Surat terbuka buat pengundi Bukit Gantang
Bukan mudah mahu membuat keputusan apa lagi jika ia merupakan sesuatu yang akan melibatkan pertanggungjawaban dari dunia sehingga ke akhirat. Memilih pemimpin di dalam Islam adalah sesuatu yang serius, ia tidak boleh disandarkan kepada hawa nafsu dan gerak hati semata-mata, malah ia mestilah berpandukan adab dan peraturan yang telah ditetapkan Islam iaitu antara syarat mutlaknya termasuklah adil dan berkemampuan.
Saudara-saudara kita di kawasan parlimen Bukit Gantang akan diberikan amanah untuk memilih pemimpin mereka esok Selasa 7 April, 2009.
PAS mengemukakan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon, manakala BN dan Bebas turut mengemukakan calon masing-masing. Adalah menjadi harapan pimpinan dan ahli serta para pendukung PAS dan Pakatan Rakyat agar para pengundi yang berdaftar di Bukit Gantang esok akan mengundi calon PAS.
Pada bulan Mac tahun lalu rakyat diseluruh Negara termasuklah di Perak telah bersuara. Dalam kes Perak rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Rakyat iaitu ganbungan PAS, PKR dan DAP untuk memerintah mengambil-alih parti pemerintah sebelumnya iaitu BN yang telah mentadbir negeri berkenaan sejak Merdeka.
Keputusan itu adalah keputusan rakyat, ia diambil melalui undi rakyat dan kerana menghormati kemahuan rakyat yang menuntut dan mahukan kerajaan yang lebih baik telus, bersih dan beramanah maka Pakatan Rakyat telah mengangkat Nizar Jamaluddin dengan perkenan Tuanku Sultan sebagai Menteri Besar Perak yang baru menggantikan MB dari Umno.
Sejurus itu bermulalah pentadbiran baru di Perak. Rakyat kagum dengan kerajaan negeri yang baru yang dibarisi EXCO dan ADUN-ADUN yang cukup bertenaga ikhlas mahu berjuang untuk kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri. Dengan Nizar sebagai MB rakyat yakin bahawa sesuatu yang meyakinkan dan memberi harapan akan berjaya ditegak dan dilaksanakan di Perak demi manfaat mereka semua.
Namun demikian tiba-tiba harapan itu disentap dari tangan rakyat. Politik pintu belakang yang diamalkan Barisan Nasional dan dengan berpaling tadahnya beberapa ADUN, kerajaan yang rakyat dukung itu tiba-tiba rebah dan digantikan dengan kerajaan BN yang baru sahaja rakyat sendiri robohkan sebelumnya.
Krisis perlembagaan dan keresahan rakyat membara akibat kerja kotor politik pintu belakang yang dimalakan BN itu. Kini dengan takdir Allah swt, ruang untuk rakyat kembali bersuara dibuka di Bukit Gantang. Melalui pilihan raya kecil ini rakyat diberi peluang untuk memberikan mesej kepada BN bahawa kerja kotor merekatidak dapat diterima rakyat.
Kerana itu undi tuan/puan yang bakal turun mengundi esok adalah penting. Jika kita mengundi PAS bermakna kita mendaftarkan bantahan kita terhadap kerja yang tidak bermoral yang mengakibatkan kerajaan negeri yang dinaikkan oleh rakyat itu jatuh begitu sahaja. Kita akan mewakilkan Nizar untuk ke Parlimen bagi membawa mesej perjuangan rakyat Perak keperingkat yang lebih tinggi. Yang paling penting kita menegaskan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia khasnya para pengundi di Bukit Gantang samada Melayu, Cina atapun India adalah pengundi-pengudni yang berakal dan bermaruah.
Mereka tidak akan berpeluk tubuh apabila kezaliman dan politik kotor berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan bangkit menerusi lunas demokrasi untuk menebus maruah rakyat jelata bahawa kerajaan naik dan turun mestilah melalui proses pilihan rakyat dan bukannya melalui konspirasi kotor yang tidak bertamaddun dan beradab itu.
Oleh itu kepada seluruh pengundi di Bukit Gantang ketahuilah bahawa kami semua, yang cintakan kedamaian, keadilan , ketelusan dan kebenaran sesungguhnya berada bersama anda bagi memastikan yang benar dan yang hak diangkat manakala yang batil dan yang bohong ditolak demi masa depan agama, bangsa dan Negara.
Dengan restu Allah swt, ayuh kita keluar beramai-ramai dan mengundi calon PAS esok di Bukit Gantang. (Begitu juga di Bukit Selambau dan Batang Ai). Hidup rakyat, hidup kebenaran dan keadilan!
No comments:
Post a Comment