Thursday, September 27, 2007

Jangan sibuk di pentas dunia, pentas di kampung hampir nak roboh

Saya naik bosan apabila mendengar di TV semalam betapa Menteri Luar Syed Hamid Albar yang kini berada di New York menghadiri Persidangan PBB, membuat ulasan terhadap insiden yang sedang meletup hangat di Myanmar khasnya di Yangon. Ribuan sami-sami Buddha di negara tersebut telah berarak secara aman membantah junta tentera yang memerintah negara tersebut. Isu kenaikkan kos hidup merupakan fokus utama para penentang disamping desakkan untuk REGIME CHANGE atau perubahan regim dengan mengembalikan demokrasi.

Saya bosan dan malah meluat kerana Syed Hamid (kerana berada di pentas antarabangsa) kelihatan begitu prihatin terhadap kuman halus di seberang laut sedangkan gajah yang bergasak di depan kelopak matanya langsung tidak dipedulikan. Kalau KL mahu Yangon elak kekasaran (tajuk di Berita Harian), kenapa KL sendiri menembak dengan peluru hidup ke arah rakyatnya yang berhimpun secara aman di buminya sendiri, yang bilanganny di Batu Buruk tempoh hari jauh lebih kecil dari yang di Yangon!


Kata Syed Hamid cara terbaik untuk menyelesaikan masalah di Myanmar ialah menerusi perdamaian dan memperceptakan proses pemulihan demokrasi, di Batu Burok hari itu bagaimana?

Kalau junta tentera di Myanmar diseru agar kembali ke meja rundingan, mengapa di Batu Burok Umno bertindak sombong? Tragedi di Batu Burok menuntut agar satu Suruhanjaya di Raja dibentuk bagi menyiasat punca dan akibatnya sehingga pihak polis perlu mengunakan kekerasan dan senjatapi terhadap perhimpunan rakyat yang aman.

Di Myanmar sekurang-kurangnya demonstrasi berjalan selama beberapa hari sebelum ianya disuraikan oleh pihak tentera semala, di Batu Burok tidak ada pun demonstrasi, ceramah pun tidak dijalankan, namun rakyat berkumpul kerana mahu tahu perkembangan yang berlaku, diserang dengan gas pemedih mata dan pancutan air dan kemudiannya dibelasah dengan belantan dan yang paling malang sehingga ditembak dengan peluru hidup.

Biarlah negara yang lebih maju dan bertamaddun memikirkan soal Myanmar, kerana soal rumahtangga kita sendiri pun belum beres. Saya harap Syed Hamid nasihatlah PM Dollah Badawi agar berhati-hati ketika menyampaikan ucapannya di PBB nanti. Jangan kerana terlalu ghairah membangga dan melambung diri, sehingga kita lupa masalah dalam negara banyak yang kusut dan perlukan penyelesaian. Jangan sampai kita nanti menjadi

bahan gelak ketawa dunia, kalau gitu hantar sahaja Saiful Apek ke PBB.

No comments: