Terima sahajalah kalau nama kita dicicirkan
Semalam juga satu lagi kejadian yang agak memalukan berlaku dipentas antarabangsa. Isunya berkenaan Pasukan Penyelia Damai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah bergolak Darfur di Sudan. Cuma dua negara Asia yang dipilih menyertai misi yang turut dianggotai negara-negara dunia lain iaitu Thailand dan Bangladesh. (Utusan Malaysia membawa laporan: Darfur: PBB cicir nama Malaysia)
Malaysia yang kuat melobi untuk menanggotai misi ini telah tidak tersenarai. Sepatutnya kita terima sahaja keputusan itu dengan hati yang terbuka. Kemungkinan PBB mahu memberi peluang kepada negara-negara dunia yang lain, kerana Malaysia sudah banyak terlibat dalam misi-misi yang lain antaranya termasuklah di Lubnan dan Timor Leste.
Tetapi sebaliknya Menteri Luar kita telah secara terbuka menzahirkan ketidakpuasan hatinya atas pengguguran nama Malaysia itu. Semasa mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Sudan, Dr Lam Akol Ajawin di New York, Syed Hamid telah membangkitkan isu ini. Apabila berjumpa pemberita Syed Hamid menyatakan yang Malaysia dijemput oleh Sudan untuk menyertai misi ini.
Walaupun demikian misi ini adalah misi PBB dan PBB lah yang berhak menentukan negara mana yang akan menanggotainya. Saya kira bukanlah perkara yang bijak untuk kita membuat bantahan apalagi melobi pula pada Sudan yang sudah pasti tidak memiliki kuasa untuk memberi cadangan (kecuali menolak cadangan sebagaimana berlaku di Lubnan).
Semalam di TV3 Menteri Luar Sudan ditanya oleh wakil TV3 apakah mereka berhak mencadangkan nama Malaysia, dan beliau menyatakan ia diluar kuasanya.
Biarlah Malaysia tumpukan pada isu-isu lain yang lebih besar dan meruncing umpama isu di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thai dan ancaman terhadap Iran. Dalam hal Darfur ini mungkin kita boleh membantu dengan cara lain, melainkan pihak kerajaan memang telah ada agenda tertentu, baiakan udang disebalik batu dalam isu Darfur ini, entahlah.
No comments:
Post a Comment