Thursday, September 20, 2007

Badan kehakiman Malaysia dicabul
Mungkinkah akan roboh badan kehakiman yang merupakan institusi yang memberikan keadilan kepada rakyat di negara ini?

Kita Merdeka dengan kesedaran bahawa negara kita memiliki badan kehakiman yang kukuh, yang tidak memihak dan sentiasa memelihara keadilan dan kesaksamaan. Sistem kehakiman kita yang diwarisi dari penjajah British telah kita ubah dan pinda dari masa kesemasa mengikut peradaban kita, namun ianya kita yakini selama ini telah mampu bertahan dengan tugas dan tanggungjawabnya, yang sangat penting dan mulia itu.

Diawal kemerdekaan sehinggalah ketahun 1980an, rakyat tidak pernah mempertikaikan kewibawaan badan kehakiman kita, malah ianya disanjung dan dipuji sehinggalah keperingkat antarabangsa.

Pada tahun 1988, kesucian badan ini mula dinodai. Bermula pada bulan Mei tahun itu sehinggalah beberapa bulan berikutnya beberapa orang hakim kanan telah menjadi korban kerakusan pimpinan politik tempatan. Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abbas telah dipecat. Turut terkorban dengan dipecat adalah dua orang hakim Mahkamah Agung yang cuba campurtangan mempertahankan keadilan, iaitu Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawaanteh. Segala-galanya kerana konspirasi politik PM ketika itu.

Dari situ campurtangan politik secara lansgung terhadap badan kehakiman, telah melunturkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang penting dalam sesebuah negara demokrasi seperti kita. Sejak dari itu badan kehakiman kita cuba dipulihkan namun terus dipandang masyrakat dengan penuh tandatanya dan kebimbangan.

Dari krisis 1998 itu ia cuba berusaha bangkit, walaubagaimanapun jatuh terlentang kembali dalam kes perbicaraan Dato Seri Anwar Ibrahim berikutan pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri 10 tahun kemudian. Konspirasi dan campurtangan politik sekali lagi bersekongkol.


Kini hampir 10 tahun berlalu, dalam senyap-senyap imej badan ini mahu dipulihkan tiba-tiba hinggap pula satu malapetaka baru. Semalam Penasihat PKR Dato Seri Anwar mendedahkan sebuah rakaman video yang dibuat pada tahun 2002 lalu, menunjukkan seorang peguam terkenal VK Lingam yang sedang rancak berbual melalui telefon dengan Ketua Hakim Malaya ketika itu Dato Ahmad Fairuz (yang kini Tan Sri Ahmad Fairuz – Ketua Hakim Negara).

Dalam rakaman video itu mereka membincangkan soal perlantikkan hakim-hakim termasuk Fairuz sendiri. Juga tentang betapa pentingnya penglibatan Fairuz dalam beberapa kes termasuklah petisyen membatalkan kemenangan calon DAP Bukit Bintang Wee Choo Keong dan kes Anwar sendiri.

Penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Fairuz juga menjadi topik perbulan dan yang lebih kontroversial lagi adalah penglibatan Lingam sendiri, Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan (kini Menteri Pelancongan) dalam meyakinkan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir, terhadap kedudukan Fairuz.

Video ini hangat dan mampu merobohkan sama-sekali instutisi kehakiman kita, kerana jelas kewibawaannya sudah mula condong dan boleh dipertikaikan. Badan kehakiman seakan dilacurkan untuk kepentingan politik individu dan tokoh tertentu. Saya difahamkan pihak Majlis Peguam akan mengadakan mensyuarat tergempar dan disamping itu pihak PKR telah menbuat laporan ke BPR dan akan mengemukakan memo ke Majlis Raja-raja.

Tindakan segera perlu diambil bagi merawat dan mengubati badan kehakiman yang sudah pauk dan buruk ini. Kita perlu bermula dengan menggantung kedudukan Tan Sri Ahmad Fairuz, dan satu Tribunal segera dibentuk untuk menyiasat salah-laku beliau. Semua kes-kes yang beliau adili termasuklah kes rayuan Anwar perlu disemak semula.

Rakyat tidak lagi boleh berpeluk tubuh lagi dalam hal ini, kalau mahkamah kita sudah dicabuli apa lagi yang tinggal pada kita selepas ini?

No comments: