Umno mahu terus menang besar di Selangor
Semalam Timbalan Presiden Umno hadir di Shah Alam untuk majlis berbuka puasa bersama Perhubungan Umno Negeri Selangor. Dan sudah pastilah yang paling gembira dan terhibur adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Dr Khir Toyo. Kalangan pemerhati politik tahu bahawa Khir lebih condong kepada Najib berbanding Dollah Badawi.
Namun yang menarik adalah janji-janji Khir dalam majlis tersebut. Beliau menegaskan yang Umno Selangor sedang bekerja bagi memastikan yang Umno akan kekal menang 100% disemua kerusi yang dimilikinya. Saya katakan menarik kerana sebelum ini Khir terkenal dengan slogan “Pembangkang Sifar”nya. Tiba-tiba kini cuma Umno sahaja yang disasarnya untuk menang 100%, MCA, MIC dan Gerakan macam mana? Mungkinkah ini menunjukkan yang DAP akan kembali menang besar di Selangor sebegaimana sebelumnya?
Kepada pengundi-pengundi Melayu Selangor, sedarlah bahawa apabila PAS berjaya melontarkan 4 orang wakil ke DUN Selangor dalam Pilihanraya Umum 1999 dahulu (melalui Dato Dr Hasan Ali, Ustaz Dato Ismail Kamus, Dr Shafee Abu Bakar dan Ustaz Sallehen Mukhyi), kerajaan BN Selangor begitu berhati-hati dalam isu yang melibatkan agama Islam dan bangsa Melayu. Kehadiran wakil-wakil PAS buat pertama kali dalam sejarah Selangor itu telah menghangatkan dewan yang sebelum ini lemah dan tidak bermaya.
Malah kalau kita lihat, Khir sendiri banyak memasukkan agenda Islam dalam dasar dan pentadbirannya ketika ada wakil PAS di Dewan Selangor. Beliau bukan sekadar mengisytiharkan Selangor akan menjadi Negeri Maju pada tahun 2005 malah sampai memperkenalkan satu dasar yang dinamakan: Dasar Selangor Menuju Wawasan Syumul 2005. Antara lain kata Khir, Selangor akan membangunkan rakyatnya untuk bukan sekadar menjadi individu dan kelompok yang maju, rakyat Selangor akan menjadi insan-insan Rabbani yang membentuk satu Masyarakat Maddani.
Hari ini, Insan Rabbani entah ke mana Masyarakat Rabbani pun entah ke mana. Yang pasti Islam tidak perlu lagi menjadi keutamaan. Masjid dan surau dibelenggu, maksiat semakin berleluasa, industri haram semakin makmur, jenayah semakin meningkat.
Kerana itu pengundi-pengundi Melayu di Selangor khasnya perlu bijak. Jika pada tahun 1999 apabila kita memenangkan calon-calon PAS, banyak perkara Islam diberikan tumpuan, bayangkan kalau kita memenangkan lebih ramai lagi. Pilihan terletak ditangan anda semua, jika berpuas hati dengan pimpinan Umno yang akhlaknya bagai Mat Taib, Zakaria Md Deros, Norhayati, Dr Rahman Ismail, Dr Rozaidah dan lain-lain, maka gerakkanlah tangan anda untuk memangkah BN. Tetapi jika kita pentingkan nasib dan masa depan bangsa, agama dan negara, fikir-fikirlah dengan bijaksana.
No comments:
Post a Comment