Sambil menyelak-nyelak akhbar untuk mencari berita yang menarik untuk dijadikan bahan, saya terserempak dengan berita berkenaan Yusni Jaafar dalam ruangan hiburan akhbar Berita Harian: Hip. Pasti ada orang berkata: Baca juga ruangan hiburan ya, mengapa tidak? Kita perlu tahu akan seluruh perkembangan yang berlaku disekeliling kita, bukan hanya ambil tahu apa yang mahu kita tahu.
Yusni Jaafar ini memang saya ikuti perkembangannya, sejak berita beliau ditinggalkan oleh anak-anak kandungnya. Kebetulan saya pernah dikenalkan dengan salah seorang anak beliau melalui kawan saya yang pernah bernikah (tapi tak lama) dengan anaknya itu.
Di bawah tajuk: Ibu sudah ampun kesalahan mereka, Yusni bercerita panjang-lebar berkenaan perkembangan hidupnya terkini. Beliau kini tinggal bersendirian di sebuah flat kos sederhana di Ampang Hiliran. Beliau yang pernah glamour satu ketika dahulu kini terpaksa mengharapkan bantuan dari rakan-rakan untuk membeli perabut dan peralatan rumah.
Kata Yusni sejak berpindah ke rumah barunya 22 Ogos lalu sehingga kini anak-anaknya tidak pernah mengunjungi atau menghubungi beliau.
Saya tidak dapat menerima bagaimana anak-anak boleh mengambil sikap sedemikian terhadap seorang ibu kandung. Jahat mana sekalipun seorang ibu (saya pasti Yusni tidaklah masuk dalam kategori jahat pun) ia tetap ibu kita. Tambahan pula kita berada di bulan Ramadhan yang penuh barakah dan rahmat ini. Saya menasihati diri saya dan para pembaca blog ini serta anak-anak Yusni akan ayat-ayat Allah swt:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). (al Ahqaf: 15)
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al Isra: 24)
Selain itu Rasulullah saw berpesan kepada kita:
Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a, bahwa Rasulullah s.aw bersabda: Ridha Allah bergantung kepada keridhaan orang tua dan murka Allah bergantung kepada kemurkaan orang tua.
Mudah-mudahan Allah swt mengampunkan dosa kita semua dan lebih utama lagi dosa kedua orang ibu-bapa kita. Semoga Allah menggerakkan hati anak-anak Yusni dan anak-anak orang lain seumpama kes Yusni ini untuk memohon ampun kepada ibu mereka dan menghiburkan hati mereka selagi berbaki hidup mereka di dunia ini.
No comments:
Post a Comment