Kg Baru dengan degup jantung Kuala Lumpur sehinggakan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor (ketika KL masih bawah Selangor dahulu) ditempatkan di Jalan Raja Muda (Princess Road) berhadapan Kg. Baru.

Panjang sejarah Kg. Baru ini, ibu saya dan keluarga sebelah beliau merupakan antara penghuni asal Kg. Baru. Ia meriah sejak tapak ini dibuka untuk penempatan orang-orang Melayu, kata ibu saya keluarga nenek saya berhijrah dari Melaka menaiki kereta lembu untuk membuka penempatan di Kg Baru. Ramai yang datang dari berbagai negeri. Maka berhimpunlah orang-orang Melayu dari segenap ceruk rantau berhijrah ke sana untuk membangunkan sebuah penempatan Melayu di tengah Bandar.

Ia kaya dengan sejarah sejak zaman British, penaklukan Jepun, kembali British dan perjuangan menuntut kemerdekaan, peristiwa hitam 13 Mei, berbagai demonstrasi dari awal 70an sehingga ke zaman reformasi sehinggalah ke hari ini. Malah Allahyarham Shamsiah Fakeh ada menyebut tentang Rumah Merdeka di Jalan Hamzah yang pernah dihuni oleh pejuang-pejuang awal kemerdekaan Negara. Dan mengikut sejarah Pejabat Agung PAS yang awal berada di Kg Baru.

Kini 1.5 hektar daripadanya iaitu tapak Pasar Minggu Kg baru yang kini dimiliki DBKL mahu dibangunkan dengan sebuah menara kondominium setinggi 60 tingkat mengandungi 392 unit kediaman dan sebuah bangunan 40 tingkat mengandungi unit pejabat selain tiga tingkat ruang beli belah dan perniagaan bernilai RM500 juta.

Ternyata ia akan menghapuskan sama-sekali sejarah Pasar Minggu Kg. Baru yang pernah beberapa dekad lalu menjadi tumpuan pusat kebudayaan, makan-minum dan membeli-belah. Apa pun projek telah dilancarkan, kita mengharapkan bila siap nanti tiada lagi projek-projek mega seperti itu membelah jantung Kg Baru. Biarlah rumah-rumah tradisional Melayu dan penempatan orang-orang Melayu yang melimpah di situ dikekalkan. Perbaikilah pasarana mereka tetapi jangan membuka laluan kepada pembangunan sehingga menghalau mereka keluar.

DBKL perlu beri tumpuan kepada masalah perparitan, jalan dan kemudahan awam yang lain di Kg Baru. Biar orang Melayu yang ada di sana hidup dengans elesa, mengekalkan budaya dan warisan mereka dan terus membangun bersama Negara. Kalau perlu projek-projek mega sekalipun selepas ini biar ia dididrikan disekitar persempadanan Kg Baru dan bukan di atas tanahnya lagi.

Kini pun sepatutnya pembangunan persendirian di Kg baru perlu dikawal. Rumah-rumah batu bertingkat-tingkat kini menggantikan rumah-rumah tradisional seakan tanpa kawalan. Inilah sahaja tanah bertuah yang boleh kita tunjukkan pada anak-anak kita dan generasi yang mendatang, pertahan dan kekalkanlah ia sebaik mungkin.

(posting ini sepatutunya naik semalam tetapi terlepas pandang kerana masalah teknikal)

2 comments:

Rakyat Biasa said...

Sekarang ini Kg. Baru dalam 80% sehingga 90% dimiliki orang Melayu. Jangan kerana pembangunan, pemilikan orang Melayu menjadi kurang - maklumlah kaum lain mesti memasang angan-angan untuk dapat juga mengaut keuntungan daripada pembangunan tersebut. Syarikat developer, ada saham bangsa lain atau proxy atau lesen ali baba. Apabila jual rumah/kondo dengan harga tinggi, orang Melayu tak mampu. Maka bangsa lain juga yang beli akhirnya. Buka lot kedai, semua disapu bangsa lain, akhirnya orang Melayu masih seperti dulu. Bangsa lain juga yang kaya-raya. Orang Melayu yang kaya cuma beberapa ahli Umno, ahli perniagaan yang nak kaya cepat tapi gadai maruah bangsa, dan pegawai pihak2 berkuasa yang rasuah.

saudarabaharu.blogspot.com said...

Ekstremis bangsa. Jangan lupa bahawa Islam tertegak bukan atas satu-satu bangsa.

Ketaksuban terhadap pemikiran kebangsaan (baca UMNO) adalah salah satu definisi terbaik bagi perkauman.