Wednesday, September 05, 2007

Musa Hitam iktiraf PAS

Semalam bertempat di hotel JW Marriot satu seminar bertajuk Khazanah National Development Seminar anjuran Khazanah Nasional telah diadakan selama satu hari. Berbagai kertas dan perbincangan telah diadakan sepanjang seminar yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan II Nor Mohamad Yakcop dan ditutup oleh Timbalan PM Najib Tun Razak.

Apa yang menarik, disamping kehadiran pimpinan negara serta bekas-bekas pimpinan, tokoh-tokoh akademik, korporat, sosial dan diplomat itu adalah kehadiran Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa yang turut diundang sebagai peserta oleh pihak penganjur (malangnya tidak dilaporkan oleh media arus perdana).


Kehadiran Timbalan Presiden PAS itu menjadi tarikkan dan perhatian kerana selama ini ramai yang menyangkakan yang PAS sebuah parti konservatif kolot yang tidak prihatin dan minat mengambil bahagian dalam pembangunan negara, apalagi menyertai program-program perbincangan dan akademik seumpama ini. Momokkan jahat hasil kerja Umno selama 50 tahun kebelakangan ini jelas berjaya dibolosi Ustaz Nasharudin semalam.

Perkara ini ketara apabila para peserta melihat Timbalan Presiden PAS itu bukan sekadar menyertai seminar itu malah mengambil bahagian aktif dalam sessi soal jawab sehingga mengemukakan soalan kepada TPM sendiri. Ini mendorong bekas TPM Tun Musa Hitam untuk menyebut nama Ustaz Nasharudin dalam ucapan beliau. Katanya kehadiran Ustaz Nasharudin sungguh beliau kagumi dan kerana itu merasakan perlu untuk diberi pengiktirafan dalam ucapannya.

Mudah-mudahan langkah seumpama ini akan turut dicontohi oleh pimpinan PAS yang lain. PAS perlu segera keluar dari kepompong yang disulam oleh Umno selama ini jika ia serius mahu bertarung dengan Umno untuk teraju kepimpinan negara. Pas perlu menjadi pemimpin masyarakat bukan sekadar pemimpin kelompok-kelompok tertentu sahaja. Semoga segala tembok dan halangan yang dibina oleh Umno bagi memisahkan PAS dengan rakyat jelata akan segera roboh, dan akhirnya rakyat dapat mengenali yang mana satu intan dan yang mana satu kaca.

No comments: