Friday, September 28, 2007

Panel khas hanya bebas tanpa Haidar?

Kerajaan telah pun menubuhkan satu panel khas untuk mengkaji kesahihan video kontroversial yang memaparkan peguam VK Lingam sedang berbual dengan seseorang mengenai perlantikkan hakim-hakim, dan kes-kes high profile ketika itu. Menurut maklumat Lingam dikatakan sedang berbual dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz yang ketika itu Hakim Besar Malaya iaitu pada tahun 2002.


Panel khas yang baru menerima tauliah dari kerajaan itu terdiri dari bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Norr, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Rupanya perlantikkan panel khas ini juga mencetuskan kontroversi. Pihak Majlis Peguam Malaysia serta beberapa NGO dan parti-parti politik lebih yakin sekiranya sebuah Suruhanjaya di Raja ditubuhkan untuk bukan hanya menyiasat kesahihan video itu tetapi juga isi kandungannya serta sebarang salah-laku yang berbangkit darinya.

Dan bukan sekadar penubuhan panel khas ini mencetuskan ketidakpuasan hati, rupanya ahli-ahli panelnya yang dilantik turut mengundang kontroversi dan mencetuskan keraguan. Contohnya Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mahukan pengerusi panel ini Tan Sri Haidar menarik diri. Kenapa? Siapakah Tan Sri Haidar?

Tan Sri Haidar kini adalah Pengerusi CIMB, beliau dilantik kejawatan ini sejurus bersara dari bidang kehakiman. Soalnya siapakah Tan Sri Haidar sehingga didesak agar menarik diri dari mempengerusikan panel ini?

Untuk mengetahuinya kita perlu melangkah jauh kembali ke tahun 1988 iaitu kira-kira 19 tahun yang lalu. Ketika itu Haidar adalah Ketua Pendaftar Mahkamah Agung. Dan tahun 1988 adalah tahun paling kontroversial bagi badan kehakiman Malaysia kerana pada tahun itulah berlakunya perisitiwa pemecatan terhadap Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas, yang kemudiannya turut menyaksikan penggantungan lima hakim Mahkamah Agung dan kemudiannya pemecatan dua daripada mereka.

Badan kehakiman mati dikuburkan pada tahun itu, dan sejak itu ia cuba bangkit kembali, tetapi terus digerhanai dengan syak-wasangka dan prejudis oleh rakyat dan dunia luar.

Kisah detail dan panjang lebar episod hitam dalam sejarah negara ini boleh dibaca dalam buku karangan Tun Salleh (bersama K. Das) bertajuk:

May Day for Justice (1989)

Haidar ketika itu walaupun berkhidmat di bawah Tun Salleh telah akhirnya menjadi saksi tribunal untuk memecat bekas bosnya itu. Konspirasi pemecatan Tun Salleh diketahui Haidar sejak awal-awal lagi sedangkan Tun Salleh tidak tahu menahu. Tun Salleh menulis:

On Saturday, 21 May the Chief Registrar, Encik Haidar Mohamed Noor came to see me at home regarding some documents which I had to sign. During the course of our conversation he said that Tan Sri Abdu Hamid Omar was in Singapore with his daughter and son in law who were on their way on a round the world trip. Encik Haidar then added that Tan Sri Hamid was canceling his own vacation abroad because according to the Chief Justice SOMETHING BIG WAS HAPPENING.

Tun Salleh tidak pun bertanya apakah yang dimaksudkan something big itu, rupanya ia bermaksud yang beliau akan dipecat tidak lama lagi!

Semasa menjadi saksi kepada tribunal yang mencadangkan pemecatan Tun Salleh, Haidar menurut Tun Salleh membantu dalam memberikan gambaran seolah beliau (Tun Sallah) telah melakukan salah laku yang besar ketika menangguhkan kes Teoh Eng Huat v Kadhi Pasir Mas Kelantan and Another (kes melibatkan seorang anak gadis keluarga Buddha yang memeluk Islam tanpa persetujuan bapanya).

Dengan dibantu Penguam Negara Tan Sri Abd Talib Othman ketika itu Tun Salleh digambarkan sengaja melengah-lengahkan kes ini sedangkan menurut penjelasan Tun Salleh dalam bukunya itu, beliau tidak pernah bermaksud demikian.

Itulah Haidar, yang kini Tan Sri Haidar. Sejurus selepas Tun Salleh dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung berjaya dipecat, semua yang terlibat telah secara kebetulan atau tidak menerima ghanimah (harta rampasan perang) masing-masing. Ini termasuklah Haidar yang telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan kemudiannya bersara sebagai Hakim Besar Malaya!

Kerana itulah ramai yang tidak berpuas hati apabila Haidar yang dilantik mempengerusikan panel ini, kerana Haidar samada secara langsung atau tidak adalah parti kepada tahun gelap 1988 dahulu. Anda bagaimana?

No comments: